October 2nd, 2016

Nikmat mencintai Allah SWT amat besar ganjarannya

KITA mungkin atau kerap kali berada di persimpangan antara kehendak dunia dan akhirat. Tetapi apa yang pasti, kita sering kali terpaksa pilih satu daripada dua pilihan itu. Mungkin ia disebabkan sifat manusia yang tidak boleh memilih kedua-duanya secara serentak.

Walaupun ada dalam kalangan manusia menyatakan dia boleh berbuat demikian (memilih kedua-duanya secara serentak) tetapi jika diteliti kepada sudut kecenderungan, dia juga perlu memilih satu daripadanya.

Apa yang pasti, setiap pilihan itu ada kesan atau impaknya yang tersendiri dan ini diakui sendiri oleh seorang pendakwah kelahiran Amerika Syarikat (AS), Yusha Evans ketika dia mula-mula memeluk Islam di penghujung tahun 1990-an.

Anak kelahiran Greenville, South Carolina, AS dan juga merupakan bekas pendeta Kristian tegar itu menyatakan pengalaman tersebut dialami ketika bekerja di Florida, AS.

“Saya akui ia satu pengalaman yang menakjubkan tentang sejauh manakah sayangnya Allah SWT kepada hamba yang taat kepada perintah-Nya,” katanya dalam satu siri kuliahnya yang dipetik daripada Youtube, baru-baru ini.

Berikut wawancara tentang pengalamannya itu:

Bagaimanakah kisah itu bermula?

Yusha Evans: Saya memperoleh satu pekerjaan dalam bidang pembinaan di Florida dan waktu itu masih baru sebagai seorang Muslim. Walaupun inilah satu-satunya pekerjaan yang boleh saya lakukan tetapi saya yakin Allah SWT tetap bersama dengan saya sepanjang masa.

Pada satu pagi Jumaat, saya berjumpa dengan majikan syarikat berkenaan dan menyatakan yang saya kena mengerjakan solat Jumaat pada waktu tengah hari. Jadi, saya kena ambil masa rehat tengah hari yang agak panjang tetapi berjanji untuk kerja lebih masa.

Jadi, apa kata majikan tuan?

Dia tidak benarkan sama sekali. Tetapi saya katakan bahawa solat itu adalah antara perintah agama yang saya kena patuh dan sebab itulah, saya kena pergi solat Jumaat.

Tegas majikan saya, jika berkeras juga, maka saya akan dibuang kerja. Saya kata, kalau macam itu, saya akan datang balik dua minggu lagi untuk ambil gaji saya. Selepas itu, saya tinggal kerja itu dan pergi menunaikan solat Jumaat.

Saya kata pada diri sendiri bahawa saya tidak perlu mencabul keimanan saya kepada Allah SWT semata-mata untuk dapatkan habuan dunia.

Apa jadi selepas itu?

Saya menunaikan solat Jumaat pada hari berkenaan walaupun tidak tahu apakah nasib selepas itu. Tetapi selepas selesai, saya di sapa oleh seorang Muslim yang berasal daripada Palestin.

Dia yang memiliki sebuah kedai piza di Baitulmaqdis, Palestin, merancang untuk membuka kedai sama di Florida kerana berhasrat membawa keluarganya ke sini (Florida).

Jadi, lelaki Muslim itu bertanya adakah saya mempunyai sebarang pekerjaan dan katakan padanya yang baru sahaja dibuang kerja. Dia kata bagus sebab dia sedang mencari pekerja untuk bekerja di kedai pizanya itu dan terus menawarkan kerja itu kepada saya.

Lebih menarik, gaji yang ditawarkannya adalah dua kali ganda daripada yang diterima semasa bekerja dengan syarikat pembinaan sebelum ini.

Apakah pengajarannya?

Saya percaya Allah SWT tidak akan pernah membiarkan kita merana apabila kita secara ikhlas meletakkan Dia di tempat yang lebih tinggi berbanding makhluk ciptaan-Nya atas muka bumi ini.

Rasulullah SAW dalam sebuah hadis qudsi, bermaksud: “Kalau Allah SWT mencintai seorang hamba, maka Dia memanggil Jibril. “Jibril! Aku mencintai si fulan, maka cintailah dia. Lalu Jibril memanggil penghuni langit. “Wahai penghuni langit! Sesungguhnya Allah mencintai si fulan maka cintailah dia. Lalu penghuni bumi pun mencintainya.”

Inilah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin sepanjang hidup mereka. Tidak hairanlah mereka disayangi dan diingati bukan hanya oleh Muslim tetapi bukan Islam. - Hashnan Abdullah Utusan Malaysia Rencana 01 Oktober 2016 12:16AM

Kawal usia muda

LIMA pertanyaan Allah terhadap hamba-Nya berhubung nikmat yang diberikan iaitu tentang umur dihabiskan, bagaimana masa muda digunakan, dari mana harta diperoleh dan bagaimana dimanfaatkan, tentang ilmu serta bagaimana dia beramal dengan ilmu tersebut.

Itu intipati ceramah yang disampaikan oleh pendakwah bebas dari Indonesia, Anas Burhanuddin Musta’in Ahmad yang dimuat naik dalam media sosial berhubung keistimewaan masa muda.

Jadi insan dikagumi Allah SWT

GOLONGAN muda seharusnya mengelak melakukan perkara yang membawa kerugian kepada mereka. – GAMBAR HIASAN

Menurut penceramah terkenal dari Pondok Pesantren Madinatulqur’an Jonggol di Jawa Barat itu, umur atau usia muda setiap anak Adam mengikut fahaman sebahagian ulama adalah dari usia baligh sehingga umur 40 tahun.

Namun jelasnya, ada sebahagian ulama mentafsirkan sehingga berusia 30 tahun tetapi mencecah usia sehingga 40 tahun adalah lebih kuat serta didokong oleh beberapa dalil meskipun tidak secara tegas.

Beliau menyatakan, kenapa perlu Rasullullah SAW menegaskan secara khusus tentang usia muda, sedangkan apa yang akan disoal adalah berhubung usia yang digunakan dan dihabiskan.

“Dalam bahasa Arab, menyebutkan sesuatu secara khusus setelah penyebutan secara umum pada awal hadis merupakan suatu yang penting. Sesuatu perkara tidak disebutkan begitu sahaja (diperjelaskan) tetapi kerana ada maksudnya atau hikmah di sebaliknya.

“Kalau tiada hikmah atau faedahnya, maka jadilah perkara itu sia-sia. Biarpun kata-kata Nabi Muhammad itu pendek, namun ia penuh sarat dengan makna, kandungannya mendalam dan luas. Itu sifat sabda-sabda nabi.

“Jika disebutkan usia muda selepas pengucapan tentang umur secara umum, maka ada keistimewaan usia muda. Apa keistimewaan masa muda?,” soalnya.

Kata beliau, usia muda ialah masa terbaik yang dialami oleh seseorang individu, masa paling produktif yang sangat diperlukan dalam membangunkan bangsa dan peradaban masing-masing.

Tambahnya, puncak kemampuan dan kekuatan fizikal manusia itu terjadi pada usia muda. Allah juga menjadikan fizikal ahli syurga adalah fizikal anak-anak muda, merasai kenikmatan syurga menerusi fizikal paling kuat iaitu pada usia muda.

Menurutnya, Nabi Muhammad pernah berjenaka dengan seorang nenek tentang tidak ada orang-orang tua di dalam syurga. Namun baginda tidak pernah berbohong dalam jenaka beliau, sebaliknya jenaka baginda tetapi tetap jujur dan mengatakan yang benar.

Ini kerana jelasnya, tidak akan masuk syurga anak Adam dalam keadaan fizikalnya yang sudah tua bagi merasai nikmat Allah. Semua yang masuk syurga Allah adalah mereka yang berada dalam keadaan fizikal muda.

IMPIAN SEMUA MANUSIA

Masa muda sangat diimpikan oleh semua orang. Anak-anak kecil ingin segera dewasa, malah mereka yang dewasa juga tidak mahu segera menjadi tua. Tempoh masa muda adalah fasa usia terpanjang dalam kehidupan manusia.

“Pada usia muda adalah masa terbaik untuk mudah menerima kebenaran dan ia antara potensi masa muda. Orang tua sudah terlalu lama tenggelam dalam kebatilan menjadikan mereka sukar untuk diubah. Malah kebanyakan ulama berjaya meraih ilmu sejak daripada usia muda,” katanya.

Namun begitu menurutnya, terdapat juga potensi negatif ketika usia muda iaitu ketika mana syahwat seorang insan mencapai pada kemuncaknya. Puncak syahwat, godaan atau hawa nafsu anak Adam itu akan berlaku pada saat usia muda.

Ibnu Rejab Al-Hambali berkata: “Masa muda adalah sepotong kegilaan”. Pada masa ini, seseorang itu kuat terdorong untuk memenuhi syahwat mudanya. Maka siapa yang terselamat pada usia ini, sungguh benar-benar dia diselamatkan.

Jelas Anas Burhanuddin, usia muda adalah masa syahwat sentiasa mahu menang dan berada begitu kuat sekali. Manusia begitu ingin memenuhi hawa nafsunya. Usia muda mempunyai potensi positif yang banyak tetapi pada saat yang sama juga boleh didorong oleh potensi negatif.

“Mereka yang selamat adalah anak-anak muda yang istiqamah dan konsisten dalam mentaati Allah SWT. Mereka itulah orang-orang yang istimewa.

“Nabi memuji golongan pemuda seperti ini kerana mereka berjaya mengalahkan godaan hawa nafsu yang sedang memuncak. Malah mereka layak untuk mendapat pengiktirafan daripada Allah SWT,” katanya.

Katanya, orang tua rajin ke masjid dan beribadah kepada Allah, ia satu yang wajar dan satu kebiasaan. Tetapi jika ada anak muda yang rajin ke masjid, itu suatu yang istimewa kerana berjaya mengenepikan gelora jiwa muda tetapi memilih jalan untuk taat kepada Allah.

Tegasnya, Allah takjub kepada seorang pemuda yang tidak mempunyai sifat sabwah iaitu sifat keanak-anakan. Meskipun masih muda tetapi sudah dewasa dan matang, malah menjauhkan daripada godaan-godaan maksiat dan tiada kecenderungan mengikut hawa nafsu.

Meskipun masih terbabas untuk berbuat dosa, namun mereka masih menggunakan masa muda untuk beribadah dan mencari reda Allah. Apabila tersasar, segera memohon keampunan dan bertaubat. Manusia semuanya berbuat dosa dan tidak maksum seperti Nabi Muhammad SAW.

Terdapat dua nikmat yang mana kebanyakan manusia mudah terpedaya, terlena serta terlupa iaitu nikmat kesihatan dan waktu kosong. Waktu seperti ini kebanyakan ada pada anak-anak muda.

“Hendaklah pemuda-pemuda menjadi pembuka kepada pintu kebaikan dan menjadi penutup pintu-pintu kemungkaran. Berusaha menjadi ejen perubahan ke arah yang baik dalam masyarakat. Tidak hanya menjadi seorang yang soleh, tapi soleh secara sosial.

“Tidak hanya sibuk di masjid atau amalan soleh, tetapi berusaha untuk memberi yang terbaik kepada masyarakat sekeliling. Dalam urusan dunia kita punya cita-cita tinggi, begitu juga dalam urusan akhirat. Kita harus punya cita-cita besar menjadi pemuda-pemuda istimewa dan orang-orang yang Allah takjub kepada dirinya,” katanya.

-

Pesanan untuk ‘pak haji’, ‘mak haji’

KETIKA ini satu demi satu pesawat yang membawa jemaah haji Malaysia kembali ke tanah air. Sudah pastilah ketibaan mereka disambut de­ngan tangi­s­an kegembiraan oleh ahli keluarga. ‘Perpisahan’ tidak kurang 40 hari dianggap satu jangka masa yang lama.

Apapun tahniah kepada mereka yang menunaikan rukun Islam kelima itu. Kini mereka bergelar ‘haji’ dan ‘hajah’. Mungkin ada perasaan berbeza berbanding sebelum ini. Maklumlah mereka akan dipanggil ‘tuan haji’, ‘pak haji’, ‘puan hajah’ atau ‘mak haji’.

Bagaimanapun seperti mana nasihat dan pesanan beberapa ustaz kepada penulis, bukan soal gelaran yang harus menjadi keutamaan sebaliknya sejauh manakah kita ‘menjaga kemuliaan’ gelaran tersebut.

Justeru kepada ‘pak haji’ dan ‘mak hajah’ yang baru pulang daripada menunaikan ibadah haji fahamilah tanggungjawab berat yang terpikul di bahu mereka. Fahami dan kajilah apakah kita benar-benar sudah mencapai ‘haji mabrur’ atau pemergian kita ke tanah suci sekadar ‘makan angin’.

Atas sebab itulah, ‘pak haji’ dan ‘mak haji’ perlu memahami maksud mereka yang menunaikan ibadah haji bagai bayi baru dilahirkan. Ertinya mereka bersih daripada segala-galanya. Kalau dahulu sebelum ke Mekah, mereka tidak pernah bersolat kini mereka rajin bersolat, kalau dahulu mereka ‘bermulut celupar’ tetapi sekarang mereka menjaga tutur kata dan perbuatan.

Semua itu akan membuktikan bahawa pelaksanaan ibadah haji benar-benar memberi kesan dan membawa perubahan kepada kehidupan mereka khususnya dalam meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.

Teruskanlah amalan solat berjemaah seperti mana mereka sanggup bangun awal-awal pagi berjalan kaki ke Masjidilharam atau Masjid Nabawi untuk menunaikan solat lima waktu. Janganlah pula setelah pulang ke tanah air, dengar azan berkumandang dari masjid atau surau pun buat ‘pekak badak’ sahaja.

‘Pak haji’ dan ‘mak haji’ harus tahu bahawa kerajinan mereka beribadah bukan hanya disebabkan mereka ber­ada di Mekah dan Madinah, tetapi harus diteruskan sepanjang hayat. Janganlah anggap apabila sudah me­nunaikan haji, kitalah manusia paling beriman di muka bumi Allah ini dan bersih daripada segala dosa.

Bagi penulis sendiri yang berpeluang membuat liputan dan menunaikan ibadah tersebut musim ini, sama ada kita dipanggil ‘pak haji’ atau ‘mak haji’ tidak pen­ting, tetapi lebih mustahak sejauh manakah perbuatan, tingkah laku dan amal ibadah kita setaraf dengan gelaran tersebut.

Tiada apa yang perlu dibanggakan, kalau pulang daripada menunaikan haji, perangai lama termasuklah tidak menunaikan solat, sombong dan tidak menjaga tutur kata masih berterusan.

Mungkin ‘pak haji’ dan ‘mak haji’ seumpama itu boleh berasa bangga kerana dipanggil gelaran berkenaan tetapi di sisi Allah SWT, mereka hanyalah ibarat buih di pantai yang tiada apa-apa ertinya.

Oleh itu banyak-banyaklah bermuhasabah dan sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar kita tergolong dalam kalangan mereka yang mendapat haji mabrur.

Penulis yakin pengalaman di Mekah dan Madinah akan banyak membantu para jemaah haji kita untuk belajar erti kehidupan bagi mengenal manusia serta meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.

Tahun ini, pelaksanaan ibadah haji berlangsung de­ngan tenang, tanpa tragedi atau kejadian tidak diingini. Semua ini adalah rahmat untuk jemaah haji Malaysia serta jemaah haji seluruh dunia.

Apapun kepada seluruh jemaah haji Malaysia terma­suk yang mash berada di Mekah dan Madinah sehingga pertengahan bulan depan, selamat kembali ke tanah air dan semoga segala amal ibadah kita diterima oleh ­Allah SWT. - Zul Bakar Utusan Malaysia Rencana 01 Oktober 2016 6:00 PM

Cermin Diri dan Betulkan Diri

TANYA diri kita, siapakah diri kita yang sebenarnya? Kalau kita kata, “Saya Ahmad”, dan kita letak nama Ahmad itu di atas gambar, adakah gambar itu menjadi Ahmad? Kalau benar, bermakna gambar kita menentukan siapa kita. Oleh sebab itu, cuba lihat ke dalam cermin. Kita nampak gambar diri kita dalam cermin. Kemudian dengan memandang gambar kita dalam cermin dan memandang diri kita di luar cermin, tanya siapa diri kita yang sebenar? Adakah diri kita yang sebenar kita yang ‘melihat’ cermin itu, atau apa yang ‘dilihat’ dalam cermin itulah diri kita?

Yang ‘dilihat’ (dalam cermin) wajah kita 10 tahun yang lalu, sama atau tidak dengan kita yang kini? Tentu tidak sama. Sebab organ fizikal kita sentiasa berubah. Ertinya yang ‘dilihat’ dalam cermin itu adalah fizikal kita yang selalu berubah. Diri kita yang sebenar adalah roh kita yang ‘melihat’ diri kita dalam cermin. Sebab orang yang ‘melihat’ itu adalah diri kita (roh orang yang sama) yang tidak berubah, walaupun fizikal/jasad kita sudah berubah.

Dengan memahami konsep mengenali diri, (membezakan antara diri fizikal dengan diri roh kita) ini, barulah kita tahu prioriti. Iaitu prioriti diri kita yang mana lebih perlu diperbetulkan; roh atau jasad? Tentu kita tidak lagi terlalu fokus setiap hari untuk sangat sibuk dan teliti, hendak mencantikkan diri fizikal/jasad kita sahaja, apabila kita telah tahu yang mana prioriti diri. Sebab kecantikan fizikal/jasad lebih untuk dilihat dan dinilai, agar mendapat penghargaan, pujian dan pengiktirafan manusia.

Lazimnya, semakin banyak kita mencari perhatian orang lain, maka semakin kurang masa kita untuk memberikan perhatian kepada orang yang terdekat dengan kita (keluarga), malah keadaan menjadi lebih buruk apabila kita semakin tidak berkesempatan meluangkan masa untuk Allah. Ingatlah, jika kita tidak ada masa untuk Allah, Allah juga tidak ada masa untuk kita. Sebab dalam pangkal ayat 7 surah Az-Zumar, jelas kita fahami firman Allah ini, “Jika kamu kafir, maka sesungguhnya Allah tidaklah memerlukan kamu....” Jangan kita menyangka, bahawa Allah yang sangat mengharapkan pengabdian kita kepada-Nya, sehingga seandainya kita ingkar Allah berasa rugi dan kedudukan-Nya sebagai Yang Maha Berkuasa terjejas.

Kalau kita faham diri kita yang sebenar ialah roh, kita akan menjadi seorang yang sangat fokus kepada pembersihan jiwa dan memberikan makanan kerohanian/spiritual kepada roh kita dengan ilmu dan amal. Hal ini adalah kerana, roh diri kita yang akan menghadap Allah sedangkan jasad akan binasa hancur bersemadi menjadi tanah. Oleh sebab itu kita sentiasa bertaubat dan berniat memperbaiki diri. Jaga akhlak, ‘dunia dalaman’ kita menentukan ‘dunia luaran’ kita. Iaitu apa yang ada dalam minda dan hati kita menggambarkan fizikal/jasad kita. Semuanya bermula dari fikiran/minda/akal maka kerana itu betapa perlunya kita mengawalnya agar sentiasa berada dalam posisi yang positif.

Keadaan frekuensi gelombang otak dalam diri seseorang menentukan aktiviti fikiran dan tingkah laku seseorang dalam kehidupan seharian kita. Frekuensi gelombang otak manusia berbeza-beza mengikut emosi atau suasana. Kajian menunjukkan frekuensi gelombang otak bukan sahaja menunjukkan keadaan fikiran dan tubuh seseorang, tetapi dapat juga dirangsang untuk mengubah keadaan mental seseorang.

Sebab itulah dalam konsep pemikiran ‘Reset Minda’ ditekankan tentang bagaimana dengan mengawal fikiran dan emosi, respons atau tindakan kita juga dapat dikawal. Sebab itu dalam peribahasa Melayu banyak dikias ibaratkan tentang akal dengan tindakan dan personaliti seseorang ditentukan oleh akal. Antaranya, “Akal akar berpulas tak patah” maksudnya, orang yang pandai, tak akan mudah kalah dalam perdebatan. “Akal labah-labah; di gua buruk suka merakut (memasang jaring)” bererti, orang jahat yang suka menipu orang. “Akal sebagai makan nasi lecek” maknanya, orang yang fikirannya seperti anak-anak. Demikianlah hakikatnya, mental/fikiran, spiritual/kerohanian dan emosi mempengaruhi manifestasi kepada fizikal kita. Oleh sebab itu bersihkan jiwa/roh kita daripada emosi dan fikiran negatif.

Batasan

Kita tidak akan membersihkan jiwa kita selagi kita hanya sibuk melihat keburukan dalam diri orang lain. Salah satu cara Allah memberikan kebaikan atau hidayah kepada seseorang, adalah apabila kita sibuk melihat kesilapan diri dan sibuk melihat kebaikan orang lain, hingga kita tidak sempat hendak melihat keburukan orang. Manusia paling malang ialah manusia yang menyembunyikan keburukan diri, tetapi sibuk mencanangkan keburukan orang, dan sentiasa berasakan dirinya lebih baik daripada orang lain. Namun begitu, hakikatnya bolehkah kita nampak diri kita sendiri?

Bukankah pandangan mata kita mempunyai batasan untuk boleh melihat diri kita sendiri? Tanpa bantuan cermin kita tidak dapat melihat diri kita sendiri. Hanya mata orang lain yang dapat melihat kita dan menilai siapa kita di matanya. Cerminlah diri kita dengan orang yang rapat dengan kita, (pasangan kita suami/isteri, ibu bapa, atau sahabat sejati). Cari orang yang boleh menjadi cermin diri dan keperibadian kita, yang akan jujur memberikan pendapat serta menegur kita apabila nampak kesilapan dan kekurangan kita, sesungguhnya inilah langkah pertama untuk memperbaiki diri.

Langkah kedua, untuk memperbaiki diri, cari guru yang baik, yang boleh memberikan nasihat dan membersihkan hati kita daripada hidup dalam ‘kesedaran keegoan’ yang tinggi kepada ‘kesedaran ketuhanan’ yang tinggi.

Ketiga, manfaatkan orang yang tidak baik dengan kita atau musuh kita. Sunnatullah tidak semua orang suka akan kita, dan tentu ada orang yang iri hati dan benci akan kita, atas sebab-sebab tertentu, kerana kita tidak mampu memuaskan hati semua orang yang pelbagai fiilnya. Orang menyakitkan hati kita dengan kata-kata, adalah peluang untuk kita perbetulkan diri dan belajar bersabar. Jadilah kita orang yang sangat suka menerima teguran, serta tidak suka dipuji dan tidak takut dikeji.

Untuk mengetahui kekurangan dan kelemahan kita tanyalah musuh kita, tetapi untuk mengetahui kebaikan kita tanyalah kawan-kawan kita. Kelemahan kita walaupun sedikit akan diperbesar-besarkan oleh musuh kita. Tetapi, kawan-kawan demi menjaga hati dan hubungan dengan kita, mereka akan bercakap yang baik-baik sahaja tentang kita. Sebab kawan-kawan lazimnya untuk masa bersuka sahaja dan bermuka-muka, macam duit syiling; depan lain, belakang lain.

Tetapi, bagi seorang sahabat, sahabat seperti cermin; apabila kita gembira dia turut gembira, apabila kita sedih dia turut bersedih, apabila kita sakit dia juga turut berasa sakit, susah senang tetap bersama. Sahabat akan bercakap benar tentang kebaikan dan keburukan kita. Biarpun dia tahu kita tidak suka mendengarnya, tetapi demi kebaikan kita, dia tetap menyatakannya dengan ikhlas dengan harapan kita memperbaiki kelemahan kita dan kita semakin bersemangat dengan kelebihan kita. Terimalah kritikan itu sebagai teguran. Ingatlah, pada hari kita tidak boleh menerima teguran, bermakna pada detik itu bermulalah kejatuhan kita dan kita tidak menemui jalan memperbaiki diri, agar menjadi lebih baik daripada semalam. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”. - Dr. Muhaya Muhamad Utusan Malaysia Rencana 02 Oktober 2016 6:21 PM

Kerja pasukan dalam peristiwa hijrah

DALAM sebuah restoran tersohor, nama si tukang masak biasanya dipuji melangit kerana kemahirannya mengadun lazat hidangan yang disediakan untuk pelanggan. Jarang sekali disebut apatah lagi dikenang nama petani yang menanam sayur, penternak yang memelihara ayam dan ikan, ahli dapur yang teliti memilih bahan mentah masakan, pencuci restoran, tukang ambil pesanan dan juru hantar hidangan. Sedangkan tanpa penglibatan semua, si tukang masak akan menghadapi masalah untuk menguruskan segalanya. Kerja pasukan adalah rahsia sebenar yang menjadikan nama si tukang masak tersohor.

Ketika meneliti peristiwa Hijrah Rasulullah SAW dalam kitab sirah, kita akan nampak dengan jelas betapa kejayaan Hijrah bukanlah kejayaan Baginda seorang, tetapi ia menggambarkan suatu kejayaan kerja pasukan yang sungguh hebat. Rupanya kerja pasukan dalam dakwah sudah dimulai Nabi Musa AS dan Harun AS. Ia diulang sebut dalam banyak ayat al-Quran (Taha[20:24-32] dan al-Qasas [28:33-35]).

Mungkin ada yang bertanya, apa perlunya Baginda berhijrah? Mengapa tidak bertahan sahaja di Mekah menunggu Islam bersinar? Rupanya Hijrah Baginda SAW perlu diteruskan kerana nyawa Baginda sudah terancam dan Islam pasti berkubur tanpa nisan jika Baginda terus diam di Mekah. Musyrikin Quraysh nekad membunuh Baginda SAW sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya (al-Anfal[8:30]).

Setelah mendapat arahan Hijrah, Baginda SAW mengatur strategi yang hebat. Strategi tersebut menunjukkan Baginda bukanlah seorang tok lebai yang hanya tahu perihal dosa pahala, tetapi seorang pemimpin agung yang hebat merancang kerana Baginda tahu pergerakannya bakal disekat oleh Musyrikin Mekah yang tidak mahu Islam bersinar di Madinah. Ayuh kita buat analisis ringkas bagaimana kerja berpasukan memang menjadi rahsia kejayaan Hijrah:


  • Baginda meminta Abu Bakar RA mengiringinya dalam hijrah kerana beliau adalah manusia yang paling Baginda percaya. Jika berlaku sesuatu kecelakaan dalam perjalanan, teman yang paling dipercayai boleh menjadi tulang belakang melindungi kita.

  • Baginda meminta sepupunya, Ali Bin Abi Talib tinggal di Mekah untuk memulangkan barang amanah orang Mekah yang dijaga oleh Rasulullah SAW. Ini adalah bukti kebijaksanaan Baginda SAW dalam menjaga namanya agar kekal harum sebagai seorang yang sangat amanah. Integriti ini pastinya akan menjadi bualan orang yang menunjukkan kebenaran Baginda sebagai Rasulullah. Ali juga berperanan mengelirukan Musyrikin Quraysh dengan menggantikan Rasulullah SAW di tempat tidurnya (Tarikh al-Tabari).

  • Asma’ dan Aishah binti Abu Bakar bersiap menyediakan makanan untuk mereka berdua yang bakal menempuh perjalanan yang jauh. Dalam sebuah riwayat, Asma’ telah ditampar oleh Abu Jahal yang marahkan kehilangan Abu Bakar bersama Rasulullah SAW (Sirah Ibn Hisyam).

  • Baginda tidak terus ke Madinah, sebaliknya bersembunyi selama tiga hari dalam Gua Thur di Mekah kerana ia adalah lokasi yang sukar dijangka pihak musuh. Ketika itu, Abdullah bin Abu Bakar diarahkan bermalam di luar gua bagi menjaga keselamatan Rasulullah SAW. Sebelum pagi menjelma, Abdullah diarahkan pulang ke Mekah untuk menjadi mata dan telinga Rasulullah. Beliau mencuri dengar berita operasi orang Mekah mencari Rasulullah dan Abu Bakar. Malamnya Abdullah menyampaikan maklumat itu kepada Rasulullah dan Abu Bakar. Dengan cara ini, Rasulullah sentiasa tahu perkembangan di Mekah (Sahih al-Bukhari).

  • Amir bin Fuhayrah iaitu hamba Abu Bakar pula membawa kambing biri-biri kepada Rasulullah SAW dan Abu Bakar untuk mengambil susu serta menyembelih untuk makanan. Apabila selesai, beliau akan membawa kambing biri-birinya pada laluan Abdullah bin Abu Bakar untuk menutup kesan perjalanannya dari Mekah ke Gua Thur (Sirah Ibn Hisyam).

  • Selepas keluar dari persembunyian dari Gua Thur, Baginda keluar menuju ke Madinah dengan seorang pemandu jalan bukan Islam yang bernama Abdullah bin Urayqit. Sebelum keluar ke Gua Thur, Abu Bakar mengamanahkan untanya dan unta Rasulullah SAW kepada Abdullah bin Urayqit. Abu Bakar juga memintanya bertemu mereka berdua di luar Gua Thur selepas tiga hari. Setelah itu, mereka memulakan perjalanan Hijrah ke Madinah melalui jalan yang jarang digunakan orang. Kisah ini menunjukkan dalam kerja pasukan kadangkala kita boleh menggunakan khidmat bukan Islam yang diyakini amanah dan integritinya.

Merancang

Walaupun Baginda bijak merancang menyusun pasukan, kejayaan sebenar tetap bergantung pada kehendak Allah. Oleh kerana itu Baginda tidak lupa berdoa ketika memulakan langkah Hijrah dengan doa yang disebut al-Quran yang bermaksud: “Dan pohonkanlah (wahai Muhammad, dengan berdoa): “Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku ke dalam urusan ugamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku dari sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku”, (al-Isra’[17:80]).

Doa tersebut mengajar Rasulullah SAW bermohon agar dapat benar-benar memasuki Madinah dengan sempurna serta selamat tanpa halangan dan dapat benar-benar meninggalkan Mekah dengan mendapat bantuan Allah tanpa apa-apa halangan (Sunan al-Tirmidhi & Tuhfat al-Ahwazi Syarh Sunan al-Tirmidhi).

Ringkasnya, strategi kerja pasukan yang diatur Baginda serta doa di atas adalah suatu langkah menyempurnakan takdir Allah. Gabungan kedua perkara di atas membuahkan hasil Hijrah yang sangat gemilang. Langkah hijrah Baginda yang bermula pada malam 28 Safar tahun ke 14 kerasulan bersamaan 12 atau 13 September 622 Masihi akhirnya disudahi dengan tibanya Baginda ke Madinah pada 12 Rabiul Awwal, selepas solat Jumaat (al-Mubarakfuri, al-Rahiq al-Makhtum).

Antara pengajaran berharga untuk kita di sebalik peristiwa Hijrah adalah, “jika kita mahu maju dan berjaya dalam apa sahaja lapangan hiduplah secara berjemaah dan berkerjalah dalam pasukan.” - Abdullah Bukhari Abdul Rahim Al-Hafiz Utusan Malaysia Rencana 02 Oktober 2016 6:24PM