December 26th, 2016

Bukan semua tasyabbuh dilarang, Harus ucap 
Merry Christmas

Harus ucap 
Merry Christmas

APA hukum dan bolehkah seseorang Muslim mengucapkan ‘Merry Christmas’ kepada mereka yang beragama Kristian?

Soalan ini sering berlegar-legar saban tahun dalam kalangan umat Islam.


ISLAM mengharuskan ucapan Krismas dengan syarat ia tidak disertai dengan niat untuk mengagungkan atau memuliakan agama lain. - GAMBAR HIASAN

Ia juga sering kali menimbulkan polemik dan salah faham. Malah menjadi semakin rumit bagi mereka yang mempunyai hubungan secara langsung dengan bukan Muslim baik 
secara kekeluargaan, kerjaya dan tinggal dalam kawasan kejiranan sama.

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri dalam Bayan Linnas siri ke-81, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, berdasarkan kepada beberapa pandangan ulama muktabar dan situasi semasa Malaysia, ucapan itu kepada penganut Kristian dan seumpamanya adalah 
diharuskan.

Firman Allah SWT bermaksud:

“Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan,” (Surah al-Maidah: 8)

Al-Maraghi berkata: “Ini kerana ketidakadilan yang dilakukan akan menimbulkan kerosakan yang boleh menghancurkan kehidupan bersosial, memutuskan hubungan antara individu 
dan datang malapetaka yang besar.”

GARIS PANDUAN (DHAWABIT) UMUM

1 Ucapan tahniah adalah sebagai tanda perpaduan, hubungan kemasyarakatan yang erat dan harmoni. 
 Adapun melibatkan diri dalam upacara-upacara keagamaan khusus mereka, ia tetap tidak dibenarkan di sisi Islam.

2 Ucapan tersebut tidak disertai dengan niat untuk mengagungkan, memuliakan dan menyetujui agama lain serta tidak juga menumpahkan kasih sayang terlalu tinggi melangkaui batas agama.

3 Ucapan tahniah tidak mengandungi sebarang bentuk penghargaan yang menyalahi syarak seperti menghadiahkan arak dan perkara tidak diizinkan dalam Islam.

4 Ucapan tersebut adalah kepada bukan Muslim yang tidak bermusuh dengan Islam, khususnya kepada seseorang yang mempunyai ikatan tertentu seperti kaum kerabat, jiran tetangga, teman pengajian dan rakan sekerja.

5 Menghadiri jemputan makan malam bukan Muslim, menziarahi bukan Muslim dan bertukar-tukar hadiah juga adalah dibenarkan. 
 Rasulullah SAW pernah menerima hadiah daripada Raja al-Muqawqis yang tidak beragama Islam. Sayidina Umar al-Khattab r.a.juga pernah menghadiahkan baju kepada saudaranya yang tidak memeluk Islam.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-78 yang bersidang pada 12 Jun 2007 memutuskan bahawa: “Memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau alat-alat telekomunikasi seperti e-mel atau sistem pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya kepada orang bukan Muslim sempena dengan perayaan agama mereka adalah harus, dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Muslim serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam 
kiriman ucapan tersebut.”


Bukan semua tasyabbuh dilarang

Baru-baru ini, penulis menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp berhubung mengucapkan selamat hari Krismas. Mesejnya dibuat dalam bentuk perbualan antara seorang Muslim dan Kristian. Kesimpulan daripadanya adalah melarang umat Islam mengungkapkan ucapan tersebut kerana ia dikatakan tasyabbuh (menyerupai) orang Kristian.

Memang ulama berbeza pandangan dalam hal ini. Antara mereka yang berpendapat hukumnya haram secara total adalah ulama silam (mutaqaddimin) seperti Syeikh Ibn ­Taimiyyah dan Syeikh Ibn Qayyim. Adapun ulama kontemporari (muta’akhkhirin) yang sependapat termasuklah Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaimin (ulama terkenal Arab Saudi) dan Syeikh Abdul Aziz Baz (bekas Mufti Besar Arab Saudi).

Secara asasnya, pengharaman itu berdalilkan firman Allah SWT yang bermaksud: “..dan (hamba-hamba Ar-Rahman itu) mereka tidak menghadiri Az-Zur dan apabila mereka melintas dengan perkara yang sia-sia mereka lalu dengan penuh kemuliaan.” (al-Furqan: 72)

Bagaimanapun, hidup dalam masyarakat maj­muk ­seperti Malaysia memerlukan banyak toleransi. ­Lebih-lebih lagi dalam aspek hablum minan nas (hubungan sesama manusia). Ini termasuklah dalam isu hukum mengucap selamat bagi perayaan orang bukan Islam. ­Lebih-lebih lagi, menjelang sambutan Krismas, Ahad ini.

Dalam konteks masyarakat Malaysia, ucapan selamat ini persis budaya yang sekian lama diamalkan. Apa yang perlu diberi perhatian adalah niat dalam menyampaikan ucapan itu. Ucapan selamat itu bukan bermakna kita mengiktiraf agama mereka. Ini kerana agama yang benar di sisi Allah hanyalah Islam sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya agama yang benar dan diredai Allah ialah agama Islam.” (ali-’Imran: 19)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-78 yang bersidang pada 12 Jun 2007 telah membincangkan Hukum Orang Islam Mengucapkan Tahniah Dan Ucapan Selamat Bersempena Perayaan Agama Bukan Islam. Muzakarah memutuskan bahawa:

1. Apa jua amalan atau perlakuan orang Islam dalam hal-hal berkaitan dengan perayaan orang bukan Islam sekiranya melibatkan akidah atau iktikad seperti mengiktiraf agama bukan Islam atau menganggap semua agama adalah sama, maka ia ditegah oleh Islam.

2. Walau bagaimanapun sekiranya amalan atau perlakuan tersebut hanya atas dasar kemasyarakatan atau hubungan sosial antara Islam dan bukan Islam untuk tujuan perpaduan, maka ia dibenarkan oleh Islam.

3. Memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau alat-alat telekomunikasi seperti e-mel atau khidmat pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya kepada orang bukan Islam sempena dengan perayaan agama mereka adalah harus, dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Islam serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut.

Mengulas isu ini, ulama kontemporari, Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi berkata: “Menjadi hak setiap agama merayakan hari raya tanpa mengganggu pihak lain. Kita orang Muslim tidak dilarang dalam agama kita untuk mengucap tahniah penduduk negara kita dan jiran kita yang terdiri daripada orang Kristian pada hari raya mereka. Ini termasuk dalam berbuat baik yang disebut dalam al-Quran.” (rujuk al-Mumtahanah: 8)

Bagaimanapun, keharusan itu tidak pula sampai melibatkan penyertaan orang muslim dalam upacara dan ritual agama Kristian yang menjadi amalan khusus bagi orang Kristian itu.

Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah yang dianggotai oleh ramai sarjana Islam turut membolehkan muslim mengucapkan tahniah atau selamat sempena perayaan mereka. Pun begitu, mereka tetap mengharamkan muslim menyertai perayaan agama lain. Hanya sekadar ucapan sempena perayaan.

Al-Imam Ibnu Nujaim al-Hanafi rahimahullah berkata: “Ketahuilah, bahawa menyerupai Ahlul-Kitab (Yahudi-Nasrani) tidak dimakruhkan dalam semua tasyabbuh. Kita makan dan minum seperti mereka lakukan. Tasyabbuh yang haram itu, dalam perbuatan yang memang tercela dan perbuatan yang memang bertujuan tasyabbuh dengan mereka.” (Al-Imam Ibnu Nujaim al-Hanbali, al-Bahr al-Raiq Syarh Kanz al-Daqaiq, bab 2 hal 11). - Mohd Radzi Mohd Zin Utusan Malaysia Rencana Agama 23 Disember 2016 4:30 PM

Hayati ajaran Allah dan Rasulullah

ISLAM ialah satu agama yang prihatin terhadap keamanan, kasih sayang dan kebajikan dalam bentuk yang universal. Rasulullah SAW mendidik, me­mimpin dan memandu manusia supaya menjadi hamba Allah yang bertakwa dan khalifah Allah yang adil dan mencintai keamanan di muka bumi ini. Umat Islam sepatutnya merenung dan bermuhasabah sejauh manakah mereka telah menghayati dan mengamalkan pengajaran yang disebarkan oleh baginda sepanjang kehidupannya.

Baginda mengorbankan harta, masa dan nyawa untuk me­negakkan kebenaran, keadilan dan memimpin manusia ke arah kehidupan yang bahagia di dunia dan di akhirat. Oleh itu baginda diibaratkan sebagai orang yang memberi rahmat kepada seluruh alam. Perkara ini disebut oleh Allah SWT dalam Surah 21 (al-Anbiya’): 107 yang bermaksud: “Dan sesungguhnya tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam”.



AKTIVTI pembalakan secara rakus adalah bertentangan dengan ajaran Islam kerana boleh menyebabkan kawasan pembalakan menjadi gondol serta hakisan paling teruk sehingga ke peringkat mencemarkan sungai dan mengganggu haiwan sama ada dalam hutan mahupun air. GAMBAR HIASAN/UTUSAN

Nabi Muhammad SAW bukan sahaja memberi rahmat kepada orang Islam malah merangkumi kesemua manusia, jin, binatang dan tumbuh-tumbuhan. Baginda melarang umat Islam menyeksa binatang seperti mana sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT mewajibkan berbuat baik kepada segala sesuatu. Apabila membunuh maka bunuhlah dengan baik. Dan apabila kamu menyembelih, maka sembelihlah dengan baik. Hendaklah salah seorang kamu menajamkan pisaunya dan membuat binatang sembelihannya tenang”.

Rasulullah SAW melarang umat Islam menebang pokok jika pokok tersebut tidak digunakan untuk pembangunan dan sebagainya. Aktiviti pembalakan secara rakus yang diamalkan oleh manusia masa kini adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Kawasan pembalakan menjadi gondol dan me­ngalami penghakisan yang paling teruk sehingga mencemarkan sungai dan saliran air serta mengganggu haiwan dalam hutan dan air.

Berkaitan perkara ini baginda bersabda: “Sesiapa yang memotong pohon sidr (bidara), maka Allah SWT sungkurkan kepala­nya dalam api neraka”. Jika memotong sebatang pokok boleh tersungkur dalam neraka, maka aktiviti pembalakan secara rakus sehingga hutan menjadi gondol maka azabnya adalah lebih berat di hari akhirat. Oleh itu, individu yang melibatkan diri dalam kegiatan pembangunan dan pembalakan perlu bermuhasabah diri.

Rasulullah SAW adalah rahmat kepada umat manusia tanpa me­ngira agama dan bangsa. Perwatakan kasih sayang dan kelembutan baginda terhadap manusia dapat dilihat dalam medan Peperangan Badar (Peperangan pertama antara umat Islam dengan musyrik berlaku 7 Ramadan, dua tahun selepas Hijrah yang mana umat Islam memenangi peperangan tersebut).

Ketika baginda melihat mayat-mayat musuh bergelimpangan di medan perang tersebut baginda menangis kerana baginda tahu mereka akan diazab oleh Allah de­ngan azab yang keras. Hatinya yang lembut dan penuh kasih sayang terhadap manusia tidak sanggup melihat mereka diseksa oleh Allah.

Berdasarkan kepada perwatakan lemah lembut Rasullullah SAW maka umat Islam bermuhasabahlah diri ketika bertarung sesama sendiri untuk mendapat kuasa dan kedudukan. Baginda menyeru umat Islam supaya menunjukkan sikap rahmah pada manusia dalam apa jua keadaan seperti mana sabda baginda: “Peranglah kamu dengan nama Allah. Perangilah musuh Allah dan musuh kamu di negeri Syam. Kamu akan mendapati di antara mereka orang yang tinggal di rumah-rumah ibadah, mereka mengasingkan diri daripada orang ramai. Maka janganlah kamu mengganggu mereka. Dan kamu akan mendapati orang lain yang di kepala mereka ada sarang syaitan. Maka pecahkanlah dengan pedang-pedang. Janganlah kamu membunuh perempuan, jangan bunuh anak kecil menyusui, jangan bunuh orang tua, jangan potong pohon kayu, jangan tebang pohon kurma dan jangan hancurkan rumah”.

Rasulullah SAW adalah seorang yang tawaduk dan mempunyai budi pekerti mulia dan penuh kasih sayang.

Perkara ini dijelaskan oleh Allah dalam surah 9 (al-Tawbah): 128 yang bermaksud: “Sesunguhnya telah datang kepada mu seorang Rasul dari kaum mu sendiri, berat terasa olehnya penderitaan mu, sangat menginginkan (keamanan dan keselamatan) bagi mu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang mukmin”.

Rasulullah SAW menyeru manusia supaya menyembah Allah Yang Maha Esa dan Berkuasa. Konsep tauhid yang diperjuangkan oleh baginda membuka minda dan hati umat Islam bahwa Allah adalah Tuan atau Raja kepada manusia dan makhluk-Nya. Manusia adalah hamba kepada-Nya maka kesemua manusia adalah sama tarafnya kecuali ketakwaan.

Oleh itu, jika seseorang individu dilantik menjadi ketua dalam negara maka tugas utamanya ialah melaksanakan amanah rakyat sebaik mungkin bukan meletakkan diri sebagai orang yang mempunyai taraf yang paling tinggi dan berkuasa serta bebas melakukan apa jua kegiatan tanpa batasan.

Islam mengutuk konsep bertuhankan manusia kerana konsep hidup begini boleh memusnahkan pembentukan sebuah negara yang adil, saksama dan maju. Pangkat dan kedudukan di dunia ini adalah kebanggaan yang berbentuk sementara. Kehebatan dan status keturunan hanyalah satu keegoan berlandaskan kehidupan duniawi yang paling rapuh dan hilang apabila roh kembali kepada Ilahi.

Renungilah pesanan baginda berkaitan kehidupan di dunia ini seperti mana sabdanya: “Jadikanlah kamu sebagai orang musafir yang sedang dalam perjalanan”.

Dalam Khutbah Wida’ (Khutabh Selamat Tinggal) baginda bersabda: “Aku tinggal dua perkara, kamu tidak akan sesat selama-lamanya sekiranya kamu berpegang dengan kedua-duanya iaitu Kitab Allah dan Sunnahku”. Oleh itu, umat Islam sepatutnya menjalinkan hubungan silaturrahim sesama sendiri demi kebaikan di dunia dan akhirat.

-

Ingat Krismas ingat Surah Maryam

SEMUA nabi termasuk Isa a.s. adalah watak kesayangan umat Islam. Jika sesiapa mencela atau menafikan kemuliaan mereka, maka akidahnya akan runtuh menyembah dasar neraka. Beriman kepada semua nabi dan Rasul adalah Rukun Iman yang wajib ditegakkan semua Muslim. Jika satu daripadanya dicabut, maka rumah Islam akan tersungkur tanpa nilai.

Firman Allah:

“Katakanlah (wahai orang yang beriman): kami beriman kepada Allah dan kepada apa yang diturunkan kepada kami (al-Quran), dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan Nabi Yaakub serta anak-anaknya, dan juga kepada apa yang diberikan kepada Nabi Musa (Taurat) dan Nabi Isa (Injil), dan kepada apa yang diberikan kepada para nabi daripada Tuhan mereka; kami tidak membezakan antara seseorang dari mereka (sebagaimana yang kamu - Yahudi dan Nasrani - membezakannya); dan kami semua adalah Islam (berserah diri, tunduk taat) kepada Allah semata-mata” (al-Baqarah [2:136]).


ALLAH mengurniakan irhas kepada Nabi Isa a.s. iaitu mampu berbicara ketika bayi. - GAMBAR HIASAN

Baginda dipuji dengan gelaran Ulul Azmi atau Utusan Allah yang sangat teguh keazamannya dalam dakwah (al-Ahzab [33:7], al-Syura [42:13] dan al-Ahqaf [46:35]).

Pada tempat lain, al-Quran membela Nabi Isa a.s. dengan cara yang lebih unik ketika baginda dicaci orang Yahudi sebagai anak luar nikah:

“Sesungguhnya Kami telah memberikan wahyu kepadamu (wahai Muhammad), sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nabi Nuh, dan Nabi-nabi yang diutus kemudian daripadanya; dan Kami juga telah memberikan wahyu kepada Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub, serta nabi-nabi keturunannya, dan Nabi Isa, dan Nabi Ayub, dan Nabi Yunus, dan Nabi Harun, dan Nabi Sulaiman; dan juga Kami telah memberikan kepada Nabi Daud: Kitab Zabur,” (al-Nisa’ [4:163]).

Kronologi zaman para nabi dalam ayat ini kelihatan agak janggal kerana Allah meletakkan kedudukan nama Nabi Isa selepas anak-anak nabi Yaaqub, sedangkan baginda diutuskan jauh selepas zaman mereka. Allah sebagai Tuhan yang Maha Bijaksana pasti mempunyai sebab kukuh dalam penyusunan ini.

Subhanallah! Rupanya Allah mahu membela dan mengangkat nama baginda seiring dengan para nabi Bani Israil (bermaksud anak-anak Nabi Yaaqub a.s.) yang lain. Pembelaan ini dibuat kerana Bani Israil sezaman baginda menuduh baginda sebagai anak luar nikah (rujuk ayat 156 surah al-Nisa’) (Tafsir al-Alusi dan Tafsir Fath al-Qadir oleh Imam al-Syawkani). Seolah-olah Allah mahu menempelak mereka secara sinis:

“Jangan sesekali kamu mencela Nabi Isa a.s sebagai anak luar nikah atau menafikan kenabiannya kerana Aku sendiri memuliakannya serta meletakkan namanya sejurus nama anak keturunan Nabi Yaaqub yang lain!”

Menjelang 25 Disember setiap tahun penganut agama Kristian bergembira dengan kelahiran Nabi Isa a.s. yang dipercayai sebagai anak Tuhan. Persoalannya, adakah benar 25 Disember tarikh lahir baginda? Allah sahaja yang Maha Mengetahui kesahihannya. Walaupun begitu, al-Quran memang menyebut jelas kisah kelahiran baginda:

“Kemudian baliklah dia (Maryam) kepada kaumnya dengan mendokong anaknya. Mereka (Bani Israil) pun menempelaknya dengan berkata: Wahai Maryam! Sesungguhnya engkau telah melakukan suatu perkara yang besar salahnya! Wahai saudara perempuan Harun (gelaran sempena mengingat kesolehan Maryam yang diibaratkan seperti kesolehan Nabi Harun), bapamu bukanlah seorang yang buruk akhlaknya, dan ibumu pula bukanlah seorang perempuan jahat!” Maka Maryam segera mengisyaratkan kepada anaknya. Mereka berkata (dengan hairannya): Bagaimana kami boleh berkata-kata dengan seorang yang masih kanak-kanak di dalam buaian? Dia (Nabi Isa a.s.) menjawab: Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Dia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Dia telah menjadikan daku Nabi.

“Dan Dia menjadikan aku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan aku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup. Serta (diperintahkan aku) taat dan berbuat baik kepada ibuku, dan Dia tidak menjadikan aku seorang yang sombong takbur atau derhaka. Dan segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku diperanakkan dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat)”. Yang demikian sifatnya itulah Isa anak lelaki Maryam. Keterangan yang tersebut ialah keterangan yang sebenar-benarnya, yang mereka ragu-ragu dan berselisihan padanya. Tiadalah layak bagi Allah mempunyai anak. Maha Sucilah Dia. Apabila Dia mahu menetapkan jadinya sesuatu perkara, maka Dia hanya berfirman kepada perkara itu: “Jadilah engkau”, lalu ia terus jadi (atau wujud). Dan sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu maka sembahlah kamu akan Dia inilah jalan yang betul - lurus.” (Maryam [19:27-36]).

-

Ngeri hadapi mati tanpa persiapan

UMAT yang mampu mengikuti akhlak Nabi Muhammad SAW adalah mereka yang matlamat hidupnya kerana Allah SWT dan seterusnya untuk hari akhirat. Golongan berikutnya, yang banyak berzikir dan berselawat kepada Baginda SAW.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)." (Surah al-Ahzab, ayat 21)

SOLAT dekatkan Mukmin kepada Pencipta. - Foto hiasan


Ustaz Mohd Meeftah Annuar dalam slot Mau'izati di IKIMfm berkata, kematian adalah alam awal kepada alam akhirat, betapa berat dan ngerinya kematian jika kita gagal membuat persiapan untuk menghadapinya. Imam Abu Lais al-Samarkandi meriwayatkan daripada Anas bin Malik, katanya, Rasulullah SAW bersabda: "Siapa yang suka bertemu dengan Allah, Allah juga suka bertemu dengannya." Pertemuan itu menerusi kematian atau ketika mendirikan solat kerana ia pertemuan seorang hamba dengan Tuhannya seperti mana pertemuan Rasulullah SAW dengan Allah SWT di Sidratul Muntaha.

Jika Rasulullah SAW dapat bertemu dengan Allah SWT, maka begitu juga umat Baginda iaitu di dalam solat. Orang yang suka bertemu dengan Allah SWT mempunyai cita-cita tertinggi iaitu ingin mati di jalan-Nya.

Namun, siapa yang tidak suka bertemu Allah SWT, maka Allah SWT juga tidak suka bertemu dengannya. Mereka termasuk dalam kalangan manusia yang takutkan kematian dan cintakan dunia.

Mukmin didatangi Malaikat dengan wajah bercahaya

Seorang Mukmin yang berada dalam sakaratul maut akan mendapat khabar gembira bahawa dia diredai Allah SWT. Khabar itu tidak semestinya dalam bentuk ucapan tetapi kehadiran malaikat yang wajahnya bercahaya ibarat matahari, serba putih.

Ketika itu orang Mukmin lebih menyukai disegerakan kematian daripada dilanjutkan usia apabila tiba ajalnya, dia meminta-minta supaya jasadnya segera disemadikan kerana dijanjikan Allah SWT kenikmatan di alam barzakh.

Allah SWT akan menyambut orang Mukmin beriman dengan limpahan kurnia rahmatnya, sebaliknya orang kafir ketika melihat seksaan bakal diterimanya akan menemui kesukaran dan kesulitan ketika tiba ajalnya.

Tiba malaikat di sisinya dalam keadaan serba hitam, muka bengis dan pada ketika itulah dia dijanjikan azab seksa menakutkan sambil berkata-kata: "Jangan, nanti dahulu, ke manakah aku akan dibawa pergi?"

Dirinya meronta-ronta dan menjerit tetapi tidak pula didengari oleh sesiapa. Sufian al-Sauri menghuraikan hadis ini mengatakan bukan kesukaan mereka bertemu Allah SWT menyebabkan Allah SWT mengasihi mereka tetapi kesukaan mereka untuk bertemu Allah SWT kerana Allah SWT terlebih dahulu mengasihi mereka.

Manusia tidak mempunyai apa-apa dan tidak mampu menyukai pertemuan dengan Allah SWT jika tidak dipilih oleh-Nya terlebih dahulu. Rasulullah SAW bersabda: "Jika Allah kasih kepada seseorang hamba, dia akan sibukkan dirinya dengan Allah."

Sepanjang hidupnya akan disibukkan dengan mengerjakan ibadah, mencari ilmu, membaca al-Quran dan perkara lain yang dilakukan oleh orang soleh, bermula sejak awal pagi sehingga tibanya malam hatta ketika tidurnya.

Orang beriman apabila menemui ajal tidak mahu dihidupkan semula kerana merasai sakitnya kematian dan telah mendapat nikmat seperti dijanjikan Allah SWT sementara orang kafir setelah ajalnya, meminta untuk dihidupkan kembali.

Orang yang mati syahid, apabila tibanya ajal meminta terus hidup untuk kembali berjuang kerana tidak merasai sakitnya mati dan merasa nikmat mati di jalan Allah SWT. Imam Abu Lais al-Samarkandi berkata: "Siapa yang yakin akan mati maka seharusnya bersiap sedia menghadapinya dengan melakukan amal soleh."

Fiqh tabayyun mendepani fitnah liberalisme

Penelitian di media sosial kebelakangan ini amat membimbangkan. Komen mahupun pendapat fahaman liberalisme ekstrem dikesan di Facebook, Twitter, blog, laman sesawang dan sebagainya, tersebar luas.

Lebih memeranjatkan, segelintir tokoh Islam memberi pandangan bertentangan dengan ajaran Islam yang diamalkan di negara ini. Hari ini, fahaman liberal ekstrem dan prokebebasan seolah-olah mutlak dan total, bercakap mengenai 'kebebasan media' dan 'kebebasan bersuara', berlandaskan idea kebebasan tanpa batasan akhlak, sempadan undang-undang dan peraturan.

Di Malaysia, gerakan liberal tidak mempunyai kumpulan khas yang menggunakan nama Islam liberal, namun ada individu tertentu menyuarakan persamaan agama, hak lelaki dan wanita di samping mempromosi demokrasi dan kebebasan. Pandangan sebegini adalah fitnah kepada agama Islam berdasar fahaman ekstrem liberal.

Menurut kajian TNS Global, 66 peratus pengguna internet di Malaysia mengakses aplikasi media sosial setiap hari. Daripada 20.1 juta pengguna internet, 59 peratus berusia 30 tahun ke bawah. Kajian 'We are social' September 2016, meletak kedudukan Malaysia di tangga keempat aktif media sosial di Asia Pasifik.

Statistik dipaparkan sangat merisaukan jika tidak ditangani dengan baik. Pengguna media sosial kebanyakannya generasi muda yang perlu diberi kesedaran untuk bertanggungjawab menerima, menilai serta bertabayyun (mengkaji) kesahihan maklumat sebelum menyebarkannya.

Ragui al-Quran dan al-Sunnah

Antara pandangan liberal ekstrem di media sosial adalah meragui al-Quran dan al-Sunnah. Seorang penulis dikenali memuat naik status di akaun Facebook peribadi beliau yang bertentangan dengan ajaran Islam, menyatakan: "Islam yang saya percaya membebaskan manusia untuk memilih apa juga kepercayaan yang ingin dianuti, Quran sendiri memesan bahawa (mafhum) jika Allah mahu seluruh penduduk di langit dan di bumi beriman, siapakah yang mahu menghalangnya? Tetapi, Allah telah memberikan pilihan (free choice, bukan free will) kepada manusia itu sendiri, sama ada untuk menjadi kafir atau iman, memilih untuk syurga atau neraka."

Ada penulis lain memberi pandangan perlu penilaian semula hadis bercanggah dengan sains, sejarah dan akal, malah mempertikai hadis diriwayatkan sahabat.

Kedua, mempersoal akidah. Satu tweet berbunyi: "Aku pun tak faham kenapa orang kita nak bising sangat perihal Melayu yang mahu murtad, aku tak cakap pasal kebebasan tengah hari buta ini. Bagi aku syurga bukan untuk Melayu sahaja, kalau Melayu nak masuk neraka sangat buat apa kita nak halang? Kalau semua orang nak masuk syurga, neraka nanti nak bakar siapa? Rugi sahaja Allah cipta neraka, tapi tak ada apa-apa untuk dibakar."

Ketiga, pandangan yang mengelirukan. Beberapa status mengelirukan dimuat naik di Twitter, antaranya: "Berkenaan babi, siapa cipta babi? Tuhan atau manusia? Kau yang cipta, kemudian haramkan... Berkenaan seks bebas pula, yang mencipta rangsangan semua ini Tuhan juga. Kalau tak nak orang buat seks bebas tak payahlah cipta manusia. Nak buat apa?" "Saya tidak kisah pemimpin saya LGBT, tak ada agama atau sosial, yang penting, dia laksana (tugas untuk) rakyat dan negara serta tidak salahguna kuasa. Dah tidak wajib solat Jumaat zaman ini kiranya kita berimamkan imam yang reda dan kagum dengan kezaliman pemerintah."

Keempat, pandangan tidak patuh syariah. Satu kumpulan memperjuangkan isu hak asasi wanita dan feminiti menyatakan: Faith by compulsion may lead to hypocrisy dan Islam is not a one-way street.

Kelima, mempersoal institusi ulama. Satu pandangan berbunyi: "Ulama sebagai saintis seperti ditakrifkan dalam al-Quran dan sebagai satu kasta paderi," Keenam, mencanang isu bertentangan dengan ajaran Islam yang diamalkan di negara ini, antaranya 'mencadangkan pemansuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)'.

Dicadang kesalahan khalwat dimansuhkan kerana (menurut mereka) melanggar hak privasi individu, malah (menurut mereka) khalwat di rumah persendirian adalah dosa peribadi antara pelakunya dengan Allah SWT kecuali jika dilakukan di kawasan awam serta menggesa penubuhan jawatankuasa perunding untuk meminda atau memansuhkan beberapa undang-undang syariah.

Pandangan sebegini adalah senget dan tidak wasatiyyah. Masyarakat disogok fitnah yang tiada penghujung. Kesucian agama dipersenda. Umat Islam perlu ambil berat keperluan prinsip fiqh tabayyun.

Jangan kerana berada di zon selesa, masyarakat taksub dengan indeks World Press Freedom sehingga menjual kelangsungan dan survival ummah. Jangan terlalu bersangka baik kepada newsrooms di London, New York, Hong Kong atau mana sahaja.

Teliti kebenaran

Umat Islam perlu ada kudrat tabayyun luar biasa di persimpangan zaman maklumat ini. Masyarakat perlu diajak bertabayyun meneliti kebenaran. Jika prinsip ini ditinggalkan, akan bertebaranlah fitnah yang mampu pengaruhi fikrah serta pemikiran majoriti umat Islam, lalu dianggap benar dan sahih.

Perlu akui, bukan mudah membadai arus ketika keadaan langit sudah serba terbuka. Media sosial terbina dengan sokongan penggunanya.

Produk, ideologi dan segala macam 'nilai' sama ada baik atau tidak baik, dilambakkan. Keimanan, akal budi, akhlak dan sahsiah diri diuji sepenuhnya.

Kerajaan hari ini di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak dilihat berani mendepani keterbukaan media sosial. Rakyat diberi 'suara' sampaikan pandangan. Jiwa besar, istiqamah dan kesungguhan kerajaan meruntuh tembok dan merapat jurang antara rakyat dan pemimpin.

Oleh itu, pengamal media, soldadu siber serta masyarakat Islam perlu terima fiqh tabayyun sebagai model kepada penghayatan media positif dan bertanggungjawab.

Jangan hanya 'menang sorak' di alam maya, tetapi menggadai prinsip kebenaran atas nama keterbukaan dan kepentingan peribadi sekumpulan kecil. Kemampuan bertabayyun dengan maklumat, akan menentukan kekuatan dan keabsahan ummah dalam era digital.

Semua pihak perlu gerakkan fiqh tabayyun sebagai disiplin ilmu dalam berurusan dengan fakta dan kebenaran. Inilah penggerak utama manhaj wasatiyyah dalam mengajak masyarakat bertabayyun, iaitu berhati-hati dan berteliti dengan media sosial. Ia perlu diagendakan sebagai dakwah.

Iman benteng hadapi ujian

UJIAN akan menjadikan kita insan hebat. Ia hanya terjadi apabila kita melihat ujian dengan pandangan positif dan melihat Allah SWT di sebalik setiap ujian itu.

Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman menerusi segmen Ibrah di IKIMfm berkongsi hikmah Nabi SAW melalui proses yang panjang sebelum menjadi Rasul iaitu Allah SWT memilih insan terbaik dan merencana program terbaik.

Beliau memetik firman Allah SWT yang bermaksud: "Bukankah Dia mendapati engkau yatim piatu, lalu Ia memberikan perlindungan? Dan didapati-Nya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Ia memberikan hidayah petunjuk (dengan wahyu - al-Quran)? Dan didapati-Nya engkau miskin, lalu Ia memberikan kekayaan?" (Surah adh-Dhuha, ayat 6-8)

MENGHARUNGI kesusahan hidup dengan sabar dan penuh keimanan dijanjikan balasan di akhirat.


Firman Allah SWT itu dikhususkan untuk memotivasikan Rasulullah SAW dan merumuskan apa yang Nabi SAW lalui sepanjang sebelum menjadi Rasul.

Nabi SAW pernah diuji dengan kehilangan tiga perkara, namun Allah SWT sentiasa ada bersama Baginda. Walaupun Baginda pernah hilang sesuatu, namun Allah SWT tidak pernah hilang daripada Rasulullah SAW.

Ayat ini mengajar kita, dalam kehidupan ini pasti Allah SWT akan datangkan dengan pelbagai ujian. Ada kala kita diuji dengan kehilangan insan tersayang seperti yang berlaku kepada Nabi SAW.

Belum sempat melihat dunia, Baginda SAW diuji dengan kehilangan ayahanda tersayang. Baginda juga belum sempat memahami dan mengecapi kasih sayang seorang ibu, Aminah juga dijemput oleh Allah SWT.

Kehilangan insan tersayang

Nabi SAW sempat berasakan kasih sayang seorang datuk, namun ia hanya seketika. Ertinya, Nabi SAW kehilangan insan tersayang yang menjadi kekuatan emosi Baginda. Begitu juga digambarkan dalam ayat berikutnya surah adh-Dhuha.

Menurut tafsir Ibnu Kathir, Baginda SAW pernah tercari-cari jalan untuk pulang ke rumah ketika pulang dari berniaga. Maka, saat itu Allah SWT datangkan bantuan dengan asbab Abu Jahal yang akan menjadi musuh Baginda kemudiannya.

Begitu juga pada saat Baginda SAW diuji dengan kemiskinan, maka Allah SWT datangkan Saidatina Khadijah. Sebenarnya, itulah ketentuan dan perancangan Allah SWT.

Kita perlu memahami satu perkara, hidup ini adalah untuk diuji mungkin dengan kehilangan insan tersayang, harta atau tersesat mencari arah.

Bagaimana diuji pun, Nabi SAW tidak pernah kehilangan kekuatan spiritual. Baginda tidak pernah kehilangan iman kepada Allah SWT.

Justeru, mari kita bermuhasabah bertanyakan diri apakah setiap kali diuji pernahkah hilang pergantungan kepada Allah SWT.

Kehebatan Rasulullah

Inilah keistimewaan dan kehebatan Rasulullah SAW yang menjadi insan dikenang oleh seluruh manusia yang beriman sehingga hari akhirat.

Sirah 40 tahun menjadi teladan kepada kita untuk melihat kepayahan hidup dari sudut pandang yang positif. Sifat positif lahir daripada keimanan kepada Allah SWT yang percaya di sebalik musibah ada kebaikan menanti.

Oleh itu, kita perlu sentiasa melihat dalam apa juga musibah, sebenarnya ada perancangan Allah SWT yang sangat rapi untuk menjadikan kita lebih hebat pada masa akan datang.

Sirah mengajar kita mengenal hakikat kehidupan. Percayalah, hidup ini adalah medan ujian untuk kita mengenal tahap keimanan kepada Allah SWT.

Ujian juga mengajar kita untuk kuat meletakkan kebergantungan kepada Allah SWT.

Cinta beri kekuatan, tahan dugaan

CINTA punya kuasa luar biasa yang tidak dapat ditandingi yang bertandang tepat pada masa dan keadaannya.

Cinta, nada yang sinonim dengan remaja, melatari kehidupan belia. Walau janggal pada yang tua, namun wujudnya mengundang bahagia.

Cinta adalah subjek malar segar yang tidak pernah usang dimamah usia dan tidak dimakan masa. Cinta didasari rasa yang berkait dengan hati.

SOLAT dan doa menambahkan dan mengukuhkan kecintaan kepada Ilahi.


Justeru, tumbuh tamsilan jatuh hati saat jiwa rurut serta tersangkut pada rasa kasih, sayang dan cinta.

Pada masa sama, hati adalah raja yang akan menentukan hala tuju jasad seperti mana sabda Rasulullah SAW: "Ketahuilah bahawa di dalam tubuh manusia terdapat segumpal daging, bila ia baik nescaya seluruh jasad akan baik dan bila ia rosak, nescaya seluruh jasad akan rosak pula, ketahuilah segumpal daging itu ialah hati." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hati akan mengarahkan seluruh pancaindera untuk mengikut hala tuju yang dibawanya. Jika dituju ke arah kebaikan maka baik perlakuan yang diterjemah oleh pancaindera.

Begitu juga jika hati menghala kepada kejahatan, akan menatijahkan kejahatan pada perbuatan.

Justeru, Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerusi Islam Itu Indah di IKIMfm menyarankan supaya memenuhkan hati dengan cinta yang baik dan mulia supaya jasad lebih terkawal serta bahagia kerana tiada dua cinta dalam satu hati.

Cinta kepada Pencipta

Katanya, sewajarnya ia dipenuhi dengan cinta kepada Ilahi kerana ketika cinta Allah SWT menetap di hati, cinta yang lain akan sirna. Namun, jika hati ditakluki oleh makhluk, nescaya cinta Allah SWT sukar menjengah.

Melalui al-Quran, Allah SWT mengulangi kalimat berkaitan cinta tidak kurang daripada 80 kali. Maha Suci Allah tidak akan meletakkan sesuatu yang picisan dan terpinggir di tempat mulia. Jika sekali disebut dalam kitab suci sudah dikategorikan penting apatah lagi jika berulang-ulang.

Allah SWT menegaskan sifat orang Mukmin menerusi firman yang bermaksud:"Dan di antara manusia ada orang yang mengangkat sembahan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mencintai Allah. Adapun orang yang beriman sangat cinta kepada Allah." (Surah al-Baqarah, ayat 165)

Sesungguhnya seseorang itu akan menjadi hamba kepada perkara yang dicintainya. Tatkala mencintai seseorang, seluruh tenaga dan upaya akan dipusatkan untuk memburu serta meraih kembali rasa cinta.

Segala-galanya sanggup dikorbankan termasuk masa, harta waima nyawa sanggup dipertaruhkan bagi membuktikan kecintaan mendalam.

Cinta memberi kekuatan untuk menahan dan menempuh dugaan, kepahitan serta kesengsaraan.

Tanpa batas baik mahupun buruk cinta yang diburu, pasti akan menagih keputusan, tindakan dan pengorbanan yang tidak terduga. Implikasi cinta yang buruk terkadang berakhir dengan tergadai maruah diri dan keluarga.

Kebaikan tanda cinta

Lain pula cerita jika cinta diarah kepada kebaikan akan memberi implikasi tinggi dalam nilai sanubari dan harga yang bakal dikecapi.

Contoh terbaik adalah sahabat yang sanggup mengorbankan seluruh jiwa raga ke jalan Allah SWT dan menjadikan diri galang ganti semata-mata menyelamatkan nyawa Rasulullah SAW.

Segala-galanya dilakukan untuk meraih keredaan Allah SWT dan kecintaan Rasulullah SAW.

Semua bentuk sumber di seluruh kehidupan di dunia dan akhirat berpunca daripada-Nya termasuklah kejayaan, kebahagiaan, kekayaan, ketenangan dan keadilan.

Saat hati dilukai dan merintih inginkan sesuatu, hakikatnya hati dan diri itu sedang menginginkan Allah SWT. Ketika kejahilan membelenggu, ilmu yang dipinta itu juga sebenarnya menunjukkan keinginan diri kepada Yang Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui.

Justeru, yakinlah rasa yang lahir daripada setiap ujian, tekanan, kekurangan dan desakan petanda keinginan mendalam kepada Allah SWT.

Kualiti kehidupan yang terjejas disebabkan rasa takut dan dukacita akan dapat ditangani menerusi cinta kepada Allah SWT. Mulakan dengan mendekatkan diri kepada perkara dan insan yang dekat dengan Allah SWT terutamanya Rasulullah SAW.