November 1st, 2016

Berfikiran singkat, mudah hukum rugikan ummah

SEBAHAGIAN masalah sikap kita adalah kerap hukum secara pukal dan mengabaikan big picture. Sebagai contoh apabila Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau naik, dipuji beramai-ramai kerana tidak berjabat tangan dengan wanita Islam, mudah bercampur dan makan bersama masyarakat Muslim di masjid, mudah berjumpa orang ramai dan lain-lain.

Tiba-tiba apabila dia pakai kopiah yahudi dan sokong Israel, semua beralih serta-merta menjadi maki hamun pula. Didapati agak ramai yang berpendirian seperti 'lalang', pendiriannya sendiri berubah-ubah hingga mudah menzalimi orang yang dihakimi secara singkat.

Kerap saya terbaca di laman beberapa ilmuwan agama, yang disanjung pengikutnya dan diambil manfaat sejak bertahun-tahun, tiba-tiba, apabila ilmuwan itu keluarkan kenyataan dilihat berlainan daripada kehendaknya atau arus perdana, terus dikatakan 'dah tak respect ustaz', 'ustaz sampah', 'ustaz dah kena beli' dan lain-lain.

Walaupun ilmuwan itu mempunyai hujah, mereka enggan menilainya dengan pemikiran terbuka dan adil. Semuanya disebabkan pemikiran disempitkan sentimen kepartian, aliran yang diikuti atau hasutan mudah netizen.

Demikianlah tabiat dan ciri pemikiran lalang. Sungguh goyah asasnya, cepat buat rumusan lagi mudah berubah ikut arus.

Contohnya: Ada seseorang yang dilihat pendapatnya seiring kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam suatu isu, lalu secara pukal, penyokong pembangkang akan menuduhnya 'penyokong BN', walau jika dikaji banyak lagi pendapatnya mengkritik BN atau sifatnya sebagai pemikir bebas atau ahli akademik yang kerap beri cadangan konstruktif.

Atau mungkin juga pandangannya bersamaan dengan pendirian PAS, PKR atau pembangkang dalam suatu isu, maka dengan cepat pula, pihak parti kerajaan akan menganggapnya sebagai ikon pembangkang sehingga lebih teruk lagi apabila wujud pihak berjawatan besar dan pengampu parti kerajaan yang mula mengganggu lebih serius dengan mengenakan pelbagai sekatan atau ditukar kawasan bertugas dan sepertinya. Walau mungkin banyak juga pendapatnya yang menyokong dasar BN.

Atau tersama atau kelihatan menyokong Parti Amanah Negara (PAN) dalam isu tertentu, maka penyokong tegar parti PAS atau parti kerajaan akan secara pukal mendakwa 'dia penyokong PAN', wajib dipinggirkannya.

Beza aliran kefahaman

Itu hal ehwal politik kepartian, budaya tidak sihat dan kurang intelek ini berleluasa tidak kira dari mana parti sekalipun, kelihatan trend ini kuat menapak.

Dalam isu perbezaan aliran kefahaman ilmu Islam pula, perkara hampir sama berlaku. Sebagai contoh: Jika seorang ilmuwan agama yang satu dua pandangannya berkaitan hukum fikah kelihatan berlainan sedikit daripada kebiasaan, pihak pemegang amalan agama secara tradisi di Malaysia akan secara pukal melabelnya wahabi.

Lebih dahsyat lagi apabila dipakejkan wahabi itu sesat, potensi pengganas dan lain-lain hukuman secara pukal yang melampau. Padahal geng dilabel wahabi lain tidak pernah iktiraf ilmuwan tadi termasuk dari kalangan mereka kerana banyak berbeza dari serupa.

Lalu, kedua-dua aliran anggap ilmuwan ini 'musuh' dan di luar kelompok mereka. Sebagai contoh yang diringkaskan dalam bentuk lebih jelas adalah seseorang yang: Mengkritik kerajaan/BN, dalam beberapa hal tidak semestinya 'macai' pakatan pembangkang. Mengkritik pakatan pembangkang dalam beberapa isu, tidak semestinya 'macai' BN.

Sependapat dengan geng dilabel Wahabi dalam beberapa isu, tidak semesti penyokong idea dan manhaj wahabi dalam semua perkara.

Sependapat dengan aliran Ash'ary dalam beberapa isu, tidak semestinya penyokong Ash'ary dalam semua hal.

Sependapat dengan Sufi Tarekat dalam beberapa isu, tidak semestinya penyokong Sufi dalam semua perkara.

Sependapat dengan Sekularis Liberalis Barat dalam beberapa isu, tidak semestinya penyokong Liberal dalam semua hal.

Berpendapat bukan Islam boleh menggunakan kalimah Allah kepada kristian di Malaysia, tidak semestinya dia penyokong murtad.

Membantah penggunaan kalimah Allah oleh kristian dalam bahan terbitan mereka tidak semestinya extremis agama. Dan banyak lagi. Akhirnya kita lebih cepat mencipta musuh daripada berukhuwah, bertoleransi dan berkawan.

Mencipta the others dengan sangat mudah dan pantas, kemudian kita habiskan masa 'bertempur', berduka cita dan stres dengan perkara tidak pasti, semua akibat pemikiran singkat kita sendiri yang mudah menjatuhkan hukuman dan label terhadap seseorang.

Pada era sumber maklumat dan ilmu bercambah dengan hebatnya ini, sewajarnya kita jadi lebih adil dan insaf menilai seseorang, lalu lebih sabar dan rajin mencari bigger picture terhadap apa yang dikatakan oleh seseorang bercirikan ilmuwan dan pemikir.

Itu lebih baik daripada tergesa-gesa buat tuduhan atau anggap seseorang itu 'jahat' atau 'baik', 'penyokong' atau 'penentang' hanya secara pukal.

Penilaian lebih adil dan berpijak atas kebenaran perlu diterapkan dalam masyarakat hari ini.

Perbezaan pasti terus wujud, perjuangan kita bukan hanya untuk yakinkan orang dengan apa yang kita yakini sahaja, tetapi juga perjuangan untuk terus faham dan tahu kaedah terbaik urus perbezaan fikiran dan pendekatan.

Tindakan melabel, mengkelas-kan seseorang secara tergesa-gesa hanya merugikan umat Islam dan melemahkan kekuatannya. Mencantas sebarang perbezaan pemikiran walaupun perbezaan itu berdiri atas rasional dan hujah hanya akan menghasilkan umat yang lemah, bantut pemikiran serta lemah kualiti.