October 14th, 2016

Dakwah itu adalah akhlak yang baik

DAKWAH adalah mengajak kepada perintah Allah dan Rasul. Dalam al-Quran kalimah dakwah ditemukan sekitar 198 kali yang menunjukkan kewajipan dakwah tidak berlaku secara berkelompok tetapi meliputi setiap individu Muslim.

Ia merupakan tugas bersama bukan sekadar tugas pendakwah atau ustaz yang sering tampil di televisyen, radio, masjid, surau atau media massa yang terkini. Secara umumnya, aktiviti agama sering dilakukan di masjid atau surau di mana golongan yang tertarik untuk menyertai aktiviti tersebut merupakan golongan “beragama” , seolah-olah dianggap “tertutup” untuk bukan Islam atau Muslim yang jauh daripada Islam.


RIWAYAT bagaimana Rasulullah SAW tetap menyantuni gelandangan Yahudi yang buta meskipun baginda dicaci menunjukkan akhlak terpuji baginda dalam menyampaikan dakwah Islam. GAMBAR HIASAN

Sukar untuk menarik minat golongan ini untuk hadir ke masjid dan surau, malah wujudnya tanggapan, kedua-dua tempat itu hanya sesuai untuk orang tua sahaja. Allah SWT berfirman mafhumnya:

“Dan hendaklah ada dalam kalangan kamu yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikianlah orang yang berjaya.” (Surah Ali Imran: 104).

Kurun ke-21 ini disebut sebagai abad post-modern society, post-industrial society dan information society. Apapun istilahnya, masyarakat didominasikan oleh teknologi komunikasi. Oleh itu, dakwah perlu selari dengan perkembangan pesat hari ini iaitu pendakwah perlu meningkatkan kemahiran dan kepakaran bagi menguasai setiap bidang ilmu khususnya penguasaan laman sosial.

KEHEBATAN MANHAJ DAKWAH RASULULLAH

Sirah merakamkan pendekatan santai Rasulullah SAW menyantuni masyarakat gelandangan di sudut pasar Kota Madinah.

Diriwayatkan setiap orang yang menghampiri pengemis Yahudi buta tersebut akan diingatkan dengan kata-kata: “Wahai saudara-saudari, jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, pembohong, tukang sihir. Apabila mendekatinya kamu semua akan dipengaruhinya. Namun setiap pagi Rasulullah mendatanginya membawa makanan dan tanpa berkata sepatah kata, baginda menyuapkan makanan yang dibawanya kepada pengemis itu walaupun dia selalu berpesan kepada sesiapa sahaja supaya tidak mendekati orang yang bernama Muhammad.

Rasulullah melakukannya hingga menjelang kewafatan baginda. Setelah baginda wafat, tiada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis buta tersebut. Suatu hari Sayidina Abu Bakar r.a. berkunjung ke rumah Sayyidatina Aisyah r.a. Beliau bertanya : Wahai anakku, adakah sunah kekasihku (Rasulullah) yang belum ayah lakukan? Aisyah menjawab : Wahai ayahku, engkau adalah seorang ahli sunah, hampir tiada satu pun yang belum ayahanda lakukan kecuali satu sahaja. Apakah itu? : Abu Bakar bertanya. Setiap pagi Rasulullah selalu pergi ke hujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi yang buta matanya. Dia ada di sana: Aisyah berkata.

Keesokan harinya Abu Bakar ke pasar dengan membawakan makanan untuk diberikan kepada pengemis itu. Beliau mendekati pengemis itu dan memberikan makanan kepadanya. Ketika Abu Bakar mula menyuapinya, si pengemis itu marah dan berteriak : Engkau siapa! Abu Bakar menjawab: Saya orang yang biasa. Bukan! engkau bukan orang yang biasa mendatangiku, jawab si pengemis tua itu. Apabila dia datang kepada saya tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku selalu menyuapiku dengan lembut.

Pengemis itu meneruskan kata-katanya. Abu Bakar tidak dapat menahan air matanya. Dia menangis sambil berkata kepada pengemis itu : Saya memang bukan orang yang biasa datang kepadamu. Saya adalah seorang daripada sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada. Dia adalah Nabi Muhammad SAW.

Selepas pengemis itu mendengar cerita Abu Bakar, dia pun turut menangis. Kemudian dia bertanya : Benarkah begitu? Selama ini saya menghinanya, memfitnahnya, namun dia tidak pernah memarahiku. Malah dia mendatangiku dengan membawa makanan kepada saya setiap pagi. Dia begitu mulia. Pengemis buta itu akhirnya mengucap dua kalimah syahadah di hadapan Abu Bakar.

Lihatlah, bagaimana kesabaran dan kasih sayang itu mampu membawa seseorang ke jalan kebenaran. Tanpa kesabaran dan kasih sayang, pasti sukar untuk berdakwah. Inilah akhlak Rasulullah SAW yang menggambarkan Islam sebagai budaya kehidupan.

Dakwah adalah amar makruf dan nahi mungkar iaitu menyuruh melakukan kebaikan dan melarang daripada kejahatan. Inilah hubungan ta’awuniyyah (tolong menolong) sesama individu, masyarakat mengerjakan kebaikan dan takwa, menolak sebarang perlakuan membawa dosa serta maksiat dengan segala kemampuan yang ada.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa daripada kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, jika tidak mampu, maka dengan lidahnya, dan jika tidak mampu, maka ingkar dengan hati, yang demikian itu selemah-lemah iman.” - Riwayat Ahmad.

Apabila mendapati sesuatu kemungkaran dalam masyarakat, setiap individu perlu memastikan dirinya memahami keburukan berkenaan dan cara mengatasinya. Kemudian perlu memahamkan masyarakat tentang kesan negatifnya. Apabila masyarakat sedar dan mendapat sokongan tertentu, tindakan secara fizikal perlu diambil.

Bagaimanapun, perlu ada kuasa untuk menghapuskan keburukan itu dan jangan sekadar berasa benci serta mengkritiknya sahaja. Namun, hal ini bukan tugas seseorang secara individu, sebaliknya bersifat kolektif masyarakat Islam seluruhnya.

Allah SWT berfirman menyatakan prinsip ini bermaksud : “Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sesetengahnya menjadi penolong bagi sesetengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang berbuat kejahatan.” (Surah al-Taubah : 71).

Dakwah itu mendekati bukan menjauhi, menyeru bukan menghukum, mengajak kepada kebaikan dan menjauhi kejahatan. Inilah dakwah.

Dakwah tidak 
hanya terhad kepada 
seruan secara lisan, tetapi harus menggunakan media terkini asalkan tidak bercanggah dengan syariat Islam. Fenomena perkembangan teknologi masa kini telah mencorak pemikiran masyarakat ke arah menerima sesuatu maklumat secara tepat, praktikal 
dan mudah.

“Amar makruf 
dan nahi mungkar merupakan budaya masyarakat Islam berasaskan sikap tolong-menolong dan tanggungjawab bersama masyarakat yang merupakan pemimpin dalam peringkat masing-masing. Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya seorang mukmin kepada yang lain seperti satu binaan, sebahagiannya menyokong sebahagian yang lain.” - Riwayat Bukhari dan Muslim.

Di mana ‘Rumahku Syurgaku’?

SEBAGAI manusia biasa kita semua mempunyai keinginan hidup berkeluarga dan bahagia. Pada zaman dahulu, sebuah keluarga besar tinggal serumah dan saling bantu membantu dalam penjagaan anak-anak. Lama-kelamaan, dengan pengaruh Barat, kita mula mengamalkan keluarga kecil di mana ibu bapa dan anak-anak sahaja dalam satu rumah.

Kini, dengan kemajuan dan cabaran ekonomi, didapati banyak keluarga di bandar besar seperti Kuala Lumpur mengamalkan hidup keluarga kembang - dalam satu rumah terdapat beberapa keluarga kecil kerana tidak mampu membeli rumah.


KELUARGA seharusnya menjadi syurga kepada setiap ahli, bukan sebaliknya. - GAMBAR HIASAN

Miskin bandar ini juga mengalami tekanan hidup kerana bukan sahaja harga rumah melambung tinggi, kos kehidupan juga meningkat. Jika tinggal di kampung, sekurang-kurangnya boleh bercucuk tanam dan mencari ikan di laut atau sungai (jika sungai tidak dicemari) tetapi yang duduk di bandar terutama di rumah pangsa dan setinggan, mereka tiada tanah untuk bercucuk tanam.

Semuanya perlu dibeli dan jika tiada duit, maka keluarga tidak boleh makan. Setiap orang mahukan yang terbaik buat keluarganya.

Namun hari ini banyak kes mengenai keganasan berlaku dalam kalangan ahli keluarga. Terdapat beberapa kes melibatkan kematian seperti cucu membunuh nenek, anak membunuh ibu dan bapa menyembelih anak.

Isu dera anak oleh ibu, bapa, ibu tiri, bapa tiri, teman lelaki emak, saudara mara dan pengasuh anak juga sering dipaparkan dalam media. Semua kejadian ini amat menyedihkan.

KENAPA IA BERLAKU?

Ia menimbulkan rasa tanda tanya, kenapa ia berlaku? Bukankah rumah tangga itu sepatutnya menjadi syurga dunia bagi isteri, anak-anak dan warga emas?

Kementerian Kesihatan baru-baru ini menyatakan bahawa lebih 4 juta rakyat Malaysia mengalami sakit mental.

Gangguan bukan semestinya gila tetapi stres atau mengalami tekanan. Jumlah ini tinggi dan membimbangkan. Hari ini kita mendengar kes-kes cubaan bunuh diri, membunuh diri, membunuh ahli keluarga dan mendera anak-anak, wanita atau isteri dan warga emas.

Sebanyak 65 peratus daripada jumlah kes kejadian bunuh diri atau cubaan bunuh diri dalam kalangan penduduk tempatan atau warganegara asing di Malaysia melibatkan golongan lelaki. Sebanyak 130 kes direkodkan pada 2015, 84 kes membabitkan lelaki dan 46 adalah wanita.

Bagi kes penderaan kanak-kanak, statistik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menunjukkan peningkatan kes penderaan kanak-kanak dari 2010 iaitu sebanyak 3,257 kes, 3,428 kes (2011), 3,831 kes (2012), dan 4,119 kes pada 2013, manakala dari Januari hingga April 2014 sahaja terdapat sebanyak 1,430 kes.

Ini adalah contoh menunjukkan bahawa “Rumahku Syurgaku” tidak dapat diwujudkan dalam sebuah rumah tangga. Di mana keluarga sakinah yang diimpikan? Sejak akhir-akhir ini banyak kes melibatkan ahli keluarga terdekat membunuh ahli keluarganya sendiri dan kebanyakan kes kerana tertuduh mengambil dadah atau mengalami gangguan mental.

KONSEP RUMAH TANGGA ISLAM

Sebuah rumah tangga Islam mestilah penuh kasih sayang dan saling sayang menyayangi. Firman Allah SWT:

“Dan sebahagian tanda-tanda kebesaran Allah, bahawa telah Dia jadikan jodoh untukmu daripada manusia sesamamu, supaya kamu berdiam padanya. Dan Dia jadikan antara kamu kasih sayang dan bersayang-sayangan. Sesungguhnya yang demikian itu menjadi tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang mahu berfikir.” (Surah ar-Rum:21)

Anas bin Malik r.a. ketika menggambarkan kasih sayang Rasulullah kepada anak-anak. Beliau mengatakan, “Tidak pernah saya melihat seorang yang lebih cinta kepada keluarganya lebih daripada Rasulullah.” - Riwayat Muslim.

Usamah bin Zaid r.a. bercerita, “Rasulullah pernah mendudukkan aku di satu pahanya dan mendudukkan Hasan di paha yang satu lagi. Kemudian baginda merangkul kami berdua sambil berdoa: “Ya Allah cintailah kedua-duanya, sungguh aku mencintai mereka berdua.” - Riwayat Bukhari.

Semua ini melambangkan kasih sayang Nabi SAW terhadap keluarganya terutama anak dan cucu-cucu baginda. Dalam sebuah rumah tangga bahagia, yang mengikut lunas-lunas agama, terjaga solat, puasa dan sumber rezekinya, mana mungkin seorang ahli keluarga mengalami kemurungan.

Namun hari ini ia tetap berlaku. Terapi terbaik dalam Islam ialah solat dan berzikir. Namun jika sering solat dan berzikir tanpa mencari rezeki untuk keluarga juga boleh menyebabkan stres.

Tidak memberi anak dan isteri makan dan minum yang mencukupi boleh menyebabkan mereka menjadi murung, sedih serta lapar. Ia mengganggu emosi mereka. Keseimbangan dalam menjalani hidup berkeluarga perlu dipelajari dan diamalkan supaya rumahku menjadi syurgaku.

Sebuah 
keluarga sakinah memastikan hak setiap ahlinya terjaga dan setiap pihak perlu menjalankan tanggungjawabnya. Janganlah kita menjadi manusia hipokrit yang sering bercakap mengenai kepentingan agama namun kita sendiri tidak menjaga agama terutama dalam keluarga.