November 10th, 2016

Kejujuran dalam kehidupan

Apakah pentingnya berkata benar dan jujur itu dalam hidup seseorang?

JAWAPAN: Apabila saya amati soalan diatas, teringat saya pada pantun melayu menyatakan "siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri. Kehidupan seorang manusia tidak akan terlepas dari kesusahan dan ujian dan ramai antara manusia ini lebih cenderung untuk menipu sebagai pilihan.

Hakikatnya pilihan ini adalah salah sama sekali. Apabila kita tidak bercakap benar, pada masa hadapan tidak mustahil kita akan mencuri (khianat) dalam apa jua termasuk dalam hubungan kita dengan orang lain.

Dari Abdullah bin Mas’ud RA, dia berkata: “Rasulullah SAW bersabda, "Hendaklah kalian selalu berlaku jujur, kerana kejujuran membawa kepada kebaikan, dan kebaikan membawa seseorang ke Syurga.

Dan apabila seorang selalu berlaku jujur dan tetap memilih jujur, maka akan dicatatkan di sisi Allah bahawa dia sebagai orang yang jujur. Dan jauhilah oleh kalian membuat pendustaan, kerana dusta membawa seseorang kepada kejahatan, dan kejahatan membawa seseorang ke Neraka. Dan jika seseorang sentiasa berdusta dan memilih kedustaan maka akan dicatat di sisi Allah bahawa dia sebagai pendusta (pembohong)." (HR Bukhari dan Muslim)

Setiap amalan yang kita lakukan dan tutur kata yang kita katakan akan dinilai dihadapan Allah ketika di Mahkamah Agung Hakiki nanti. Ia termasuklah setiap amalan dusta atau kejujuran yang kita kerjakan. Jika timbangan amal keburukan lebih berbanding kebaikan sudah semestinya azab yang menanti, akan tetapi jika amalan kebaikan yang lebih maka nikmat syurga yang tiada bandingan hebatnya menanti.

Islam menuntut kita supaya jujur dalam apa jua yang kita lakukan termasuk jika akibat kita berlaku jujur itu pahit kesannya. Imam al-Ghazali membahagikan sifat jujur atau benar (siddiq) sebagai berikut.

1. Jujur dalam niat atau berkehendak maksudnya adalah tiada dorongan bagi seseorang dalam segala tindakan dan gerakannya selain kerana dorongan dari Allah SWT.

2. Jujur dalam perkataan (lisan), iaitu sesuainya berita yang diterima dengan berita yang disampaikan. Setiap orang harus memelihara perkataannya. Dia tidak berkata kecuali kata-kata yang jujur. Barangsiapa yang menjaga lidahnya dengan selalu menyampaikan berita yang sesuai dengan fakta yang sebenarnya, ia termasuk jujur jenis ini.

Menepati janji juga termasuk jujur jenis ini.

3. Jujur dalam perbuatan/amaliah, iaitu beramal dengan bersungguh-sungguh sehingga perbuatan akhirnya tidak menunjukkan sesuatu yang ada dalam batinnya dan menjadi tabiat bagi dirinya. Pentingnya berkata benar atau jujur dalam Islam hingga disebutkan dalam Al-Quran. Allah SWT berfirman; "Wahai orangorang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah Swt. dan ucapkanlah perkataan yang benar.” (Al-Ahzab/:70).

Dalam ayat diatas dapat diamati bahawa untuk mencapai tahap keimanan yang hakiki mestilah bertakwa kepada Allah dan untuk mencapai takwa kepada Allah itu mestilah kita wajib berkata benar dalam apa jua tindakan dan perkataan kita.

Jujur merupakan sikap yang tulus dalam melaksanakan sesuatu yang diamanahkan, baik berupa harta mahupun tanggungjawab.

Orang yang melaksanakan amanah disebut al-Amin, yakni orang yang dipercayai, jujur, dan setia. Dinamakan al-Amin kerana segala yang diamanahkan kepadanya menjadi selamat dan terjamin dari segala bentuk gangguan, baik gangguan yang datang dari dirinya sendiri mahupun dari orang lain.

Sifat jujur dan benar merupakan sesuatu hal yang sangat penting dalam segala aspek kehidupan seperti dalam kehidupan rumah tangga, perusahaan, perniagaan, dan hidup bermasyarakat. Sifat-sifat dan akhlaknya yang sangat terpuji merupakan salah satu faktor yang menyebabkan Nabi Muhammad SAW berjaya dalam membangunkan masyarakat Islam. Salah satu sifatnya yang menonjol adalah kejujurannya sejak masa kecil sampai akhir hayat baginda sehingga dia mendapat gelaran al-Amin (orang yang dipercayai atau jujur). Insan yang jujur dan amanah ini juga pernah berpesan kepada umatnya: Dari Ibnu Mas’ud RA ia berkata : Rasulullah SAW bersabda: “Wajib ke atasmu berlaku jujur, kerana sesungguhnya kejujuran itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu membawa ke syurga. Dan terus-menerus seseorang berlaku jujur dan memilih kejujuran sehingga dicatat di sisi Allah sebagai orang yang jujur. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana sesungguhnya dusta itu membawa kepada kederhakaan, dan derhaka itu membawa ke neraka. Dan terus menerus seorang hamba itu berdusta dan memilih yang dusta sehingga dicatat di sisi Allah sebagai pendusta”. (HR. Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan Tirmidzi.)

Sebagai umat Islam yang cintakan Rasulnya yang benar dan menyebarkan kebenaran, tidak sepatutnya kita pula yang tidak berkata benar atau berdusta.

Ia sama sekali bercanggah dari apa yang diperjuangkan oleh baginda SAW. Apakah kita mahu lihat Islam itu dipandang hina dan hancur akibat dari tingkah laku dan sifat kita sendiri?. cukuplah fitnah yang begitu banyak dilemparkan oleh musuh Islam sebelum ini janganlah kita pula yang menambah rempah ratus dalam masakan bangkai fitnah kepada agama kita sendiri.

Sebelum mengakhiri kalam penulisan ini, saya mengajak pembaca semua untuk menanam sikap benar dan jujur dalam kehidupan. Itulah prinsip kejayaan Rasulullah SAW sebelum baginda dilantik menjadi Rasul lagi.

Membangun dan majunya Islam itu juga kerana masyarakatnya hebat dalam benar dan jujur dalam pekerjaan serta ibadat mereka. Ia terbukti apabila Islam pernah menjadi hebat dalam pelbagai ilmu dan menjadi rujukan oleh pihak barat. Adakah kerana faktor lain?. Tidak, ia adalah kerana kejujuran dan kebenaran dalam hati yang membenarkan perlakuan dan perbuatan. Rasulullah SAW bersabda: "Dari Anas RA, dia berkata : Rasulullah SAW bersabda : “Tidak akan lurus iman seorang hamba sehingga lurus hatinya, dan tidak akan lurus hatinya sehingga lurus pula lisannya. Dan tidak akan masuk syurga orang yang (membuat) tetangganya itu tidak aman dari kejahatannya” (HR. Ahmad)

Marilah kita hidupkan kembali sifat yang terpuji, didikan baginda Rasulullah SAW kepada kita. Tidak sukar berkata benar dan tidak menjadi masalah untuk jujur dalam segenap amalan. Buktikanlah bahawa kita di pihak yang benar dengan kebenaran kerana agama kita agama yang benar dan diredhai.

Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya lelaki dan perempuan yang muslim, lelaki dan perempuan yang mukmin, lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, lelaki dan perempuan yang siddiqin (BENAR), lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang khusyuk, lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah Telah menyediakan untuk mereka keampunan dan pahala yang besar”. (Al-Ahzab: 35).

Wallahualam.

Bersangka baik bila berdepan ujian

SURAH al-Baqarah menerangkan manusia tidak akan terlepas daripada ujian hidup.

Bagaimanapun ujian kehidupan membawa hikmah dan pengajaran tertentu jika manusia hadapinya dengan sabar. Ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam rancangan Islam Itu Indah di IKIMfm berkongsi empat keadaan hidup manusia ketika membicarakan topik Saat Diri Diuji.

Kebaikan dikurniakan Allah SWT amat mahal harga dan nilainya. Janganlah dipandang remeh kerana Allah SWT tidak pernah melihat kebaikan itu sebagai satu yang terpinggir daripada hidup manusia.

Kebaikan sudah tentu membawa kebahagiaan, manakala keburukan membawa kepada dugaan, cabaran serta ujian.


KESIHATAN baik nikmat yang perlu dihargai.
Disebabkan ujian kehidupan membawa hikmah dan pengajaran tertentu, Ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam rancangan Islam Itu Indah di IKIMfm berkongsi empat keadaan hidup manusia ketika membicarakan topik 'Saat Diri Diuji'.

Empat keadaan itu ialah taat, maksiat, nikmat dan ujian musibah yang semuanya perlu ditangani dengan baik untuk menyelamatkan manusia daripada kancah bahaya.

Kita perlu tahu cara mendepaninya kerana selagi hidup, manusia tidak terlepas daripada ujian.

Kerap kalinya ujian dilihat sebagai masalah, tetapi Islam mentafsirkan masalah sebagai ujian.

Menghadapi ujian ibarat berada dalam dewan peperiksaan, kegagalan bukan disebabkan salah soalan tetapi jawapan salah yang diberi.

Jika ujian hidup dapat dilalui, Insya-Allah kita akan dapat kebaikan yang disediakan oleh Allah SWT iaitu mendapat amal terbaik.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar: (Iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jugalah kami kembali. Mereka itu ialah orang yang dilimpahi pelbagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya." (Surah al-Baqarah, ayat 155)

Tersemat hikmah

Perkara pertama yang perlu dilakukan apabila menerima ujian adalah bersangka baik dengan Allah SWT. Apa juga takdir-Nya mengikut tauhid Islam, Allah SWT itu Maha Baik dan Maha Mengetahui tiap sesuatu yang berlaku terhadap kita.

Kebaikan Allah SWT tidak akan hilang walaupun Dia menguji manusia dengan seberat ujian. Walaupun ujian dilalui dalam tangisan, letakkan akal fikiran dan tanggapan kepada kebaikan kerana setiap ujian tersemat hikmah serta kasih sayang Allah SWT.

Untuk bersangka baik pertamanya lihat nikmat dan rahmat yang Allah SWT berikan selama ini. Allah SWT tidak pernah zalim kepada hamba-Nya. Jika selama ini nikmat berpanjangan daripada Allah SWT terus diperoleh, pastinya ujian itu mempunyai kebaikan.

Ujian sebalik nikmat

Ertinya, selama hidup membawa usia mencecah dewasa sehingga hari ini, Allah SWT memberi iman, rezeki, udara untuk bernafas, nikmat Islam dan bermacam lagi kurniaan-Nya.

Di celah limpahan itu, semestinya tersemat ujian pedih untuk kita mengambil iktibar. Allah SWT memberikan sesuatu takdir yang tidak dapat dijangka, manusia sendiri tidak mampu mengetahui apa terjadi di sebalik mahupun di penghujung ujian itu.

Contohnya, Allah SWT memberi sakit di kala kita menjaga kesihatan dengan sempurna. Pastinya kita mempersoalkan ujian kesakitan itu dan secara tidak langsung hati akan terus mengingati Allah SWT dan berdoa kepada-Nya supaya diberi kesembuhan. Allah SWT menjadikan sakit penyebab untuk manusia mengingati-Nya dan mengharap kepada-Nya.

Waktu itu jugalah kita akan muhasabah diri dan secara tidak langsung kembali kepada fitrah asal iaitu berpaut pada tali Allah SWT.