October 15th, 2016

Teknologi maklumat ejen baharu dakwah

Dakwah adalah mengajak kepada perintah Allah dan Rasul. Dakwah bererti mengajak, memanggil dan mengundang. Dalam al-Quran kalimah dakwah ditemukan 198 kali menunjukkan kewajipan dakwah tidak berlaku secara berkelompok, tetapi meliputi setiap Muslim.

Semua Muslim diseru menyebarkan dakwah. Dakwah adalah tugas bersama semua umat Islam, bukan sekadar tugas pendakwah atau ustaz yang tampil di televisyen, radio, masjid, surau atau media massa.

Secara umumnya, aktiviti agama dilakukan di masjid atau surau dan golongan yang tertarik untuk menyertai aktiviti itu adalah golongan 'beragama' juga, seolah-olah dipandang 'tertutup' untuk mereka yang bukan Islam atau Muslim yang jauh daripada Islam.

INFORMASI mudah diperolehi melalui teknologi maklumat. - Foto hiasan/www.isiqiri.com
Sukar menarik minat golongan ini hadir ke masjid dan surau bagi mendekati Islam.

Malah, wujud tanggapan masjid dan surau hanya sesuai untuk orang tua sahaja.

Allah SWT berfirman mafhumnya: "Dan hendaklah ada kalangan kamu yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat segala perkara baik, serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikianlah orang yang berjaya." (Surah Ali Imran: 104).

Dakwah tidak hanya terhad kepada seruan secara lisan, tetapi harus menggunakan media terkini asalkan tidak bercanggah syariat Islam.

Perkembangan teknologi mencorak pemikiran masyarakat ke arah menerima sesuatu maklumat secara tepat, praktikal dan mudah. Kurun ke-21 ini disebut sebagai abad masyarakat pasca moden, masyarakat pasca industri dan masyarakat bermaklumat.

Kuasai teknologi

Apapun istilahnya, masyarakat didominasi teknologi komunikasi. Justeru, dakwah perlu selari dengan perkembangan pesat teknologi hari ini. Golongan pendakwah perlu meningkatkan kemahiran menguasai setiap bidang ilmu khususnya laman sosial baharu hari ini. Ia perlu berperanan sebagai ejen dakwah.

Produk dakwah diterbitkan dengan jelas, mudah difahami serta lebih kreatif dan inovatif. Inisiatif gerak kerja dakwah melalui tekno daie dan dakwah siber melalui perfileman, pengiklanan, hiburan, humor dan sebagainya, amat membantu dalam penyampaian mesej dakwah secara berkesan.

Pendekatan digunakan menyentuh realiti kehidupan masyarakat dan menjawab persoalan semasa masyarakat dalam institusi kekeluargaan, pengukuhan jati diri remaja, hubungan pelbagai kaum antara agama, resam budaya, muamalat, sistem ekonomi semasa serta pendidikan berbentuk Islam, semuanya ditonjolkan secara santai yang memperlihatkan Islam dari sudut universal dan praktikal.

Sirah merakamkan pendekatan santai Rasulullah SAW menyantuni masyarakat gelandangan di sudut pasar Kota Madinah al-Munawwarah.

Diriwayatkan setiap orang yang menghampiri pengemis Yahudi buta itu, akan diingatkan: "Wahai saudara-saudari, jangan dekati Muhammad, dia orang gila, pembohong, tukang sihir. Apabila mendekatinya, kamu semua akan dipengaruhinya."

Namun, setiap pagi Rasulullah SAW membawa makanan dan tanpa berkata sepatah kata, Baginda menyuapkan makanan yang dibawanya kepada pengemis itu walaupun dia selalu berpesan kepada sesiapa sahaja supaya tidak mendekati orang bernama Muhammad. Rasulullah SAW melakukannya hingga menjelang kewafatan Baginda.

Selepas Baginda wafat, tiada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis buta itu.

Suatu hari Saidina Abu Bakar RA berkunjung ke rumah Sayyidatina Aisyah RA. Beliau bertanya: "Wahai anakku, adakah sunnah kekasihku (Rasulullah) yang belum ayah lakukan?" Aisyah RA menjawab: "Wahai ayahku, engkau adalah seorang ahli sunnah, hampir tiada satu pun yang belum ayahanda lakukan kecuali satu sunnah sahaja." "Apakah itu?": Abu Bakar RA bertanya.

Setiap pagi Rasulullah SAW selalu pergi ke hujung pasar dengan membawa makanan untuk seorang pengemis Yahudi yang buta. Dia ada di sana."

Sayyidatina Aisyah RA berkata. Keesokan harinya Saidina Abu Bakar RA pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk diberikannya kepada pengemis itu. Beliau mendekati pengemis itu dan memberi makanan kepadanya.

Ketika Saidina Abu Bakar RA mula menyuapnya, si pengemis itu marah dan berteriak: "Engkau siapa! Saidina Abu Bakar RA menjawab: "Saya orang yang biasa. "Bukan! engkau bukan orang yang biasa mendatangiku," jawab si pengemis tua itu. Apabila dia datang tidak susah tangan ini memegang dan mulut ini mengunyah. "Orang yang biasa mendatangiku selalu menyuapku dengan lembut," pengemis itu meneruskan kata-katanya.

Saidina Abu Bakar RA tidak dapat menahan air mata. Beliau menangis sambil berkata kepada pengemis itu: "Saya memang bukan orang yang biasa datang kepadamu. Saya adalah sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada. Dia adalah Nabi Muhammad SAW.

Pengemis itu turut menangis selepas mendengar cerita Saidina Abu Bakar RA. Kemudian dia bertanya: "Benarkah begitu? Selama ini aku menghinanya, memfitnahnya, namun dia tidak pernah memarahiku. Malah dia mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi. Dia begitu mulia".

Pengemis buta itu akhirnya mengucap dua kalimah syahadah di hadapan Saidina Abu Bakar RA.

Islam budaya kehidupan

Lihatlah, bagaimana kesabaran dan kasih sayang mampu membawa seseorang ke jalan kebenaran. Tanpa kesabaran dan kasih sayang, pasti sukar untuk berdakwah. Inilah akhlak Rasulullah SAW yang menggambarkan Islam sebagai budaya kehidupan.

Dakwah adalah amar makruf dan nahi mungkar, iaitu menyuruh melakukan kebaikan dan melarang daripada kejahatan.

Inilah hubungan ta'awuniyyah (tolong- menolong) sesama individu, masyarakat dalam mengerjakan kebaikan dan takwa, menolak sebarang perlakuan yang membawa dosa dan maksiat dengan segala kemampuan yang ada.

Ilmu angkat darjat orang beriman

Melakukan perubahan menuju syurga perbincangan menarik dikupas oleh Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dalam slot Mau'izati di IKIMfm.

Justeru, kehidupan singkat perlu dipenuhi dengan belajar ilmu al-Quran dan hadis agar menjadi penghuni syurga.Rasulullah SAW menyebut, sebaik-baik manusia ialah mereka yang dipanjangkan umurnya dan semakin cantik amalannya.

Seburuk-buruk manusia ialah orang yang Allah SWT panjangkan usianya, tetapi masih melakukan maksiat. Apabila berhijrah ke alam kubur, kita akan meninggalkan segala yang dimiliki ketika hidup di dunia.

 Fokuskan segala yang dilakukan dalam kehidupan seharian kepada jalan menuju akhirat kerana alangkah ruginya jika kita dimasukkan dalam neraka Allah SWT.

Biarlah kehidupan ini bermanfaat, walaupun tempohnya singkat, apabila menemui kematian, kubur berubah menjadi taman syurga untuk dihuni ketika berada di alam barzakh.

Firman Allah SWT bermaksud: "Sesungguhnya orang yang diambil nyawanya oleh malaikat ketika mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya malaikat dengan berkata: Apakah yang kamu telah lakukan dengan agamamu? Mereka menjawab: Tidakkah bumi itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya? Maka orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali." (Surah an-Nisa, ayat 97)

Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani melalui slot Mau'izati di IKIMfm berkata, manusia yang hidup di dunia ada yang sedikitpun tidak berasa takut melakukan maksiat dan perkara yang dilarang Allah SWT secara terang-terangan.

Berubah kejar syurga

Golongan yang lupa segala peringatan Allah SWT itu akan dibukakan kepada mereka segala pintu maksiat sehingga kemuncaknya mereka berasa seronok melakukan maksiat.

Tetapi apabila tiba-tiba Allah SWT rentap nyawanya, mereka berada dalam keadaan tercengang ketika menghadap Allah SWT.

Justeru, lakukanlah perubahan menuju syurga Allah SWT dengan menjaga agama ketika hidup di dunia, bersungguh menghadapi ujian Allah SWT dan berdoa sentiasa berada di jalan-Nya. Ketika hampir dengan kematian, malaikat turun dan berkata: "Janganlah kamu takut dan berdukacita. Khabar gembira daripada Allah, yang akan disediakan syurga untuk dirimu seperti yang dijanjikan oleh Allah kepada dirimu."

Mukmin tidak berasa takut dengan kematian, tetapi bimbang terhadap dosanya.

Berlaku pada zaman Rasulullah SAW, apabila Baginda menziarahi seorang pemuda yang hampir dengan kematian dan Baginda bertanya, "Wahai pemuda, apakah perasaan kamu pada saat ini?

Pemuda itu menjawab: Ya Rasulullah, di dalam dadaku terkumpul dua perkara iaitu perasaan takut terhadap dosa dan perasaan berbaik sangka kepada Allah, kerana walaupun aku masih muda, tetapi terpaksa menghadap Allah pada waktu ini.

Rasulullah berkata: Wahai pemuda tidak ada seorang pun yang Allah jadikan pada dirinya dua ketakutan pada suatu masa. Mana-mana orang yang takut akan dosa yang dilakukannya ketika hidup di dunia, Allah akan amankannya di Padang Mahsyar dan di alam barzakh nanti.

Bagi orang yang tidak takut akan dosanya ketika di dunia, maka Allah akan jadikan ketakutan yang amat sangat bagi dirinya ketika menghadap Allah kelak." Perkara pertama perlu dilakukan untuk menjadikan diri kita layak menjadi penghuni syurga Allah SWT ialah berhijrah dengan menambah ilmu dan sentiasa belajar menjadi manusia lebih terdidik serta lebih baik.

Allah SWT mengangkat darjat orang beriman dalam kalangan orang berilmu kerana ilmu membentuk peribadi dan membantu mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Belajar al-Quran, hadis

Oleh itu, belajarlah ilmu al-Quran, fahami dan hafazlah, malah tanda manusia bersedia berhijrah ialah apabila terasa manisnya membaca al-Quran sehingga mampu mengkhatamnya sekerap mungkin.

Belajarlah hadis untuk mengenali dan merapatkan diri dengan Rasulullah SAW, mulut akan sentiasa berselawat. Selain itu tanamkan keinginan melakukan perubahan dan menjadi ahli syurga Allah SWT.

Setiap individu perlu saling menyokong untuk berhijrah menuju syurga Allah, sama ada pemimpin membimbing rakyat ke jalan Allah atau rakyat membantu pemimpin, suami membimbing isteri dan anak, manakala anak membantu ibu dan ayahnya agar tidak melakukan perkara terlarang sehingga menghalang memasuki syurga Allah.

Ubat penyakit cintakan dunia

Walaupun kita hidup di akhir zaman, Baginda SAW sudah memberi isyarat apa yang akan berlaku di mana wujud satu penyakit dalam diri umat Islam yang disebut 'wahn' iaitu mencintai dunia dan tidak menyukai kematian.

Topik mencintai dunia ini penting dalam tasauf kerana ajaran Islam tidak mengajar kita mencintai dunia sebaliknya mencintai akhirat yang sepatutnya menjadi tumpuan atau keutamaan.

Dunia membawa makna 'dekat' dan apabila manusia melihat segala perhiasan dunia dengat terlalu dekat, ia menjadi hijab mengaburi daripada memandang akhirat. Pensyarah Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS-UTM), Prof Madya Dr Khalif Muammar A Harris, dalam rancangan Tarbiyah berkata inilah satu bentuk ujian daripada Allah SWT.

Katanya, Allah SWT ingin menguji adakah manusia benar-benar ingat kepada-Nya atau leka dengan dunia yang dekat pada pandangan mata kasar sehingga melupakan kehidupan akhirat yang kekal abadi.  

Penyakit wahn

Dalam al-Quran juga ada menyebut apabila manusia menyeleweng daripada jalan lurus, mereka cuba menyalahkan syaitan sedangkan syaitan sendiri berlepas tangan dan tidak mengaku merekalah penyebab kesesatan manusia itu.

Penyelewengan manusia itu disebabkan oleh penyakit 'wahn' yang disebutkan Baginda SAW hingga kerana cinta dunia manusia hilang integriti, runtuh akhlak seperti makan rasuah dan salah guna kuasa," katanya.

Baginda SAW turut berpesan supaya menjaga mulut dan kemaluan kerana kedua-dua organ itu menjadi penyebab manusia dihumban ke neraka.

Sesiapa yang menjaganya, Baginda SAW memberi jaminan bahawa dia akan selamat. Mereka yang tidak menjaga mulut ialah orang yang suka berbohong serta tidak memegang janji seperti mana maksud hadis yang menyebut tanda orang munafik itu ialah yang tidak berpegang kepada janji dan berbohong.

Justeru, sikap umat Islam yang mengamalkan rasuah, berakhlak buruk, hilang integriti dan lain-lain itu adalah manifestasi daripada penyakit hati sementara ilmu tasauf disusun bagi membanteras penyakit itu.  

Beza nama, erti sama

Ilmu tasauf wujud di awal Islam lagi walaupun pada ketika itu mungkin tidak dinamakan ilmu tasauf sebaliknya dikenali sebagai ilmu tazkiyatul nafsi, penyucian hati dan seumpamanya.

Hakikatnya ilmu tasauf telah lama wujud. Nabi SAW bersabda: "Ketahuilah bahwa dalam jasad itu terdapat segumpal darah, yang apabila ia baik maka baik pula seluruh jasadnya. Dan apabila ia rosak, maka rosak pula seluruh jasadnya. Ketahuilah bahwa segumpal darah itu adalah hati. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas mendefinisikan tasauf sebagai pengamalan syariat pada maqam ihsan. Oleh itu, dapat difahami tasauf adalah sebahagian daripada syariat.

Mereka yang mentohmah tasauf sebagai pengaruh asing, luar, bidaah, dan bukan ajaran Islam sebenarnya keliru dan tidak memahami hakikat tasauf serta tidak merujuk kepada ajaran tasauf itu.  

Timbulkan kesedaran

Produk daripada tasauf itu ialah akhlak yang mulia. Apabila sebahagian kelompok manusia menolak tasauf, maka mereka telah mengenepikan akhlak dan lebih menjurus kepada perkara bersifat hukum hakam serta persoalan remeh temeh.

Apabila kita mahu merubah manusia, perkara biasa terfikir oleh kebanyakan orang ialah menguatkuasakan undang-undang dan peraturan yang menyekat manusia.

Tasauf berbeza dan ia tidak mendidik manusia takutkan undang-undang sebaliknya menimbulkan kesedaran daripada dalam diri.

Manusia tidak melakukan perkara dilarang dalam Islam bukan kerana takutkan undang-undang atau pihak penguatkuasa tetapi menginsafi Allah SWT itu Maha Melihat dan berdosa jika dilakukan perkara itu.

Hari ini, disebabkan pengabaian terhadap ilmu tasauf, keruntuhan akhlak seperti buang bayi dan juga kehilangan integriti seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa semakin berleluasa.

Fahami hakikat kebahagiaan hakiki

UMAT Islam sepatutnya memahami bahawa ke­­hidupan di dunia ini adalah sementara. Islam mengajar umatnya erti kehidupan dan bagaimana hendak mengendalikan kehidupan di dunia sebagai insan yang mulia sebelum roh kembali menemui Allah SWT. Apabila jasad diletakkan dalam tanah dan roh berada di alam barzakh maka ketika itu manusia akan memahami setiap ­gerak-geri dan tindak-tanduk mereka di dunia ini memberi kebahagiaan yang hakiki atau sebaliknya.

Orang bertakwa menyakini setiap perkara yang seru oleh Allah adalah cara untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Setiap larangan Allah adalah keburukan yang boleh merugikan serta merosakkan kehidupan mereka di dunia dan akhirat. Allah mengutuskan para Rasul dan Nabi dengan tujuan memberi panduan kepada manusia mengenai corak kehidupan dan amalan terbaik untuk menuju kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Perkara ini dijelaskan oleh Allah dalam surah Yunus ayat 57 yang bermaksud: “Hai manusia, sesungguhnya telah datang ke­padamu pelajaran dari Tuhanmu dan ­penyembuh daripada penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman”.

Kurang prihatin terhadap konsep dan prinsip kehidupan seperti mana dijelaskan oleh Allah dan Rasul menyebabkan umat Islam leka dan berlumba-lumba mengejar kehidupan dunia sehingga terlupa jangka masa untuk menemui Allah semakin hampir. Sikap yang keterlaluan mengejar kehidupan dunia dan bermegah-megah dengan kekayaan adalah faktor utama umat Islam menyalahgunakan kuasa, tidak amanah dan mengkhianati negara dan masyarakat. Persepsi dan penilaian mengenai kebahagiaan yang berlandaskan kepada kemewahan tanpa menghiraukan hukum hakam Allah adalah kebahagiaan yang terlalu rapuh dan akan musnah apabila sampai masa yang ditentukan oleh Allah.

Penilaian mengenai kebahagiaan dalam kehidupan adalah berdasarkan kepada corak pemikiran dan persepsi seseorang individu itu mengenai kehidupan di dunia ini. Jika seseorang ber­anggapan bahawa kebahagiaan itu berdasarkan kepada kemewahan, kekayaan, kekuasaan dan kemegahan maka dia akan berusaha untuk mencapai objektif kehidupannya tanpa menghiraukan dosa dan pahala sehingga terlupa bahwa perbuatannya itu boleh memusnahkan kehidupannya sendiri.

Bagi membendung ketamakan dan keghairahan terhadap kebendaan maka Allah menyedarkan umat Islam mengenai nilai harta dan benda di dunia ini. Firman Allah dalam surah al-Kahfi ayat 46 yang bermaksud: “Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi soleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu dan lebih baik untuk menjadi harapan”.

Bagi mengawal kegilaan dan ketamakan manusia terhadap kekayaan, kemewahan dan kemegahan terhadap harta benda maka Allah membuka minda mereka melihat realiti kehidupan di dunia dengan firman-Nya dalam surah al-An’am ayat 32 yang bermaksud: “Dan tiadalah kehidupan dunia itu, selain daripada mainan dan senda gurau belaka (kesenangan duniawi yang hanya berbentuk sementara). Dan sesungguhnya alam akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Tidakkah kamu memahaminya?”

Kemewahan dan kekuasaan adalah satu ujian daripada Allah dan ia bukan anugerah yang boleh dibanggakan. Orang kaya dan mempunyai kuasa, ujiannya adalah lebih besar daripada orang miskin kerana setiap harta dan kekayaan yang dimiliki akan dipersoalkan oleh Allah di hari akhirat.

Orang yang beriman kepada Allah mempunyai persepsi kebahagiaan berbeza dengan individu yang tidak beriman kepada Allah. Orang yang terlalu ghairah de­ngan kemewahan dunia beranggapan bahawa harta dan kekayaan adalah satu anugerah Allah yang menjadikan mereka orang terkenal dan disanjung. Oleh itu, mereka berlumba-lumba untuk memiliki­nya sehingga ke tahap yang boleh melakukan pembunuhan, peng­aniayaan dan kemusnahan agama, masyarakat dan negara.

Berdasarkan kepada sikap dan persepsi manusia mengenai ke­­ba­hagiaan kehidupan dunia maka Rasulullah SAW memperingati umat Islam dengan sabdanya yang bermaksud: “Kekayaan tidaklah dilihat dari banyaknya harta benda atau material tetapi sesungguhnya kekayaan itu berdasarkan kepada kekayaan hati nurani atau jiwa”.

Orang yang tamak terhadap kekayaan dunia tidak akan merasai puas dalam kehidupan walaupun diselubungi oleh harta dan perbendaharaan yang tidak terkira bilangannya. Perkara ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya: “Sesungguhnya harta itu hijau lagi manis. Sesiapa yang mencarinya untuk kepentingan dirinya (tidak tamak dan tidak mengemis), maka harta itu memberkatinya. Namun sesiapa yang mencarinya untuk bermegah atau kemuliaan diri maka harta itu tidak akan memberkati­nya seperti mana orang yang makan namun tidak kenyang. Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah”.

Umat Islam sepatutnya tidak mengamalkan amalan memakan harta dan nafkah secara haram ke­rana seksaan berkaitan perkara ini akan melibatkan keseluruhan ahli keluarga. Rasulullah SAW dengan tegas memperingati umat Islam dengan sabdanya: “Setiap daging yang tumbuh dari perkara yang ha­ram maka neraka lebih pantas untuk me­nyentuhnya”. Hadis ini menjelaskan jika harta atau pendapatan yang diperoleh itu secara haram maka setiap individu yang menggunakannya tidak akan selamat dari api neraka walaupun anaknya yang masih kecil. Oleh itu, takutlah Allah dalam hal eh­wal mengumpul harta kekayaan supaya kehidupan diberkati dan menikmati kebahagiaan secara hakiki iaitu kekayaan berbentuk kerohanian atau hati nurani. Profesor Madya Dr Saodah Abd Rahman Utusan Malaysia Rencana 14 Oktober 2016 6:20 PM

Kemewahan bukan nikmat, tetapi ujian

“SAYA pernah masuk ke sebuah restoran di Barat, seperti sedia maklum agak sukar untuk mencari kedai halal di sini dan selepas mendapat tahu pemilik restoran itu beragama Islam, saya membuat keputusan untuk makan di premis tersebut.

“Malangnya, ketika menunggu pesanan, saya ternampak pelayan menyediakan minuman alkohol kepada pengunjung. Lalu saya bertanya kepada pemilik restoran itu, ‘adakah makanan di sini halal? Dia menjawab: Alhamdulillah,” kata Bilal Assad memulakan perkongsian.

Mengambil contoh situasi yang berlaku, Pensyarah Islamic Society of Victoria University, Australia itu berkata, demi mengejar keuntungan dunia, manusia termasuk umat Islam sanggup menggadaikan agama dengan melakukan perkara bertentangan perintah syariat.

Mengulas lanjut, pendakwah terkemuka antarabangsa itu berkata, menggunakan kalimah Alhamdulillah, pemilik restoran itu berusaha meyakinkan pengunjung beragama Islam untuk makan di restorannya walaupun hakikatnya menyajikan makanan haram.

Keadaan itu, tambahnya, menggambarkan sikap segelintir umat Islam yang lebih mementingkan kemewahan dunia berbanding kemewahan sebenar dan abadi di akhirat.

“Untuk memperoleh wang atau kekayaan dunia, kita sanggup melakukan apa sahaja. Kita sanggup melanggar perintah syariat, malah, kita juga boleh secara tiba-tiba menjadi Muslim yang baik dengan melakukan pelbagai ibadah apabila membabitkan sesuatu kenikmatan berupa wang, harta dan kekayaan.

“Ramai umat Islam dilihat mengucapkan Alhamdulillah kerana beranggapan Allah mengurniakan kepada mereka rezeki dan sebagai tanda syukur. Mereka menganggap Allah mengurniakan mereka nikmat, walaupun hakikatnya tidak melaksanakan perintah Allah, tidak menunaikan solat dan puasa, malah tidak berkelakuan seperti seorang Muslim,” ujarnya.

Dilahirkan di Williamstown, Melbourne, Australia, Bilal mendapat didikan agama Islam sejak usia muda sebelum menyambung pengajian di Lebanon dalam bidang Syariah. Beliau seterusnya menyambung pengajian tinggi dalam bidang Sains Bioperubatan di Australia.

Bagaimanapun, beliau berkata, hakikatnya umat Islam perlu sedar, nikmat kesenangan dunia yang dikurniakan itu tidak melambangkan apa-apa di sisi Allah SWT, tetapi merupakan satu bentuk ujian.

Sebaliknya, ujar Bilal, tahap keimanan dan ketakwaan seorang Muslim tanpa mengira pangkat dan kedudukan di dunia itu yang menjadi penentu arah kehidupannya di akhirat kelak.

“Jika Allah menguji dengan memberikan kepada kita sebahagian kurniaan-Nya, kita akan berkata, ‘Tuhan memberkatiku, Dia mencintaiku’. Kita terus hanyut dalam kemewahan dunia tanpa menyedari segala kurniaan itu merupakan ujian Allah untuk menilai iman hamba-Nya.

“Ia sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Anfal: 28 bermaksud: “Ketahuilah bahawa harta kamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cubaan dan sesungguhnya di sisi Allahlah pahala yang besar.” Kita menganggap Allah menyayangi kita kerana mengurniakan nikmat dan kekayaan tanpa perlu bersusah payah beribadah.

“Sedangkan kita terlupa, seorang jutawan boleh hilang segala-galanya dengan serta merta hanya dalam satu malam jika ditakdirkan Allah. Firman Allah bermaksud; “Allah meluaskan rezeki dan menyempitkannya bagi siapa yang Dia kehendaki.” (ar-Ra’du: 26),” jelasnya.

Sehubungan itu, Bilal berkata, umat Islam perlu mengingati bahawa segala yang dikurniakan Allah sama ada kemewahan atau kemiskinan di dunia merupakan ketentuan terbaik kepada hamba-Nya.

“Tiba satu masa nanti, apabila Allah menarik segala nikmat itu dengan menyempitkan rezeki, maka kita mula berkata; ‘Allah menghina aku, dia tidak lagi bersama denganku. Mengapa perlu aku beriman dengan Allah setelah dia melakukan aku sebegini.’

“Sewaktu senang, kita tidak pernah berusaha mencari orang yang memerlukan seperti golongan miskin dan anak yatim, sebaliknya menghabiskan kekayaan itu ke arah lain. Apabila susah, kita masih tidak sedar, malah mula menyalahkan Allah sehingga mengatakan ‘Tuhan itu kejam’.

“Ingatlah saudaraku, apabila Allah mengurniakan sesuatu nikmat, jangan lupa tujuan kita diciptakan di dunia (untuk beribadat kepada Allah). Apabila Allah menarik nikmat kita, ketahuilah bahawa Allah cuba menggantikannya dengan pelbagai nikmat lain seperti nikmat kesihatan atau sebagainya yang tidak kita sedari,” jelasnya. Mohd Shah Che Ahmad Utusan Malaysia Rencana 15 Oktober 2016 12:19 AM

Al-Fatihah dalam solat, munajat atau formaliti?

SETIAP Muslim tahu bahawa surah al-Fatihah wajib dibaca setiap kali mengerjakan solat fardu atau sunat. Sabda Rasulullah SAW: “Siapa yang tidak membaca Ummul Quran (al-Fatihah) dalam solat, maka solatnya tidak sempurna...” - Riwayat Muslim.

Malah, ketegasan Rasulullah SAW terhadap kewajipan tersebut lebih terserlah apabila dikatakan baginda mengulangi kenyataan itu sebanyak tiga kali.

Bagi pendakwah Islam kelahiran Dallas, Amerika Syarikat (AS), Sheikh Abdul Nasir Jangda menarik perhatian umum dengan menyatakan bahawa kedudukan surah terpenting itu dalam kalangan majoriti umat Islam hanyalah sebagai satu formaliti sahaja.

“Realitinya, surah al-Fatihah dihafal dan diingati oleh setiap peringkat umur umat Islam dan ada juga dalam kalangan kita boleh membacanya dalam satu nafas sahaja,” katanya yang merupakan antara tenaga pengajar Institut Qalam, Dallas, AS.

Ikut kuliah beliau selanjutnya:

Apakah kesan terhadap tanggapan itu (formaliti)?

Sheikh Abdul Nasir Jangda: Tanggapan sedemikian menyebabkan ramai yang mudah hilang fokus ketika surah itu dibaca oleh imam solat walaupun pada awalnya dia berazam untuk fokus terhadap bacaan imam dan juga diri sendiri.

Apakah yang difikirkan?

Ketika itu, pemikiran kita melayan perkara berkaitan dengan urusan dunia. Ada juga yang melihat dinding atau karpet masjid, dan tidak kurang juga melihat kawan-kawan.

Semua itu, seolah-olah mengagumkan walaupun masjid tersebut bukanlah kali pertama dikunjungi. Dinding atau permaidaninya sudah banyak kali dilihat. Cuma, apa yang pasti, perbuatan itu berlaku tanpa disedari oleh jemaah bersebelahan.

Bilakah kita mula sedar kembali?

Kita akan mula sedar apabila imam mula menghampiri baris atau ayat-ayat terakhir dalam surah al-Fatihah. Jika surah kedua selepas al-Fatihah itu menarik, anda akan mula fokus dan kalau tidak, pemikiran tadi akan bersambung kembali.

Jadi, apa yang perlu dilakukan?

Sepatutnya, umat Islam kena ingat bahawa surah al-Fatihah mempunyai kedudukan atau aset terpenting dalam bersolat sama ada fardu atau sunat.

Rasulullah SAW pernah menyatakan bahawa bacaan surah al-Fatihah itu merupakan satu hubungan terus antara Allah SWT dengan hamba-Nya. Ini jelas dalam satu hadis Qudsi baginda SAW (Riwayat Muslim): “Abu Hurairah berkata: “Kami berada di belakang imam.” Dia menambah: “Bacalah al-Fatihah itu di dalam hatimu, kerana aku pernah mendengar Rasulullah bersabda: Allah berfirman: “Aku telah membahagi solat menjadi dua bahagian antara Diriku dengan hamba-Ku. Dan bagi hamba-Ku apa ia minta.” Hashnan Abdullah Utusan Malaysia Rencana 15 Oktober 2016 12:20 AM