October 31st, 2016

Haiwan ternak ‘turun’ dari langit?

MEMANG pelik jika dikatakan haiwan ternak seperti kambing, biri-biri, lembu dan unta asalnya turun dari langit. Semua sedia maklum bahawa semua binatang ini sudah sedia ada di bumi ketika kita dilahirkan. Bagaimana persoalan ini boleh timbul? Apa faedahnya berbincang perihal turun atau tidaknya haiwan ini? Sesiapa yang menelaah al-Quran pasti menemui perbincangan tentangnya.

Firman Allah: “Dia mencipta kamu daripada diri (spesis) yang satu (Adam), kemudian Dia menjadikan daripadanya - isterinya (Hawa); “dan Dia menurunkanuntuk kamu binatang ternak lapan ekor: (empat) pasangan (jantan dan betina).” Dia menciptakan kamu dalam kandungan ibu kamu (berperingkat-peringkat) daripada satu kejadian ke satu kejadian. Dalam tiga suasana yang gelap-gelita. Yang demikian (kekuasaan-Nya) ialah Allah Tuhan kamu; bagi-Nya kekuasaan yang mutlak; tiada Tuhan melainkan Dia; oleh itu bagaimana kamu dapat dipesongkan (daripada mematuhi perintah-Nya)?.” (al-Zumar [39:6]).


KEWUJUDAN haiwan ternak memudahkan manusia mengabdikan diri kepada Allah melalui ibadat korban, akikah. - GAMBAR HIASAN

Perkataan “dan Dia menurunkan untuk kamu” dalam ayat di atas memang menimbulkan perbincangan dalam kalangan ulama tafsir. Mudahnya terdapat dua pandangan mengenai maksud ayat di atas:

1 Turunnya haiwan ternak dalam ayat ini adalah suatu “kiasan dan bukannya hakiki.” Ini kerana kewujudan haiwan ternak di dunia ini berdasarkan kehendak dan takdir Allah yang ditetapkan di Luh Mahfuz atau kitab induk alam semesta. Urusan kewujudan haiwan ternak ini kemudiannya direalisasikan Allah di bumi. Oleh itu, kewujudan haiwan tersebut diibaratkan seperti “turun”.

Selain itu, ada juga pendapat mengatakan ia adalah kiasan kepada makanan haiwan yang berasal daripada tumbuhan bumi. Tumbuhan seperti rumput subur kerana hujan yang turunnya dari langit. Oleh itu, ia disifatkan sebagai turun dari langit kerana tanpa tumbuhan dan air hujan, ia tidak akan hidup atau wujud (Tafsir al-Alusi, Tafsir al-Razi dan Tafsir al-Qurtubi). Pandangan berkaitan makanan agak logik kerana apabila kemarau panjang, haiwan ternak antara makhluk yang sukar meneruskan hidup kerana ketiadaan makanan.

Jika diperhatikan, Allah juga menggunakan perkataan “turun” untuk pakaian manusia sebagaimana firman-Nya: “Wahai anak Adam! Sesungguhnya “Kami telah menurunkan kepada kamu” (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah daripada tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat-Nya kepada hamba-Nya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).” (al-A’raf [7:26]).

Ayat ini juga “suatu kiasan” kerana pakaian manusia berasal daripada pokok atau bulu binatang. Kedua-dua bahan itu pula tumbuh dan hidup kerana adunan air hujan yang turun dari langit dan tumbuhan yang menjadi makanan haiwan ternak (Tafsir al-Razi).


BESI TURUT TIDAK TERKECUALI

Bukan hanya haiwan ternak dan pakaian, Allah turut menggunakan “turun” pada besi:

“Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus para rasul Kami dengan membawa bukti dan mukjizat yang jelas nyata dan “Kami menurunkan bersama mereka kitab suci dan keterangan” yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan “Kami menurunkan besi” dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia. (Dijadikan besi dengan keadaan yang demikian, supaya manusia menggunakan faedah itu dalam kehidupan mereka seharian) dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang yang (menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan mempertahan agama Allah serta menolong para rasul-Nya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa,.” (al-Hadid [57:25]).

Ayat ini menjelaskan Islam ditegakkan dengan hujah daripada kitab dan dengan jihad yang digerakkan oleh besi. Setelah hujah kitab ditolak, besi memainkan peranan bagi menyekat manusia kufur. Ayat ini menyifatkan besi “diturunkan” kerana arahan jihad juga diturunkan Allah dari langit. Walaupun begitu perbincangan mengenai turunnya besi dalam ayat ini ada perbincangan khusus yang panjang lebar. Ia tidak akan disentuh di sini.

2 Haiwan ternak tersebut memang secara hakiki berasal dari langit atau syurga. Selepas dicipta di langit, ia diturunkan untuk mendiami bumi secara kekal. Ada juga para ulama berpandangan dengan pendapat ini. Ia dikiaskan kepada Nabi Adam a.s. yang asalnya di langit kemudian diturunkan ke bumi untuk menjadi khalifah. Ia turut berlaku kepada kambing, biri-biri, lembu dan unta pertama yang dicipta Allah (Tafsir al-Alusi, Tafsir al-Razi dan Tafsir al-Qurtubi). Walaupun begitu, Imam al-Alusi mengatakan pandangan ini tidak disandarkan pada nas yang sahih (Tafsir al-Alusi).

Apa yang penting bagi kita ketika meneliti ayat ini, bukannya sibuk mencari asal usul haiwan ternak tersebut tetapi mensyukuri segala nikmat kurniaan Allah untuk manusia di bumi. Bayangkan apa bakal terjadi jika semua haiwan ternak ini tidak wujud. Manusia pasti sukar menjalani hidup dengan tenang kerana tidak memiliki protein mencukupi bagi meneruskan hidup. Dengan kewujudan haiwan ternakan, tamadun manusia berkembang pesat. Kewujudannya juga memudahkan kita beribadat kepada Allah dengan ibadat korban, akikah dan sebagainya. Subhaanallah dan Alhamdulillah!


Isu: Haiwan ternak ‘turun’ dari langit

Terdapat dua pandangan ulama tafsir

1. Kiasan, bukannya hakiki


  • Makanannya di bumi iaitu rumput hidup bergantung kepada air hujan yang turun dari langit

  • Allah juga menggunakan perkataan ‘turun’ untuk pakaian manusia, kiasan kerana keperluan itu berasal daripada pokok atau bulu binatang yang hidup kerana adunan air hujan.

  • ’Turun’ turut dirujuk kepada besi (Surah al-Hadid, ayat25)

2. Haiwan ternak memang secara hakiki berasal dari langit atau syurga.


  • Ia dikiaskan kepada Nabi Adam a.s. yang asalnya di langit kemudian diturunkan ke bumi untuk menjadi khalifah.

  • Imam al-Alusi mengatakan pandangan ini tidak disandarkan pada nas yang sahih.

Rasulullah SAW pernah berpesan agar kita benar-benar menunaikan hak sesama Muslim dalam sabdanya: “Muslim sejati adalah orang yang selamatkan Muslim lainnya daripada (kejahatan) lidah dan tangannya,” - Sahih Bukhari dan Muslim.

Vaksin dan tuntutan maqasid syariah

SALAH faham dan kegusaran dalam masyarakat terhadap isu pemvaksinan menimbulkan polemik yang berterusan. Dalam dunia kesihatan hari ini, tidak dapat dinafikan bahawa pemberian suntikan vaksin kepada kanak-kanak adalah satu tahap atau proses yang penting untuk pencegahan penyakit berjangkit tertentu. Ini kerana pembasmian dan pengurangan kadar penyakit cegahan vaksin dalam kalangan kanak-kanak mampu meningkatkan jangka hayat dan kualiti hidup seseorang.

Dalam merungkai dilema ma­sya­rakat berkaitan pemvaksinan, selain usaha yang digembleng un­tuk meningkatkan kesedaran dan kadar liputan imunisasi, perlu juga ada penelitian dan pertimbangan hukum menurut kerangka maqasid syariah. Pertimbangan ini akan menentukan justifikasi ibu bapa dalam membuat pilihan sama ada menerima atau menolak vaksin. Walau apapun, sebagai umat Islam, perlu menilai dan memilih di antara perkara yang boleh membawa manfaat atau kerosakan kepada zuriat keturunan mereka seterusnya kepentingan masyarakat umum.



Pertembungan di antara maslahah (kebaikan) dan mafsadah (ke­rosakan) seringkali menjadi kayu ukur tentang sesuatu perkara. Maka, memilih perkara yang mendatangkan manfaat dan menolak kemudaratan adalah perkara yang dituntut dalam Islam selari dengan matlamat syariah yang digariskan iaitu jalbu al-masalih wa dar’u al-mafasid (meraih kemaslahatan dan menolak kemafsadatan). Walau bagaimanapun, penilaian dan penelitian yang khusus perlu dibuat untuk memperincikan baik buruk sesuatu perkara khususnya dalam isu pemvaksinan.

Objektif syariah adalah memen­tingkan kemaslahatan berbanding kemudaratan, maka implikasi yang timbul daripada pemvaksinan perlu diambil kira dalam mengaplikasikan maqasid syariah berkaitan isu yang diperkatakan. Namun, apabila terdapat dua manfaat yang bertembung, maka perlu diraikan kemaslahatan yang membawa kesan kepada kelompok masyarakat yang lebih besar berbanding kepenting­an individu. Terdapat segelintir masyarakat yang menolak vaksin kerana mempercayai gaya hidup sihat dapat mengelakkan daripada berlaku jangkitan penyakit. Maka, mereka cenderung untuk memilih mendapatkan rawatan alternatif serta mengambil suplemen yang dikatakan mempunyai fungsi me­ningkatkan imuniti badan ber­ban­ding pemvaksinan. Walau ba­­­­­­­gaimanapun, suplemen atau rawatan alternatif tidak berfungsi memberi kesan perlindungan kepada penyakit cegahan vaksin secara khusus.

Tambahan pula, rawatan alternatif belum dibuktikan memberi perlindungan menyeluruh sekaligus meningkatkan herd immunity berbanding pemvaksinan. Malah kesannya hanya bersifat pencegahan individu. Pemilihan rawatan alternatif/suplemen dan pemvaksinan adalah langkah pencegahan, namun telah terbukti pemvaksinan mampu meningkatkan antibodi dan menyumbang kepada perlindungan menyeluruh ke atas kelompok masyarakat sekaligus mempengaruhi status kesihatan awam keseluruhannya, bukan hanya melibatkan individu. Dalam konteks ini, Islam lebih menekankan kepentingan maslahah umum berbanding manfaat peribadi, maka usaha pemvaksinan lebih menepati objektif syariah itu sendiri.

Polemik penolakan vaksin secara tidak langsung akan melibatkan proses membuat keputusan yang adil bagi pihak ibu bapa terhadap status kesihatan anak-anak mereka. Pelbagai faktor yang akan mempengaruhi pilihan ibu bapa untuk menolak vaksin secara total atau menerima sesetengah jenis imunisasi untuk anak-anak. Ibu bapa yang menolak, menganggap vaksin mungkin berfungsi sementara waktu sedangkan anak-anak mereka terpaksa mengharungi kesan sampingan yang berpanjangan seperti alergi, demam akibat suntikan dan ini akan memudaratkan kesihatan anak-anak. Tetapi dari sudut lain, dilihat bahawa mening­galkan pemvaksinan akan memberi kemudaratan yang lebih besar apabila kanak-kanak terdedah kepada risiko penyakit yang hanya boleh dicegah melalui vaksin dan akan mengundang maut.

Tercetusnya pertembungan dua kemudaratan ini perlu dinilai im­plikasinya mengikut kaedah fiqh yang mengetepikan mafsadah yang lebih besar risikonya. Di antara dua kemudaratan tersebut, pengabaian dalam pengambilan vaksin lebih menatijahkan risiko yang besar ke­rana melibatkan kematian berban­ding mudarat kesan sampingan daripada pengambilan suntikan vaksin yang hanya bersifat sementara. Hal ini perlu dicermati oleh ibu bapa sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan vaksin.

Dalam isu pemvaksinan, timbul juga percanggahan antara kemaslahatan dan kemudaratan, kesan daripada pendapat dan persepsi beremosi dalam kalangan ibu bapa. Keengganan mereka yang berpaksikan hujah agama mencetuskan kesangsian terhadap usaha pemvaksinan. Segelintir ibu bapa menolak vaksin dengan alasan untuk mengelakkan daripada mengambil sumber haram (unsur babi) dan juga cenderung mengamalkan ‘makanan sunnah’. Pendapat ini mempunyai sisi kebaikannya. Namun, masyarakat perlu meletakkan kepercayaan kepada pihak berautoriti menjalankan tanggungjawab memastikan vaksin daripada sumber halal dan selamat. Sandaran ini akan memberi ketenangan fikiran dan langkah tersebut juga demi kemaslahatan umat Islam itu sendiri.

Amalan pemakanan sunah dan pengambilan makanan tambahan adalah salah satu usaha yang baik dalam memelihara kesihatan, tetapi pergantungan kepadanya semata-mata tidak mampu mengelakkan penyakit cegahan vaksin. Oleh itu, dalam hal ini menolak kemudaratan yang lebih besar adalah perlu didahulukan kerana pengabaian pemvaksinan akan melibatkan risiko kematian. Maka, pemberian vaksin perlu diutamakan dalam konteks ini selari dengan kaedah fiqh iaitu menolak mafsadah didahulukan daripada meraih maslahah.

Sesetengah ibu bapa sukar untuk menilai tahap teruknya pe­nyakit cegahan vaksin disebabkan penyakit tersebut masih lagi dalam fasa kawalan dan menganggap ancamannya tidak terlalu memudaratkan kehidupan mereka. Mereka juga keliru antara langkah pencegahan atau perubatan. Vaksin adalah satu langkah pencegahan khusus sebelum berlakunya penyakit tersebut dan memberi perlindungan imuniti manakala suplemen pula mampu mening­katkan daya pertahanan badan secara umum. Maka, kekeliruan ini perlu diatasi dengan merujuk kepada pihak yang berautoriti dan pakar yang berkelayakan untuk mengelakkan salah faham dan pengabaian dalam pengambilan vaksin yang boleh mendatangkan risiko kehilangan nyawa.

Penelitian dan penjelasan ber­kaitan vaksin menerusi perspektif maqasid syariah mampu merungkaikan dilema masyarakat pada hari ini. Ini menunjukkan bahawa Islam itu syumul dan mampu me­nyediakan jalan penyelesaian da­lam isu kontemporari disokong de­ngan kajian dan pembuktian se­cara ilmiah. Justeru, golongan agamawan dan profesional kesihatan seharusnya mengambil pera­nan untuk menyalurkan ilmu dan saling melengkapi antara satu sama lain dalam usaha meningkatkan kadar imunisasi dan kefahaman masyarakat. Malah menjadi tanggungjawab bersama untuk menerangkan kepada individu/masyarakat dalam membuat keputusan menerima atau menolak vaksin dengan mengaplikasikan pemahaman agama dan maqasid syariah supaya tidak menyebabkan kekeliruan dan salah tanggapan. Kesepakatan antara dua golongan tersebut dapat menghubungkan ilmu dan maklumat yang sahih dan berfakta demi kepentingan masyarakat.

Jangan mudah terpedaya nama ‘Islam’

SEKALI lagi rakyat Malaysia khususnya sebahagian orang Melayu terpedaya dan tertipu dengan skim cepat kaya. Kali ini lebih menarik kerana namanya ‘Islamic Hotel’.

Skim itu tidak ada bezanya dengan skim cepat kaya yang pernah wujud sebelum ini tetapi disebabkan ada nama Islam dan didakwa pula ada kaitan dengan Mekah maka ramai yang terpesona. Kesudahannya yang kaya orang lain, yang merana orang lain.

Sebenarnya sejak skim ini wujud, penulis menerima ajakan daripada beberapa rakan-rakan, tetapi penulis tidak berminat, walaupun ada antara mereka bercakap soal keberkatan kerana skim itu kononnya melibatkan pajakan hotel di Mekah.

Tetapi penulis tidak percaya kerana mana mungkin ada satu skim pelaburan yang boleh memberikan pulangan lumayan dalam masa singkat. Kalau ada skim seumpama itu bak kata orang, pasti ramai yang tidak payah bekerja, cari modal untuk melabur dan setiap bulan tunggu sahaja pulangannya.

Bagaimanapun ramai dalam kalangan orang Melayu yang masih percaya. Oleh kerana ingin kaya cepat dan mahu hidup mewah, maka mereka sudah tidak fikir kesan jangka masa panjang, apatah lagi skim itu ada pula perkataan ‘Islam’ dan ‘Mekah’.

Penulis difahamkan ramai yang ‘terduduk’ apabila mereka mengetahui skim tersebut hanyalah satu penipuan. Ada yang sampai jatuh sakit maklumlah pelaburan yang dibuat bukanlah sedikit sebaliknya melibatkan puluhan ribu ringgit manakala ada sehingga RM200,000.

Tetapi apa boleh buat mereka yang memilih jalan tersebut, walaupun pihak polis sudah berkali-kali mengingatkan bahaya skim pelaburan seumpama itu, namun sebahagian orang Melayu seolah-olah tidak pernah dan tidak akan serik.

Bayangkan mereka boleh mempertaruhkan wang mereka kepada satu pelaburan melalui ejen atau wakil tanpa hitam putih, maknanya kalau berlaku sesuatu mereka tidak boleh menuntut apa-apa, tetapi disebabkan kononnya mahu mencari keberkatan de­­ngan melabur di Ta­nah Suci Mekah, maka perbuatan yang ‘dianggap bodoh’ itu dilakukan.

Apa yang paling malang, ada pula orang Melayu yang sanggup memperdayakan orang Me­layu lain dengan menjadi ‘ejen’ kepada skim pelaburan tersebut. Bagi penulis, orang seperti ini tidak bertanggungjawab dan menanggung dosa kerana mengajak orang terlibat dalam satu skim yang meragukan. Dalam Islam perkara yang me­ragukan adalah haram dan harus ditinggalkan.

‘Ejen’ inilah bertanggungjawab menyebabkan ribuan orang sengsara dan tertipu. Mereka memainkan peranan untuk mempromosikan skim haram tersebut melalui hujah-hujah yang kalau orang dengar ‘boleh meleleh air liur’.

Sepatutnya pelabur-pelabur yang terpedaya memburu ejen-ejen tersebut dan menuntut mereka membayar ganti rugi kerana merekalah yang bertanggungjawab mempromosikan skim itu. Paling tidak pun buatlah laporan polis supaya ejen terlibat didakwa bersubahat mempromosikan ‘satu penipuan’.

Kini skim itu ‘sudah runtuh’ mengikut kenyataan polis, lebih 150,000 individu di negara ini dipercayai terjerat dan melibatkan kerugian mencecah RM450 juta. ‘Tahniahlah’ kepada orang Melayu yang sudah tentu ada sebahagian besar mereka mengeluh kos sara hidup meningkat tetapi pada masa sama sanggup ‘memperjudikan’ wang simpanan mereka untuk skim tipu seumpama itu.

Hakikatnya, kita sudah tidak tahu apa lagi nasihat yang mahu diberikan kepada sebahagian orang Melayu, cuma boleh menyatakan cukup-cukuplah memperbodohkan atau memperdayakan diri dengan skim seumpama itu. Dalam Islam, perkara yang meragukan adalah haram dan harus ditinggalkan.

Malangnya, sebahagian orang Melayu sudah menjadi tamak, mahu hidup mewah dan menambah pendapatan melalui skim cepat kaya, tetapi akhirnya mereka bagaikan dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Dari segi penguatkuasaan pula, seperti mana kata satu sumber, adalah wajar kes seumpama ini dikendalikan oleh satu gabungan agensi yang melibat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Sekuriti, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta beberapa agensi lain.

“Lupakan dulu soal bidang kuasa siapa patut menyiasat, sebaliknya tumpu kepada usaha pencegahan kerana itu le­bih baik daripada habis punah baru hendak bertindak,” kata sumber berkenaan ketika dihubungi.

Selain itu, masanya sudah tiba untuk kerajaan memikirkan penggubalan undang-undang bagi mengenakan hukuman lebih berat kepada penganjur-penganjur skim cepat kaya yang sememangnya berhasrat untuk menipu orang ramai. Kalau mereka tahu skim itu boleh mendatangkan kekayaan berlipat ganda, kenapa perlu mengajak orang lain, lebih baik kayakan diri sendiri sahaja.

Tidak usahlah berhujah kononnya untuk membahagi-bahagikan rezeki atau kekayaan, semua itu hanyalah hujah untuk menipu orang. Sekarang apa yang berlaku si penganjur mengaut kekayaan manakala si pelabur ‘menangis tak berlagu’.

Dalam keadaan sikap sebahagian orang Melayu mahu hidup mewah dan kaya cepat tanpa perlu berbuat apa-apa maka penganjur (penipu) skim cepat kaya sentiasa merasakan mereka ada peluang untuk melakukan penipuan.

Atas sebab itulah undang-undang perlu diperketatkan dan hukuman lebih berat diperuntukkan agar memberi amaran kepada golongan seumpama itu supaya jangan mencari kekayaan melalui cara haram dan pada masa sama memberi peringatan kepada orang Melayu, bahawa tidak mudah untuk kaya kecuali berusaha dengan tulang empat kerat dan akal yang diberikan oleh Allah SWT.

Ingatlah, janganlah terpedaya dengan sesetengah perkara atau aktiviti yang dikaitkan dengan Islam, Mekah mahupun Madinah, memandangkan itulah ‘senjata’ yang akan digunakan oleh sesetengah pihak bagi menipu orang Melayu. Jadikanlah ‘Islamic Hotel’ sebagai pengajaran kerana tidak semua yang menggunakan nama Islam itu betul seperti mana kegilaan puak militan ‘Islamic State’. Zulkiflee Bakar Utusan Malaysia Rencana 31 Oktober 2016 6:30 PM

Ramai cetek undang-undang keluarga

KURANG pengetahuan mengenai undang-undang keluarga Islam dan pelbagai kerumitan prosedur mahkamah antara punca wanita mendiamkan diri untuk membuat sebarang tuntutan berkaitan hak mereka. Exco Persatuan Peguam Muslim (PPMM),

Siti Razasah Abd Razak, berkata wanita seharusnya mengambil tahu mengenai undang-undang keluarga Islam sebagai persediaan atau 'perisai' apabila berhadapan dengan sesuatu masalah termasuk masalah rumah tangga.

Katanya, kebanyakan wanita berkahwin cetek mengenai aspek perundangan dan apabila berlaku sebarang konflik atau kematian pasangan masing-masing mereka hilang arah.

Kesedaran masih rendah

"Apabila berhadapan konflik dan melakukan tuntutan tertentu seperti harta sepencarian dan mahkamah perlukan bukti tertentu, pada saat itu mereka menganggap mahkamah cuba merumitkan keadaan, sedangkan itu adalah prosedur yang perlu dipatuhi," katanya kepada BH.


MAHKAMAH Syariah institusi yang turut membicarakan undang-undang keluarga Islam. - Foto Ghazali Kori

Beliau mengulas mengenai kesedaran wanita mengenai aspek perundangan keluarga di negara ini yang dikatakan masih rendah hingga menyebabkan ramai wanita membuat andaian prosedur mahkamah merumitkan.

Siti Razasah yang juga peguam syarie, berkata kefahaman mengenai perundangan keluarga Islam perlu didedahkan ketika mengikuti kursus praperkahwinan, selain memperbanyakkan program celik perundangan, kempen dan seminar di media massa.

Buka minda

"Apabila isu berkaitan ini sering diperbincangkan, secara tidak langsung ia membuka minda ramai mengenai isu kekeluargaan.

"Dengan adanya ilmu kita bukan sahaja lebih bersedia melalui proses perundangan, kurang menyalahkan pihak ketiga termasuk suami dan prosedur mahkamah ketika melakukan sesuatu tuntutan," katanya.

Beliau menyarankan setiap bakal pengantin menduduki ujian ringkas mengenai topik yang mustahak untuk setiap pasangan supaya mereka faham perkahwinan bukan sekadar membina rumah tangga dan hal peribadi, tetapi tertakluk kepada perundangan melindungi ahlinya.

Siti Razasah menganggarkan lapan daripada 10 wanita tidak tahu mengenai perundangan termasuk mereka yang berpendidikan tinggi. "Masalah kekeluargaan membabitkan emosi, tidak menyeronokkan dan menjemukan menyebabkan sesetengah wanita tidak mahu ambil pusing," katanya. Beliau berkata, perceraian membabitkan banyak kes iaitu meliputi tuntutan nafkah, edah, nafkah tertunggak isteri masa dalam perkahwinan, hak penjagaan anak, harta sepencarian dan sebagainya.

Takut dilabel terlalu berkira

Selain rumit, ada wanita yang tidak mahu mengambil tahu mengenai perundangan kerana takut dilabelkan terlalu berkira. "Contohnya, isu nafkah isteri dan anak wajib disediakan suami. Wanita cenderung reda dengan apa yang diterima, asal sahaja kehidupan rumah tangga bahagia. Bagaimanapun, selepas berlaku perselisihan faham atau perceraian mereka baru sedar keperluan mengetahui mengenai perundangan keluarga. "Ketika dilanda musibah mereka mula mendapatkan pelbagai maklumat mengenai prosedur membawa kes ke mahkamah," katanya.

Terap budaya integriti dalam kehidupan

PERBENDAHARAAN kata integriti pada asalnya bukanlah merujuk kepada konsep yang ada hubung kait dengan kehidupan manusia. Menurut kamus Oxford, perkataan ini yang berakar umbi dari kata adjektif bahasa Latin integer diguna pakai asalnya untuk menggambarkan keutuhan sesuatu struktur atau binaan.

Hanya pada 1659, kosa kata ini diperluaskan penggunaannya untuk membezakan konsep benar dan salah dalam kehidupan manusia.

Pelbagai definisi integriti mula diketengahkan antaranya sebagai kualiti kejujuran dan ketinggian prinsip moral yang dipegang oleh seseorang individu.

Selain itu, integriti turut ditakrifkan sebagai tahap konsistensi antara nilai moral yang dipegang seseorang individu dengan cerminan tingkah laku (perkataan atau perbuatan) yang ditunjukkannya.

Analogi mengenai penilaian kendiri integriti - yang masih diingat penulis ketika menghadiri kursus Training of Trainers (TOT) sejurus Pelan Integriti Nasional (PIN) dilancar pada 2004 - adalah dengan membayangkan situasi di persimpangan lampu isyarat pada jam 2 pagi, ketika lampu merah menyala dan tiada sesiapa di situ kecuali diri anda sendiri.

Bermoral dan beretika

Individu yang berintegriti akan tetap mematuhi peraturan, kerana takrif integriti memerlukan individu bertingkah laku berdasarkan prinsip moral dan nilai etika, tanpa mengambil kira, sama ada dilihat ataupun tidak.

Justeru, untuk menjadi manusia yang berintegriti memerlukan seseorang individu itu menjadi manusia bermoral dan beretika dalam semua aspek kehidupan.

Dalam aspek tadbir urus dan pentadbiran organisasi misalnya, keruntuhan integriti menyebabkan berlaku pelbagai kepincangan seperti peningkatan amalan rasuah dan pecah amanah.

Tidak kira, sama ada dalam organisasi awam mahupun swasta, pemegang jawatan ataupun pekerja yang tidak memiliki integriti diri yang tinggi akan sentiasa mencari peluang melakukan penyelewengan demi kepentingan peribadi, tanpa memikirkan implikasi terhadap imej organisasi dan negara.

Ketirisan maklumat organisasi dan aktiviti yang meningkatkan indeks persepsi antarabangsa terhadap kemampuan negara membendung amalan korupsi adalah contoh implikasi negatif yang didorong oleh perbuatan warga kerja tidak berintegriti.

Dalam aspek pendidikan pula, tindakan individu tidak berintegriti boleh mencemar kesucian bidang yang sangat penting untuk membangunkan modal insan negara.

Perbuatan seperti melakukan plagiat, memanipulasi kelayakan akademik dan sebagainya menjejaskan reputasi si pelaku serta mengakibatkan kualiti sistem pendidikan negara pada semua peringkat dipertikaikan.

Natijahnya, persekitaran pendidikan yang seharusnya menjadi lapangan untuk menerapkan nilai moral dan etika yang tinggi dalam diri generasi muda negara, hari ini turut dinodai oleh perbuatan individu tidak berintegriti.

Dalam konteks kepemimpinan pula, integriti menjadi teras yang sangat penting untuk dijadikan asas penilaian kepada keberkesanan barisan kepemimpinan semasa dalam apa jua situasi. Seseorang pemimpin yang berintegriti bukan sahaja perlu 'bersih', tetapi juga perlu kelihatan 'bersih' pada sebilang masa.

Dalam sejarah peradaban manusia, terlalu banyak contoh menunjukkan kejatuhan pemimpin yang tidak berintegriti atau yang terpalit dengan isu dan skandal yang tidak dapat dipastikan kebenarannya.

Integriti pemimpin

Tuntasnya, integriti pemimpin yang boleh dipersoal akan menyebabkan integriti organisasi atau kumpulan manusia yang dipimpinnya turut dipertikaikan.

Pada masa sama, dilema dihadapi pengikut adalah sejauh mana perlunya mereka untuk terus taat dan setia kepada pemimpin yang memiliki integriti diri yang meragukan.

Kesimpulannya, membentuk diri untuk menjadi seorang individu berintegriti bukan mudah. Namun, setiap individu yang inginkan kelangsungan kehidupan cemerlang pada masa hadapan perlu berusaha sedaya mungkin untuk memperkukuh integriti diri sendiri dan individu di bawah tanggungjawab masing-masing.

Memetik kata-kata cendekiawan Albert Einstein "integrity without knowledge is weak and useless, and knowledge without integrity is dangerous and dreadful...".

Jadi, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memperkasa dan membudayakan amalan integriti dalam semua aspek kehidupan bagi memastikan negara kita sentiasa ditunjangi ahli masyarakat madani yang memiliki integriti diri yang tinggi. Dr Abu Yazid Abu Bakar Berita Harian Rencana 31 OKTOBER 2016 @ 9:19 AM

Berfikir aras tinggi kunci kejayaan

HUJJATUL Islam Imam Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin mendefinisikan akal sebagai sumber ilmu, tempat timbul dan sendi ilmu. Ilmu itu berlaku daripada akal seperti buah daripada pohon kayu, sinar daripada matahari dan penglihatan dari mata.

Akal ialah satu senjata atau kekuatan pemberian Allah SWT yang amat berharga kepada setiap insan. Antara seluruh makhluk ciptaan Allah SWT, manusialah golongan yang paling sempurna, terindah, terbaik, dan terhormat sekalipun manusia bukan makhluk terbesar atau tertinggi.

Hal ini diterangkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menjadikan manusia dalam bentuk sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaan." (Surah at-Tin, ayat 4)

Menerusi perbincangan bertajuk 'Fikir Aras Tinggi' dalam rancangan Pesona D'Zahra di IKIMfm, Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin menggariskan tiga tahap cara manusia berfikir.




Pertama, manusia yang berfikiran rendah biasanya sering berkeluh-kesah mengenai kekurangan dan permasalahan sedang ia hadapi.

Selain itu, individu memiliki tahap cara berfikir seperti ini dilihat sebagai seorang yang suka mencari alasan dan memberi komen negatif pada sesuatu perkara. Individu yang memiliki tahap berfikir seperti ini kebiasaannya mengungkapkan perkataan seperti 'kalau', 'tidak boleh' atau 'mana boleh'.

Dalam erti kata lain, mereka tidak mahu berfikir lebih daripada itu dengan alasan tidak mahu penat berfikir.

Biarlah orang lain fikirkan. Oleh itu, bertindaklah untuk menghentikan perbuatan itu disebabkan mengeluh tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya hanya akan membuang waktu dan tenaga.

Seperti dinyatakan oleh pengarang buku Secrets of Millionaire, T Harv Eker menjelaskan mengeluh hanya akan menambah masalah anda. Mereka yang berfikir secara sederhana pula disifatkan sebagai kurang mengeluh terhadap sesuatu perkara sebaliknya, mereka gemar membicarakan mengenai sesuatu peristiwa dan kejadian.

Latih minda berfikir aras tinggi

Apabila berhadapan dengan satu peristiwa, mereka hanya mengemukakan pandangan tanpa mencari jalan penyelesaian serta kurang peduli mengambil iktibar daripada peristiwa itu.

Sesungguhnya, permulaan kejayaan ialah apabila kita berfikir mengenai kejayaan. Permulaan untuk berubah ialah berubahnya cara berfikir.

Dengan itu, tidak hairanlah individu yang menjana dan melatih minda ke arah berfikir aras tinggi dianggap sebagai individu mempunyai wawasan tinggi untuk melakar kejayaan. Ini terbukti apabila mereka mempunyai sifat kepekaan dan kesungguhan dalam melaksanakan tanggungjawab diamanahkan.

Individu memiliki tahap pemikiran aras tinggi sentiasa meletakkan kepercayaan bahawa pemimpin adalah seorang yang memegang amanah.

Maka, apa yang terletak di bawah perlindungannya perlu dibangunkan dan dijaga kepentingan serta kemaslahatan secara adil mengikut tuntutan agama.

Daripada Ibnu Umar, Nabi SAW bersabda: 'Ketahuilah, setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan setiap daripada kamu akan diminta pertanggungjawaban terhadap apa yang dipimpin.' (Riwayat Bukhari)

Antara ciri individu yang mempunyai tahap pemikiran sebegini, sentiasa melakukan perancangan teliti. Amat jarang kita jumpa orang yang berjaya, tiba-tiba sahaja dia berjaya tanpa perancangan.

Rahsia kecil kebanyakan yang berjaya ialah mereka melakukan perubahan kecil ke arah matlamat dan perancangan setiap hari.

Dalam institusi keluarga, disarankan ibu bapa mempelajari dan menyuburkan kaedah mendidik anak supaya berfikir aras tinggi.

Dalam menangani cabaran mendidik anak generasi berilmu, tidak dapat dinafikan ilmu pengetahuan memainkan peranan besar.

Secara umumnya, segala yang dilihat dan didengar oleh kanak-kanak daripada persekitarannya adalah pendidikan baginya kerana kanak-kanak pada awal umur tidak dapat membezakan yang baik dan buruk.

Didik anak bersyukur

Oleh itu, menjadi peranan ibu bapa memberi tunjuk ajar dan bimbingan kepada anak supaya tidak terpengaruh anasir yang tidak sepatutnya oleh rakan sebaya.

Di samping itu, bagi melahirkan anak berfikir aras tinggi, dinasihatkan mendidik mereka sentiasa mensyukuri nikmat dianugerahkan Allah SWT.

Sebagai khalifah di muka bumi ini, cubalah membentuk diri menjadi manusia yang berfikir aras tinggi. Kita adalah apa yang kita fikirkan mengenai diri kita.

Bak kata pujangga, "Orang yang berminda kecil membicarakan mengenai orang lain; orang yang berminda sederhana membicarakan mengenai peristiwa dan kejadian; dan orang yang berminda besar membicarakan mengenai idea dan keilmuan."