April 27th, 2017

Khutbah Jumaat: “Daulat dijunjung, kasih disanjung"

Petikan Khutbah Jumaat: 28 April 2017 / 1 Syaaban 1438 JAKIM

 “Daulat dijunjung, kasih disanjung"

Sistem pemerintahan beraja sememangnya telah lama diamalkan. Ketika itu, masyarakat Melayu jakim.jpgmenganggap raja sebagai punca atau kuasa yang menjamin kedamaian, kemakmuran dan kegemilangan masyarakat.

Tanpa seorang raja yang berdaulat dipercayai tiadalah negara, seterusnya manusia akan hidup dalam keadaan berpecah belah dan amat primitif sekali.


Disebabkan keistimewaan ini, apabila seseorang raja itu memeluk Islam secara otomatik semua rakyatnya akan menganuti agama raja mereka dan secara rasminya Islam menjadi agama rasmi negara.

Firman Allah SWT dalam Surah An Nisa, ayat 59
: Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Rasul dan kepada Ulil-Amri dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya”.

Sejak merdeka 1957 dan pembentukan Malaysia pada 1963, institusi pemerintahan beraja di negara ini masih utuh. Raja yang asalnya berkuasa mutlak sebelum era penjajahan telah berevolusi kepada Raja berperlembagaan dan telah pun dimaktubkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Raja adalah payung kedaulatan negara dan menjalankan tanggungjawab memberi naungan saksama kepada setiap warga tanpa mengira kaum dan agama. Apa yang lebih menarik, Raja berperanan sebagai tonggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan, payung penyatuan dan instrumen kesatuan dalam kepelbagaian yang wujud.

Justeru, dalam lafaz sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong terkandung empat perkara yang merangkumi seluruh tanggungjawab besar yang dipikul oleh baginda Tuanku.

Pertama, mengikut undang-undang dan perlembagaan.
Kedua, menegakkan kedaulatan undang-undang.
Ketiga, menjalankan pemerintahan dengan adil; dan
keempat, memelihara agama Islam.


Firman Allah SWT dalam Surah Al Maaidah, ayat 8: Maksudnya:Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan janganlah kebencian kamu terhadap suatu kaum itu mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah kerana ia lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan.”

Berasaskan kredibiliti Yang di-Pertuan Agong, kemakmuran negara dari segi perpaduan kaum, ekonomi, dan kesejahteraan politik dapat dilestarikan. Malahan takhta Yang di-Pertuan Agong akan menjadi titik rujukan untuk masyarakat Islam terus bersatu.

Imam Muslim meriwayatkan daripada ‘Ubadah bin Somit Ra yang mafhumnya:
“Daripada ‘Ubadah bin Somit RA berkata: Rasulullah SAW memanggil kami, lalu kami berbai’ah kepada baginda. Di antara yang baginda tekankan kepada kami adalah, agar kami selalu mendengar dan taat (kepada pemerintah) dalam keadaan suka atau pun tidak suka, dalam susah atau pun senang, bahkan dalam keadaan pemerintah mengurus kepentingannya melebihi kepentingan kami sekalipun (tetap wajib taat). Dan kami tidak boleh berselisihan dalam suatu perkara yang berada di tangan ahlinya (pemerintah). Sabda baginda SAW: Kecuali jika kamu melihat kekufuran yang jelas dan kamu mempunyai bukti yang nyata dari Allah SWT dalam hal itu.”

Mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin merumuskan bahawa:

Pertama: Kesetiaan kepada raja, pemerintah dan negara adalah berkait rapat dengan ketinggian jati diri rakyat kepada pemimpin secara menyeluruh.
Kedua: Rakyat harus mengetahui hak pemerintah dan meninggikan martabatnya supaya hubungan rakyat-pemerintah berjalan mengikut cara yang mulia dan terhormat.

Maksudnya: “Oleh itu, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah, dan taatlah kepadaku. Dan janganlah kamu taati perintah orang yang melampaui batas. Iaitu orang yang melakukan kerosakan di bumi dan tidak membuat kebaikan.” (Surah As Syu araa:150-152)

Khutbah Jumaat : “Pekerjaan Sebagai Hamparan Sejadah”.

Petikan Khutbah Jumaat 28 April 2017M / 01 Syaaban 1438H: JAIS

“Pekerjaan Sebagai Hamparan Sejadah”.

Islam memandang mulia kepada orang yang bekerja dan membenci orang-orang yang malas dan suka meminta-minta.

jais.jpgNabi SAW mengingatkan melalui hadis riwayat daripada Zubair bin al-Awwam R.Anhu dengan sabdanya bahawa;“Sekiranya seseorang darimu membawa tali pergi memberkas kayu, dan dipikul di atas belakangnya, kemudian dijual, lalu Allah memelihara air mukanya, itu lebih baik dari dia meminta-minta sama ada diberi atau tidak

Sesungguhnya para nabi Alaihimus Solatu Wassalam yang telah diutuskan juga bekerja. Nabi Adam bertani, Nabi Idris tukang jahit, nabi Nuh dan Zakaria tukang kayu, Nabi Daud bertukang besi. Nabi Musa mengembala kambing. Nabi Muhammad juga berniaga. Begitu juga dengan para sahabat. Abu Bakar AS-Siddq menjual pakaian, Umar Bin alKhattab mengusahakan perniagaan kulit, Uthman bin Affan seorang pedagang yang amat berjaya,

Begitu juga dengan Abdul Rahman bin Auf, Talhah bin Ubaidillah, az-Zubair bin al-Awwam, Amr bin al-Ash dan lainlain sahabat Radiallahu Anhum. Para sahabat memiliki pekerjaan masing-masing dalam rangka mencari penghidupan di dunia bahkan mereka menggunakan harta pencarian mereka untuk diinfaqkan kejalan Allah.

Islam menggalakkan umatnya bekerja keras kerana hamparan dunia ini ditabur dengan pelbagai rezeki Allah sama ada diatas permukaan bumi atau dari dalam perut bumi, dilautan dan diangkasa. Semuanya boleh diusahakan oleh manusia dengan akal dan ikhtiar yang dibekalkan oleh Allah kepada manusia. Islam tidak menyuruh kita solat secara berterusan atau duduk beriktikaf didalam masjid sepanjang masa.

Saidina Umar sendiri pernah mengusir orang yang sedang berdoa didalam masjid sedangkan ketika itu telah masuk waktu dhuha sambil berkata: “Langit tidak menggugurkan emas dan perak dengan hanya berdoa”.

Ibadah tidak hanya tertumpu pada solat, puasa, zakat, haji, zikir, baca al-Quran, bersedekah, berjihad dijalan Allah dan seumpamanya. Bahkan Islam turut memasukkan dalam maksud ibadat ialah bekerja.

Rasulullah SAW pernah mengajar kepada para sahabat secara tidak langsung maksud bekerja sebagai ibadat.

Abu Hurairah R.Anhu meriwayatkan bahawa pada suatu ketika, beberapa orang sahabat melihat seorang pemuda yang kuat dan rajin bekerja. Mereka pun berkata; Alangkah baiknya jika dia berjihad di jalan Allah. Rasulullah segera menjawab: Jangan kamu berkata seperti itu. Jika dia bekerja untuk menafkahkan anak-anaknya yang masih kecil maka dia berada dijalan Allah. Jika dia bekerja untuk menafkahkan kedua orang tuanya yang sudah tua, maka dia dijalan Allah. Dan jika dia bekerja untuk memenuhi keperluan hidupnya, maka dia dijalan Allah. (Riwayat al-Baihaqi).

Pekerjaannya mempunyai nilai-nilai ibadah yang diredhai dan diterima oleh Allah. Antara perkara-perkara tersebut ialah;

1. Pekerjaan yang dijalani mestilah pekerjaan yang baik dan patuh syariah. Tidak boleh bagi seorang muslim bekerja dalam bidang yang digolongkan oleh Islam sebagai maksiat dan mendatangkan kerosakan seperti bekerja di kelab malam, tempat pelacuran, perjudian, arak, institusi kewangan tidak patuh syariah dan seumpamanya.

2. Bekerja dengan tekun dan bertanggunjawab. Islam bukan sekadar menyuruh umatnya bekerja tetapi dalam masa yang sama memerintahkan agar bekerja dengan tekun, amanah dan bertanggungjawab.

3. Niat bekerja sebagai ibadat dan mencari redha Allah.Bekerja dengan niat yang baik kerana Allah, akan mengangkat martabat pekerjaan itu daripada pekerjaan yang biasa-biasa sahaja kepada pekerjaan sebagai satu ibadat.

Pekerjaan itu mampu menjana pahala yang amat besar bahkan dianggap sebagai amal soleh. Pekerjaan itu seolah-olah suatu hamparan sejadah yang luas. Diberi keberkatan di dunia dan diberi pula ganjaran yang baik di akhirat.

4. Tidak mengabaikan kewajipan kepada Allah. Walau apa pun pekerjaan kita, namun kewajipan kita terhadap Allah jangan diabaikan seperti solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan dan sebagainya.

Islam memandang mulia kepada orang yang bekerja untuk menyara kehidupan diri dan keluarganya dengan pendapatan yang bersih dan halal.

Keletihan dalam mencari rezeki yang halal sepanjang hari akan diberi ganjaran yang besar oleh Allah.

Bahkan keletihan dan susah payah dalam mencari rezeki akan diberi pengampunan dosa-dosa yang lalu oleh Allah SWT.

Hadis daripada Anas Bin Malik R.Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “Sesiapa yang tidur dalam keletihan kerana mencari rezeki halal, maka dia tidur dalam kemapunan Allah SWT”. (Riwayat al-Tabrani).

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 188;  “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu Dengan jalan Yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia Dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)”.

Takutlah dengan pendapatan yang tidak bersih atau tidak halal khususnya amalan rasuah yang berlaku dalam urusan pentadbiran dan seumpamanya.

Akibat menggunakan harta hasil rasuah itu, maka akan hilang barakah dan rahmat daripada Allah. Mereka tidak akan mendapat rahmat dan kasih sayang Allah. Dicabut rasa tenang dan bahagia dalam kehidupan rumah tangga walaupun dilihat keluarga itu penuh dengan kesenangan.

Mengakhiri khutbah hari ini, mimbar Jumaat ingin menyeru dan berpesan kepada sidang jumaat sekalian bahawa;

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa tujuan diciptakan itu adalah bertujuan untuk beribadat.

2. Umat Islam hendaklah mencontohi para Nabi yang rajin bekerja dan beribadah.

3. Umat Islam hendaklah mencari rezeki melalui pekerjaan yang baik dan patuh syariah.

4. Umat Islam hendaklah rajin bekerja dan menjauhi sifat-sifat malas dan meminta-minta.

5. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa pekerjaan yang haram membawa ke neraka.

“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpahlimpah); dan janganlah Engkau melakukan kerosakan di muka bumi; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan”. (al-Qasas ; 77)