December 14th, 2016

Nabi penyebar rahmat bukan fitnah; Mualaf yang menghidupkan sunah nabi

Mualaf yang menghidupkan sunah nabi

“HEBAT sekali! Walaupun baru sebulan mengenali Islam, sudah berjaya menghayati tiga sunah utama Rasulullah SAW.”




AKHLAK mulia mampu menjadi tiket mudah ke syurga sebagaimana dijanjikan Rasulullah dalam hadis. - GAMBAR HIASAN

Sunah atau amalan Rasulullah SAW sangat banyak. Walaupun begitu, terdapat tiga perkara yang sering terlepas pandang oleh umat Islam iaitu menuntut ilmu secara berterusan, menjaga akhlak dan berdakwah kepada orang yang belum Islam.

Nota tafsir kali ini akan menceritakan kisah saudara baharu atau mualaf yang baru sebulan memeluk Islam tetapi sudah berjaya menghayati ketiga-tiga sunah baginda yang dinyatakan di atas. Subhanallah! Kesan penghayatannya terhadap ketiga-tiganya sangat luar biasa!

Riwayat kisah ini bersambung sanadnya (rantaian riwayat) kepada murid saya yang juga saudara baharu bernama Abdullah atau Santiago Solah Mora. Santiago yang berasal dari Colombia adalah bekas pelajar saya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Santiago pernah menceritakan kisah seorang mualaf bernama Ann Spaulding yang memeluk Islam di Amerika Syarikat (AS) sebulan sebelum peristiwa berdarah 11 September 2001 yang memusnahkan bangunan World Trade Centre di negara itu.

Selepas insiden itu, umat Islam di AS berhadapan sentimen anti-Islam yang dahsyat. Tiga hari selepas peristiwa itu, iaitu pada 14 September 2001, beliau mengunjungi sebuah pusat beli-belah bagi mencari keperluan harian. Kehadirannya yang lengkap bertudung membangkitkan kemarahan seorang lelaki kulit putih, lalu seakan orang gila, lelaki itu melanggar Ann Spaulding dengan troli barang. Akibatnya, Ann tersungkur ke lantai dan sebuah rak berhampiran jatuh menimpanya. Serangan itu mengakibatkannya tercedera di kepala, belakang, buku lali dan sebelah kakinya.

Lelaki tersebut ditangkap dan bakal berhadapan hukuman penjara. Lelaki itu juga sangat terkejut apabila mendapati Ann bukanlah seorang wanita Arab, tetapi bekas veteran perang. Bagi sesetengah penduduk AS, veteran perang adalah hero yang tidak sepatutnya disentuh apatah lagi dicederakan.


PAMER AKHLAK TERPUJI

Apa yang sangat mengejutkan, Ann mempamerkan akhlak Muslim terbaik apabila memberikan lelaki itu dua pilihan, sama ada merengkok dalam penjara atau menerima syarat damai daripadanya. Ann tidak ‘kedekut dakwah’, dia ingin berkongsi kelazatan hidayah Islam yang sudah dikecapinya dengan penyerangnya. Caranya? Dakwaan akan digugurkan jika penyerang itu sanggup menghadiri 10 sesi pengenalan kepada Islam. Bimbangkan hukuman yang bakal dihadapinya, lelaki itu bersetuju dengan syarat itu.

Dengan izin Allah, lelaki itu akhirnya tertarik dengan Islam dan meneruskan pengajiannya tentang Islam walaupun setelah selesai 10 sesi berkenaan.Akhirnya kira-kira enam bulan selepas itu (pada Februari 2002) beliau memeluk Islam dan bergiat sebagai sukarelawan dakwah di bandar tempat tinggalnya. Menurut Ann, setiap kali melihat parut luka di badannya, dia mengucapkan syukur kepada Allah kerana luka itu menjadi sebab islamnya seorang lelaki yang pada asalnya membenci Islam.

Kisah beliau ini boleh dibaca daripada link ini: http://islamicbulletin.org/services/new_muslims/ann.htm Subhanallah! Walaupun baru berusia ‘sebulan jagung’ dalam Islam, Ann sudah dapat menghayati hikmah akhlak Islam sebagaimana firman Allah:

“Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib,” (Fussilat[41:34]).

Tindakan Ann yang membuka pintu diplomasi dakwah bersulam akhlak sangat luar biasa kesannya. Penyerangnya yang berstatus ‘belum Islam’ bertukar menjadi Muslim. Beliau juga menjadikan syarat 10 sesi kelas itu sebagai jambatan ilmu yang menghubung jiwa penyerangnya kepada Islam. Tiga sunah ini iaitu menuntut ilmu, akhlak mulia dan dakwah kepada yang belum Islam sebenarnya sangat dekat dengan peribadi Rasulullah SAW.

Bahkan ia adalah antara perjuangan utama sepanjang hidup baginda. Umat Melayu di Tanah Melayu juga mengenali Islam kerana sunah dakwah yang dibawa oleh pendakwah Islam silam ke Nusantara.

Selain itu, akhlak mulia juga menjadi tiket mudah ke syurga sebagaimana janji Rasulullah SAW: Abu HuraIrah menyatakan bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya tentang perkara terbanyak yang membawa manusia ke syurga, lalu baginda bersabda: Sifat takwa dan akhlak mulia,” - Sunan Tirmizi.

Ayuh kita semarakkan tiga sunah Rasulullah ini agar umat menjadi semakin ramai dengan kualiti iman, ilmu dan akhlak sejati. Islam itu bukan hak eksklusif bangsa kita sahaja. Allah mengutusnya kepada semua manusia tanpa mengira bangsa atau fahaman.

Hari ini mereka belum Islam, boleh jadi kerana bersungguhnya usaha dakwah kita maka siapa tahu esok lusa mereka turut menjadi Muslim sejati.

Belajarlah daripada sejarah Rasulullah SAW, ramai tokoh yang asalnya berstatus kafir harbi atau musuh Islam bertukar menjadi Mukmin sejati kerana kegigihan dakwah baginda. Siapa lagi yang mahu kita ikut jika bukan baginda Rasulullah SAW.


Nabi penyebar rahmat bukan fitnah

Iqbal pernah mencuba ‘melukiskan’ kebesaran Nabi Muhammad SAW dengan kata-kata:

Sungguh, hati Muslim dipatri cinta nabi

Diakah pangkal mulia

Sumber bangsa kita di dunia

Dia tidur di atas tikar kasar

Sedang umatnya menggoncang takhta Kisra

Inilah pemimpin bermalam-malam terjaga

Di Gua Hira Dia bermalam

Sehingga tegak bangsa, hukum & negara

Kala solat pelupuknya tergenang air mata

Di medan perang pedangnya bersimbah darah

Dibukakan pintu dunia dengan kunci agama

Duhai, belum pernah insan melahirkan

Putera semacam Baginda SAW.

Esok 12 Rabiulawal mengingatkan kita akan kelahiran Nabi besar junjungan kita Muhammad SAW. Justeru kita memperingati Maulud Nabi untuk mengungkapkan rasa cinta yang tidak berbelah bahagi kepada Rasulullah SAW yang tercinta.

Kalau ada yang mengatakan bahawa sambutan Maulud Nabi itu perbuatan bidaah, tidak mengapa kerana orang tahu kita ini pelaku bidaah yang mencintai Nabi. Dan kalau Islam itu tidak menghormati Rasulullah SAW, maka layaklah kita untuk menyatakan ucapkan selamat tinggal kepada Islam.

Perayaan yang kita sambut sebagai bukti cinta iaitu kenikmatan menyebut nama orang yang kita cintai. Dalam satu peristiwa setelah Nabi SAW wafat, Bilal tidak mahu lagi mengumandangkan azan. Tetapi setelah didesak oleh orang ramai termasuk Saidina Fatimah akhirnya Bilal kembali melaksanakan tugasnya.

Ketika azan dikumandangkan dan sampai kata “wa asyhadu anna Muhammad...” suara Bilal terhenti. Suaranya tersekat-sekat dan dia menangis sekuat-kuatnya. Nama “Muhammad”, kekasih yang baru saja kembali ke Rabbul Izzati, menggetarkan jantung Bilal.

Bagi Bilal ia berhenti azan kerana nama itu mengingatkan dia kepada kehilangan besar kepada seluruh umat Islam.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang paling dekat dengan aku pada hari kiamat adalah orang yang paling banyak membaca selawat kepadaku”.

Terlalu banyak untuk diperkatakan tentang keagungan dan keperibadian Nabi Muhammad SAW yang menjadi teladan bagi semua peringkat manusia. Baginda adalah sebaik-baik makhluk Tuhan seluruhnya.

Menghayati

Umat Islam dituntut bukan sekadar untuk menghayati ajaran Rasulullah SAW tetapi memantapkan rasa cinta dan penghargaan atas jasa-jasa serta pengorbanannya yang tidak ternilai.

Sehingga Allah SWT dan para malaikat mencurahkan rahmat dan memohonkan maghfirah untuk Nabi SAW serta menganjurkan umat Islam untuk menyampaikan selawat dan salam sejahtera kepada Baginda dan keluarganya.

Keluhuran budi Nabi SAW bukan hanya dinyatakan oleh Allah dan diyakini umat Islam, berdasarkan firman Allah yang bermaksud “Dan sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat-sangat mulia (Al-Quran surah Al-Qalam ayat 4) tetapi juga diakui oleh kawan dan lawan. Malah ketika diminta untuk mengutuk, Nabi SAW menjawab: “Aku bukan diutus sebagai pengutuk, tetapi aku diutus untuk mengajak kepada kebaikan dan penyebar rahmat”.

Tidakkah kita merasa malu kepada Nabi kita dengan sikap kita hari ini yang menjadi makhluk yang berfikiran perosak untuk menggunakan tangan merosakkan bangsa sendiri. Dengan jari-jemari mereka mengolah cerita atau memanjangkan cerita yang boleh merosakan bangsa, menyadurkan fitnah terhadap bangsa sendiri melalui telefon pintar.

Sifat kasih sayang Nabi terhadap sesama makhluk tidak akan ditemui pada seorang manusia pun yang lebih tinggi rasa kasih sayangnya, lemah lembutnya serta perbuatan baiknya kepada makhluk Tuhan.

Allah menegaskan dalam firmannya yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku adalah Pesuruh Allah kepada kamu semuanya’. (Surah Al-A’Raaf ayat 158)

Sebahagian ulama tafsir menyimpulkan bahawa Nabi SAW telah meneladani sifat-sifat terpuji para Nabi sebelumnya. Nabi Nuh a.s dikenali sebagai seorang yang gigih dan tabah dalam berdakwah.

Nabi Ibrahim pula terkenal kerana sifat pemurahnya serta tekun bermujahadah mendekatkan diri kepada Allah. Nabi Daud a.s kerana amat kuat rasa syukur dan penghargaan terhadap nikmat Allah.

Manakala Nabi Zakaria a.s., Yahya a.s. dan Isa a.s. adalah nabi yang berupaya menghindar kenikmatan dunia demi mendekatkan diri kepada Allah SWT. Nabi Yusuf yang begitu tabah menahan cubaan. Nabi Musa yang dikenali seorang nabi yang berani dan tegas.

Demikian seterusnya, dan Nabi Muhammad SAW meneladani semua keistimewaan mereka itu.

Keagungan Nabi SAW menjadikan beliau sebagai teladan yang baik sekali gus sebagai syahid (pembawa berita gembira dan pemberi peringatan). Baginda menziarahi orang-orang sakit, bersama-sama mengiringi jenazah dan memenuhi undangan walaupun daripada seorang kanak-kanak.

Apabila berjabat tangan baginda tidak menarik tangan baginda selagi orang itu tidak melepaskan tangannya. Jika baginda melawati sekumpulan orang, baginda akan sentiasa tersenyum dan akan menyapa dengan penuh kelembutan dan berhikmah.

Kesopanan baginda terhadap orang kebanyakan dan sikap terpuji yang baginda tunjukkan kepada orang yang sombong menyebabkan baginda dihormati dan disanjung tinggi.

Dalam kesibukan baginda memimpin, baginda sentiasa menerima sesiapa pun dengan tangan terbuka dan lapang dada walaupun seorang Badwi yang kasar sifatnya. Kita memohon kepada Allah agar mengukuhkan keberadaan dan perjalanan hidup kita di jalan Rasulullah SAW, menjadikan kita sebagai pengikut setia baginda, memberi kita kesempatan untuk meneguk air telaga kasihnya dan menghimpunkan kita di bawah panji kemuliaannya.

Justeru, sambutan Maulidur Rasul yang disambut saban tahun adalah antara tanda kasih sayang dan rasa terima kasih kita terhadap Rasulullah SAW. Selawat dan salam untuk baginda. Mohd Shauki Abd Majid 11 Disember 2016 6:04 PM

Memahami sambutan Maulidur Rasul, Bukti kerasulan Nabi Muhammad

Bukti kerasulan Nabi Muhammad

Setiap kali melangkah masuk ke bulan Rabiulawal, setiap kali itu jugalah kita sering bertanya pada diri, adakah benar rasa kecintaan kita kepada Baginda Nabi Muhammad SAW.

Apabila mengaku yang kita cinta Rasulullah SAW, pasti kita akan mengikut setiap apa yang disuruh oleh Baginda SAW. Sebelum wujud rasa cinta, kita harus percaya akan kerasulan Nabi Muhammad SAW.

Pertemuan menerusi segmen Ibrah di IKIMfm minggu lalu, Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman membuka segmen itu dengan membacakan ayat Surah
Yasin. Ayat 1 hingga 3 yang bermaksud: "Yaa, Siin. Demi Al-Quran yang mengandungi hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh, sesungguhnya engkau (wahai Muhammad adalah seorang Rasul) dari rasul yang telah diutus."

Kita sering mendengar dan melihat pelbagai majlis ilmu yang menyentuh mengenai kerasulan Nabi Muhammad SAW. Namun, pernahkah kita menilai selama ini, adakah kita mengetahui atau mempercayai.

Kalau benar kita mempercayai Nabi Muhammad SAW itu sebagai pesuruh Allah SWT, adakah kita benar-benar memahami setiap apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW selama ini. Jangan biar mulut kata percaya, hati hanya mengetahui bahawa Nabi Muhammad SAW itu Rasul, tetapi tiada usaha untuk mendekati ajaran dan sunah Baginda.

Bukti dipilih jadi Rasul

Untuk kita mempercayai, kita perlu kemukakan bukti. Menurut tafsir Tafhim al-Quran oleh Abu al-A'ala al-Maududi, beliau mengemukakan beberapa bukti yang menunjukkan Nabi Muhammad SAW itu dipilih sebagai Rasul oleh Allah SWT.

Pertamanya, umur 40 tahun sebagai bukti. Orang yang dari awal bercita-cita menjadi Nabi, pasti tidak akan menunggu sehingga umur 40 tahun. Pada umur 40 tahun itu membuktikan bahawa Rasulullah SAW sendiri tidak mengetahui bahawa Baginda akan menjadi Rasul.

Nabi SAW tidak pernah meramalkan Baginda akan menjadi Rasul. Ini membuktikan bahawa kerasulan ini bukanlah pilihan Nabi SAW bahkan ia pilihan Allah SWT dengan hikmah tersendiri.


Bukti yang kedua, pada usia 35 tahun, Baginda Rasulullah SAW dikenali oleh hampir keseluruhan kaum Arab Quraisy dengan gelaran al-Amin. Bahkan, sebut sahaja siapa musuh Baginda seperti Abu Jahal tetap mengenali Baginda dan menggelarnya dengan al-Amin dan orang yang berpekerti bagus.

Kita pasti sedia maklum mengenai peristiwa pertelingkahan yang membabitkan peletakan batu Hajarul Aswad. Apabila keputusan dibuat oleh Baginda Rasulullah SAW mengenai perkara itu, tiada seorang pun yang membantah.

Ketiga, ketika berusia 20 tahun, Baginda berada dalam dunia perniagaan dan ia berkembang maju. Baginda pula berkahwin dengan orang yang sangat bijak dalam dunia perniagaan, iaitu Khadijah.

Pilihan sebagai Rasul ini boleh menyebabkan Baginda akan dibenci. Maka, dapat kita lihat, ini bukanlah satu pilihan popular. Ini membuktikan pilihan Baginda sebagai Rasul ini adalah kerana perintah daripada Allah SWT dan bukanlah kehendak peribadi.

Bukti kerasulan Baginda SAW yang keempat merujuk kepada al-Maududi, ialah Baginda SAW tidak pernah muncul di mana-mana majlis keraian berbentuk hiburan yang dianjurkan oleh Arab Quraisy pada ketika itu.

Menjauhi program hiburan

Bentuk hiburan orang Quraisy pada ketika itu ialah syair. Seseorang yang menyertai keraian ini perlulah pandai mengarang syair dan membacakan syair itu. Baginda tidak pernah sekali-kali menyertai mana-mana program syair.

Tetapi apabila Baginda berdakwah, Baginda dituduh menyampaikan syair. Ini suatu tuduhan yang tidak berasas.

Bukti kelima, mari kita perhatikan setiap apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW.

Setiap apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW tidak pernah sama sekali berbentuk peribadi. Apabila Nabi SAW memulakan dakwahnya, maka tiada apa yang dituturkan kecuali hanya bercerita tentang alam dan penciptaannya.

Baginda menyeru agar tidak berlaku zalim dan memerdekakan hamba. Ini bukanlah agenda peribadi dan perkara inilah yang ditunggu oleh semua orang agar sistem kasta yang menzalimi manusia dapat dihapuskan.

Nabi SAW tidak menjadi seperti ahli kitab yang sanggup mengubah ayat Allah SWT demi mengekalkan pengaruh dan kepentingan peribadi. Nabi SAW tidak menjadikan penerimaan manusia sebagai kayu ukur.

Yang keenam, bukti Baginda sebagai seorang Rasul ialah apabila seseorang meneliti apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW, pasti akan mengatakan ini bukanlah ucapan seorang manusia.

Kepada orang yang benar-benar berfikir, pasti akan tertanya-tanya siapakah yang mengajarkan kepada Muhammad SAW tentang huruf. Inti pati dan isi kandungan penyampaian Nabi SAW juga terlalu tinggi.

Beberapa bukti ini sudah cukup untuk membenarkan kepercayaan kita kepada kerasulan Nabi Muhammad SAW.

Persoalan yang tinggal, adakah perakuan kepercayaan yang kita lakukan dengan lidah dan yakini dengan hati kita, kita dapat buktikan dengan amalan dan perbuatan. Tepuk dada tanya iman.


Memahami sambutan Maullidur Rasul


SEBAHAGIAN kakitangan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah berarak bersama kontijen perarakan sambil berselawat sempena Sambutan Maulidur Rasul dari Stadium Hang Tuah ke Dataran Pusat Islam Melaka, semalam. UTUSAN/AZLI AHAD


MEMPERINGATI junjungan mulia Nabi Muhammad SAW tidaklah terhad kepada hari tertentu ataupun hanya melalui acara tertentu. Ia sepatutnya disegarkan dalam ingatan setiap Muslim sepanjang masa. Ini kerana baginda adalah Rasul terakhir yang diutus oleh Allah SWT membawa syariat untuk kebahagiaan hidup dunia dan akhirat.

Sungguhpun begitu amalan memperingati keputeraan Nabi SAW dengan sambutan maulid tidaklah pula menyimpang daripada ajaran agama. Malah aktiviti perarakan sambil membaca selawat atas Nabi SAW dan ceramah agama yang rutin dilakukan pada bulan Rabiulawal sangat signifikan untuk menyegarkan ingatan dan kecintaan kepada Rasulullah SAW. Amalan ini juga dapat ­meninggikan syiar Islam yang sesuai dengan kedudukannya.

Selain itu, masyarakat Islam diajak untuk memperbaharui kecintaan terhadap junjungan mulia dengan menghayati sirah hidup baginda dan liku-liku perjuangan dakwah menegakkan Islam sebagai pedoman bersama. Ini ­penting bagi mengelakkan pelaksanaan dakwah dan penyampaian ajaran agama yang menyimpang daripada landasan sebenar. Dewasa ini terdapat segelintir yang menyebarkan fahaman songsang dan ajaran sesat yang mengelirukan masyarakat.

Malah terdapat pula yang kurang ilmu, menjadi pak turut, bersikap keras hati dan merasakan dia sahaja yang betul sehingga mengabaikan tanggungjawab kerana taksub dan fanatik dengan fahaman tertentu. Salah faham dan perbuatan melampau seperti ini eloklah diperbetulkan dengan memilih jalan wasatiyyah (kesederhanaan) dan mempraktikkan ajaran Nabi SAW dalam konteks yang syumul dan menyeluruh.

Untuk tujuan itu, umat Islam juga diajak beramai-ramai menghadiri pelbagai program yang dirancang sempena bulan Rabiulawal bagi menimba ilmu demi memahami Islam dalam realiti kehidupan masa kini dan tidak terhad kepada pelaksanaan ibadah khusus semata-mata. Ini kerana syariat Islam juga berkait rapat dengan aspek kenegaraan, politik, sosial dan ekonomi.

Dalam pada itu, usah dipilih ustaz selebriti atau ustaz tertentu sahaja untuk menghadiri program ceramah sempena Maulidur Rasul. Yang lebih penting adalah, apa yang disampaikan dan bagaimana umat Islam berusaha menzahirkan kecintaan terhadap baginda. Diharapakan, segala pelajaran daripada ceramah agama dan majlis ilmu dapat diterjemahkan dalam kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara.

Kaum Muslimin juga diajak mengamalkan ajaran Nabi Muhammad SAW dalam segenap gerak geri kehidupan. Seperti mana Nabi Muhammad SAW dan para Anbia terdahulu menggembala kambing dan berniaga untuk menyara kehidupan diri dan keluarga maka umat Islam diajak bersikap produktif dan komited dalam kerjaya masing-masing. Usah curi tulang dan terlalu berkira-kira dalam melakukan pekerjaan seharian.

Yang lebih penting ikhlas dan tidak mengabaikan semua perintah agama. Begitu juga, persoalan halal dan haram hendaklah sentiasa dititikberatkan agar pekerjaan yang dilakukan dinilai sebagai ibadah.

Dalam konteks hubungan sosial dan kemasyarakatan, Nabi Muhammad SAW ialah role model dengan menunjukkan tatacara bergaul dan berbuat baik kepada semua manusia tanpa mengira perbezaan agama dan fahaman tertentu.

Untuk itu, perbuatan keji mengumpat dan memburuk-burukkan orang lain hendaklah digantikan dengan mengingat dua perkara dan melupakan dua perkara. Ingatlah sentiasa semua kebaikan orang lain kepada kita dan ingatlah semua keburukan yang telah kita lakukan. Lupakan pula semua kebaikan yang telah dilakukan kepada orang lain dan lupakan semua keburukan yang pernah dilakukan kepada kita. Dengan cara ini diharapkan kehidupan bermasyarakat, berjiran dan bersahabat akan sentiasa harmoni dengan semangat ukhuwah yang sentiasa bertaut sepanjang masa.

Begitu juga dalam pergaulan dan tatacara berpakaian umat Islam diingatkan supaya sentiasa mematuhi syariat. Pergaulan bebas antara bukan mahram, ber­dua-duaan lelaki dan perempuan tanpa ikatan nikah adalah di­larang agama.

Adalah sesuatu yang tidak kena dengan sambutan Maulidur Rasul apabila masih ada yang selesa berpakaian mencolok mata sehingga menyebabkan diri sendiri dan orang lain terlibat berdosa. Ini diburukkan lagi dengan penggunaan media baharu untuk mempamerkan aksi lucah dan perbualan kotor yang boleh menyebabkan pelaku terpalit dosa sebanyak mana orang yang menonton, membaca dan menyebarkannya.

Bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul kali ini kaum Muslimin diajak merapatkan saf dan barisan untuk membentengi diri, keluarga dan negara daripada pelbagai ancaman dalaman dan ­luaran yang bertujuan menyesatkan umat daripada ajaran Islam yang sebenar.

Usah juga dilupakan nasib saudara seagama di merata dunia termasuklah di Rohingya yang dinafikan hak untuk hidup dan melaksanakan ajaran Islam dengan pengusiran daripada kampung halaman selain pencabulan ke atas hak asasi manusia.

Lebih daripada itu, umat Islam diingatkan tidak hanya teruja berarak dengan baju Melayu sambil mengangkat sepanduk serta berqasidah dan marhaban sahaja. Ingatan dan kecintaan ter­hadap Nabi Muhammad SAW yang mulia hendaklah diterjemahkan dengan memperbanyak selawat dan mempraktikkan ajarannya sepanjang masa.

Hidupkan sunnah sebagai tanda cinta; Tuntut ilmu hadis

Tuntut ilmu hadis

AJARAN Islam dibangunkan atas dua perkara iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Keduanya memiliki kaitan yang erat. Banyak ayat al-Quran sukar diertikan dengan benar dan tepat tanpa keterangan daripada sunnah Nabi Muhammad SAW. Contoh yang paling dekat dengan seseorang Muslim adalah mengenai tata cara solat yang tidak mungkin diketahui tanpa bantuan daripada sunnah Nabi SAW. Ini disebabkan al-Quran sendiri tidak menunjukkan kaedah solat dan al-Quran hanya menegaskan hanya wajibnya solat lima waktu itu saja.

Memikirkan betapa pentingnya pengetahuan mengenai hadis ini, Imam Abu Hanifah pernah berkata: "Tanpa sunnah tak seorang pun daripada kita akan dapat memahami al-Quran."

Mempelajari mengenai hadis Nabi SAW mempunyai keistimewaan tersendiri sebagaimana dijanjikan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya bahawa orang yang mempelajari dan menghafal hadis-hadisnya akan dianugerahi oleh ALLAH SWT wajah yang bercahaya, penuh dengan pancaran cahaya (nur) keimanan yang menandakan ketenangan hati dan keteduhan batin.

AJAR HADIS

PUSAT Pengajian Asas dan Lanjutan Tahfiz (PPALT) di bawah kelolaan Pertubuhan Kebajikan Pelajar-Pelajar Tahfiz Malaysia (Tahfiz) mengorak langkah apabila bakal memperkenalkan pembelajaran hadis di pusat berkenaan.

Pengerusinya, Ustaz Mohd Zaidan Hamad, berkata ia adalah sebagai langkah awal dalam memperkenalkan pembelajaran hadis kepada pelajar di sekolah berkenaan.

Katanya, ini adalah antara salah satu usaha bagi memastikan pelajar yang dilahirkan di pusat berkenaan berkualiti dan boleh membimbing apabila selesai pengajian di pusat berkenaan.

"Peringkat permulaan ini, terbuka kepada pelajar dalaman yang berminat memandangkan hendak belajar hadis juga bukan sesuatu yang mudah  kerana ia memerlukan kesabaran. Di Tahfiz kita buka peluang kepada pelajar yang berminat tapi syaratnya mereka sudah hafaz 15 juzuk al-Quran tetapi jika ada yang bawah dari itu berminat, akan kita nilai.

"Elemen utama dalam belajar hadis ini adalah bacaan al-Quran kena lancar, untuk yang baru mula hafaz mereka akan guna teknik asas menghafaz al-Quran begitulah teknik yang sama digunakan untuk menghafal hadis dengan dipantau oleh guru-guru," katanya.

Menurutnya untuk memudahkan pemahaman, penerangan akan dibuat oleh tenaga pengajar dalam bahasa Melayu. Bahasa Arab digunakan untuk pelajar senior, pelajar baru  digalakkan untuk  membaca dengan lancar.

"Matan hadis semuanya dalam bahasa Arab. Tapi matan perkataan hadis tetap diajar dalam bahasa Arab sebagaimana yang dituturkan oleh Nabi SAW.

"Apa pun pelajar perlu hafaz kitab hadis 40 karya Imam Nawawi. Imam Nawawi adalah anak murid kepada Imam Shafie. Cuma syarah dia tak perlu hafal, syarah ni guru-guru akan syarahkan. Contoh niat berdasarkan Nabi SAW kata apa macam mana ini guru akan ajar, pelajar hanya baca dengar tapi yang rendah kita hendak minimum ialah mereka dapat hafal hadis 40 ini," ujarnya lagi.

Zaidan berkata, dari situ baru pelajar akan dinilai sebelum diserap masuk ke dalam kelas hadis.

"Peringkat kedua selepas mereka hafal hadis 40 ini barulah mereka akan belajar istilah-istilah hadis. Kitabnya adalah Musolahulhadis. Contoh apa itu matan? Rawi tu apa? Perawi-perawi?. Ada perawi ni penipu atau tak, itu seterusnya kita dapat analisa selepas mereka hafal 40 hadis ini, setakat mana pelajar boleh pergi.

"Persediaan hadis ini bukan setakat baca hadis, ada orang lepas  hafaz 30 juzuk al-Quran mereka boleh hafal hadis lagi, ada pelajar yang tak boleh capai 30 juzuk, kalau 10 juzuk ada setengahnya agak sukar untuk hafaz, kita akan tawarkan kelas-kelas a'lim antaranya mereka boleh  belajar hadis. Tapi syaratnya mesti 10 juzuk ke atas," katanya.

PENGASAS PPALT, Datuk Mustapa Othman, berkata setakat ini pusat berkenaan sudah mempunyai 70 pelajar dan enam tenaga pengajar berpengalaman.

"PPALT yang terletak di Beranang Selangor ini mempunyai empat blok yang boleh memuatkan kira-kira 160 pelajar dalam satu masa.

"PPALT turut menawarkan pembelajaran subjek akademik antaranya  Bahasa Melayu, Matematik dan Bahasa Inggeris. Bermakna jika ada yang ingin menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi, pelajar tahfiz boleh ambil SPM secara persendirian, semua PPLAT akan uruskan seperti yang sudah dibuat sebelum ini,” katanya.

Menurut Mustapa, apa yang menariknya di PPALT ini ialah setiap hujung tahun - Disember, akan diadakan kem motivasi selama lebih dua minggu.

Antara perkara yang akan ditekankan dalam kem motivasi berkenaan adalah mengenai perkara asas fardu ain termasuk hal penyembelihan binatang, solat dan sebagainya.

Beliau berkata, sekarang ini atas inisiatif pelajar dan juga guru sebuah kumpulan qasidah terdiri daripada pelajar tahfiz PPALT sudah digerakkan dan ini adalah salah satu cara untuk mencungkil bakat pelajar-pelajar ini untuk diketengahkan, memandangkan qasidah turut memerlukan mereka yang tahu bermain alat-alat muzik.

Di samping itu juga bagi meningkatkan kemudahan pembelajaran, sebuah perpustakaan mini akan diwujudkan di PPALT dan buku-buku di dalamnya akan ditaja oleh Perpustakaan Negara.

"Perpustakaan Negara akan beri rak dan juga buku-buku serta mengajar pelajar–pelajar cara mengemas kini data simpanan buku. Ini adalah kemudahan khusus untuk mereka mengulang kaji pelajaran.

Tahfiz adalah sebuah badan bukan kerajaan yang mempunyai matlamat dan dasar seiring dengan dasar pendidikan negara.

Tahfiz mempunyai hasrat dan cita-cita besar dalam memartabatkan ilmu hafazan terutamanya dalam bidang pengajian al-Quran dan as-Sunnah dalam kalangan pelajar Islam.

Sejak ditubuhkan, Tahfiz sedar mengenai beban yang perlu dipikul dan liku-liku perjalanan serta cabaran yang perlu dihadapi bagi melaksanakan tanggungjawab sosial.

Bagaimanapun ia bukanlah penghalang untuk Tahfiz terus melangkah seiring dengan badan-badan bukan kerajaan lain dalam merealisasikan matlamat asalnya.

Objektif penubuhan  PPALT

Objektif penubuhan Pusat Pengajian Asas dan Lanjutan Tahfiz (PPALT) ini didasari atas semangat untuk pengisian serta mendalami ilmu hafazan al-Quran bagi remaja dari seawal umur 10 tahun untuk melahirkan mereka sebagai  seorang al-hafiz mahupun al-hafizah. Selain remaja, pusat pengajian ini turut menerima sesiapa sahaja yang ingin mempelajari ilmu hafazan al-Quran.

Visi

Menjadikan PPALT sebagai sebuah institusi pusat pengajian asas tahfiz yang mampu memartabatkan ilmu hafazan al-Quran dan Hadis serta mampu menguasai ilmu pengetahuan agama Islam dari segi tauhid, fiqh, akhlak, bahasa Arab dan sebagainya.

Misi

Melahirkan lebih ramai anak remaja dari seawal umur 10 tahun yang cintakan ilmu hafazan al-Quran dan segala ilmu al-Quran sebagai seorang hafiz dan hafizah.

Mengimarahkan dan memupuk budaya membaca dan menghafaz al-Quran dalam kalangan masyarakat serta dapat menguatkan lagi ukhuwah dengan fikrah Islam, menghayatinya, melaksanakannya dan memperjuangkannya.

Menjadikan Islam sebagai ad-din dalam diri bagi segala urusan duniawi mahupun ukhrawi.

Hidupkan sunnah sebagai tanda cinta


Bersalaman dan menghulurkan sumbangan kepada yang memerlukan (gambar kanan) antara sunnah Rasulullah SAW yang menjadi amalan dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini. - Foto hiasan
Kegagalan memahami definisi sunah antara faktor ada dalam kalangan kita yang mengabaikannya dengan alasan ia hanya perbuatan sunat, apabila dikerjakan mendapat ganjaran pahala dan tidak pula berdosa jika ditinggalkan.

Sedangkan, konteks sunah itu luas merangkumi segala perkara wajib yang perlu dilaksanakan termasuk menunaikan solat lima waktu, mengeluarkan zakat dan berpuasa pada bulan Ramadan.

Perkara sunat hanyalah sebahagian kecil daripada sunah Nabi. Antaranya, galakan memberikan senyuman ketika bertemu orang lain kerana ia juga satu sedekah yang memasukkan kegembiraan dalam hati dan mengeratkan ukhuwah.

Oleh itu, mencontohi Nabi Muhammad SAW adalah dengan melaksanakan sunah Baginda. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya pada (diri) Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula banyak menyebut dan mengingati Allah." (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Sunah Rasulullah bersifat sejagat

Pensyarah Kanan I'jaz al-Quran Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Sukki Othman, berkata, keadaan umat Islam hari ini yang agak goyah dengan pelbagai bentuk penindasan sepatutnya menjadi petunjuk untuk bersama mengembalikan kecemerlangan dan kegemilangan Islam.

Katanya, cara terbaik untuk merealisasikannya adalah dengan mencontohi Rasulullah SAW dalam segenap aspek kehidupan kerana sunah Baginda bersifat sejagat serta sesuai diamalkan oleh umat Islam serta bukan Islam.

Marilah bersama melakukan perubahan ketara apabila menyambut Maulidur Rasul dengan tekad untuk menjadikan Nabi Muhammad sebagai role model seterusnya menjunjung sunah dibawa Baginda sebagai bukti perhambaan yang sebenar-benarnya kepada Allah SWT.

Tambah Mohd Sukki, adalah malang jika seorang Muslim itu berasa malu untuk mengamalkan perkara yang pernah dilakukan Rasulullah SAW tetapi pada masa sama berbangga pula meniru perbuatan daripada budaya lain.

Tanda mencintai seseorang ialah kita ingin sentiasa dekat dengannya dan dalam konteks Rasulullah SAW, cara terbaik adalah dengan mengikut sunah yang boleh kita pelajari daripada hadis sahih serta sirah hidup Baginda SAW.

Lakukan secara istiqamah

Mohd Sukki berkata, tidak sukar untuk mencontohi Rasulullah SAW malah amalan yang dilakukan Baginda boleh ditiru dengan syarat seorang itu sentiasa bersungguh-sungguh serta istiqamah melakukannya.

Antara amalan paling mudah dilaksanakan adalah dengan memasang niat yang baik kerana ia akan mendorong kita melakukan perbuatan murni. Niat adalah amalan hati dan antara sunah yang sangat mudah dilaksanakan.

"Ulama sependapat niat adalah wajib bagi membezakan suatu amalan itu dikira sebagai ibadah atau adat, bahkan ia penting bagi mendidik diri supaya lebih ikhlas melaksanakan ibadah semata-mata kerana Allah SWT," katanya.

Umat Islam juga dituntut menunaikan sunah yang wajib dalam kehidupan seperti menuntut ilmu selain sunah sangat digalakkan seperti memperbanyakkan zikir dan berselawat.

Perkara itu boleh dilakukan di mana sahaja dan pada bila-bila masa. Alangkah indahnya apabila dalam diri umat Islam terpancar percikan daripada bayangan Rasulullah SAW melalui perlakuan, percakapan serta amalan Baginda yang dicontohi.

Inilah cara terbaik kita mempersembahkan Islam kepada yang belum Islam lagi.

Rasulullah sebagai idola

Kita biasa mendengar keistimewaan Baginda SAW sebagai nabi, pemimpin, ketua keluarga, suami, bapa, sahabat dan jiran yang disampaikan melalui ceramah atau pengajian agama.

Semua itu adalah panduan untuk kita menjadi seorang yang berjaya bukan sahaja di dunia, juga akhirat. Meraikan Maulidur Rasul sempena memperingati kelahiran utusan Allah SWT yang menjadi rahmat kepada sekalian alam sewajarnya meningkatkan keazaman kita untuk mencontohi Baginda dalam menjalani kehidupan menuju alam kekal abadi.

INFO: Rahsia dan kunci kejayaan Rasulullah SAW

* Keperibadian yang unggul
* Akhlak dan perwatakan yang terpuji
* Pembicaraan dan perkataan yang selari dengan perbuatan
* Mempunyai sifat bijaksana dan berhikmah dalam setiap tindakan.

Didik anak berinteraksi bersama al-Quran, Ilmu tentukan generasi berakhlak

Ilmu tentukan generasi berakhlak

Memiliki ilmu pengetahuan menjadi asas penting menjalankan tugas sebagai khalifah kerana agak sukar seseorang yang tidak berilmu melaksanakan apa yang diperintahkan dengan sempurna.

Membicarakan tajuk 'Pengguna dan Pengamal' dalam rancangan Pesona D'Zahra di IKIMfm, Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin, berkata manusia perlu berusaha mempelajari dan mengajarkan ilmu kepada orang lain.

Umat Islam hendaklah menjadi insan yang sentiasa mencintai pembelajaran dengan menghadiri majlis ilmu yang dianjurkan pelbagai pihak seperti di masjid, surau dan tempat kerja.

Beliau memetik sabda Rasulullah SAW: "Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas setiap orang Islam, lelaki dan perempuan."

"Justeru, dalam hidup ini setiap saat dan di mana juga kita berada tiada istilah untuk berhenti belajar. Imam Al-Ghazali berkata, belajar atau menuntut ilmu sangat penting dan menyifatkan ia sebagai perkara yang terpuji," katanya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan tidaklah (betul dan elok) orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu hendaklah keluar sebahagian sahaja daripada tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang itu kembali kepada mereka, mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (daripada melakukan larangan Allah)." (Surah at-Taubah, ayat 122)

Ilmu membolehkan manusia mengetahui banyak perkara dan bagi yang belajar bersungguh-sungguh disertai niat ikhlas, bukan sahaja dapat meningkatkan pengetahuan, malah akan memperoleh pahala dan diampuni dosanya.

Cari guru

Dalam konteks rumah tangga adalah disarankan kita menjadi pengamal ilmu yang baik dengan mempelajari ilmu secara berguru daripada mereka yang arif menyelesaikan sesuatu permasalahan.

Caranya ialah mencari mereka yang dikategorikan sebagai 'guru keberanian' yang mampu memberikan kata-kata perangsang atau motivasi supaya jiwa kita tenang.

Kebiasaannya, guru mempunyai semangat berani memiliki pengalaman dan berjaya mengemudi rumah tangga dengan baik.

Mendapatkan bantuan daripada guru sedemikian mampu membentuk diri supaya lebih berani dan tidak lari daripada masalah dalam rumah tangga, sebaliknya menguruskan permasalahan dengan mencari jalan penyelesaian.

Mengurus dan membelanjakan harta amanah Allah SWT yang menjadi satu keperluan bertujuan mencapai kehidupan diberkati.

Islam menggalakkan umatnya memiliki, menghasil dan menggunakan harta dengan baik dan bijaksana.

Pelajari ilmu keibubapaan

Peranan suami untuk mengutip seberapa banyak ilmu memantapkan diri dan keluarga dalam urusan pengurusan harta kerana ia membabitkan kefahaman mengenai peranan nafkah isteri, anak, zakat fitrah, zakat harta, perbelanjaan, hutang keluarga.

Begitu juga dalam membesarkan anak, ibu bapa perlu tahu ilmu keibubapaan kerana dunia semakin kompleks dan sikap anak remaja juga sukar untuk difahami.

Mendalami ilmu mendidik anak memerlukan ibu bapa mendapatkan pandangan mereka berpengalaman. Allah SWT menurunkan undang-undang keluarga Islam sebagai panduan ke arah melahirkan keluarga yang baik.

Hanya keluarga baik dapat membentuk masyarakat cemerlang yang akhirnya menjadikan negara juga cemerlang.

Ilmu rumah tangga penting sebagai permulaan melahirkan insan kamil selain memastikan hak ahli keluarga terpelihara.

Semua yang dilakukan akan menghasilkan keputusan baik apabila dilakukan berpandu kepada ilmu yang benar.

Didik anak berinteraksi bersama al-Quran



Yusof berkongsi ilmu bertajuk, Anak-anak jambatan ke syurga.
SETIAP pasangan mendambakan cahaya mata untuk menjadikan hidup sekeluarga lebih bermakna. Namun apa yang lebih penting bagaimana ibu bapa membimbing anak masuk syurga.

PU Yusof atau nama sebenarnya Mohd Yusof Arbain, 34, berkata, ALLAH SWT menyebut dalam al-Quran bahawa anak adalah perhiasan hidup kepada ibu dan bapa.

“Ini bermakna ibu bapa berasa seronok dan bahagia jika ada anak. Ibu bapa juga adalah anak kepada kedua orang tuanya.

“Mereka yang mempunyai ibu bapa di dunia patut bersyukur kerana dapat menikmati kebahagiaan bersama,” kata beliau dalam sesi taddabur dan tazakkur Anak-anak jambatan ke syurga dalam program Children #QuranHour, di Putrajaya, 4 Disember lalu.

ALLAH berfirman: “Harta dan anak-pinak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amal-amal soleh yang berterusan adalah lebih baik untuk menjadi harapan.” (Surah Al-Kahf: 47)

Yusof berkata, selama ini kita membaca al-Quran tetapi usaha untuk memahami isi kandungannya adalah perkara penting. Selain menjadi perhiasan dunia, anak juga disebut oleh ALLAH sebagai ujian kepada ibu bapa.

Firman-Nya: “Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian dan di sisi ALLAH jualan pahala yang besar.” (Surah At-Taghabun: 15)

Yusof menjelaskan sebagai perumpamaan, anak kita belajar di sekolah ada banyak ujian dan kebanyakan mereka mahukan ujian yang senang. Begitu juga anak adalah ujian ibu dan bapa.

“Untuk dapat ujian yang senang, anak perlu memudahkan urusan ibu bapa dan keluarga, dan bukan menyusahkan mereka, apatah lagi di sisi ALLAH dan Rasul-Nya.

Setelah mengetahui anak sebagai perhiasan dan ujian keluarga, bagaimana kita hendak masuk syurga sekeluarga? Oleh itu anak itu satu jambatan yang kuat untuk bantu ibu bapa masuk syurga,” katanya.

Menurut beliau, cara menjadi anak ‘jambatan ke syurga’ pertama selalu doakan ibu bapa untuk mendapat keampunan daripada ALLAH. Antara doa untuk ibu bapa terdapat dalam Surah Ibrahim, ayat 41 dan Surah Al-Israk ayat 24. Apabila  kita membaca dan memahami al-Quran, sebenarnya terdapat banyak doa yang anak boleh amalkan. Doa anak yang soleh adalah mustajab, yakni ALLAH akan makbulkan.

PENGUKUHAN KELUARGA

Ketua Pegawai Eksekutif WUI, Marhaini Yusoff berkata Children #QuranHour adalah program julung kali diadakan selepas #QuranHour diperkenalkan pada 2013.

“Sempena 1438H, #QuranHour pada Muharram dan Safar dimulakan dengan aktiviti pengukuhan keluarga dengan al-Quran melalui My Family #QuranHour. Antaranya, program Rahsia Insan Cemerlang Hidup (Rich) dijalankan setiap Ahad jam 4 pagi, selama lapan siri sejak 9 Muharram lalu.

“Bermula Rabiulawal ini, kita memasuki fasa My School #QuranHour dengan mengadakan Children #QuranHour. Ini berketepatan dengan Pesta Kanak-Kanak Islam Malaysia (MICF) ke-4, di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, sejak 2 Disember lalu.

“Kita hendak mengukuhkan keluarga dengan tema Ayah pemimpin masuk syurga sekeluarga, Ibu sebagai pendamping masuk syurga sekeluarga dan Anak-anak sebagai jambatan ke syurga,” katanya.

Tambah beliau, walaupun anak menyertai Children #QuranHour sejam bersama al-Quran, namun ia diharapkan menjadi cetusan untuk mereka berinteraksi dengan al-Quran. Ini bermakna anak tidak sahaja fokus terhadap kuantiti bacaan al-Quran, tetapi membaca, memahami dan mengamalkan isi kandungannya.

“Kita harap anak-anak buka mata bahawa peranan mereka sangat penting sebagai jambatan untuk masuk syurga sekeluarga. Pengukuhan keluarga dengan al-Quran tersebut akan berterusan sehingga tiba 9 Zulhijjah 1438H untuk World #QuranHour,” katanya.

Pengerusi MICF, Dayang Lily Maznah Abang Muas berkata, Children #QuranHour bersesuaian dengan MICF yang pertama kali diadakan di masjid. Lebih 80 peserta Kem Solat Kanak-Kanak sempena MICF turut berpeluang berinteraksi bersama al-Quran.

Seramai 300 peserta kalangan ibu bapa dan anak menyertai Children #QuranHour sempena MICF,  anjuran Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd, Sinar TV, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI), Zurriyat Adventures Sdn Bhd, Rumah Ngaji dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (Masjid Besi).

Selepas sesi bertaddabur dan tazakkur, acara bacaan al-Quran dimulai dengan Surah Al-Fatihah oleh Yusof, Surah Al-Baqarah dari ayat 1 hingga 5 oleh adik Zafiera Nabila Kamarudin, 8, solidariti bacaan Surah Al-Baqarah oleh semua yang hadir, dan bacaan 24 surah terpilih oleh 24 peserta Cilik Rumah Ngaji @Al-Jauharah.

Penggerak Rumah Ngaji @Miri yang juga Wakil Rumah Ngaji Negeri Sarawak, Alina Abdul Razak berkata, seramai 70 kanak-kanak turut serta Children #QuranHour di Pusat Penerangan Islam, Kuching pada hari tersebut.

Majlis kahwin... gah satu hari, gelisah berhari-hari

SEKIRANYA pasangan ibu bapa dimaklumkan oleh anak teruna atau anak gadis yang mereka sudah ada 'kawan istimewa', senyum dan bersyukurlah. Mengapa? Kerana anak tersebut mempunyai fitrah yang normal. Mereka memenuhi fitrah insan yang normal. Jika tidak diberitahu, ibu bapa boleh mengambil inisiatif sendiri untuk sembang-sembang dan bertanya sendiri soal tersebut.

Tidak salah untuk seorang anak muda berkawan rapat dengan teman istimewanya dengan tujuan untuk lebih kenal mengenali dan berhasrat ingin dijadikan pasangan hidup. Ibu bapa tidak perlu menghalang, sebaliknya memberi sokongan dengan cara mengawal dan mengingatkan apa langkah betul yang sepatutnya dilakukan oleh si anak. Sudah pasti garis panduan syariat dijadikan kayu ukur utama.

Jika kedua-dua pihak telah bersetuju, eratkan hubungan di antara mereka berdua dengan ikatan yang sah. Segerakan perkahwinan. Dekatkan yang jauh. Rapatkan yang renggang. Halalkan yang haram.

ALLAH SWT berfirman: "Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dalam kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. jika mereka miskin, ALLAH akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana ALLAH Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha mengetahui." (Surah An-Nur: 32)

Kahwin adalah ibadat

Perkahwinan adalah ibadat. Justeru, pasangan yang ingin berkahwin, perkara pertama dan utama yang perlu disematkan di fikiran ialah mereka akan tunaikan salah satu ibadat yang dituntut oleh Islam. Apabila disebut ibadat, ia mesti dilaksanakan dalam ruang legar syariat.

Berkahwin bukan hanya untuk suka-suka atau mengikut adat manusia semata-mata. Tetapi ia mempunyai tujuan yang suci murni. Antara tujuannya ialah untuk memperoleh zuriat keturunan yang baik.

ALLAH berfirman: "Dan ALLAH menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan dijadikan bagi kamu dari pasangan kamu: anak-anak dan cucu-cicit, serta dikurniakan kepada kamu dari benda yang baik lagi halal; maka patutkah mereka (yang ingkar itu) percaya kepada perkara yang salah (penyembahan berhala), dan mereka kufur pula akan nikmat ALLAH?" (Surah An-Nahl: 72)

Terpaksa tangguh kahwin

Tetapi, dilema yang dihadapi sesetengah pasangan muda mudi yang sedang bercinta ialah terpaksa menangguhkan perkahwinan disebabkan pelbagai syarat diletakkan ibu bapa atau waris. Duit hantaran yang terlalu tinggi, barang hantaran yang mewah, mesti ada kereta dan rumah terlebih dahulu, mencapai standard gaji pendapatan tertentu, membiayai kos majlis perkahwinan, barang kemas serba satu, persalinan lengkap dari atas ke bawah, majlis persandingan yang gorgeous dan beraneka ragam karenah lagi.

Kebiasaannya, yang menghadapi cabaran ini adalah di pihak lelaki.

Kadang-kadang hasrat pasangan perempuan ialah ingin menyempurnakan segera ikatan pernikahan dengan lelaki pilihannya. Tetapi, hasrat tersebut terhalang dengan sikap ibu bapa dan keluarga yang tersilap dalam melihat keutamaan. Akad nikah yang dituntut syariat sepatutnya disempurnakan dahulu tetapi ditangguhkan demi memenuhi tuntutan diri sendiri.

Maka, terpaksalah si anak teruna bertungkus lumus berkerat tulang siang dan malam bekerja demi mengumpulkan wang hantaran, membeli barang hantaran dan sebagainya. Kadang-kadang, apabila ditanya mengapa terlalu tinggi wang hantaran? Dijawab oleh ibu bapa si anak dara, wang itulah akan digunakan untuk membiayai majlis perkahwinan.

Persoalannya, mengapa harus dibebankan kepada anak teruna dengan tuntutan yang tidak pun disuruh oleh Islam? Rukun nikah yang Islam tetapkan sudah cukup tetapi masih lagi tidak dapat menyempurnakan tuntutan ibadah ini dek kerana tuntutan manusia. Maka, berjuanglah si anak teruna menghadapi emosi dirinya.

Mudahkan perkahwinan

Bagaimana Islam meletakkan panduan dalam hal ini? Perhatikan beberapa hadis berikut bagaimana Islam memuji dan menggalakkan urusan pernikahan yang dimudahkan. Bahkan di situlah adanya pintu kebaikan dan keberkatan.

Imam Ahmad meriwayatkan: "Di antara kebaikan wanita ialah memudahkan maharnya dan memudahkan rahimnya." (Riwayat Ahmad, di dalam Musnadnya, no. 23957. Dihasankan oleh Sheikh Al-Albani di dalam Sahihul Jami’, 2/251)

Dalam riwayat lain ada lafaz tambahan yang menyatakan, "Iaitu, memudahkan rahimnya untuk melahirkan."

Abu Daud meriwayatkan dari 'Uqbah bin 'Amir r.a., dia mengatakan Rasulullah SAW bersabda: "Sebaik-baik pernikahan ialah yang paling mudah." (Riwayat Abu Daud, no. 2117, kitab An-Nikah. Dinyatakan Al-Albani sebagai diterima menurut syarat Imam Muslim di dalam Al-Irwaa’, 6/345)

Pernah berlaku dalam satu peristiwa, bagaimana Rasulullah SAW menguruskan perkahwinan seorang sahabat begitu mudah sekali.

Sahl bin Sa'd Al-Sa’idi RA berkata: "Aku bersama sahabat Nabi SAW di sisi Rasulullah SAW, tiba-tiba berdirilah seorang wanita lalu berkata: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya dia telah menyerahkan dirinya kepadamu, lihatlah kepadanya, apa pandanganmu?" Baginda SAW pun diam dan tidak menjawab sesuatu pun. Kemudian berdirilah wanita itu dan berkata: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya dia telah menyerahkan dirinya kepadamu, lihatlah kepadanya, apa pandangan mu?" Baginda SAW pun diam dan tidak menjawab sesuatu pun. Kemudian wanita itu pun berdiri untuk yang kali yang ketiga dan berkata: "Sesungguhnya dia telah menyerahkan dirinya kepadamu, lihatlah kepadanya, apa pandanganmu?"

Kemudian berdirilah seorang lelaki lalu berkata: "Ya Rasulullah, nikahkanlah saya dengannya." Baginda SAW pun bertanya: "Adakah kamu memiliki sesuatu?" Lelaki itu berkata: "Tidak."

Kemudian Baginda SAW pun berkata: "Pergilah dan carilah (mahar) walaupun sebentuk cincin besi." Kemudian lelaki itu pun mencarinya dan datang kembali kepada Rasulullah SAW sambil berkata: "Saya tidak mempunyai apa-apa walaupun sebentuk cincin besi."

Maka Rasulullah SAW bersabda: "Adakah engkau ada menghafaz ayat al-Quran?" Lelaki itu berkata: "Ada, saya hafal surah ini dan itu." Kemudian Rasulullah SAW bersabda: "Pergilah, telah aku nikahkan engkau dengan dia dengan mahar berbentuk hafazan al-Quran mu." (Sahih Al-Bukhari, Kitab An-Nikah, hadis no: 5149)

Pelamin dan lampin?

Kadang-kadang si lelaki terpaksa membelanjakan wang simpanannya demi memenuhi jumlah wang hantaran yang tinggi. Ada yang sampai menjual barang itu dan ini. Ada juga pasangan yang sanggup menghabiskan wang yang banyak kerana inginkan majlis perkahwinan yang mewah, indah dan meriah ala-ala artis terkenal. Mereka terlupa, majlis perkahwinan artis mendapat tajaan syarikat pelbagai, sedangkan majlis mereka atas tajaan diri sendiri.

Ibu bapa dan pasangan pengantin, apabila mengambil keputusan untuk mengahwinkan anak atau berkahwin, bukan hanya perlu fikir pengurusan majlis perkahwinan yang sehari sahaja, tetapi yang lebih utama, fikirkan juga bagaimana untuk uruskan hidup selepas berkahwin yang berhari-berhari. Bukan hanya sediakan duit belanja untuk pelamin, tetapi lebih utama sediakan terlebih dahulu duit untuk beli lampin.

Jangan sampai majlis perkahwinan yang hanya sehari disambut begitu meriah dan indah tetapi kehidupan berumah tangga berhari-hari selepas itu penuh dengan resah gelisah. Resah dengan hutang. Gelisah mencari pendapatan bagi menunaikan kewajipan nafkah kerana wang simpanan telah habis dibelanjakan.

Mudahkanlah urusan perkahwinan. Utamakan yang utama. Perkahwinan adalah ibadat. Uruskan dengan panduan syariat agar pengantin dilimpahi berkat, majlis dinaungi rahmat.

Mendepani fitnah liberalisme ekstrem

PENELITIAN di media sosial kebelakangan ini amat membimbangkan. Komen-komen dan pendapat fahaman liberalisme ekstrem tersebar luas dalam facebook, twitter, blog, laman sesawang dan sebagainya. Lebih memeranjatkan, segelintir tokoh beragama Islam turut menyatakan pandangan bertentangan dengan ajaran Islam yang diamalkan di negara ini.

Hari ini, fahaman liberal ekstrem seolah-olah mutlak, bercakap tentang ‘freedom of press’ dan ‘freedom of speech’ berlandaskan idea kebebasan tanpa batasan akhlak, sempadan undang-undang dan peraturan. Mereka menyuarakan persamaan agama, hak lelaki dan wanita di samping mempromosikan demokrasi dan kebebasan. Pandangan sebegini merupakan fitnah kepada agama Islam.

Pengguna media sosial kebanyakannya generasi muda perlu diberi kesedaran untuk bertanggungjawab menerima, menilai serta perlu tabayyun memeriksa kesahihan maklumat sebelum menyebarkannya.

ANTARA PANDANGAN LIBERAL EKSTREM DI MEDIA SOSIAL :

i. Meragui al-Quran dan Sunah:



UMAT Islam jangan hanya menang sorak dalam alam maya, tetapi menggadai prinsip kebenaran atas nama liberalisme. - GAMBAR HIASAN

Seorang penulis yang dikenali memuat naik status dalam akaun facebook:

“Islam yang saya percaya membebaskan manusia untuk memilih apa jua kepercayaan yang ingin dianuti, al-Quran sendiri memesan bahawa (mafhum) jika Allah mahu seluruh penduduk di langit dan di bumi beriman, siapakah yang mahu menghalangnya? Tetapi Allah telah memberikan pilihan (free choice, bukan free will) kepada manusia itu sendiri, sama ada untuk menjadi kafir atau beriman, memilih untuk syurga atau neraka”.

Terdapat pandangan daripada penulis lain yang menyatakan perlu penilaian semula terhadap hadis, ia bercanggah dengan sains, sejarah dan akal malahan mempertikaikan hadis-hadis yang diriyawatkan oleh para sahabat.

ii. Mempersoalkan akidah:

Terdapat status twitter :

“Aku pun tak faham kenapa orang kita nak bising sangat perihal Melayu yang nak murtad, aku tak cakap pasal kebebasan tengah hari buta ini. Bagi aku syurga bukan untuk Melayu sahaja, kalau Melayu nak masuk neraka sangat buat apa kita nak halang? Kalau semua orang nak masuk syurga, neraka nanti nak bakar siapa? Rugi sahaja Allah cipta neraka, tapi tak ada apa-apa untuk dibakar.”

iii. Pandangan mengelirukan:

Beberapa status mengelirukan di twitter antaranya:

“Berkenaan babi, siapa yang cipta babi? Tuhan atau manusia? Kau yang ciptakan, pastu kau haramkan, orang dekati apa yang kau ciptakan.”

“Berkenaan seks bebas pula, yang menciptakan rangsangan-rangsangan semua ini Tuhan juga. Kalau tak nak orang buat seks bebas tak payahlah cipta manusia. Nak buat apa?”

“Saya tidak kisah pemimpin saya LGBT, tak ada agama atau sosial, yang penting, dia jaga rakyat dan negara serta tidak salahguna kuasa.”

“Dah tidak wajib solat jumaat zaman ini kiranya kita berimamkan imam yang reda dan kagum dengan kezaliman pemerintah.”

iv. Pandangan tidak patuh syariah :

l Sebuah kumpulan yang memperjuangkan isu hak asasi wanita mengeluarkan pandangan:

“Faith by compulsion may lead to hypocrisy” dan “Islam is not a one way street.”

v. Mempersoal institusi ulama:

l Terdapat pandangan: “Ulama sebagai para saintis seperti yang ditakrifkan dalam al-Quran dan sebagai satu kasta paderi.”

vi. Mencanangkan isu-isu bertentangan dengan ajaran Islam yang diamalkan di negara ini antaranya :

Mencadangkan pemansuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Kesalahan khalwat dimansuhkan kerana (menurut mereka) melanggar hak privasi individu, malahan (menurut mereka) perbuatan khalwat di rumah persendirian merupakan dosa peribadi antara pelakunya dengan Allah SWT kecuali jika dilakukan di kawasan awam.

Menggesa penubuhan jawatankuasa perunding untuk meminda atau memansuhkan beberapa undang-undang syariah.

‘Everybody writes’ (semua orang menulis), bukan bererti ‘everybody is right’ (semua orang betul). Kemampuan tabayyun dengan informasi akan menentukan kekuatan dan keabsahan ummah dalam era digital yang serba mencabar.

Pandangan sebegini adalah tidak seimbang dan tidak wasatiyyah. Masyarakat disogok dengan fitnah yang tiada penghujung. Kesucian agama dipersendakan. Jangan kerana berada dalam zon selesa, masyarakat terlalu taksub dengan indeks ‘World Press Freedom’ sehingga menjual kelangsungan dan survival ummah. Jangan terlalu bersangka baik kepada ‘newsrooms’ di London, New York, Hong Kong atau mana sahaja menjana berita mempunyai agenda tersirat.

Umat Islam perlu mempunyai kudrat tabayyun luar biasa dalam persimpangan ‘information age’ ini. Jika prinsip ini ditinggalkan, akan bertebaranlah fitnah yang mampu mempengaruhi fikrah dan pemikiran majoriti umat Islam, lalu dianggap sebagai benar dan sahih.

Perlu diakui, bukan mudah untuk membadai arus ketika keadaan langit sudah serba terbuka. Media sosial terbina dengan sokongan penggunanya. Ideologi dan segala macam nilai sama ada positif atau negatif terus dilambakkan. Keimanan, akal, budi, akhlak dan sahsiah diri diuji sepenuhnya.

Pengamal media, tentera siber dan masyarakat Islam seluruhnya perlu menerima fiqh tabayyun sebagai model kepada penghayatan media yang positif dan bertanggungjawab. Jangan hanya ‘menang sorak’ di alam maya, tetapi menggadai prinsip kebenaran atas nama keterbukaan dan kepentingan peribadi sekumpulan kecil.

Statistik ini sangat merisaukan jika tidak ditangani dengan baik.

Semua pihak perlu menggerakkan fiqh tabayyun 
sebagai disiplin ilmu dalam berurusan dengan fakta dan kebenaran. Inilah penggerak utama manhaj wasatiyyah dalam mengajak masyarakat berhati-hati dan berteliti dengan media sosial.