October 4th, 2016

Membina strategi hijrah, tekad hijrah perlu ada

Tekad hijrah perlu ada

HIJRAH Rasulullah SAW terkandung maksud yang besar. Suasana getir yang dihadapi di Mekah dalam menyampaikan risalah dakwah ­menemukan Rasulullah SAW meraikan perintah Allah SWT ­untuk berhijrah. Salah satu hikmah penghijrahan adalah wujud­nya hubungan persaudaraan Muhajirin dan Ansar yang menyebabkan kekuatan Islam mula terserlah. Dalam Surah an Nisa’: 110 Allah menyebutkan “Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam) nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur.”

Konsep berhijrah pada jalan Allah itu sifatnya luas. Menghijrahkan diri, jamaah, cita-cita perjuangan ke jalan yang diredai Allah amat dituntut. Terdapat individu yang memperjuangkan sesuatu atas nama perubahan tetapi terkandung muslihat yang bersifat peribadi.


MEMANTAPKAN kualiti pertahanan juga merupakan antara terpenting dalam transformasi hijrah sesebuah negara. GAMBAR HIASAN

Wujud juga jamaah yang melakukan hijrah tetapi berlegar sekitar batas yang sempit dan tidak merintis jalan ke arah wehdah (kesatuan) yang lebih menyeluruh. Natijahnya, rasa persaudaraan tidak terbina tetapi yang terjelma adalah ­taksub jamaah yang berlebihan.

Hijrah kerana Allah terkandung sifat ikhlas yang tinggi, sifat saling menyantuni yang telus dan tulus kerana yang paling utama hendak dicetuskan adalah rasa ukhuwah Islami yang mampu merintis jalan mahabbah sesama warga umat.

Apa yang sedang terjadi adalah taksub jamaah semakin teguh dan kukuh dan payah untuk berlak sifat me­nyumbang kepada perubahan umat sebaliknya pendirian yang ada adalah aku adalah satu-satu­nya jamaah yang sifatnya mewakili dan patut dicontohi.

Allah tidak mengurniakan seseorang tokoh dan jamaah dengan segala upaya hingga menyebabkan tokoh itu merasakan dialah satu-satunya tokoh yang mesti diikuti jalan strateginya.

Jiwa jamaah mendidik warga umat supaya memiliki sifat kebersamaan yang tinggi dalam membuat keputusan dan melaksanakan agenda perjuangan tanpa memecahbelahkan umat itu sendiri.

Apa lagi jamaah politik yang berjuang untuk Islam amat memerlukan jiwa jama’i yang tinggi dan sifat me­nyantuni yang ramah. Dengan pedoman dustur (etika) dakwah dan tarbiah seperti yang terungkap dalam Surah an Nahli :125, kepentingan bijaksana, contoh teladan dan hujah yang berkesan menjadi fokus untuk menentukan hijrah terjadi dan perubahan berlaku.

Apa yang sedang berlaku di Syria, Iraq, Bahrain, Libya, Tunisia dan lain-lain negara Islam, disebabkan pimpinan rejim yang hilang rasa kemanusiaan, kon­flik kelompok yang tidak berkesudahan dan fahaman jamaah yang saling bercanggah menyebabkan umat Islam menjadi mangsa dan imej Islam berada di tahap yang paling rendah.

Justeru fokus utama dan terkini dalam kalangan ­individu dan kelompok umat adalah bukan memecah­belahkan umat untuk melaksanakan dendam dan geram demi kepentingan diri dan muslihat peribadi kerana ini bukan jalan hijrah dan perubahan yang dinanti-nantikan.

Hijrah dan perubahan yang ditunggu-tunggu ialah terdapat jiwa besar dalam kalangan individu, jamaah dan jamaah politik yang mahu merapatkan saf perjuangan kerana pecah-belah dalam kalangan mereka menyebabkan musuh-musuh Islam mengambil kesempatan. Memang hijrah untuk menyatukan ummah yang berpecah tidaklah mudah. Tetapi kalau maksud hijrah dan perubahan ke arah kebaikan tetap menjadi sesuatu yang utama, hal-hal remeh temeh akan diketepi, ke­satuan ummah menjadi matlamat dan perjuangan Islam berada dalam kedudukan yang teguh dan kukuh.

Selalunya, orang lupa untuk mencerminkan diri sendiri, jamaah yang didukung dan jamaah politik yang dijadikan landasan perjuangan bahawa maslahah umat iaitu kesatuan umat jauh lebih utama kerana ini di­perintahkan oleh Allah SWT.

Malang sekali pedoman itu diabaikan, sambutan Maal Hijrah berlaku setiap tahun, pengkajian terhadap seerah Nabawiyyah terjadi tetapi ibrah (pengajaran) daripadanya terabai. Akhirnya perjuangan yang terjadi tidak lebih dari ungkapan pepatah “menang sorak kampung tergadai”.

Amat penting peristiwa hijrah yang dialami oleh Rasulullah SAW dengan segala kepayahan dijadikan iktibar setiap daripada kita bahawa banyak cabaran sedang menunggu, banyak perselisihan yang perlu dileraikan, banyak potensi insani yang perlu dibangunkan kerana perjuangan kerana Allah dan Rasul mesti bertitik tolak dengan pengorbanan dan berjiwa besar untuk melihat kesatuan umat menjadi sesuatu yang amat utama.

Itulah kunci kekuatan yang harus dikembalikan ke­rana Islam yang kita anuti, mendidik kita menjadikan ukhuwah Islami sebagai prasyarat hijrah dan perubahan atas jalan yang diredai Allah.



Membina strategi hijrah

TAHUN 1437 Hijrah telah melabuhkan tirainya dan banyak pengalaman pahit dan manis dilalui. Justeru, marilah bermuhasabah sama ada kualiti amal ibadat dan keimanan kepada Allah SWT semakin bertambah atau sebaliknya.

Pengajaran perlu diinsafi

MEMANTAPKAN kualiti pertahanan juga merupakan antara terpenting dalam transformasi hijrah sesebuah negara. - GAMBAR HIASAN

Berubahnya bulan dan tahun bererti bertambahnya umur, iaitu semakin dekat dengan ajal kematian yang memisahkan kehidupan dunia fana dengan kehidupan akhirat yang kekal selamanya.

Ingatlah kepada satu pesanan Sayidina Ali k.w.: “Apabila kamu merasa letih kerana melakukan kebaikan, maka sesungguhnya keletihan itu akan hilang, sedangkan kebaikan yang telah dilakukan itu akan terus kekal. Sekiranya kamu berseronok dengan dosa, maka sesungguhnya keseronokan itu akan hilang, sedangkan dosa yang telah dilakukan itu terus kekal.”

Sempena tahun baharu Islam ia sebenarnya membuka peluang kepada seluruh umat Islam menghayati strategi terbaik Nabi Muhammad SAW mendirikan daulah Islamiah yang berjaya di bumi Madinah. Peristiwa hijrah bukanlah suatu kebetulan, malah menyingkap perjuangan penuh kekuatan tanpa putus asa dan menyerah kalah. Bahkan hijrah menjadi garis pemisah antara kebenaran dan kebatilan.

Hijrah melahirkan umat yang pada awalnya dipandang lemah tetapi berjaya mendirikan daulah yang gagah. Peristiwa hijrah juga dapat menyempurnakan pelaksanaan syariah Islam bermula daripada individu, keluarga, masyarakat seterusnya negara.

SETIAP SESUATU PERLUKAN RANCANGAN

Membicarakan tentang hijrah Nabi SAW, maka ia bukan suatu usaha mudah. Hijrah memerlukan perancangan rapi bagi menghadapi cabaran masa hadapan. Allah memerintahkan kita agar bersiap sepenuhnya menghadapi musuh dengan segala rupa kekuatan seperti mana firman Allah dalam surah al-Anfal, ayat 60.

“Dan persiapkanlah dengan segala kemampuan untuk menghadapi mereka dengan kekuatan yang kamu miliki dan dirikan pasukan berkuda yang dapat menggentarkan musuh Allah, musuhmu dan orang selain mereka yang kamu tidak ketahui; namun Allah Maha Mengetahuinya. Apa sahaja yang kamu infakkan pada jalan Allah nescaya akan dibalas cukup kepadamu dan kamu tidak akan dizalimi.”

Ayat tersebut memerintahkan umat Islam agar membuat perancangan pertahanan jangka panjang dengan mengambil kira perubahan dan kemajuan yang sedang dan akan berlaku dalam bidang ketenteraan serta teknologi persenjataan. Lebih-lebih pada saat umat Islam menghadapi ancaman yang datangnya bukan sahaja dalam bidang ketenteraan, malah menjalar kepada bentuk ancaman lain termasuk budaya, pendidikan dan ekonomi.

Sejak bermulanya penghijrahan dari Mekah ke Madinah, Rasullullah SAW memang sudah yakin bahawa Allah akan melindungi dirinya. Namun baginda tidak pernah merasa terkecuali daripada kewajipan berikhtiar merancang perjalanan hijrah dengan sebaik-baiknya. Antaranya:

1 Perancangan rapi dan teliti


  • Baginda tidak tidur di biliknya pada malam itu, sebaliknya memerintahkan Sayidina Ali berada di tempat tidurnya dengan tujuan mengaburi musuh.

  • Baginda juga tidak terus berangkat ke Madinah yang berada di sebelah utara selepas keluar dari Mekah, sebaliknya menghala ke selatan dan berhenti di Gua Sur selama tiga hari.

  • Selepas tempoh tersebut, barulah baginda meneruskan perjalanannya ke Madinah iaitu ketika gerakan pihak Quraisy sudah mulai mengundur.

2 Sentiasa mendapatkan maklumat terkini berkenaan pergerakan pihak musuh


  • Abdullah Bin Abu Bakar yang ditugaskan mengumpul maklumat di Mekah pada waktu siang dan pada malamnya melaporkan kepada baginda.

  • Segala maklumat terkini merupakan suatu yang amat bernilai. Hari ini kita dapat saksikan semakin canggihnya sistem perisikan yang bertujuan mendapatkan maklumat.

3 Kerahsiaan adalah suatu perancangan


  • Lihat sahaja bagaimana tiada seorang pun yang tahu termasuk teman karibnya seperti Sayidina Abu Bakar r.a hinggalah ke saat pelaksanaannya.

  • Menjaga kerahsiaan dalam hal-hal penting dan bahaya seperti itu, memang merupakan suatu keperluan yang dirancang rapi.

  • Kebocoran maklumat-maklumat penting hingga diketahui musuh mengakibatkan musnahnya seluruh perancangan.

4 Menggunakan sepenuhnya kepakaran


  • Seperkara yang menarik dalam misi hijrah Nabi SAW ialah mengambil khidmat seorang penunjuk jalan seorang lelaki Musyrik. Hal ini dilakukan baginda setelah berpuas hati bahawa dia tidak akan mengkhianati baginda.

Maal Hijrah -Hijrah Nabi

Perjalanan hijrah dengan segala liku dan rintangan jelas mengandungi hikmah budaya kerja berencana. Sesuatu cita-cita tidak mungkin dapat dijayakan dengan hanya berdoa dan penyerahan semata-mata, tetapi harus dilaksanakan dengan perancangan rapi.


  • Peristiwa hijrah bukanlah suatu kebetulan, tetapi menyingkap pelbagai rahsia perjuangan yang penuh kekuatan tanpa putus asa dan menyerah kalah.

  • Kecemerlangan dan keunggulan hanya dapat dicapai melalui penyuburan budaya kerja berencana dan pemikiran bernas.

  • Jauhi diri daripada bersifat malas. Gunakanlah segala kepakaran dan bersainglah secara sihat.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Anfal, ayat 30: “Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir Musyrik (Mekah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu atau membunuhmu atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya."

Menjaga lisan kunci ke syurga

Islam adalah agama yang sempurna. Semua hal yang dapat mendekatkan seseorang kepada syurga sudah dijelaskan. Ini termasuk jalan yang dapat mendekatkan seseorang ke dalam syurga antaranya adalah menjaga perkataan ataupun lisan.

Menjaga perkataan adalah perbuatan yang sangat penting dalam Islam. Di antara bentuk menjaga lisan adalah menghindari perkataan yang buruk dan yang tidak bermanfaat.

Menyambung kembali perbincangan bertajuk 'Abaikan 10 Perkataan' dalam rancangan Pesona D'Zahra yang disiarkan di IKIMfm pada Isnin lalu,

Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin menyarankan sekali lagi agar peka apabila berinteraksi. Sentiasalah berusaha berbuat baik dan memohon kepada Allah SWT walaupun ada kalanya perkataan yang diucapkan oleh orang lain membuatkan kita berasa terguris hati.

Muhammad berkata, apabila kita berhadapan dengan manusia yang berada dalam keadaan mabuk akibat mengambil minuman atau makanan yang mengandungi bahan terlarang itu, maka kita dinasihatkan agar tidak mengambil secara serius perkataan yang diucapkan oleh individu berkenaan.

Kebiasaannya, mereka yang mengalami sakit pada anggota badan atau fizikal, secara tidak langsung akan memberi kesan kepada emosinya.

Untuk itu, pada tahap sedemikian, kita dianjurkan menerima dengan hati yang terbuka apabila berinteraksi dengan individu yang lemah dari segi kesihatan fizikalnya.

Selain itu, pada saat-saat tersebut juga kita harus percaya bahawa pertolongan Allah SWT datang ketika manusia sangat-sangat memerlukan pertolongan, ketika mereka berasa kehabisan segala daya upaya mereka dan hanya mengharapkan pertolongan Allah SWT semata-mata.

Abaikan perkataan individu berpenyakit rohani

Di samping itu, kita juga dianjurkan mengabaikan segala perkataan yang diucapkan oleh individu yang mempunyai penyakit rohani.

Jika seseorang itu sihat rohaninya ia akan memiliki kemampuan beramal yang tinggi, ghairah bekerja dan bersemangat untuk maju dalam kebaikan.

Sebetulnya orang yang menghidap penyakit rohani akan nampak lemah dalam kemampuan bekerja, hilang semangat untuk maju. Yang menonjol hanyalah kelemahan dan sifat malas.

Antara tanda penyakit rohani ialah prasangka yang buruk, antara lain anggapan yang bukan-bukan terhadap Allah dan Rasul-Nya.

Firman Allah yang bermaksud: 'Dan ingatlah ketika orang munafik dan orang yang di hatinya ada penyakit berkata: "Allah dan Rasul-Nya tidak menjanjikan kepada kita melainkan tipu daya." (Surah al-Ahzab, ayat 12).

Selain mempunyai prasangka buruk terhadap Allah dan Rasul-Nya, dia juga mempunyai prasangka yang buruk dan suka curiga terhadap orang lain tanpa alasan.

Dalam konteks rumah tangga, ada pasangan yang menghidapi penyakit sedemikian berpunca daripada terkena amalan sihir. Kesan daripada amalan tersebut, ia boleh mengakibatkan hubungan suami isteri bertambah renggang.

Justeru, dalam menangani situasi ini, kita perlulah segera membawanya untuk berubat. Untuk mengubati rohani yang sakit adalah dengan memperbanyakkan bacaan al Quran.

Rohani yang kuat akan menambahkan ketakwaan dan mendekatkan diri kepada Allah.

Berikutnya, kita juga perlu kuatkan hati dengan merelakan perkataan yang disebut oleh seseorang yang didapati nyanyuk yakni penyakit yang boleh menyebabkan kurang daya pemikiran, penglihatan dan kefahaman.

Beri reaksi positif

Selain itu, Muhammad juga menerangkan kepentingan mengabaikan kepada perkataan tidak mahu kepada perkara sepatutnya.

Contohnya, seorang murid yang tetap dengan keputusan untuk membantu gurunya untuk mengangkat beg walaupun guru tersebut menolak untuk dibantu.

Selain itu, kita juga disarankan agar memberi reaksi positif apabila ia menjadi keperluan dan tanggungjawab yang harus dipikul sebagai seorang suami atau isteri waima seorang anak sekalipun dalam keluarga.

Akhir sekali, harus diingatkan agar mengabaikan perkataan tidak kepada perkara yang berkaitan dengan hak yang perlu ditunaikan.

Dalam konteks ini, sebagai seorang suami adalah menjadi wajib menunaikan nafkah walaupun isterinya sudi menghulurkan bantuan

Hijrah ke arah pemikiran saintifik, membina negara proses sepanjang zaman

Hijrah membina negara proses sepanjang zaman

Menyingkap sejarah penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah, meninggalkan negara dan keluarga tersayang. Allah SWT berfirman merakamkan hal ini mafhumnya: "Iaitu mereka yang diusir dari kampung dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, mereka diusir semata-mata kerana mereka berkata: Tuhan kami ialah Allah." (Surah al-Hajj : 40).

Penghijrahan Rasulullah SAW bukan setakat berpindah tempat tetapi menghijrahkan keadaan umat yang lemah kepada kuat, tertindas kepada bergerak cergas, melarat kepada berdaulat dan dakwah dalam lingkungan terbatas kepada seluruh masyarakat.

Titik permulaan hijrah dan pembinaan negara menjadi tanda aras kebangkitan Islam yang seterusnya tersebar ke seluruh pelusuk dunia.

Hijrah dan pembinaan negara saling berkait rapat. Hijrah bukan setakat mengangkat prestasi individu tetapi turut merangkumi hal ehwal kemasyarakatan dan negara. Peristiwa hijrah merakamkan pembinaan sebuah negara.

Pembinaan negara Madinah bukan secara kekerasan dan penaklukan. Baginda SAW melakukan penjenamaan terhadap negeri yang menjadi asas pembentukan negara iaitu Yathrib kepada al-Madinah al-Munawwarah, menunjukkan kedaulatan diiktiraf semua pihak.

Madinah untuk semua

Rasulullah SAW memerdekakan umat Islam dengan terbentuknya negara Madinah yang menjadi milik semua kaum tanpa memilih apakah bangsa dan agama mereka. Muhajrin, Aus dan Khazraj serta Arab Wathani diiktiraf sebagai warganegara. Semua pihak dilindungi undang-undang.

Selepas itu, kedudukan politik Madinah diperkuat melalui persefahaman semua pemimpin kaum dalam perjanjian Piagam Madinah. Pembinaan negara Madinah bukan bermakna menumpang hidup dan menyusahkan orang lain.

Rasulullah SAW dan sahabat RA memainkan peranan membentuk masyarakat baru, membina kematangan politik dan menyampaikan dakwah Islam ke pelusuk dunia. Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: "Aku diperintahkan untuk berhijrah ke sebuah kota yang akan mengalahkan kota lain. Kota itu disebut Yathrib. Itulah Madinah. Kota itulah yang akan membersihkan manusia (daripada segala keburukan dan kemusyrikan) sebagaimana tungku api menghilangkan kotoran besi." (Riwayat Bukhari).

Menurut Muhammad Hamidullah dalam buku 'The First Written Constitution in the World' (3rd.ed), ketika Rasulullah SAW sampai di Madinah, daripada 10,000 penduduk Madinah, bilangan umat Islam kombinasi Ansar bersama Muhajirin Makkah hanya sekitar ratusan orang.

Hampir 50 peratus penduduk Madinah ketika itu terdiri daripada keturunan Yahudi terbahagi kepada 10 puak, sementara penduduk keturunan Arab, 12 kabilah.

Keadaan penduduk Arab di Madinah tidak sehebat Quraisy Mekah yang memiliki kekayaan, menguasai perdagangan serta mempunyai struktur politik tersusun. Muhammad Ahsan dalam tulisannya 'Globalization and The Underdeveloped Muslim World: A Case Study of Pakistan' dalam bab 'Islam Encountering Globalization', (Ed. Ali Mohammad) antara tindakan awal Rasulullah SAW di Madinah adalah mengadakan bancian penduduk.

Bancian selain pecahan jantina, kaum dan usia, merangkumi guna tenaga kerja, penguasaan ilmu pengetahuan, tahap literasi dan pegangan agama. Maklumat tepat profil penduduk adalah komponen penting merangka formula pemerintahan dan memastikan program diformulasikan menepati keperluan serta bersesuaian dengan budaya, komposisi serta taburan penduduk.

Diriwayatkan Rasulullah SAW menggali telaga baharu di sekitar Madinah sehingga air bersih mencukupi. Baginda membawa gaya hidup baharu hingga Madinah diriwayatkan menjadi bandar selamat, menghidupkan budaya al-Muaakhah, iaitu persaudaraan Muhajirin dan Ansar, menggalakkan pinjaman tanpa faedah (qardhul hasan) dan infaq fi sabilillah yang mendasari sosioekonomi Madinah untuk mengukuh kestabilan bermasyarakat.

Pembentukan masyarakat memberi atau giving society ini merubah dasar kependudukan Madinah. Realiti baharu ini dikunci melalui pengharaman riba yang antara punca utama eksploitasi dalam masyarakat.

Walau pun demikian, golongan Muhajirin tidak ambil kesempatan di atas hubungan ini, malahan berusaha membina ekonomi sendiri melalui sektor perniagaan.

Inilah kebijaksanaan strategi pembasmian kemiskinan yang amat signifikan dalam menghayati peristiwa hijrah yang seharusnya menjadi inspirasi dalam melakukan transformasi ummah.

Dalam amalan politik, kerajaan tidak amal politik menindas bukan Islam, malahan ramai wakil rakyat pelbagai kaum terbabit dalam pembentukan dasar negara. Dalam ekonomi negara, semua kaum menikmatinya dan tidak merampas daripada kaum lain.

Tak amal penindasan

Kerajaan komited kepada prinsip Perlembagaan serta menekankan toleransi, kesederhanaan, sifat kemanusiaan dan timbang rasa sehingga beri kesan positif terhadap keamanan dan pembangunan negara.

Prinsip kesederhanaan turut diketengahkan di peringkat antarabangsa yang menjadi landasan menghapuskan prasangka dan prejudis Barat terhadap Islam yang dituduh menganjurkan keganasan.

Hijrah Rasulullah SAW bukan sekadar pengkisahan setiap kali Awal Muharam. Adalah penting untuk ambil pengajaran sebagai panduan menyelusuri sirah Nabi SAW membina negara.

Tuntutan hijrah hari ini bukan lagi sekadar perpindahan dari satu tempat ke tempat lain, tetapi transformasi atau perubahan minda dan budaya hidup berteraskan ajaran Islam.

Hijrah bersandarkan keimanan dan ketakwaan mampu ubah landskap pegangan akidah, ibadah, akhlak, sosial dan ketamadunan serta masa depan ummah.

Allah SWT berfirman mafhumnya: "Dan sesiapa yang berhijrah di jalan Allah, nescaya ia akan dapati di bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; sesiapa yang keluar dari rumahnya berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati, sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah an-Nisa':100)

Hijrah suatu keperluan. Ia berlaku sepanjang zaman.

Hijrah ke arah pemikiran saintifik


KONSEP dan pandangan Islam berkaitan hijrah sebenarnya mampu untuk memberi kesan dan pengaruh yang amat besar dalam membangun dan memajukan kehidupan seseorang Muslim dan masyarakat Islam secara keseluruhannya. Ini kerana pengertian hijrah itu yang sinonim dengan konsep berpindah, bergerak dan membangun, serta natijahnya adalah untuk mendorong mereka lebih maju dalam segenap aspek ke­hidupan, meliputi aspek pemikiran dan keilmuan, pandangan dan gaya hidup, perbuatan dan tingkah laku, serta sikap dan akhlak. Inilah juga yang telah dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW dalam peristiwa hijrah baginda sejak 1437 tahun yang lalu.

Ibrah dari penghijrahan Rasul SAW dari kota Mekah ke kota Madinah, bukan hanya diiringi dengan penghijrahan fizikal, tetapi juga diikuti oleh penghijrahan, perubahan dan kemajuan dalam pemikiran dan pandangan serta gaya hidup kaum Muhajirin, yang telah membawa ba­nyak kebaikan yang turut dinikmati oleh kaum Ansar.

Malah ia memberi kesan yang lebih bermakna iaitu mendapat keredaan Allah dan kemenangan kepada mereka dan kaum Muslimin secara keseluruhannya. Allah berfirman dalam surah al Baqarah ayat 218 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang beriman, orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang.”

Ayat ini mengajarkan kepada kaum Muslimin bahawa keampunan dan rahmat Allah itu datang seiring dengan hijrah, atau perpindahan dan perubahan, yang boleh berlaku dalam pelbagai bentuk dan konsepnya, serta itulah jihad dan perjuangan mereka bagi mencapai kemenangan dan kemajuan dunia dan akhirat. Semangat hijrah yang difahami di sini adalah melakukan perubahan untuk memperbaiki perjalanan hidup sendiri di alam fana ini, supaya menjadi lebih baik dari sebelumnya, demi untuk mencapai kemenangan di dunia dan akhirat.

Ibrah daripada hijrah Rasul SAW yang paling relevan yang perlu diterokai oleh seluruh umat Islam kini adalah berkaitan keperluan untuk membentuk dan memperbaiki pola dan tatacara berfikir, iaitu mengubah pola pemikiran yang primitif dan negatif kepada yang lebih positif dan inovatif, serta lebih beradab dan bertamadun. Pola pemikiran yang positif dan inovatif juga adalah satu daripada tuntutan dan ajaran Islam.

Ini amat penting kerana pengaruh pemikiran amat besar dalam kehidupan manusia. Malah, pemikiran atau memahami cara manusia berfikir dan menggalakkan aktiviti berfikir dalam kehidupan sebenarnya mempunyai hubung kait yang amat rapat dalam menentukan kemajuan dan ketamadunan kehidupan manusia dan mempunyai kesan rantaian dalam aspek sosial, sejarah, teknologi, kewangan dan ekonomi, politik, sains, pendidikan, matematik dan lain-lain.

Tokoh pemodenan sosiologi Islam, Ibn Khaldun, telah membuktikan perkara ini bahawa jatuh atau bangun, maju atau mundur sesebuah masyarakat dan ketamadunan itu sebenarnya dipacu oleh ketinggian nilai murni pemikiran yang dilihat dalam konteks moral dan akhlak yang berlaku di peringkat pemimpin dan masyarakat. Ini adalah hasil pengamatan kritis dan analitikal pemikiran Ibn Khaldun sendiri, yang turut diiktiraf oleh tokoh sarjana dan golongan ilmuwan moden dari Barat.

Pemikiran Ibn Khaldun adalah satu contoh kepada kita semua bagaimana pola dan cara berfikir yang sistematik dan teliti dalam menilai dan menganalisis sesuatu perkara mampu membentuk dan mengubah corak pemerintahan dan tamadun sesuatu masyarakat dan bangsa. Natijah­nya, ia mampu menjadi satu teori kemasyarakatan yang diterima dan diiktiraf seluruh dunia dalam usaha me­rangka polisi dan dasar strategik negara dan masyarakat ke arah corak pemerintahan yang lebih baik. Pemikiran beliau juga adalah gambaran yang menunjukkan apakah sebenarnya konsep dan cara pemikiran yang lebih sistematik dan tersusun. Ini juga bersesuaian dengan apa yang masyarakat moden fahami sekarang sebagai pemikiran saintifik.

Pemikiran saintifik adalah satu bentuk kaedah dalam berfikir yang lebih sistematik dan teratur dari segi opera­sinya, serta menepati spesifikasi atau kaedah yang saintifik yang telah ditetapkan. Operasi pemikiran saintifik adalah diasaskan oleh tahap pemikiran kognitif aras tinggi yang meliputi keupayaan untuk meneliti, mentafsir, meramal, menilai, merumus dan merancang bagi menghasilkan keputusan baru yang lebih baik dalam sesuatu aktiviti atau isu dalam kehidupan. Dari segi perkembangan individu manusia, tahap perkembangan ini mula terbentuk secara berperingkat, sejak fasa awal pertumbuhan kanak-kanak, dalam sekitar usia dua tahun dan keupayaan tersebut mencapai tahap matang pada peringkat awal remaja, iaitu sekitar 12 atau 15 tahun.

Namun, keupayaan pemikiran untuk beroperasi de­ngan pendekatan ini boleh diperkukuhkan sejak awal usia kanak-kanak lagi, tetapi dengan cara yang lebih kreatif dan inovatif. Sememangnya kreativiti dan inovasi amat berkait rapat dengan pemikiran saintifik kerana proses dan operasi pemikiran tersebut akhirnya berjaya untuk mencetuskan beberapa idea, produk, sistem atau per­khidmatan yang baru, yang lebih mendatangkan banyak manfaat dan kebaikan dalam kehidupan manusia sejagat.

Kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi atau ICT juga sebenarnya adalah terhasil daripada pemikiran sains. Penguasaan ke atas teknologi ini juga telah mempengaruhi dan membentuk corak pemikiran dan kehidupan umat manusia. Sesiapa yang menguasai teknologi ICT, sebenarnya ia telah menguasai dunia.

Kita mengharapkan umat Islam adalah peneraju bidang ini dan bidang-bidang sains lain yang hanya akan terlaksana apabila menguasai pemikiran saintifik dalam kehidupan, sebagaimana yang disarankan dalam al-Quran dan hadis. Ia adalah contoh jelas kepada inovasi dan kreativiti yang terhasil dari menguasai pola pemikiran saintifik yang diajarkan Rasul SAW.

Pengasas syarikat Apple, Steve Jobs pernah menyatakan bahawa innovation distinguishes between a leader and a follower. Kita masih menunggu masa di mana umat Islam adalah peneraju dan pemimpin dalam perkara ini, bukan sekadar pemerhati dan pengikut, dengan menguasai pemikiran sains. Selamat menyambut Awal Muharam (Maal Hijrah 1438).   Khairul Azhar Idris Utusan Malaysia Rencana Pandangan IKIM 03 Oktober 2016 6:30 PM