November 19th, 2016

Legasi Nabi Ibrahim AS

DALAM kehidupan berkeluarga, siapakah idola anda? Kebiasaannya orang mengidolakan individu tertentu dan bukannya sesebuah keluarga untuk berjaya dalam hidup.

Ini bermakna masih ramai yang menginginkan kejayaan secara solo dari segi duniawi. Malah, pencapaian tersebut belum tentu dapat dikongsikan dengan keluarganya. Ditambah jika ada yang bersikap 'seperti kacang lupakan kulit' atau 'Si Tanggang' setelah memperoleh kesenangan.

Dalam Islam, keluarga menjadi kewajiban dan tanggungjawab bagi Muslim untuk mendidik dan membimbing mereka ke jalan syurga. Inilah kejayaan hakiki sebagai hamba ALLAH.


Mendidik anak dekati al-Quran. - Gambar hiasan

ALLAH SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu (berhala)...” (Surah Al-Tahrim: 6)

Untuk mengupas lebih lanjut, Penasihat Modul Rumah Ngaji, Ustaz Mohd Hasnil Abu Bakar telah berkongsi ilmu bertajuk "Membangun Keluarga Al-Quran: Legasi Keluarga Ibrahim" melalui program Rahsia Insan Cemerlang Hidup (Rich) di Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya, 16 Oktober lalu.

Beliau berkata, ALLAH telah memilih beberapa individu dan keluarga yang ‘melebihi’ segala umatnya. Ini disebut dalam Surah Al-Imran, 33 yang bermaksud: “Sesungguhnya ALLAH telah memilih Adam, Nuh, keluarga Ibrahim dan keluarga Imran melebihi segala umat (pada zaman masing-masing)”.

ALLAH SWT berfirman: “Harta dan anak-pinak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amal-amal soleh yang berterusan adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan.” (Surah Al-Kahfi: 46)

Mohd Hasnil berkata, ALLAH memilih keluarga Ibrahim AS dan keluarga Imran untuk menjadi contoh kepada umat Islam kerana isteri dan anak mereka berpegang teguh dalam beragama. Ini menunjukkan kedua-dua ikon ini menjadi suami dan bapa yang bagus dalam membimbing keluarga masing-masing.

Doa Ibrahim AS

Mohd Hasnil berkata, antara sifat Ibrahim AS yang perlu dicontohi oleh setiap keluarga adalah mendoakan untuk anak cucu dan keturunannya dalam berpegang ke jalan ALLAH:

“Ya Tuhan kami, jadikanlah kami orang yang berserah diri kepada-Mu, dan anak cucu kami (juga) umat yang berserah diri kepada-Mu dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara melakukan ibadah (haji) kami dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya, Engkaulah Yang Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang.” (Surah Al-Baqarah: 128)

Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Amal Mabrur Malaysia (PAMM) berkata doa Ibrahim As telah dimakbulkan ALLAH. Ternyata selepas Ibrahim, terdapat beberapa orang nabi yang lahir daripada keturunannya termasuk Nabi Muhammad SAW.

“Dalam kehidupan seharian, pasti kita ada buat silap. Mintalah ALLAH terima taubat kita. Membaca al-Quran boleh membersihkan jiwa.

“Oleh itu Rumah Ngaji boleh dijadikan tempat untuk membina akidah, beriman dan bertakwa, seterusnya mengamalkan apa yang terkandung dalam al-Quran.

“Proses penambahbaikan diri untuk mendekati ALLAH atau bertaqarrub adalah usaha meneruskan legasi orang-orang soleh. Antara rukun taqarrub pertama, mestilah berkorban dari segi masa (rehat). Di dunia bukanlah masa untuk berehat, tetapi di alam barzakh,” katanya.

Usaha ke syurga

Mohd Hasnil berkata, Nabi Ibrahim AS sebagai Khalilur Rahman adalah ayah yang  hebat. Ibrahim AS sanggup menghadapi kesusahan hijrah serta keperitan bersama legasinya dalam ketaatan itu ke lembah yang tandus gersang.

Tambah beliau, al-Quran mencerita kisah ini iaitu isterinya Siti Hajar dan anak kecilnya, Ismail AS ke Makkah untuk mendekatkan diri dengan ALLAH.

“Ibrahim AS bersama keluarga berjalan dari Jerusalem ke Makkah. Sepanjang perjalanan tersebut, zikir diperkuatkan. Kesan banyak membaca zikir seperti tasbih, tahmid dan takbir mampu meredakan stres dalam kehidupan.

“Nabi Ibrahim juga mendoakan Makkah sebagai negeri aman sebagaimana disebut dalam Surah Al-Baqarah ayat 127.

"Ini kerana Baginda mahu anak isteri tinggal di tempat yang aman. Doa adalah senjata atau perisai bagi Muslim daripada ancaman bahaya,” katanya.

Lihatlah hasil pengorbanan Ibrahim AS, ketaatan setia seorang isteri, Siti Hajar dan kesabaran seorang anak iaitu Nabi Ismail AS menyebabkan Makkah kini menjadi tarikan umat Islam di seluruh dunia untuk mengerjakan ibadah umrah dan haji. Ia menjadi tempat berkumpul untuk bersolat.

Tambah beliau, kita perlu meneliti dan mempelajari legasi Nabi Ibrahim AS sebagai hamba ALLAH yang terpilih sebagai ikon keluarga mithali yang meninggalkan sesuatu yang hebat buat umat di belakang hari.

Apa pula yang sedang kita siapkan untuk keluarga dan generasi kita yang akan datang?

Ini kerana kita akhir akan 'terserempak' jua dengan manusia hebat ini di Mahsyar, namun adakah kita akan bersama mereka di syurga-Nya?

Praktikkan fiqh tabayyun

FIQH adalah salah satu bidang ilmu dalam syariat Islam yang membahaskan persoalan hukum kehidupan manusia sama ada individu mahupun bermasyarakat.

Fiqh berasal daripada perkataan Arab 'al-fiqh' iaitu faham (al-fahmu) dan ilmu (al-ilmu). Ia digunakan untuk kefahaman yang mendalam atau ilmu yang luas dalam sesuatu jurusan seperti ilmu matematik, akidah dan sebagainya. Dari segi istilah ialah ilmu perihal hukum-hukum taklif seperti halal, haram, makruh, wajib dan sunat yang diperoleh melalui al-Quran dan as-Sunnah. Fiqh membicarakan hukum syarak melalui ijtihad yang diistimbat melalui kaedah ditetapkan fuqaha.


Apa sahaja maklumat yang diperoleh perlu disahihkan terlebih dahulu.

Istilah fiqh kebiasaannya digunakan dalam pengajian klasik Fiqh al-Ibadat, Fiqh al-Munakahat, Fiqh al-Muamalat, Fiqh al-Jinayat dan sebagainya. Hari ini golongan fuqaha memperkembangkan lagi perbincangan ilmu kepada fiqh al-Zakat, fiqh al-Dakwah, Fiqh al-Aulawiyat, Fiqh Maratib al-A'mal dan sebagainya. Hasil inovasi dan penyelidikan semasa, perbincangan ilmu ini dilanjutkan kepada ruang yang baru seperti Fiqh al-Bii-ah (fiqh alam sekitar), Fiqh al-Waqi’ (fiqh realiti), Fiqh uli al-Amri wa al-Hukumah (fiqh pemerintahan dan kerajaan) dan sebagainya.

MUDAHNYA SEBAR FITNAH

Berdasarkan kemelut hari ini, fitnah sudah dianjak melalui media sosial yang membolehkan sesiapa sahaja melayarinya di seluruh dunia sepanjang masa. Kecanggihan pelbagai alat komunikasi dibantu media sosial Aplikasi WhatsApp, Facebook, Twitter, Flicker, Instagram, blogs dan sebagainya memudah dan mempercepatkan penyampaian maklumat. Masyarakat pula saling berprasangka, menempelak dan tuduh menuduh antara satu sama lain kerana pertentangan politik, merebut pangkat dan kedudukan. Oleh itu, sewajarnya skop fiqh dikembangkan kepada fiqh tabayyun dalam memastikan setiap maklumat yang disebar tepat, bersesuaian dan diperoleh daripada sumber sahih serta boleh dipercayai, bukan diambil daripada cakap-dengar yang tidak diketahui hujung pangkalnya atau dicedok terus daripada sembang dan gosip di kedai kopi.

Fiqh tabayyun perlu di arus perdanakan dalam menghadapi isu di era teknologi maklumat hari ini. Semua pihak perlu membuat penapisan bagi mengelak mencipta dan menyebar fitnah. ALLAH SWT memerintahkan golongan mukmin memeriksa dengan teliti berita yang disampaikan. ALLAH berfirman: "Wahai orang beriman, jika datang kepada kamu orang yang fasik membawa berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum dengan tidak mengetahui, maka jadilah kamu menyesal atas perbuatanmu itu." (Surah Al-Hujurat: 6)

ALLAH berfirman menggunakan perkataan 'fatabayyanu' (maka periksalah dengan teliti). Ayat ini diturunkan berhubung dengan Al-Walid bin Uqbah yang diutuskan oleh Rasulullah SAW memungut zakat Bani Al-Mustaliq. Setelah berita itu sampai kepada Bani Al-Mustaliq, mereka gembira sehingga keluar beramai-ramai untuk menyambut kedatangan utusan tersebut.  Sebelum sampai ke sana, ada seorang munafik memberitahu Al-Walid bahawa kabilah tersebut murtad, menolak dan tidak mahu membayar zakat, bahkan berhimpun di luar kota menghalang kedatangannya. Setelah menerima berita itu, dia segera kembali ke Madinah melaporkan situasi tersebut.  Baginda SAW sangat marah mendengar berita tersebut lalu menyiapkan sepasukan tentera untuk memerangi mereka. Sebelum tentera itu berangkat, datang utusan menghadap Rasulullah SAW menyampaikan:

"Wahai Rasulullah, kedatangan kami ke sini untuk bertanya mengapa utusan Rasulullah SAW tidak sampai untuk memungut zakat, bahkan kembali dari tengah perjalanan?  Kami mempunyai dugaan bahawa timbul salah pengertian di antara utusanmu dengan kami."  Maka turunlah ayat tersebut.

Ayat ini adalah larangan keras agar tidak mudah percaya terhadap berita yang dibawa, yang memburukkan seseorang mahu pun sesebuah organisasi. Janganlah perkara itu langsung diiyakan atau ditidakkan, melainkan diselidiki terlebih dahulu dengan saksama sama ada benar atau tidaknya. Jangan sampai kerana terburu-buru menjatuhkan keputusan yang buruk, pihak yang diberitakan itu dihukum, pada hal kemudian ternyata tidak ada sama sekali salahnya dalam perkara tersebut.

KAJI, KAJI & KAJI

Di sinilah pentingnya fiqh tabayyun ketika mendapat sesuatu perkhabaran mahupun maklumat. Pastikan ia mempunyai nilai kebaikan dan manfaat kepada masyarakat. Tidak menyebar maklumat atau komentar yang boleh menimbulkan ketegangan dalam soal agama, maruah dan hubungan kemasyarakatan. Jika menyebarkan berita yang mempunyai kebaikan maka dibolehkan, tetapi sekiranya membawa keburukan lebih banyak dari kebaikan, maka tidak perlu disebarkan. ALLAH memberi peringatan supaya berhati-hati dalam semua perkataan dan tindakan yang dilakukan yang akan dipertanggungjawabkan sebagaimana firman-Nya: "Sesungguhnya, kami menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya dan kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya. (Ingatlah) ketika dua malaikat mencatatkan (perbuatannya), yang satu duduk  di sebelah kanan dan yang lain di sebelah kiri.  Tidak ada suatu kata yang diucapkan melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang selalu siap (mencatat)." (Surah Qaf: 16-18)

Sunnah merakamkan fiqh tabayyun dilaksanakan sebagaimana diriwayatkan dalam hadis, ketika ada perkhabaran Rasulullah SAW menceraikan isteri-isteri Baginda SAW. Saidina Umar RA meminta izin berjumpa Baginda SAW bagi mendapat kepastian, lalu Rasulullah SAW ditanya: (Umar bertanya Rasulullah SAW) "Adakah anda menceraikan isteri-isteri?  Nabi SAW menjawab: "Tidak."  Maka Umar berkata: "Allahu Akbar..." Dalam Riwayat Muslim, Umar bertanya Rasulullah SAW, "Adakah anda telah menceraikan isteri-isteri?"  Lalu Nabi SAW menjawab: "Tidak." "Aku pun berdiri di depan pintu masjid, lalu aku menyeru dengan suara yang kuat: Rasulullah SAW tidak menceraikan isteri-isterinya."

Inilah prinsip fiqh tabayyun terutamanya apabila berhadapan dengan isu yang berkait dengan kepentingan umum. Masyarakat hendaklah mengambil prinsip fiqh tabayyun terlebih dahulu dan tidak menyebarkannya dengan mudah.  Malah dalam isu ini, Umar terlebih dahulu merujuk kepada Rasulullah SAW.

Fiqh tabayyun perlu difahami dengan jelas supaya masyarakat tidak terdedah dengan perkhabaran palsu yang menimbulkan kekusutan iaitu:

-Tidak terburu-buru sebar berita atau maklumat.

-Tangguh sehingga pasti kesahihannya.

-Tidak sebar berita mahu pun maklumat yang negatif, umpatan, gosip dan boleh membawa dosa.

-Tidak menuruti perkara yang tiada pengetahuan.

-Percaya dan beramal dengan apa yang diyakini dan difahami.

-Tidak sebar berita mahu pun maklumat dari pihak yang tidak dikenali atau dikenali sebagai pembohong dan cenderung kepada maksiat.

-Tidak sebar berita mahu pun maklumat yang mengaibkan, memburukkan dan menghina sesetengah pihak.

-Mengadakan pertemuan secara langsung dengan pihak yang membawa berita.

-Bertanya langsung kepada pihak pelaku utama.

-Mendengar dengan saksama maklumat kedua belah pihak.

-Melakukan penyelidikan berdasarkan pengamatan peristiwa yang berlaku.

-Merujuk atau melaporkan kepada pihak berautoriti yang berkaitan untuk mendapatkan kepastian.

-Ingat malaikat sentiasa mencatat setiap amalan baik dan buruk yang dilakukan.

-Jika masyarakat sudah tidak bertabayyun, fitnah akan dianggap sebagai maklumat yang benar dan dipercayai. Setiap medium perlu diaplikasi sebagai perantara menyebar ilmu, dakwah dan maklumat berfaedah, medan interaksi intelek dan akhlak serta komunikasi berdasarkan perspektif agama dan undang-undang, bukan berlandaskan hawa nafsu dan kepentingan peribadi.

Majoriti rakyat perlu memahami hakikat sebenar maklumat yang diperoleh dan menyemak asas kebenaran. Inilah fiqh tabayyun.

Gangguan jin sebabkan masalah psiko?

JIN ialah makhluk ALLAH SWT yang diciptakan ghaib. Sebagai orang Islam kepercayaan ini adalah teras dalam akidah sepertimana perkara ghaib seperti dosa, pahala, syurga dan neraka. Kepercayaan jin dalam masyarakat Melayu dikaitkan dengan kepercayaan tahyul, hantu, saka dan ilmu hitam (sihir).

Jin sepertimana syaitan memiliki sifat dan ciri-ciri yang akan memasuki tubuh manusia untuk mempengaruhi kepercayaan, cara berfikir, emosi dan juga personaliti seseorang. Perkara ini dinyatakan dalam al-Quran dan hadis perihal janjinya kepada ALLAH untuk memesongkan kepercayaan dan akidah manusia sehingga kiamat.

Persoalannya di sini adakah gangguan jin ini boleh menyebabkan masalah psiko spiritual dan fizikal kepada manusia. Persoalan seterusnya adakah gangguan ini juga boleh menyebabkan masalah perubatan seperti penyakit kronik dan gangguan jiwa serta emosi kepada pesakit.

Umumnya mengetahui penyakit perubatan berpunca daripada ketidakseimbangan dalam aspek bio-psiko spiritual dalam tubuh manusia. Ketidakstabilan mental contohnya stres boleh menyebabkan penyakit medikal yang kronik.

Kajian perubatan membuktikan pesakit mental dan gangguan jiwa boleh berpunca daripada gangguan jin ini. Dalam garis panduan diagnosis psikiatri ICD-10 (International Classification of Disease ) dan DSM-V (Diagnostic Statitiscal Manual) ada mengklasifikasikan penyakit personaliti berpunca daripada gangguan kuasa luar iaitu jin.

Terdapat juga beberapa kes perubatan yang sukar untuk dikenal pasti punca dan diagnosis yang sebenar dikaitkan dengan unsur gangguan jin. Sebagai contoh beberapa kes seperti psychosomatic atau somatoform disorders.

Segelintir masyarakat Melayu menaruh kepercayaan tinggi terhadap penyakit gangguan jin ini sehingga kebanyakan kes pesakit mental dan gangguan emosi dirujuk kepada pengamal pengubatan Islam. Amalan sihir, santau dan kepercayaan kepada bomoh tradisional juga masih menjadi sebahagian amalan dan dipergunakan untuk mencapai sesuatu hajat.

Fenomena kurang sihat ini mendedahkan masyarakat kepada penyimpangan akidah, unsur khurafat, kesan-kesan buruk dan mudarat kepada kesihatan dan juga penipuan. Kesan ini pada jangka masa panjang akan mengakibatkan penyakit perubatan  yang kronik dan juga perpecahan masyarakat.

Persatuan Terapi Holistik Islam (THIS) berusaha untuk mempromosikan amalan pengubatan Islam yang sahih dengan ajaran Islam sebenar dan lebih penting kaedah rawatan ini diamalkan oleh pengamal yang bertauliah dan terlatih. THIS berhasrat untuk memartabatkan kaedah pengubatan Islam menjadi teras utama dalam bidang terapi perubatan komplementari dan alternatif.

Pihak THIS mementingkan bukti secara saintifik ini direkod dan dibukukan untuk menjadi bahan kajian dan rujukan kepada pengamal pengubatan Islam di Malaysia.

Waspada wahai pengkhianat, kita ada akhirat

SIAPA pengkhianat yang tercatat dalam sejarah Islam? Ramai. Bermula semenjak zaman Rasulullah SAW, zaman sahabat, khalifah sehinggalah ke hari ini, pengkhianat tetap wujud. Namun, mereka muncul dalam pelbagai watak dan berlainan cerita.

Khianat zaman Nabi SAW

Sebagai contoh, pada zaman Rasulullah SAW wujud pasangan pengkhianat suami isteri yang terkenal, bahkan terpahat namanya dalam al-Quran. Itulah Abu Lahab, si pengkhianat yang dilaknat. Satu surah diturunkan memberi ancaman atas kejahatan yang dilakukannya bersama isteri ke atas Rasulullah SAW. Surah Al-Masad menjadi bukti.

Ada juga watak pengkhianat seorang wanita. Kisah Zainab binti Al-Harith juga tidak boleh dilupakan. Seorang wanita Yahudi yang mengambil kesempatan menghidangkan daging kambing yang dicampuri racun. Lalu Rasulullah SAW pun memakan bahagian paha yang menjadi kegemaran Baginda SAW. Turut makan bersama Baginda SAW ialah seorang sahabat bernama Basyar bin Al-Barra' bin Ma'rur.

Selepas menjamah daging tersebut, Baginda SAW memuntahkannya semula dan berkata: "Daging ini memberitahu ku yang ia beracun". Lalu, wanita Yahudi tersebut dibawa berjumpa Rasulullah SAW. Baginda SAW bertanya mengapa dia melakukan sedemikian? Zainab mengaku dia telah memasukkan racun dan berkata: "Aku berkata kepada diriku, sekiranya dia (Muhammad) seorang raja, aku boleh berehat daripadanya (selepas mati akibat racun), tetapi sekiranya dia seorang nabi, maka dia pasti memberitahu ku perihal racun tersebut".

Rasulullah SAW memaafkannya. Tetapi akhirnya beliau dibunuh sebagai hukuman kisas selepas kematian Basyar bin Al-Barra' akibat memakan daging beracun tersebut. (Rujuk: Al-Mubarakfuri, Al-Rahiq Al-Makhtum, (Riyadh: Dar Ibn Jauzi, 2000), m/s 383)

Lihatlah, peranan khianat boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja. Tidak pernah memilih jantina. Walaupun Zainab binti Al-Harith seorang wanita, namun apabila kejahatan menguasai dirinya, apa sahaja ruang yang ada akan digunakan bagi memusnahkan orang-orang yang tidak disukai.

Banyak lagi siri-siri pengkhianatan terhadap Rasulullah SAW yang dilakukan oleh golongan Yahudi yang terdiri dari kaum Bani Qainuqa', Bani Nadhir, Bani Quraidhah dan juga Yahudi di Khaibar.

Ombak murtad era Abu Bakar

Semasa zaman pemerintahan Abu Bakar Al-Siddiq sebagai khalifah pertama, beliau juga menghadapi detik getir pengkhianatan yang dahsyat. Ombak murtad yang diharungi beliau begitu kuat. Islam menghadapi tentangan ibarat sebuah kapal di tengah samudera yang dilambung ombak dari arah kiri, kanan, depan dan belakang.

Bukan calang-calang orang yang sanggup dan berani mengemudi kapal dalam situasi begini. Namun, ALLAH mengurniakan kepada umat ini seorang nakhoda yang cerdas, tangkas, berani dan tegas. Setinggi mana pun gelombang murtad yang melanda ketika itu, beliau tetap berdiri teguh menghadapi dan memerangi mereka. Itulah Abu Bakar Al-Sidiq.

Ibn Jarir Al-Tabari di dalam Tarikhnya menggambarkan bagaimana peristiwa pengkhianatan dengan murtad ini berlaku. Setelah wafatnya Rasulullah SAW, Musallamah Al-Kazzab di Yamamah, Al-Aswad Al-Unusi di Yaman, Thalihah bin Khuwailid dari bani Asad, telah murtad semuanya. Diikuti dengan murtadnya seorang wanita, Sajjah binti Al-Harith dari Bani Tamim di Semenanjung Arab. Gejala murtad ini merebak dengan pantas di dalam setiap kabilah seperti kabilah Qadha'ah, Al-Harith, Hawazin, Amman, Hadramaut dan Tuhamah.

Namun, perancangan teliti dan berbekalkan semangat serta tanggungjawab mempertahankan kesucian Islam, Abu Bakar Al-Siddiq bersama sahabat yang lain berjaya mengekang dan mematikan hasutan murtad ini.

Perjuangan Abu Bakar memerangi jenayah murtad di zamannya sentiasa menjadi sebutan apabila sejarah beliau diingati. Akhirnya, hayat khalifah pertama ini berakhir dengan tragedi pengkhianatan juga. Seorang pengkhianat Yahudi telah meletakkan racun di makanannya. Setahun selepas peristiwa ini, Abu Bakar pun wafat.

Najis khianat tetap wujud

Kesan perjuangan Abu Bakar dirasai khalifah kedua, Umar Al-Khattab. Pada era ini, pengkhianatan semakin reda. Umar banyak melakukan pembaharuan dalam sistem pentadbirannya. Wilayah Islam juga dapat dikembangkan dengan luas. Islam menguasai negeri Syam, Iraq, Yaman, Mesir dan lain-lain lagi. Bahkan, di era ini juga panji Islam dapat berkibar megah hingga menguasai dua kuasa terbesar iaitu Rom dan Parsi.

Namun, najis khianat tetap wujud dan mengotori lantai riwayat hidup Umar Al-Khattab. Sejarah mencatatkan kisah tragis bagaimana hayat khalifah kedua ini berakhir di tangan seorang pengkhianat Majusi. Abu Lu'lu' telah menikam Umar Al-Khattab ketika beliau menunaikan solat Subuh. Si pengkhianat inilah yang= dijulang, disanjung dan dipuja oleh puak Syiah hingga ke hari ini.

Pengkhianatan era Uthman

Kapal Islam bertukar nakhoda. Uthman bin Affan mewarisi khilafah yang ditinggalkan oleh Umar Al-Khattab. Walaupun menara Islam berdiri megah dan semakin tinggi ketika ini, tidak bermakna ia sunyi dari tiupan angin pengkhianatan.

Muncul di era Uthman seorang lelaki berbangsa Yahudi yang telah meniup bara fitnah hingga meletusnya api kebakaran yang dahsyat. Abdullah bin Saba' atau disebut Ibn Al-Sauda' adalah watak lelaki pengkhianat yang jahat.

Menzahirkan keislamannya di zaman pemerintahan Uthman, tetapi menyembunyikan pengkhianatannya. Dalam diam-diam dia telah menyalakan api fitnah dalam kalangan umat Islam. Mempengaruhi umat Islam dengan menabur pembohongan di atas nama Islam. Menghasut umat Islam ketika itu untuk mempertikaikan kelayakan Uthman sebagai khalifah. Hasutannya membawa mesej bahawa Ali yang lebih berhak menjadi khalifah. Akhirnya apabila api fitnah yang ditiup oleh Ibn Sauda' ini menyala marak, penentangan secara terbuka berlaku dan membawa kepada tragedi pembunuhan Uthman bin Affan secara zalim.

Bacalah kisah Abdullah bin Saba' dan kita akan tahu bagaimana pengkhianatannya yang sangat dahsyat. Laman riwayat sahabat terpalit dengan kekotoran fitnah yang dilempar olehnya hingga membawa kepada pertumpahan darah. Manusia inilah yang sebenarnya menjadi pengasas kepada Syiah yang wujud sekarang tetapi cuba dinafikan oleh mereka. Namun, catatan sejarah ini tidak dapat dipadamkan lagi kebenarannya.

Tidak puas hati

Apabila Ali bin Abi Talib mengambil alih peranan khalifah, beliau juga tidak selamat dari kejahatan pengkhianat. Api fitnah yang dinyalakan si Yahudi Abdullah bin Saba' masih marak menyala. Dia dan pengikutnya masih tidak puas hati dengan hanya membunuh Uthman, tetapi sebenarnya ingin membunuh Islam sendiri dan melenyapkannya.

Golongan pengkhianat ini yang membunuh Uthman, tetapi kemudian mereka juga yang berpura-pura menuntut supaya pembunuh Uthman mesti dihukum. Menangislah mereka dengan tangisan air mata buaya di atas kematian Uthman. Mereka mencurahkan lagi minyak di atas api fitnah yang mereka sendiri nyalakan. Umat Islam ketika itu dihasut untuk bangkit menentang Ali bin Abi Talib kerana fitnah bahawa beliau tidak menuntut bela di atas kematian Uthman dan tidak berusaha mencari pembunuhnya. Padahal hakikat sebenar adalah sebaliknya.

Ali bin Abi Talib terpaksa berhadapan dengan golongan ini. Kisahnya agak panjang untuk diceritakan di ruang yang terbatas ini. Pengkhianatan dan fitnah Abdullah bin Saba' dan pengikutnya inilah akhirnya mencetuskan sejarah hitam di era khalifah yang keempat. Perang Jamal, pembunuhan Zubair Al-Awwam, pengkhianatan khawarij, peristiwa Nahrawan dan hingga membawa kepada tragedi pembunuhan Ali bin Abi Talib. Khalifah keempat ini telah gugur di tangan si pengkhianat dari golongan Khawarij, Abdul Rahman bin Muljam.

Pengkhianat elit

Demikianlah kisah pengkhianatan yang tertulis dalam lembaran sejarah Rasulullah SAW dan empat khalifah utama. Ia tidak mungkin dipadamkan lagi. Kekal sebagai peringatan bahawa berwaspada dengan pengkhianat.

Pengkhianatan tetap berterusan diwarisi pelbagai watak di dalam suasana berbeza. Di zaman sekarang, pengkhianatan boleh berlaku dengan cara yang lebih elit. Mengaut keuntungan harta, menyeleweng khazanah negara untuk kemewahan diri dan sanak saudara, itu juga adalah pengkhianatan kepada amanah yang diberikan rakyat jelata. Waspada wahai pengkhianat. Kita ada akhirat!