October 27th, 2016

Khutbah Jumaat : “Dunia Ibarat Setitik Madu ”

Petikan Khutbah Jumaat 28 Oktober 2016: JAIS

“Dunia Ibarat Setitik Madu ”

Al-kisah maka tersebutlah perihal seorang pemuda yang sedang merayau-rayau dalam sebuah hutan belantara. Tiba-tiba ia terserempak dengan seekor gajah yang sedang naik minyak, tidak semena-mena gajah itu meluru dan ingin menerkam pemuda tersebut. Lalu dengan tidak berlengahlengah lagi pemuda itu lari dengan sekuat hatinya untuk menyelamatkan diri dari angkara jais.jpggajah itu, Nasib pemuda itu agak malang, tiada lagi tempat ia melarikan diri kerana ia berhadapan dengan sebuah gaung yang curam lagi dalam, sedangkan gajah yang sedang menggila itu terus mengejarnya dari belakang. Tidak ada jalan lain bagi pemuda itu melainkan terjun ke dalam gaung tersebut untuk menyelamatkan dirinya.

Pemuda itu bernasib baik kerana ia tersangkut di atas dahan pohon kayu yang tinggi, ia terasa lega dan menarik nafas panjang kerana terlepas dan terselamat dari angkara gajah yang menggila itu, ia cuba bertenang dan berfikir bagaimana ia akan dapat turun dari pohon yang tinggi tersebut. Dalam pada itu, sedang ia cuba melihat-lihat kebawah tiba-tiba ia ternampak beberapa ekor ular besar yang kelihatan ganas berlingkar di pangkal pohon tersebut. Ia kebingungan dan fikirannya bertambah gusar lebih-lebih lagi apabila ia mendapati ada dua ekor tikus besar yang sedang menggerit-gerit pangkal dahan tempat ia berpaut itu, dahan tersebut semakin lama menjadi semakin genting dan dalam suatu masa yang tidak dapat dijangka, pasti akan patah terkulai jua akhirnya. Helah demi helah diandaikan dalam benaknya, tiba-tiba ia ternampak sekumpulan lebah yang sedang bersarang di dahan sebelah atas tempat ia berpaut itu. Pemuda tersebut dengan serba kepayahan memberanikan diri menjolok sarang lebah itu dengan menggunakan jarinya, ia dapati setitis madu melekat di hujung jarinya lalu ia menjilat dan terus menjilat demi menikmati madu yang tak seberapa itu. Ia terus menerus berbuat bagitu berulang kali hingga akhirnya ia alpa dan lupa akan nasib yang pasti akan menimpanya.

Demikianlah berakhirnya kisah pemuda yang malang itu. Ia adalah sebuah kisah kiasan yang dihimpun oleh Ibn Al-Muqaffa’ (meninggal pada tahun 142Hijri) dalam buku beliau yang bertajuk KALILAH WA DIMNAH. Ibn Muqaffa’ setelah mengakhiri kesah tersebut beliau memberikan tausiah dan taujihat kepada pembaca, ujarnya; “…demikianlah wahai saudaraku! sebuah contoh kehidupan sebahagian orang yang hidupnya tenggelam dalam kelalaian, sedangkan kenikmatan dunia ibarat setitik madu itu jika tidak berhati-hati boleh membuatkan manusia lupa kepada kehidupan akhirat yang hakiki dan pastinya ia akan menempuh situasi yang sangat sukar”

Sindiran atau nasihat Ibn al muqaffa’ itu memanglah bernas dan jitu. Sesungguhnya ia amat bertepatan dengan ancaman Allah dan Rasul-Nya. Dalam hubungan ini terdapat banyaknya ayat al-quran dan hadis mengingatkan kita agar jangan lalai, jangan lalai dan jangan lalai.

Firman Allah SWT dalam surah al-munafiqun ayat 9; “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintah-Nya). (Ingatlah) sesiapa yang melakukan demikian maka mereka itulah orang yang rugi ”

Seterusnya perhatikan lagi dengan mendalam firman Allah dalam surah at-Takathur ayat 1-8;  “Kamu telah dilalaikan (daripada melakukan ketaatan kepada Allah) oleh perlakuan bermegah-megah (saling bangga membangga dengan harta, anak pinak, pangkat dan pengaruh). Sehingga kamu masuk ke liang kubur. Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kelak kamu akan mengetahui (akibat buruknya semasa hendak mati)! Sekali lagi diingatkan); jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kelak kamu akan mengetahui (akibat buruknya pada hari kiamat)!. Sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui (apa yang kamu akan hadapi) dengan pengetahuan yang yakin, (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang akan menjadi bekalan kamu untuk hari akhirta). (Ingatlah) sesungguhnya kamu akan melihat neraka yang marak menjulang. Kemudian itu, sesungguhnya kamu (wahai orang yang derhaka) akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin (semasa kamu dilemparkan ke dalamnya)! Kemudian sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya di dunia).

Demikian peringatan Allah kepada kita semua agar jangan lalai, kelalaian kita mengundang kesangsaraan pada kehidupan yang kekal abadi di alam akhirat. Sedarlah wahai saudara!, kadang-kadang perkara yang melalaikan kita itu tidaklah sangat berharga dan berbaloi yang membolehkan kita hidup selama-lamanya dalam serba nikmat yang tidak ada cacat celanya.

Inginkah anda mendengar bidasan pedas oleh Al Imam Al Ghazali (505 Hijri) berhubung dengan kelalain kita terhadap kehebatan dunia yang tidak seberapa menyebabkan kita lupa kepada kehidupan di akhirat. Ujar Al Gazali: “... ketahuilah wahai saudaraku! Jika anda tergila-gila terhadap seorang wanita hingga anda sanggup berbunuh-bunuhan kerananya, percayalah bahawa apa yang anda rebut-rebutkan pada wanita itu tidak lebih dari hanya bahagian tempat keluar darah uzurnya. Jika anda terasa hebat kerana anda mampu memiliki minuman yang paling disanjung ramai yaitu madu lebah, ketahuilah wahai saudara ! ketakjuban anda terhadapnya tidak lebih dari ia hanyalah luahan air liur beberapa ekor lebah. Jika anda berbangga dengan pakaian sutera yang anda miliki, maka ketahuilah bahawa kain sutera itu tak lain tidak bukan hanyalah sejenis benang yang keluar dari bontot beberapa ekor ulat. Alangkah remehnya!”.

Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Sa’id Al Khudri RAnhu bahawa Rasulullah SAW bersabda; .Sesungguhnya dunia ini manis lagi menarik, dan sesungguhnya Allah melantik kamu mengendalikannya, lalu Ia memerhatikan apa yang kamu lakukan, takutlah kepada Allah dari godaan dunia, dan takutlah kepada Allah dari godaan wanita. Sesungguhnya kemusnahan kaum bani Israil adalah berpunca daripada wanita”.

Kita sebagai orang yang beriman, kepercayaan kita terhadap hari pembalasan sering kita ulang-ulang dalam solat dan wirid yang kita amalkan; kita sering menyebut;Yang bermaksud “Allah yang memiliki hari pembalasan”, pada hari itu nanti tiada siapa pun yang dapat melepaskan diri dari ketentuan-Nya, itulah kalimah mulia yang jika dihayati ia dapat mengawal nafsu kita yang melanggar dan menyimpang dari ajaran dan perintah Allah. Kekuasaan-Nya, ketegasan-Nya, kehebatan dan kedahsyatan siksaan-Nya pasti akan dilalui oleh semua orang kecuali mereka yang telah mendapat keampunanNya.

Pasti anda sering mendengar ancaman Allah dalam surah Al Fajr ayat 25 dan 26:  “Maka pada hari itu tiada sesiapapun yang dapat menyeksa seperti azab (yang ditimpakan oleh) Allah. Dan tiada sesiapa pun yang dapat mengikat serta membelenggu seperti ikatan dan belenggu-Nya”.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita menghayati beberapa intisari yang akan kita bawa pulang hingga kita bertemu semula pada hari jumaat yang akan datang seperti berikut;

1. Umat Islam diseru supaya sentiasa ingat bahawa kehidupan kita di dunia ini akan berakhir dengan kematian. Dan sesudah itu kita akan berpindah kealam akhirat yang lebih kekal dan abadi.

2. Umat Islam diseru supaya terus menyedari bahawa kealpaan dan kelalaian akan mengheret kita kepada kesesatan.

3. Umat Islam diseru supaya sentiasa waspada bahawa kenikmatan di dunia yang Allah kurniakan adalah ujian bagi keimanan kita.

4. Umat Islam diseru supaya menghayati janji-janji Allah bahawa ganjaran yang sungguh lumayan pasti akan kita raih di alam akhirat nanti.

“Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hamba-Ku Yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku!” (al-Fajr ; 27-30).