October 9th, 2016

Riba punca kehidupan tidak berkat

RIBA adalah 'ziyadah', 'kenaikan' atau 'berlebihan' pada perkara tertentu dan menjurus kepada suatu bentuk lebih yang tidak halal berlaku pada sesuatu jenis kontrak seperti bayaran pinjaman yang bertambah.

Contohnya, beri RM1,000 dan minta bayar balik RM1,100. Maka RM100 adalah riba sama ada wujud rasa tertindas atau tidak.

Paling popular kini adalah pinjaman wang di bank konvensional untuk membeli rumah, kereta, pinjaman peribadi atau modal perniagaan dengan faedah. Penalti tambahan akibat lewat bayar juga dikira riba.

Contohnya, perlu membayar RM2,000 dalam masa lima bulan tetapi penghutang tidak membayar dalam tempoh itu, lalu penghutang meminta tangguh dengan dikenakan syarat daripada RM2,000 menjadi RM2,050 kerana lewat bayar.Lebihan RM50 itu adalah riba.

Riba juga boleh berlaku dalam pertukaran barang dengan barang yang diklasifikasikan sebagai ribawi, antaranya tukar emas lama seberat dua gram dengan emas baharu dua gram.

Jika ada pertambahan atau pengurangan, maka ia adalah riba. Imam an-Nawawi berkata, "Telah ijma' seluruh ulama Islam mengenai pengharaman riba dan ia termasuk dalam kategori dosa besar dan dikatakan juga riba diharamkan oleh semua agama. Antara yang berpendapat demikian adalah Imam al-Mawardi (rujuk Al-Majmu', 9/391).

Penghuni neraka

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan setan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah sudah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. "Orang yang sudah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya, lalu terus berhenti (dari mengambil riba), maka baginya apa yang sudah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan); dan urusannya (terserah) kepada Allah. Orang yang mengulangi (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya." (Surah al-Baqarah, ayat 275).

Adalah menjadi fenomena amat malang bagi umat Islam, apabila mereka leka dan tidak ambil endah mengenai besarnya dosa riba.

Dalil menjelaskan, pemakan dan pemberi riba seolah-olah berperang dengan Allah SWT serta Rasulullah SAW. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah SWT dan tinggalkanlah saki baki riba, sekiranya kamu benar-benar beriman, sekiranya kamu tidak meninggalkannya, isytiharkanlah perang dengan Allah dan Rasul-Nya." (Surah al-Baqarah, ayat 278)

Jelaslah, sesiapa yang enggan dan masih berdegil untuk meninggalkan saki baki riba dalam kehidupannya dengan sengaja, maka ia akan berada dalam posisi peperangan dengan Allah SWT dan rasul-Nya.

Hidup tidak berkat

Bentuk kehilangan berkat di dunia harta mereka yang terbabit dengan riba mudah hilang atau habis melalui jalan tidak berfaedah sehingga dia rasa miskin dan fakir walaupun mempunyai wang yang banyak.

Malah, harta itu menjadi sebab ringannya pemilik untuk melakukan maksiat, kefasikan dan menghinakan diri di sisi Allah SWT.

Hilanglah sifat amanah, cenderung kepada rasuah, penipuan dan tamak haloba.

Daripada Ibn Mas'ud, Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya riba walaupun lumayan (dari sudut kuantiti) tetapi hasilnya ia akan membawa kepada sedikit dan papa." (Riwayat Ahmad) Sementara di akhirat nanti, setiap amalannya di dunia tidak diterima.

Berkatalah Ibn Abbas: "Tidak diterima daripada pemakan riba (yang menggunakan harta riba tadi) sedekahnya, hajinya, jihadnya dan persaudaraannya.'

Malah, tidak keterlaluan dikatakan mereka yang mengamalkan riba seperti berzina dengan ibu bapa sendiri kerana Nabi SAW bersabda: "Riba mempunyai 73 pintu, riba yang paling ringan (dosanya) seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya." (Riwayat Ibn Majah, sahih menurut syarat Al-Bukhari dan Muslim)

Tidak dapat syafaat

Kesan riba, terutama kepada mereka yang mengetahuinya lagi besar apabila orang yang memakan riba disamakan seperti seorang yang melakukan zina sebanyak 60 kali.

Hakikatnya, riba termasuk dalam tujuh dosa besar di samping syirik, sihir, membunuh, makan harta anak yatim, lari dari medan perang serta menuduh perempuan suci dengan zina.

Namun, sedarkah kita dan mereka yang berada di sekeliling, berterusan dalam dosa riba boleh menyebabkan seseorang itu dianggap menghalalkan riba selepas pengharamannya lalu jatuh kafir mereka itu hingga terkeluar daripada senarai yang boleh mendapat syafaat Nabi Muhammad SAW.

Berhati-hati dan wajib bagi semua Muslim yang meyakini ada maut untuk menjauhi riba. Kita bimbang, rasa tidak peduli itu adalah satu keingkaran terhadap hukum haramnya, seterusnya boleh menjatuhkan seseorang dalam kekafiran yang melayakkan mereka kekal di neraka.

Nabi juga tidak mempunyai peruntukan untuk memberi bantuan (syafaat) kepada golongan sebegitu. Alasan sibuk, malas, belum sampai seru, nanti dan pelbagai lagi alasan orang di zaman ini untuk berubah daripada pinjaman rumah riba, kereta riba, kad kredit riba, akaun simpanan riba, insuran riba, skim riba, pelaburan riba, tidak wajar sama sekali wujud dalam hati seorang Muslim.

Malas berdoa sifat orang angkuh

SELAGI hidup, selagi itu kita tidak akan terlepas daripada menghadapi masalah. Ramai orang apabila ditimpa masalah menjadi tertekan, tidak dapat mengawal perasaan, cepat marah, murung atau kecewa.

Lebih berat lagi apabila kita menyalahkan orang lain sebagai penyebab kepada masalah dan tidak melihat kesilapan diri sendiri.

Mulalah kita mengadu atau bercerita mengenai masalah itu dan mengharapkan orang lain memahami, bersimpati malah membantu menyelesaikan masalah kita. Hal ini berlaku kerana dalam kehidupan ini kita akan temui tiga ragam manusia.

Pertama, orang malas berfikir. Kedua, orang berasa dia sudah berfikir. Ketiga, orang yang berasa lebih baik mati daripada berfikir.

Tiga jenis manusia

Hakikatnya dalam kehidupan ini jenis manusia ketiga paling ramai (hampir 95 peratus), yang sanggup menanggung susah begitu lama atau lari daripada memikirkan masalah.

MUKMIN yang bijak menjadikan doa dan sabar untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. - Foto Rosela Ismail


Apabila berdepan masalah, adakah kita hendak menghabiskan masa memikirkannya atau mencari jalan penyelesaian?

Golongan 'orang yang jernih' dan bijak, menghabiskan 80 peratus masanya untuk memikirkan jalan penyelesaian.

Hanya 20 peratus masa diguna untuk mengikut rentak emosi, memikirkan masalah dan nasib, akibat daripada masalah menimpa hidup.

Orang bijak lagi beriman tidak akan tunduk dengan emosi negatif apabila ditimpa masalah sebaliknya kembali mendekatkan diri kepada-Nya kerana mereka percaya qada dan qadar Allah SWT.

Itulah sepatutnya dilakukan hamba-Nya apabila dibebani masalah, mengadu kepada Allah SWT kerana Dialah yang Maha Mendengar dan Maha Bijaksana.

Allah SWT bersama orang yang dekat dan sentiasa mengadu kepada-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (jawablah) sesungguhnya aku amat hampir: Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku supaya mereka menjadi baik dan betul" (Surah al-Baqarah, ayat 186)

Banyakkan doa

Dekati Allah SWT dengan membanyakkan berdoa kerana doa itu senjata orang Mukmin. Maka berdoalah tidak kira sama ada ketika kita susah atau senang.

Hal ini penting kerana sering berlaku masa senang kita lupakan Allah SWT hingga tidak berdoa kepada-Nya. Masa susah baru ingat Allah SWT dan hendak berdoa hingga mengalir air mata.

Ketika itu tidak putus-putus berdoa dengan penuh harapan, mengadu kesusahan dan mohon belas ihsan daripada-Nya supaya dilepaskan daripada masalah yang membebankan hidup.

Jika semasa senang kita tergolong dalam kalangan orang yang sentiasa berdoa, andai ditakdirkan menghadapi kesusahan dan kita berdoa memohon bantuan-Nya, Allah SWT senang hendak memakbulkan doa kita kerana Allah Maha Mengetahui apa yang ada dalam hati hamba-Nya.

Sesungguhnya doa itu ibadat dan di mata Allah SWT, orang yang tidak berdoa ialah orang sombong kerana berasakan dia tidak bergantung kepada sesiapa pun untuk berjaya sedangkan jika Allah SWT tidak mengizinkan, mustahil kita mendapat apa yang dimiliki hari ini.

Membaca bismillah

Mulakan semua pekerjaan dengan membaca bismillah, berdoa serta berharap yang baik-baik daripada Allah SWT. Kita tidak tahu apakah bahaya yang akan datang, bahkan tidak tahu siapa kawan atau lawan.

Diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda: "Berdoalah kamu kepada Allah SWT dalam keadaan kamu yakin akan dikabulkan.

Ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah SWT tidak menerima doa daripada hati yang lalai dan alpa." Berbaik sangka dengan semua orang di samping berwaspada dan bergantung harap kepada Allah SWT supaya melindungi daripada sebarang kesusahan dan musibah akibat hasad dengki orang yang berniat buruk terhadap kita.

Alangkah ruginya jika kita kurang berdoa terutama selepas menunaikan solat dengan alasan terkejar-kejar urusan duniawi. Antara waktu mustajab doa adalah selesai solat maka ambillah masa untuk beristighfar, berzikir seterusnya berdoa kepada Allah SWT.

Iktibar ajaran Nabi SAW

Ambil iktibar daripada ajaran junjungan mulia, Nabi Muhammad SAW bersabda kepada Ibnu Abas semasa kecil: "Wahai anak kecil, sesungguhnya aku ingin mengajarmu beberapa kalimah iaitu, jagalah Allah (jaga perintah-Nya) nescaya Allah menjagamu. Jagalah Allah (jaga perintah-Nya) nescaya engkau dapati Dia berada di hadapanmu (menunaikan keperluanmu). Apabila engkau memohon, pohonlah kepada Allah. Apabila engkau meminta pertolongan, minta tolonglah kepada Allah."

Jangan jemu berdoa kerana doa seseorang mungkin dimakbulkan melalui tiga cara: "Apabila seseorang Mukmin berdoa dengan sesuatu doa, yang tidak ada dalamnya dosa atau memutuskan kekeluargaan, Allah akan beri salah satu daripada tiga perkara; sama ada disegerakan untuknya (dimakbulkan doanya di dunia), ataupun disimpan untuknya pada hari akhirat (diberikan balasan pada hari akhirat), ataupun diselamatkan dia daripada keburukan yang seumpamanya."

Lantaran itu bersabarlah apabila berdoa dan terus berdoa kerana ia satu ibadat. Semakin banyak kita beribadah, semakin banyak pahala yang diperoleh, semakin taat kita kepada-Nya.