December 5th, 2016

Model remaja mithali jangan putus asa

SATU penyakit yang menghantui remaja sekarang adalah sikap putus asa atau cepat mengalah. Apabila gagal dalam percubaan pertama, sudah mengangkat bendera putih tanda sudah kalah. Sebagai contoh keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini yang gagal memperoleh sebarang A, mereka sudah merasakan diri lemah, dilahirkan sebagai orang yang tidak bijak dan tidak mahu berusaha untuk peperiksaan akan datang lantas menyerahkan kepada takdir.

Sikap ini harus dijauhi oleh remaja. Islam mengajar umatnya agar tekun berusaha dan selebihnya bertawakal kepada Allah SWT. Namun Islam tidak menganjurkan umatnya berputus asa dan hanya mengharapkan maghfirah daripada Allah SWT semata-mata.

Selain sikap berputus asa, sikap malas juga melanda remaja. Sikap malas ini pastinya adalah musuh bagi orang yang berjaya. Sikap ini boleh dibahagikan kepada tiga iaitu, malas mendengar, malas berfikir dan malas bertindak. Malas mendengar nasihat orang lain, malas mendengar apa yang guru ajar di sekolah, malas mendengar ceramah-ceramah agama di masjid, malas mendengar perkara-perkara yang baik dan malas untuk berfikir hatta pada perkara yang mudah.

Remaja yang sudah berpu­tus asa seringkali me­nyerahkan kepada nasib dan takdir. Hakikatnya sindrom inilah akan memandulkan otak remaja dari-
pada berfikiran kreatif, inovatif dan berwawasan. Profesor Datuk Dr. Syed Hussien Alatas ada menulis dalam bukunya The Captive Mind menyebut tentang sikap ‘bebalisme’. Bebalisme ini bukannya merujuk kepada bodoh, bangang atau apa jua menunjukkan kebingungan tetapi sindrom malas berfikir dalam kalangan remaja yang perlu diatasi supaya mereka bertindak lebih kreatif, berfikiran kritis dan inovatif dalam mencapai matlamat hidup.

Malas berfikir dan bertindak ini turut dipengaruhi suasana pergaulan. Suasana pergaulan yang tidak dibatasi oleh syariat akan mengheret remaja ke kancah gejala sosial. Pengaruh rakan sebaya dalam kehidupan remaja mempunyai kesan dalam me­ngubah hidup seseorang remaja. Apabila tersilap langkah dengan memilih kawan yang rosak, tidak mustahil remaja tersebut juga terikut-ikut jejak langkahnya. Maka cubalah sebolehnya remaja dapat memilih rakan yang baik, yang soleh yang boleh memandu kepada jalan kebenaran.

Sebagaimana firman Allah SWT: “Sesungguhnya inilah jalan-Ku yang lurus, maka hendaklah kamu ikutinya dan janganlah mengikuti jalan-jalan lain, kelak akan porak-peranda kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan kepadamu agar bertakwa.” (Al-An’am, 6:153)

Justeru, apakah yang perlu dilakukan untuk menjadi remaja mithali seterusnya berjaya dalam hidup? Pertama pemikiran dan minda remaja perlu dicorakkan bagi memastikan kelangsungan pembangunan dan kemajuan negara. Kapasiti intelektual mereka perlu dijana sepenuh­nya. Dalam membentuk model mithali remaja, anjakan paradigma diperlukan bagi membolehkan mereka memahami, menghayati dan mengamalkan kepentingan serta ketinggian falsafah ilmu. Budaya pembelajaran sepanjang hayat, cintakan ilmu dan budaya iqra’ yang melibatkan proses mental yang tinggi hendaklah disemaikan ke dalam minda remaja yang adalah pewaris kebanggaan bangsa dan agama.

Begitu juga dengan masa remaja sepatutnya mereka sebanyak mungkin mencari pengalaman untuk persediaan menempuh dunia yang lebih mencabar. Dunia hari ini tidak mempertaruhkan keperkasaan tetapi ketajaman fikiran untuk menentukan untung nasib seseorang. Tumpukan sepenuh perhatian kepada pengajian dan sentiasa mempertingkatkan kemahiran insaniah seperti cara berkomunikasi dengan penuh beradab dan membina sahsiah diri yang terpuji. Imam Syafie R.A ada menyatakan bahawa: “Kamu tidak akan memperoleh ilmu kecuali dengan enam syarat: kecerdasan, semangat waja, rajin dan tabah, berkemam­puan, bersahabat dengan guru dan waktu yang lama.”

Selain itu, keutuhan dalam aspek kerohanian juga perlu diberi perhatian. Ketajaman minda sahaja tidak cukup tanpa dipandu oleh nilai-nilai sahsiah agama yang dapat mendidik jiwa dan memandu remaja menjadi insan ­berakhlak. Pembangunan intelektual yang tidak diiringi dengan kekudusan rohani akhirnya akan melahirkan robot-robot yang begitu bijak di dalam menganalisis segala pengkajian dan maklumat tetapi realiti kosong jiwanya. Sabda Rasulullah: ”Sesempurna keimanan dalam kala­ngan kamu ialah mereka yang indah akhlaknya.”

Ironinya, bekalan terbaik buat remaja untuk menjadi individu mithali dan contoh cemerlang di dunia dan gemilang di akhirat adalah kepercayaan dan kepatuhan kepada Yang Maha Pencipta. Ini selaras dengan nasihat Luqman al-Hakim yang adalah mutiara berharga untuk dijadikan pusaka bermakna dalam kehidupan insan. Katanya, “Sesungguhnya kehidupan kita ini ibarat sebuah kapal yang belayar di lautan dalam dan telah ramai manusia yang karam di dalamnya. Jika kita ingin selamat maka belayarlah dengan kapal yang bernama takwa, muatannya iman sedang layarnya pula adalah tawakal kepada Allah SWT.”

Oleh itu, jati diri adalah benteng pertahanan kepada diri remaja. Benteng ini dibina daripada asas akidah yang mentauhidkan Allah dan Rasul. Apabila robohnya benteng pertahanan dalam diri remaja, sudah tentu ia akan mudah terpengaruh dengan dakyah dan ancaman daripada pihak yang sedang berusaha memesongkan akidah pegangan kepercayaan terhadap Islam. Justeru, tidak hairanlah ada dalam kalangan remaja Islam telah hilang keyakinan dan keimanan mereka kepada Islam.

Kita tidak mahu remaja kita longlai, lembab tidak bermaya tetapi kita mahu lahirnya remaja yang bersemangat waja, berwawasan dan sihat. Sebagai remaja berpotensi mereka harus menjauhi penyakit malas, mudah berputus asa, cepat mengalah dan perkara-perkara yang boleh merosakkan tubuh badan dan sebagainya.   Nor Hartini Saari Utusan Malaysia Rencana Pandangan IKIM   05 Disember 2016 12:06 AM

Apabila pemerintah dan ulama baik

"TERDAPAT dua golongan dalam kalangan umat aku, jika mereka baik, maka akan baiklah manusia: pemerintah dan ahli fiqh – dalam riwayat yang lain disebut- ulama."

Kedudukan hadis ini di sisi sarjana hadis, ia tidak sahih. Sebahagian menilainya sebagai hadis daif (lemah) bahkan ada juga yang menilainya sebagai mauduk’ (palsu).

Hadis ini mempunyai masalah pada sanadnya (susur jalur periwayat).  Salah seorang periwayatnya iaitu Muhammad bin Ziyad adalah seorang yang dikenali sebagai pendusta dan mencipta hadis palsu. Syeikh Al-Albani dalam Silsilah Ahadith Al-Dhaifah wa Al-Maudhua'h menukilkan pendapat ini daripada Imam Ahmad, Ibn Ma'in dan Al-Daruqutni.

Ibn Hajar Al-Asqalani dalam kitab Tahzib Al-Tahzib juga menukilkan pendapat daripada golongan sarjana hadis lain perihal Muhammad bin Ziyad. Antaranya ialah pendapat daripada Abu Hatim, Al-Bukhari, Al-Nasai, Al-Tirmizi, Ibn Hibban dan sebagainya. Kesimpulannya, Muhammad bin Ziyad adalah seorang yang lemah dan tidak dipercayai dalam kalangan mereka.

Jadi, hadis ini tidak boleh digunakan sebagai hujah. Namun begitu, kandungan hadis ini boleh dijadikan pengajaran di samping hadis-hadis sahih lain yang banyak membicarakan berkenaan pemerintah dan ulama.

Dua institusi penting

Tidak dinafikan pemerintah dan ulama adalah dua golongan yang penting dalam sesebuah masyarakat. Pemerintah memimpin rakyat untuk hidup sejahtera. Manakala ulama membimbing umat agar hidup berlandaskan agama. Dua golongan ini saling memerlukan.

Sekiranya pemerintah mentadbir dengan amanah, jujur dan adil, maka rakyat juga akan menikmati kehidupan yang tenang dan harmoni. Begitu juga ulama. Ulama yang menguasai manhaj (metodologi) beragama yang betul, akan mendidik masyarakat dengan kefahaman agama yang betul. Beramal di atas dalil yang sahih. Membanteras bidaah dan khurafat. Tidak takjub kepada satu mazhab sahaja dan menguruskan perbezaan pandangan dengan ilmiah dan matang.

Nasib pemerintah di akhirat

Rakyat sangat mengharapkan orang yang menjadi ketua mereka ialah pemimpin yang adil dan menjalankan pemerintahannya dengan penuh keadilan. Amanah dengan jawatan, tiada penyelewengan. Nasib dan hak rakyat terbela tanpa ada sebarang kezaliman. Pemimpin seperti inilah yang disenaraikan oleh Rasulullah SAW sebagai salah satu golongan yang akan mendapat naungan ALLAH di hari kiamat kelak.

Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: "Tujuh golongan yang ALLAH akan menaungi mereka pada hari tidak ada naungan melainkan naungan ALLAH: 1) Pemerintah yang adil..." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Maka, seorang pemimpin boleh berada di dalam dua keadaan di akhirat kelak. Sama ada jawatannya dapat membantu untuk mendapat rahmat ALLAH dan dimasukkan ke dalam syurga, apabila dia memimpin dan memerintah dengan penuh keadilan. Atau, jawatan yang dipegang akan menyebabkannya mendapat kemurkaan ALLAH, disebabkan dia menjadi pemerintah yang zalim dan khianat kepada rakyatnya.

Sebab itu, Rasulullah SAW telah memberi amaran dan peringatan yang keras kepada golongan pemimpin yang tidak menjalankan pemerintahan mereka dengan adil. Abu Hurairah meriwayatkan  Rasulullah SAW bersabda: "Empat golongan yang ALLAH benci kepada mereka: (salah satu golongan tersebut ialah) pemimpin yang zalim." (Riwayat Al-Nasaie & Ibn Hibban, hadis hasan)

Anas bin Malik juga meriwayatkan Rasulullah SAW menyebut: "Sesiapa yang bertanggungjawab menguruskan sesuatu urusan kaum Muslimin, kemudian dia menipu mereka, maka dia di dalam neraka." (Riwayat Al-Tabrani, hadis sahih)

Justeru, mereka yang diberikan tanggungjawab menjadi pemerintah atau pemimpin dalam sesuatu urusan, hendaklah melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan penuh adil, kerana kelak dia akan dipersoalkan. Rakyat atau orang yang dipimpin mengharap dan mengasihi pemerintah yang adil, bercakap benar, mengutamakan kepentingan rakyat, tidak mengamalkan rasuah dan sebagainya.

Mungkin, pesanan berikut boleh dijadikan renungan untuk kita bersama.

Aisyah meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: "Sekiranya ALLAH mahukan kebaikan kepada seseorang pemerintah, ALLAH akan jadikan baginya menteri/pembantu yang benar. Jika pemerintah itu terlupa, menterinya akan mengingatkannya, jika dia ingat, menteri tersebut akan membantunya. Sekiranya ALLAH mahukan kepada pemerintah itu selainnya (iaitu keburukan), maka ALLAH akan jadikan baginya menteri/pembantu yang jahat. Jika dia terlupa, menteri itu tidak akan mengingatkannya, jika dia ingat, menteri itu tidak membantunya." (Riwayat Abu Daud & Ibn Hibban, hadis sahih li ghairihi)

Ulama seumpama anjing

Selain pemerintah, satu lagi entiti penting dalam sesebuah masyarakat ialah golongan sarjana agama atau ulama. Sesebuah masyarakat yang mempunyai ulama akan menjadikan kehidupan masyarakat tersebut berada di atas landasan yang betul. Ini kerana, ulama adalah golongan yang mewarisi tugas nabi-nabi yang mengajak umatnya ke arah kebaikan dan mencegah kejahatan. Hal ini akan berlaku jika ulama benar-benar menjalankan tugasnya tanpa ada sebarang rasa takut dan tidak menyembunyikan kebenaran.

Namun begitu, perkara sebaliknya akan berlaku kepada masyarakat jika wujud ulama yang tidak menyampaikan kebenaran. Malah lebih parah lagi jika mereka pula yang menyelewengkan fakta dan kebenaran, dikaburi dengan satu dua ayat-ayat al-Quran dan hadis sebagai alasan. Lagi memeritkan sekiranya 'orang agama' menjadi pembela, penyokong dan 'penyuci dosa' kepada kejahatan dan penyelewengan pemerintah.

Itu belum dikira lagi golongan agama yang mempergunakan nilai agama dan jawatan yang disandang bagi mengisi kantung peribadi. Kerusi agama yang diduduki seakan-akan tidak dapat dirasai apakah kesannya kepada pembangunan nilai Islam. Sanggup mendiamkan kebatilan yang berlaku demi memastikan jawatannya tidak melayang. Apa yang disuarakan ialah perkataan bagus yang mahu didengari oleh pihak tertentu sahaja. Alangkah rendahnya maruah orang agama jika perlu menuruti perintah orang lain sehingga membelakangkan perintah al-Quran dan sunnah yang dipelajarinya.

Al-Quran tidak pernah mengelar orang lain dengan perumpamaan anjing melainkan kepada golongan agama yang sanggup menjual agama demi kepentingan peribadi.

"Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) kami. Kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu dia diikuti oleh syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah dari orang-orang yang sesat dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika Engkau menghalaunya: dia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika Engkau membiarkannya: dia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang yang mendustakan ayat Kami. maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir." (Surah Al-'A'raf: 175-176)

Oleh itu, dalam membina kehidupan dunia yang harmoni bagi menuju kehidupan akhirat yang dirahmati, kita perlukan kepada pemimpin yang mampu mentadbir dengan baik, amanah dengan jawatannya dan adil kepada rakyat. Begitu juga dengan ulama. Kita perlu merujuk kepada ulama yang jujur dengan ilmu, berani menyatakan kebenaran, tidak memperdagangkan agama untuk keuntungan diri, menguruskan perbezaan pandangan dengan matang dan mengajak manusia untuk mengangkat dan membesarkan ALLAH, bukan membesarkan dirinya.

Peka dengan taklik yang dilafazkan

ADA sesetengah suami isteri kurang memberi perhatian atau tidak ambil kisah akan janji (lafaz taklik) yang pernah dilafazkan sebaik selesai upacara akad nikah suatu ketika dahulu. Ada pula pasangan yang sikit-sikit rujuk kepada lafaz taklik yang pernah dilontarkan di bibir suami. Alasannya, kerana tidak mahu berlaku permasalahan dalam rumah tangga mereka. Itu tindakan pasangan yang peka dan berhati-hati dalam mengemudi alam rumah tangga.

Lumrah manusia, mudah lupa dengan janji yang pernah dilafazkan. Mungkin dalam sesetengah hal, tidak mengapa. Namun lain pula dengan janji yang dilafazkan suami, jika tidak diambil peduli maka jatuhlah talak (sebagaimana yang dilafazkan). Perihal agama perlu sentiasa diingat-ingatkan, tidak mahu sudah terhantuk baru tengadah. Tambahan pula, ALLAH SWT ada berfirman dalam Surah Al-Ma'idah ayat satu menyuruh hamba-Nya supaya patuh pada janji  yang dilafazkan.

PERLU BERWASPADA

Minggu ini Rehal mendapatkan Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Perak, Tuan Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor untuk mengulas lebih lanjut mengenai cerai taklik.

Kongsi beliau, dari segi bahasa, perkataan taklik itu sendiri berasal daripada perkataan bahasa Arab - a'laqa yang bermaksud dikaitkan atau disandarkan. Menurut istilahnya pula, suatu perceraian berlaku akibat daripada perlanggaran janji atau syarat yang dikaitkan dengan talak. Secara mudah fahamnya, cerai taklik adalah cerai yang dikait atau digantung dengan sesuatu perkara atau janji/syarat.

Beliau menjelaskan, cerai taklik akan berlaku apabila pelanggaran kepada syarat atau larangan yang diberikan. Sebagai contoh, suami berkata kepada isterinya: "Jika kamu keluar rumah pada malam ini gugur talak ke atas kamu".

"Talak akan berlaku apabila isteri itu, keluar rumah pada malam tersebut kerana isteri telah melanggar larangan atau tegahan yang dibuat oleh suami. Jika isteri tersebut tidak keluar rumah pada malam tersebut maka tidak gugur talak, kerana tidak melanggar syarat.

"Antara contoh lain lagi, kebiasaannya selepas akad nikah dilafazkan, suami dikehendaki menyebut lafaz taklik di hadapan kadi atau jurunikah dan saksi, antaranya janji yang dinyatakan dalam lafaz tersebut: "Tiap-tiap aku (suami) tinggalkan atau tidak aku memberi nafkah yang layak bagiku akan isteriku tiga bulan atau lebih lamanya dan mengadu dia kepada mana-mana kadi syarie dan sabit pengaduannya pada sisi kadi itu, maka tertalaklah isteriku itu dengan satu talak. Dan, sekiranya perkara  yang dijanjikan oleh suami itu gagal ditunaikan, maka suami sudah dikira melanggar taklik atau janji. Walau bagaimanapun perlanggaran taklik ini hendaklah disabitkan oleh mahkamah syariah," katanya.

Menurut beliau lagi, lafaz cerai taklik adalah suatu lafaz yang diucapkan atau melalui bahasa isyarat yang digunakan untuk menyatakan niat menjatuhkan talak dengan mengaitkan pasangan  dengan sesuatu perkara.

AMARAN PADA PASANGAN

Pada masa ini lazimnya setiap pasangan yang bernikah di Malaysia, pengantin lelaki yakni si suami dikehendaki melafazkan taklik di hadapan kadi, naib kadi atau pendaftar perkahwinan dan saksi sebaik sahaja akad nikah dijalankan. Lafaz taklik adalah  sebagaimana yang tercatat pada sijil nikah dan ia ditetapkan oleh pihak berkuasa, walau bagaimanapun lafaznya berbeza antara negeri-negeri di Malaysia. Lafaz taklik yang seperti ini adalah mengikat suami supaya menunaikan tanggungjawab dan janjinya.

Selain daripada itu, lafaz taklik juga boleh berlalu pada bila-bila masa dan dalam berbagai bentuk, ia bergantung kepada syarat atau larangan yang dikaitkan dengan talak. Syarat tersebut boleh dikaitkan dengan masa, tempat dan keadaan. Lafaz seperti ini biasa berlaku apabila pasangan suami isteri ini bertengkar atau timbul perasaan curiga dengan tindakan pasangannya lalu mereka meletakkan syarat tertentu yang dikaitkan dengan talak bertujuan sebagai amaran kepada pasangannya. Taklik seperti ini biasanya suami akan meletakkan syarat atau amaran ke atas isteri.

RAMAI yang keliru dengan lafaz taklik ini, untuk memudah fahamkan lagi pembaca, dikemukakan dua situasi yang agak sama tetapi sedikit berbeza dan menjadi persoalan ramai.

SITUASI 1

Pasangan itu berkahwin, dan suaminya telah bertaklik jika isterinya menghisap rokok maka jatuh talak. Selang beberapa tahun, isteri terlupa larangan suami dan menghisap rokok semula. Adakah jatuh talaknya?

Keadaan ini jelas bahawa suami telah bertaklik dan melarang isterinya supaya tidak menghisap rokok. Larangan tersebut digantungkan dengan talak. Ini bermaksud jika isterinya menghisap rokok akan mengakibatkan jatuh talak. Apabila isteri tersebut menghisap rokok, maka isteri telah melanggar taklik atau syarat, dengan demikian telah gugur talak. Walaupun isteri itu terlupa.

SITUASI 2

Pasangan itu berkahwin dan suaminya bertaklik: "Isterinya tidak boleh berlaku curang dan perkara sebaliknya juga berlaku iaitu suaminya curang tetapi suaminya tidak merujuk perkara ini kepada mahkamah atau suaminya terlupa. Dalam masa yang sama mereka melakukan hubungan kelamin. Jika isterinya mengandung, adakah anak itu anak tidak sah taraf atau sebaliknya?.

Keadaan ini berbeza dengan persoalan di atas, tidak jatuh talak kerana isteri tidak melanggar syarat atau larangan yang dibuat oleh suami. Lafaz tersebut meletakkan larangan ke atas isteri supaya tidak berlaku curang, bukan kepada suami. Maka tidak ada halangan untuk melakukan hubungan kelamin kerana mereka masih suami isteri yang sah.

"Saya nyatakan di sini, antara syarat-syarat berlakunya cerai taklik adalah apabila suami mempunyai keahlian menjatuhkan cerai dengan melafazkan kata-kata taklik, isteri pula hendaklah menjadi ahli cerai (masih menjadi isteri yang sah) dan perlanggaran iaitu perkara yang diikatkan atau disyaratkan.

"Apabila berlaku cerai taklik, bilangan talak yang jatuh adalah bergantung kepada jumlah talak yang dilafazkan suami semasa membaca lafaz taklik tersebut. Sebagai contoh, suami berkata kepada isteri: 'Jika kamu berlaku curang, maka gugur talak tiga' dan seandainya si isteri melakukan apa yang dikatakan suaminya maka jatuh talak seperti yang disebut dalam lafaz," katanya.

Bagaimanakah caranya untuk rujuk balik apabila bercerai taklik, tambah beliau, ia bergantung kepada bentuk taklik. Cerai taklik boleh dirujuk jika perceraian tersebut sabit jatuh talak satu atau dua (talak ruji'e).

Menurutnya, ada juga cerai taklik yang tidak boleh rujuk, seperti perceraian yang disabitkan secara taklik tebus talak (taklik khulie). Ini dikategorikan sebagai bain sughra. Taklik khulie ini biasanya sepertimana lafaz taklik yang ditetapkan oleh negeri-negeri. Ini bertujuan untuk mengelakkan suami rujuk sebaik sahaja mahkamah membuat keputusan sabitkan talak. Sebagai contoh lafaz taklik khulie seperti "...dan apabila sabit aduannya di sisi mahkamah syariah, dan dia memberi kepada mahkamah syariah yang menerima bagi pihak saya RM10 maka pada ketika itu tertalak dia dengan cara talak khulie". Walau bagaimanapun pasangan yang bercerai secara taklik khulie, boleh disatukan semula dengan akad yang baharu.

Katanya, jika taklik itu disabit jatuh talak tiga, maka tidak boleh dirujuk dan tidak boleh nikah semula kerana bain kubro.

CERAI TAKLIK ATAU UGUTAN?

Beliau berkata, ramai yang bertanyakan apakah perbezaan antara cerai taklik dan ugutan atau amaran? Ini jawapannya, cerai taklik adalah cerai yang dikaitkan sesuatu dengan talak seperti yang diterangkan pada perenggan atas. Perkara atau syarat yang diberi itu berkemungkinan sebagai ugutan atau memberi amaran kepada pasangan supaya tidak berbuat sesuatu yang tidak disukainya bagi memastikan rumah tangga yang dibina sentiasa aman dan damai.

"Boleh disimpulkan bahawa tujuan meletakkan syarat itu adalah sebagai ugutan atau amaran supaya pasangannya tidak melakukan perkara tidak disukainya.

"Kebanyakan lafaz taklik di setiap negeri adalah berbeza. Ada yang berkisar kepada suami ghaib sehingga empat bulan lamanya atau suami yang gagal memberi nafkah dalam tempoh tertentu atau suami yang melakukan penderaan terhadap isterinya. Dan apabila perkara sebegini berlaku dan pihak isteri mempunyai bukti yang kukuh, pihak mahkamah syariah akan mensabitkan penceraian secara taklik," katanya lagi.

Menurutnya, ada sesetengah pasangan yang kurang arif mengenai hal ini. Apabila berlaku situasi (melibatkan lafaz taklik) barulah mereka tercari-cari langkah penyelesaian. Adakah talaknya jatuh atau tidak? Saran beliau, pasangan tersebut hendaklah melaporkan kesnya ke mahkamah syariah, kenapa? Supaya mahkamah syariah boleh membuat siasatan lanjut dan memutuskan sama ada sabit atau tidak.

Tegasnya, lafaz taklik adalah suatu yang lafaz akad iaitu janji atau niat dan setiap perjanjian itu perlu ditunaikan. Dan jika suaminya ada menyebut perihal talak dalam lafaz taklik itu maka, jatuhlah talaknya sebagaimana tersebut.

Ditekankan di sini, lafaz taklik yang diucapkan suami di hadapan kadi, naib kadi, pendaftar nikah atau saksi selepas akad adalah suatu cara untuk pihak isteri menuntut cerai daripada suami.

Contoh lafaz taklik di Selangor:-

"Saya mengaku apabila saya tinggalkan isteri saya (nama isteri) selama empat bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan, dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh yang tersebut pada hal dia taatkan saya atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya, kemudian dia mengadu kepada mahkamah syariah, dan apabila sabit aduannya di sisi mahkamah syariah, dan ia memberi kepada mahkamah syariah, yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu tertalak dia dengan cara talak khuluk."

Contoh lafaz taklik di Kelantan:-

"Bahawa adalah saya (nama suami) dengan ini bertaklik iaitu manakala saya tinggalkan isteri saya (nama isteri) selama empat bulan atau lebih dengan sengaja atau paksa atau saya atau wakil saya tiada memberi nafkah yang wajib kepadanya selama masa yang tersebut pada hal dia taat kepada saya atau saya menyakiti tubuh badannya atau saya tidak mengambil tahu mengenainya selama empat bulan atau lebih atau (nama isteri) kemudian dia mengadu kepada mana-mana kadi/hakim Syarak jika disabitkan oleh kadi/hakim syarak ini akan aduannya maka gugurlah talak saya dan dan tiap-tiap kali saya rujuk akan isteri saya tersebut tanpa redanya maka gugurlah pula satu talak lagi."

Menghormati agama lain

SOALAN:

Apakah wajar ada pihak yang menghina agama lain apabila wujud persengkataan politik, agama, atau bangsa?

JAWAPAN:

Dalam kehidupan manusia yang hakikinya sama tarafnya disisi Allah SWT, penghinaan atau memperlekeh sesama manusia wujud apabila perasaan lebih hebat atau lebih mulia berbanding manusia lain.

Perasaan ini mungkin dianggap sesetengah pihak adalah normal akan tetapi ia tidak disisi agama Islam. Dalam Islam, Rasulullah SAW banyak mendidik umatnya untuk hormat dan meraikan insan dari bangsa atau agama lain. Hal ini membuktikan bahawa apa yang disampaikan Rasulullah ini (agama Islam) adalah jalan yang benar. Jalan yang membawa kepada fitrah sebagai makhluk Sang Pencipta.

Namun adalah menjadi suatu keburukan buat agama Islam apabila ada antara umatnya menghina agama lain akibat terasa diri kita terlalu dimuliakan kerana Islam atau kerana kebencian akibat apa yang dilakukan oleh bukan Islam kepada umat Islam.

Allah SWT berfirman:

"Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan Setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan." (Al-An'am: ayat 108)

Dalam ayat Allah di atas dapat kita perhatikan bahawasanya Allah mengetahui ada antara ciptaanNya yang merasakan diri mereka betul dan benar dan orang lain yang salah. Kerana itulah timbul penghinaan dan hakisan sikap hormat menghormati.  Malahan jika kita mahu menarik mereka yang bukan Islam untuk masuk Islam juga memerlukan cara yang paling halus dan hikmah.

Firman Allah SWT: "Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.” (An-Nahl: ayat 125).

Mari kita ingat kembali kisah bagaimana Rasulullah bergaul dengan mereka yang bukan Islam ketika ada antara mereka membantah dan membenci Rasulullah sehingga tahap ada yang mahu baginda mati akan tetapi akhirnya ramai antara yang membenci Rasulullah dengan rela hati menerima apa yang disampaikan Rasulullah SAW dan beriman kepada Allah yang satu kerana Rasulullah bukan sekadar benar perkataannya akan tetapi benar pada perilaku dan akhlaknya.

Inilah yang sepatutnya dicontohi oleh semua umatnya yang mengaku Muhammad itu Rasulnya.

Pernah guru saya di selatan Thailand dahulu menyatakan “Ingatlah, dahulu orang-orang musyrik berkata terhadap Rasulullah SAW itu ahli sihir, dukun, pendusta serta perkataan hinaan lainnya. Malahan umat Islam ketika itu pernah diboikot. Namun, Allah memerintahkan RasulNya untuk bersabar.

Kaum muslimin ketika itu tidak melakukan demonstrasi membantah di Mekah, mereka tidak menghancurkan sedikit pun dari rumah-rumah kaum Musyrikin, mereka juga tidak membunuh seorang pun. Sabar dan tenanglah sampai Allah SWT memudahkan jalan keluar bagi kaum muslimin.”

Kita tidak perlu mendoakan laknat kepada kaum atau bangsa lain. Kita tidak layak untuk menghukum dan membenci.

Sedarkah kita setiap kali kita membaca Al Quran, pada awal surah kita akan menyebut sifat Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Menjadi suatu kegagalan apabila kita menyebut sifat Allah SWT yang terpuji itu akan tetapi kita tidak pemurah, kita tidak penyayang malahan kita sebenarnya pembenci, penghukum, dan penghina.

Apakah kita anggap kita dah layak untuk menghina dan menghukum lebih dari Maha Penghukum dan Maha Mengadili?.

Marilah kita ambil iktibar dan betul-betul menghayati agama Islam kita sendiri yang indah ini.

Sejak akhir-akhir ini Islam dihimpit penyeksaan dari mereka yang menjadi musuh Islam. Sepatutnya ketika inilah kita ambil peluang berdakwah melalui akhlak kita seperti apa yang Rasulullah SAW pernah tunjukkan. Jika kita ambil tindakan membenci atau membalas dengan kekerasan maka kita sendiri sama seperti mereka atau kita sendiri akan mencemar agama kita dengan mengikut kemarahan diri kita.

Ibnu Qayyim Rahimahullah dalam kitab I’lamul Muwaaqi’in menjelaskan, “Allah SWT melarang kita mencela tuhantuhan orang musyrik dengan pencelaan yang keras atau sampai merendah-rendahkan mereka (secara terang-terangan) karena hal ini akan membuat mereka akan membalas dengan mencela Allah SWT. Tentu termasuk maslahat besar bila kita tidak mencela tuhan orang kafir agar tidak wujud impak celaan kepada Allah. Jadi ini adalah peringatan tegas agar tidak berbuat seperti itu, supaya tidak menimbulkan impak negatif yang lebih parah.”

Semoga kita mengambil iktibar atas apa jua yang pernah ditunjukkan Rasulullah SAW agar menjadi panduan kita dalam berhadapan dengan musuh Islam. Rasulullah adalah sebaik-baik contoh buat kita seperti yang kita ikrarkan. Rasulullah sebaik-baik misalan hingga dakwahnya tidak sekadar pada lidahnya akan tetapi pada akhlak dan tindakannya.

Wallahua'lam