October 11th, 2016

Utamakan hak Allah 
pada setiap ayat al-Quran!

“TUAN-TUAN! Jika ada cubaan jahat jin mahu mengganggu atau sesiapa mahu menyihir kita, pasti Allah akan jadikannya sia-sia. Usaha jahat mereka akan hancur bak debu berterbangan. Amalkan ayat ini:

“Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan.” (al-Furqan [25:23]).

Pernah seorang ustaz yang muncul dalam televisyen mengajar “cara guna” ayat tersebut. Saya menunggu sehingga akhir rancangan mengharapkannya menerangkan maksud sebenar yang Allah mahukan pada ayat itu, tapi hampa. Boleh jadi para penonton yang menyaksikan rancangan itu terus mengatakan “Ini ayat halau hantu dan penghalang sihir.” Jika ditanya apa maksud sebenar ayat tersebut? Mungkin ada yang menjawab: “Saya tak peduli asal saya dapat ayat ajaib untuk halau hantu itu sudah cukup bagi saya.”


AL-QURAN bukan sekadar digunakan untuk menghalau hantu, sebaliknya perlu dihayati, difahami agar kemujarabannya berkesan pada jiwa dan fizikal. - GAMBAR HIASAN

Pernah sekali selepas kelas tafsir saya, seorang wanita meminta pengesahan tentang ayat sakit pinggang. Ada ustazah yang ajar katanya:

“Dan apabila kamu memukul atau menyeksa, kamu melakukan yang demikian dengan kejam bengis?.” (al-Syu’ara’ [26:130]).

Saya tanya, “Apa cerita sebenar di sebalik ayat ini? Apa yang Allah mahu kita faham di sebalik ayat ini?” Dia menjawab: “Saya tak tahu, tapi ustazah itu kata ia ubat sakit pinggang.”


TUNAIKAN HAK ALLAH

Saya bukan tidak setuju dengan khasiat ayat al-Quran sebagai penawar fizikal, tetapi hak Allah pada sesuatu ayat perlu terlebih dahulu diutamakan. Bagaimana? Mudah sahaja, kita perlu terlebih dahulu memahami ayat tersebut mengikut maknanya yang asal atau memahami mesej sebenar yang Allah mahu kita faham. Ayuh kita buat analisis terhadap dua ayat yang dinyatakan di atas.

1 Ayat pertama yang didakwa sebagai ayat pemusnah rancangan jahat musuh daripada surah al-Furqan menceritakan perihal amal kebajikan orang tidak beriman tidak diterima oleh Allah di akhirat kelak. Walau sebanyak mana amal kebajikan mereka, ia ditiup langsung menjadi debu. Banyak ayat lain menjelaskan isu ini, antaranya:

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang yang paling rugi amal perbuatannya? (Iaitu) orang yang sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan. Merekalah orang yang kufur ingkar akan ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan dengan-Nya; oleh itu gugurlah amal mereka; maka akibatnya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak. (Mereka yang bersifat) demikian, balasannya neraka jahanam, disebabkan mereka kufur ingkar, dan mereka pula menjadikan ayat-Ku dan Rasul-Ku sebagai bahan ejekan.” (al-Kahfi [18:103-106]).

Kita juga boleh melihat ulasan yang sama dalam (Ali ‘Imran [3:10-11, 116-117]). Lalu kita mungkin tertanya-tanya mengapa pula ayat 23 surah al-Furqan itu didakwa mampu “memusnah-debukan” amalan jahat orang lain terhadap kita? Nampaknya kita harus berfikir panjang barulah dapat mengaitkan makna ayat ini dengan khasiat yang didakwa si ustaz.

2 Ayat kedua yang didakwa pengubat sakit pinggang daripada surah al-Syuara pula menceritakan perangai buruk kaum ‘Ad yang suka menindas orang lain. Bagi memahami ayat ini kita perlu lihat kisah Nabi Hud a.s. dalam surah ini bermula daripada ayat 121 sehingga 141. Ini cara lebih adil berinteraksi dengan ayat al-Quran. Ayat itu menceritakan tabiat penindas kaum ‘Ad yang dikurniakan Allah fizikal lebih besar berbanding bangsa lain. Firman Allah:“(Nabi Hud menasihati kaum ‘Ad dengan katanya): Adakah kamu merasa ragu-ragu dan hairan tentang datangnya kepada kamu nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu, melalui seorang lelaki daripada golongan kamu, untuk memberi peringatan kepada kamu? Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu pengganti sesudah kaum Nabi Nuh, dan Allah telah menambahkan kamu kelebihan (dan kekuatan) pada bentuk kejadian tubuh kamu. Maka kenanglah akan nikmat-nikmat Allah supaya kamu berjaya.” (al-A’raf [7:69]).

Setelah memahami ayat “sakit pinggang” di atas dalam maksud sebenar yang Allah mahu, kita sepatutnya berazam sepenuh hati untuk tidak menindas orang lain dengan sedikit pinjaman kuasa yang Allah berikan pada kita dan bukan hanya membacanya untuk merawat pinggang yang sakit.

Pengajaran dan kesimpulan

1 Sesuatu ayat al-Quran perlu difahami mengikut konteks asal yang mahu disampaikan Allah terlebih dahulu sebelum dibawa kepada makna lain. Caranya dengan memahami keseluruhan kisah. Rujuk kepada ayat sebelum dan selepas.

Adab ini sepatutnya dibawa oleh orang agama yang berinteraksi dengan al-Quran agar ia benar-benar menjadi kitab petunjuk (al-Baqarah[2:2]) dan bukannya hanya kitab jampi atau azimat.

2 Ayat al-Quran boleh digunakan untuk perubatan fizikal atas umum al-Quran adalah penawar untuk manusia (Yunus [10:57], al-Isra’ [17:82], Fussilat [41:44). Ia juga diakui oleh ramai ulama seperti Imam al-Suyuti dalam kitabnya, al-Itqan Fi ‘Ulum al-Quran di bawah bab Khawas al-Quran (Khasiat al-Quran). Pun begitu, keberkesanan sesuatu ayat berkait rapat kepada kualiti yakin dan iman si pembaca sebagaimana kisah ini:

“Pada suatu hari Abdullah Ibn Mas’ud bertemu dengan seorang lelaki yang ditimpa penyakit. Beliau membacakan ayat (al-Mukminun[23:115-118]) dan lelaki tersebut sembuh daripada sakitnya. Beliau kemudiannya menceritakan perkara tersebut kepada Rasulullah SAW. Baginda bertanya: Ayat apakah yang engkau bacakan pada telinganya? Rasulullah SAW lalu bersabda: “Demi yang jiwaku berada pada tangan (kuasa)-Nya, sekiranya seorang lelaki yang yakin (dengan mukjizat al-Quran) membacanya (walaupun) kepada bukit sekalipun, sudah pasti bukit tersebut akan hilang (hancur).” (Tafsir Ibn Kathir).

3 Kita perlu menggalakkan orang awam agar berdamping dengan al-Quran secara betul iaitu membaca, memahami maksud sebenar sesuatu ayat dan menyarankan mereka agar meningkatkan ilmu, amal, takwa dan iman agar kemujaraban ayat al-Quran berkesan pada jiwa dan fizikal kita.

Ayuh kita ubah cara fikir dan interaksi dengan al-Quran agar ia benar-benar menjadi penawar hati dan fizikal. Selepas ini jika ada yang mengajar ayat ini gunanya untuk khasiat itu dan ini, lihat dahulu apa maksud sebenar ayat tersebut kerana itulah adab yang betul untuk hidup dengan al-Quran.

Al-Quran adalah 
kalam Allah yang suci. Ia diperjuangkan sampai mati oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Jika ia hanya sekadar ayat penghalau hantu atau pengubat sakit pinggang, maka perjuangan Rasulullah dan sahabat seakan begitu 
murah.

Ke mana wanita ingin pergi?

WANITA Islam di Malaysia tidak terpinggir! Itu hasil kajian sedekad yang lalu untuk melihat keterlibatan wanita dalam proses pembangunan negara termasuklah dalam bidang-bidang utama seperti ekonomi, sosial, pendidikan dan politik. Dapatan itu boleh membawa makna bahawa kesedaran wanita pada hari ini terhadap apa sahaja yang berkaitan dengan kepentingan mereka berada pada tahap yang amat memberangsangkan.

Gerakan-gerakan wanita di Malaysia, terutamanya wanita Islam, bukanlah yang menuntut kebebasan sebagaimana berlaku di Barat. Ketidakpuasan hati dalam gerakan wanita di negara ini umumnya bertujuan meningkatkan taraf hidup golongan itu supaya menjadi lebih baik dan seimbang.

Sebaliknya, tuntutan wanita di Barat terhadap kebebasan adalah hasil momentum yang berlaku sejak kurun ke-17 iaitu bertitik-tolak daripada peminggiran, penganiayaan serta penindasan yang menafikan hak mereka sebagai hak manusia yang harus dihormati dan dimuliakan. Perjuangan mereka adalah untuk meletakkan kedudukan wanita sebagai manusia yang bermaruah dan bermartabat serta mempunyai taraf sama dengan lelaki.

Malangnya, disebabkan perjuangan itu hanya berasaskan pemikiran yang rasional tanpa bim­bingan bersifat ketuhanan (wahyu), maka tuntutan tersebut berkembang dan menjadi gerakan yang lebih agresif, ekstrem dan radikal. Gerakan lesbianisme adalah satu contoh perjuangan wanita di Barat yang sebenarnya telah jauh tersasar walaupun pada awalnya tercetus daripada kesedaran untuk bebas daripada belenggu penghinaan dan pandangan serong terhadap wanita sebagai hamba serta harta kepu­nyaan lelaki.

Sebaliknya, keadaan ini tidak berlaku kepada wanita Islam yang sudah pun diberikan seindah-in­dah panduan untuk melayari la­utan kehidupan di muka bumi ini. Wanita Islam tidak dibiarkan begitu sahaja tanpa jaminan perlindungan, kedudukan yang baik serta dianugerahi maruah dan hak yang saksama sebagaimana kaum lelaki.

Sejak kecil lagi, peluang dan kebebasan untuk menyuburkan akal fikiran mereka dengan ilmu penge­tahuan diberikan seluas-luasnya tanpa sebarang sekatan atau diskriminasi dengan anak-anak lelaki. Bukan itu sahaja, kebebasan itu juga dijamin. Sebarang ilmu yang dipelajari oleh anak-anak le­laki, juga boleh dipelajari oleh anak-anak perempuan.

Selanjutnya, apabila seorang wanita Islam telah mendapat pendidikan agama yang sempurna dan mengenali Penciptanya secara mendalam dengan mengisi ruang akalnya dengan ilmu pengetahuan menurut keperluan kehidupannya, maka dia pasti tahu di mana landasan hidup yang tepat untuk berpijak, ke arah mana haluan yang perlu dituju.

Sebarang ilmu pengetahuan perlu dibimbing oleh tauhid, syariah dan akhlak dalam membina sahsiah diri sebagai insan sejati. Garapan semua itulah yang akan menjadikan seseorang wanita berkenaan sebagai insan yang mempunyai kemampuan untuk membuat sebarang keputusan dengan wajar demi diri, orang di sekeliling dan agamanya.

Ciri-ciri yang ada inilah yang kemudiannya menjadi satu pakej kualiti tersendiri. Sudah pasti nada kebebasan yang ditawarkan oleh pemikiran Barat atau apa sahaja nilai baharu, boleh dinilai dan disaring dengan baik oleh wanita Islam yang memiliki kualiti diri yang seimbang. Mereka tidak akan mudah terpesona ataupun mudah melatah dengan apa yang ditawarkan oleh pihak di sebelah sana.

Walaupun demikian, kehidupan pada zaman pascamoden me­nemukan pelbagai cabaran yang ada ketikanya tidak terjangkau oleh fikiran dan kadang kala boleh menolak wanita ke persimpangan. Jika pada asasnya, kefahaman tentang kedudukan wanita itu sebagai pelengkap kepada pe­ranan lelaki tetapi disebabkan faktor-faktor tertentu, wanita pada hari ini terpaksa menggalas kedua-dua peranan iaitu sebagai ibu sekali gus bapa demi keluarganya.

Ini adalah sebahagian daripada ruang yang ditinggalkan oleh golongan lelaki yang kemudiannya terpaksa diambil alih oleh wanita. Ironinya agama Islam telah menyusun dengan begitu baik peranan lelaki dan wanita tetapi demi kelangsungan hidup dirinya sendiri dan ahli-ahli keluarga yang lain, maka wanita terpaksa memilih tindakan untuk suatu keadaan yang lebih realistik. Atau dengan bahasa yang lebih mudah, si ibu harus mencari pendapatan demi membesarkan anak-anak walaupun tugas mencari nafkah terletak di bahu si bapa.

Kehidupan pascamoden juga kadang kala menemukan kita peluang-peluang yang dibiarkan secara cuai oleh lelaki yang kemudiannya diambil dan dimanfaatkan oleh wanita. Ada juga keadaannya wanita dapat melihat satu-satu perkara itu boleh dikendalikan dengan baik atau lebih baik oleh mereka, berbanding kaum Adam. Bukan perkara yang menghairankan di negara ini apabila wanita kita menunjukkan sifat yang kompetitif.

Wanita kita boleh menjadi rakan saing kepada lelaki kerana mempunyai pendidikan yang baik selain sifat mereka yang aktif, tidak kurang juga mempunyai sifat yang proaktif. Justeru, dalam konteks Malaysia, peranan dan sumbangan wanita Islam memang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa. Malah, suara wanita di negara ini memang mempunyai pengaruh yang tersendiri.

Malah Bot Wanita ke Gaza (Women’s Boat to Gaza) yang turut disertai oleh wanita Islam dari Malaysia, membawa misi keramat untuk memasyhurkan sumbangan yang tidak boleh dinafikan oleh wanita Palestin yang bersemangat waja. Seolah-olahnya semangat Ummu Umarah yang pernah bersama-sama Rasulullah SAW ketika dalam peperangan melawan kaum musyrikin telah tersuntik dalam hati mereka.

Untuk berperanan secara aktif, tentu sahaja sokongan dan pelbagai kemudahan amat diperlukan oleh golongan wanita. Meletakkan diri sebagai sebahagian pihak yang mempunyai kuasa untuk membuat keputusan juga adalah salah satu cara memastikan agar wanita tidak akan terpinggir dalam arus perdana.

Cumanya dari satu sudut lain yang mungkin kita boleh sama-sama fikirkan secara mendalam, mungkin ada bahagian tertentu dalam kehidupan ini golongan wanita tidak perlu mengambil beban tetapi seelok-eloknya terus dilaksanakan secara tradisi oleh pihak satu lagi.

Asalkan kepentingan kita sebagai wanita Islam terus terjaga dan kita dapat menikmati kehidupan ini dengan jiwa tenang serta fikiran yang lapang. Bukan menafikan potensi dan kudrat yang ada tetapi peranan wanita seperti digariskan dalam Islam pasti mengandungi hikmah-hikmah yang amat indah.   Siti Shamsiah Md Supi Utusan Malaysia Rencana 10 Oktober 2016 6:25 PM

Hijrah ajar kenal manusia sekeliling

Hijrah yang dilakukan Nabi Muhammad SAW adalah bagi memperbetulkan lima perkara. Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin menerusi program Pesona D' Zahra di IKIMfm mengajak kita merenung wahyu Allah SWT berkaitan tuntutan melakukan perubahan.

PEPATAH Arab menyebut, masa ibarat pedang, jika kita tidak memotongnya maka ia akan memotong kita. Ini gambaran jelas penting serta berharganya masa. Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin ketika membicarakan mengenai kedatangan tahun baru hijrah dalam rancangan Pesona D' Zahra di IKIMfm, mengajak kita merenung wahyu Allah SWT berkaitan tuntutan melakukan perubahan.

Allah SWT berfirman bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri." (Surah al-Ra'd, ayat 11)

Islam tidak menyuruh kita berdiam diri dan menunggu Allah SWT memberi sesuatu tanpa berusaha. Jika kita mendambakan perubahan, mulailah dari dalam diri masing-masing kerana menjadi sunatullah bahawa Allah SWT tidak akan merubah apa pun selama tidak ada perubahan dari dalam diri kita.

SOLAT tanda pengabdian dan syukur seorang hamba kepada Allah SWT. - Foto AFP
Justeru, hendaklah kita memanjatkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana tahun baharu membawa begitu banyak perubahan kepada diri kita.

Namun, persoalan besar yang timbul, apakah sebenarnya yang ingin kita hijrahkan dalam hidup ini?

Menurut Muhammad, hijrah yang dilakukan Nabi Muhammad SAW bagi memperbetulkan lima perkara.

Pertama, Baginda SAW memberi tumpuan memantapkan sistem kepercayaan yang terkandung dalam kalimah syahadah iaitu kepercayaan kepada ketuhanan yang sebenar dan rasul.

Sesungguhnya istilah 'Illah adalah 99 nama Allah SWT dalam rantaian Asma ul-Husna.

Menerusi sistem kepercayaan ini, ia sekali gus mengajak kita meyakini bahawa dalam kehidupan tiada yang memberikan segala-galanya melainkan Allah SWT.

Perbetul cara lihat kehidupan

Seterusnya, hijrah Baginda SAW untuk manusia memperbetulkan cara melihat kehidupan. Sebagai khalifah di muka bumi ini, kita harus sedar sehebat mana pun kita suatu hari nanti akan kembali menghadap Allah Yang Maha Esa. Untuk itu, sentiasalah rebut ganjaran diberikan Allah SWT.

Mengerjakan solat adalah tanda pengabdian dan syukur seorang hamba kepada Allah SWT atas segala nikmat serta rahmat yang dikurniakan.

Selain itu, Nabi Muhammad SAW menyifatkan amalan berhijrah sebagai landasan melihat bagaimana untuk memperbetulkan diri. Ilmu ibarat pelita yang menerangi kegelapan hidup manusia, ia menjadi petunjuk jalan memperoleh kehidupan bahagia.

Selain itu, pada saat kita ingin melakukan transformasi atau penghijrahan, Islam menganjurkan umatnya jangan sesekali bersifat sombong jika merasakan diri sudah hebat.

Ada manusia bekerja keras untuk menjadi kaya dan mencari harta yang banyak. Islam tidak melarang mencari kesenangan di dunia dan pada masa sama diingatkan bahawa setiap kita pasti akan menemui kematian.

Oleh itu, amalan hijrah mendorong kita menilai sejauh mana dunia ini sebagai ladang akhirat.

Maksudnya, sepanjang berada di dunia, bekerja dan berbuat baiklah menyediakan bekalan hendak dibawa ke akhirat kerana apabila tiba di akhirat nanti, setiap individu

Muslim itu dipertanggungjawabkan atas apa yang telah dilakukannya ketika di dunia.

Berhijrah juga mengajar kita menilai manusia di sekeliling. Haji dan hijrah misalnya memiliki nilai penyatuan umat Islam yang signifikan kepada seluruh dunia.

Ibadah haji memupuk rasa kebersamaan sesama makmum.

Semoga kesediaan melakukan perubahan ke arah lebih baik dapat membantu kita membina kekuatan ilmu, jiwa dan iman, seterusnya berjaya melahirkan amal serta tindakan membina akhlak terpuji.