May 19th, 2017

Khutbah Jumaat : “Guru Pembina Negara Bangsa”

Petikan Khutbah Jumaat 19 Mei 2017M / 22 Syaaban 1438H:JAIS

“Guru Pembina Negara Bangsa”

Guru merupakan insan mulia yang gigih dan tabah, menyalakan obor keikhlasan untuk menerangi dunia pendidikan sejagat. Guru memiliki peranan dan fungsi yang sangat penting dalam membangunkan peradaban dan kemajuan sesebuah negara dan bangsa.

Imjais.jpgam Ghazali dalam kitab „Ihya Ulumuddin memetik nasihat Lukman Al-Hakim kepada anaknya supaya menghormati guru, katanya: “Wahai anakku, pergaulilah para guru dan rapatilah mereka dengan kedua lututmu, kerana Allah Taala menghidupkan hati dengan nur (cahaya) hikmah, sebagaimana Allah menghidupkan bumi dengan hujan dari langit”.

Untuk membuktikan betapa hebatnya guru, cuba kita renung peranan yang dimainkan oleh guru dalam persoalan berikut;
i. Siapakah yang melahirkan seorang Raja yang adil dan pemimpin yang bijaksana? Jawapannya guru.
ii. Siapakah yang melahirkan doktor, peguam, jurutera, arkitek, akauntan dan lain-lain profesion? Tidak lain adalah guru.
iii. Siapakah yang melahirkan ulama tersohor dan pendakwah hebat? Ianya adalah guru.
iv. Siapakah yang melahirkan professor? Juga adalah guru.

Ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah Al-Mujadalah ayat 11 yang meninggikan martabat seseorang yang berilmu;  “…Allah meninggikan darjat orang-orang Yang beriman di antara kamu, dan orang-orang Yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. dan (ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa Yang kamu lakukan”.

“Apabila pelajar sakit gurulah doktor dan jururawatnya, apabila pelajar berkelahi, gurulah pemutus keadilan sebagai peguam dan hakimnya, apabila pelajar mengadu tentang kerosakan peralatan sekolah, gurulah tukang kayunya, apabila pelajar melaporkan perbuatan salah laku, gurulah penyiasat dan hakimnya, apabila pelajar sedih, maka gurulah penghibur, pelakon, penyanyi dan pelawak untuknya.”

Inilah hakikat seorang guru yang bukan mengharapkan balasan dan belas ihsan, tetapi cukuplah sekadar memahami tugasan dan cabarannya

Tindakan guru sering disalahtafsir oleh masyarakat dan direndahkan martabatnya hanya kerana menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pendidik. Seharusnya isu ini dinilai dari sudut kemanusiaan secara menyeluruh, dan tidak bertindak secara melulu menyalahkan guru. Pernahkah kita mendengar tentang pelajar mengasari guru? Pelajar „Kung Fu‟ guru? Bagaimana pula sudut pandang kita apabila ada ibu bapa yang menyerang guru kerana anaknya telah dirotan, akibat sikap anaknya sendiri?

Maka, adalah tidak adil untuk menghukum guru hanya dengan beberapa isu yang boleh diselesaikan.

Hakikatnya, ini adalah tanggungjawab kita bersama bagi memastikan amanah yang dikurniakan oleh Allah SWT tidak dikhianati. Sesungguhnya anak dan pelajar ini merupakan ujian buat penjaganya

Firman Allah SWT dalam Surah alAnfal, ayat 27 dan 28 :“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya). Dan ketahuilah, bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar”.

Guru yang cemerlang adalah guru yang memiliki ciri-ciri berikut;

1. Guru berilmu pengetahuan luas,
2. Guru mestilah mempunyai keterampilan dan kemahiran tinggi,
3. Guru sebagai contoh terbaik (Qudwah Hasanah),

Seorang penyair dari Mesir, Ahmad Syauqi mengatakan, ْ“Berilah penghormatan yang sewajarnya kepada guru, kerana kedudukannya hampir menyamai kedudukan seorang Rasul”

Mengakhiri khutbah pada hari ini,

1. Umat Islam hendaklah menghormati dan menghargai guru kerana guru adalah asset pembangunan peradaban dan kemajuan sesebuah Negara dan bangsa.

2. Ibu bapa dan masyarakat hendaklah berganding bahu dengan guru-guru dalam memartabat pendidikan demi membina sesebuah negara bangsa yang berkualiti.

3. Guru hendaklah sentiasa menjadi contoh terbaik atau Qudwah Hasanah kepada seluruh masyarakat.

4. Umat Islam hendaklah membantu guru dalam memikul tanggungjawab dan amanah mereka.

“Malaikat itu menjawab: "Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa Yang Engkau ajarkan kepada kami; Sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”. (al-Baqarah ; 32)

Khutbah Jumaat: “Kunci Ke Syurga”.

Petikan Khutbah Jumaat:  (19 Mei 2017 / 22 Sya’ban 1438) JAKIM

.“Kunci Ke Syurga”

Islam amat memuliakan insan yang bergelar ibu dan bapa. Memuliakan ibu atau bapa, bukanlah dengan memberi harta yang berlimpah ruah tetapi dengan akhlak yang baik dari anak-anak. Ini adalah antara ciri-ciri orang beriman yang dicintai oleh Allah SWT. Atas kemuliaan dan ketinggian kedudukan ibu dan bapa di dalam agama, maka Allah SWT mewajibkan kita berlaku ihsan kepada kedua-duanya.

jakim.jpgFirman Allah SWT dalam Surah An Nisa ayat 36: Maksudnya: Dan sembahlah Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan berbuat baiklah kepada kedua ibubapa….”

Para pentafsir al-Quran menjelaskan bahawa maksud berbuat baik kepada ibubapa ialah kita berusaha mencari keredhaan dan menggembirakan hati kedua-duanya. Keredhaan Allah SWT adalah bergantung kepada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan ibubapa menyebabkan kemurkaan Allah SWT.

Anak-anak yang mengasihi ibu bapa mereka akan sentiasa memelihara akhlak dan sahsiah diri menuju jalan kemuliaan. Antara sikap mulia anak-anak kepada ibubapa adalah berlemah lembut, berbudi bahasa, tidak derhaka dan sentiasa ingat pengorbanan mereka.

Setidak-tidaknya ada lima Nilai Teras Keluarga Bahagia berkonsepkan KASIH iaitu Kasih Sayang, Berakhlak, Sihat, Selamat, Berilmu dan Harmoni yang boleh diamalkan. Namun, jika elemen nilai ini diketepikan maka terjadilah kes anak yang berjaya dalam hidup, punya nama, pangkat dan harta tetapi gagal menyantuni ibubapanya. Lebih memilukan, ia mendatangkan tekanan emosi yang teruk kepada ibubapa sehingga menjejaskan tahap kesihatan mereka.

Menurut kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia kelima (KPKM-5), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) 2014, terdapat kira-kira 2.77 juta warga emas berusia 60 tahun dan ke atas iaitu 9 peratus daripada 30.49 juta populasi penduduk di negara ini.

Apa yang membimbangkan, ada di kalangan mereka yang tinggal berseorangan ataupun bersama pasangan mengalami rasa kesunyian dan rendah tahap interaksinya dengan ahli keluarga. Oleh itu, situasi ini perlu diberi perhatian serius oleh anak-anak kerana ia mungkin memberi kesan kepada kestabilan emosi, kesihatan dan ekonomi ibu dan bapa kita.

Dewasa ini, masih ada lagi masyarakat yang mengabaikan tanggungjawab kepada ibubapa mereka. Bahkan masih ada juga yang tidak mempedulikan nasib ibubapa dan kurang prihatin terhadap kesusahan ibubapa mereka. Ingatlah, bahawa mereka sudah terlalu banyak berkorban dan berjasa dalam membesarkan kita. Justeru, menghayati pengorbanan mereka dalam tempoh sehari adalah tidak memadai. Bahkan kita dituntut mengenang jasa mereka dengan kasih sayang sepanjang hayat kita.

Firman Allah SWT dalam Surah al- Ahqaf ayat 15:
Maksudnya: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungkannya dan telah melahirkannya dengan bersusah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.”

Sememangnya cabaran menjaga ibubapa yang telah lanjut usia adalah berat. Namun, jika kita sabar dan ikhlas melayan mereka nescaya sudah tentulah kebaikan juga yang dibalas oleh Allah SWT. Yakinlah, bagi balasan baik Allah SWT telah menjanjikan kebaikan yang tidak terkira terhadap ketaatan dan amal bakti yang dicurahkan oleh seorang anak kepada ibu bapanya.


Sebagai anak kita bertanggungjawab memuliakan ibubapa dengan mentaati mereka, menggembirakan mereka, bersyukur dan menghargai mereka dan sentiasa mengucapkan terima kasih kepada mereka. Dengan amalan mulia ini, Allah SWT memberkati rezeki dan umur kita, menghapuskan dosa dan menjadi jaminan untuk kita memasuki syurga.


Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Sungguh hina, Sungguh hina, Sungguh hina”. Lalu baginda SAW ditanya: “Siapakah Ya Rasulullah?” jawab baginda SAW: “Sesiapa yang mendapati kedua ibubapanya yang sudah tua atau salah seorang daripada keduanya, tetapi dia tidak dapat masuk ke syurga (dengan memelihara mereka sebaik-baiknya).

Mengakhiri khutbah pada hari ini, khatib ingin menyeru sidang Jumaat sekalian untuk sama-sama menghayati intipati khutbah yang telah disampaikan iaitu:


Pertama: Mentaati dan mematuhi kedua ibubapa melebihi segala-galanya selagi mana mereka tidak menderhakai Allah SWT.
Kedua: Mengutamakan kasih sayang terhadap ibubapa dengan menghormati dan membalas jasa mereka.
Ketiga: Umat Islam dilarang menyakiti hati ibubapa kerana ia termasuk dosa besar dan balasannya sangat berat di sisi Allah SWT.

Maksudnya: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan Dengan-Ku dengan sesuatu yang tidak engkau ketahui tentangnya, maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kembali kamu kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.” (Surah Al ‘Ankabut : 8)

Profesion amil tugas mulia

“INI milikmu dan ini pula hadiah yang diberikan adalah milikku,” ujar Ibn Lutbiyyah kepada Rasulullah SAW. “Apakah kamu menyangka jika kamu berada di rumah kedua-dua ibu bapa kamu hadiah ini akan diberikan kepadamu?” Jawab Nabi seraya naik ke atas mimbar dan berkhutbah:

“Apakah gerangan dan perihal seorang amil (zakat dalam kisah ini dimaksudkan Ibn al-Lutbiyyah) yang diutuskan dan pulang lalu berkata : Ini hak untukmu (umat Islam) dan ini pula hak (bahagian) milikku? Apakah dia menyangka jika dia hanya duduk di rumah ayah dan ibunya lalu datang seseorang dan memberi hadiah kepadanya (jika benar hadiah itu adalah untuknya)?


TUGAS amil amat berat kerana ia turut datang bersama tanggungjawab, amanah, integriti, ketelusan dan ketulusan. - GAMBAR HIASAN
Demi jiwaku berada di tangan-Nya! Jika seseorang di antara kamu mengambil sesuatu yang dikira (dianggap) haknya, pada hal bukan haknya, nescaya pada hari kiamat nanti dia akan menghadap Allah SWT dengan memikulnya (barang yang bukan haknya itu). Sama ada ia seekor unta yang mengeluarkan suaranya, ataupun lembu yang sedang menguak mahupun kambing yang sedang mengembek!” Kemudian, Baginda Rasul mengangkat tangannya hingga menampakkan bahagian ketiak lalu berkata: “Ya Allah! Saksikanlah bahawasanya aku telah sampaikan!” - Riwayat Bukhari

Amil Bukan Sekadar Tugasan Biasa

Tugasan atau profesion amil bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh. Bukan berbangga, namun ia adalah satu tugasan mulia yang terisi dengan tanggungjawab, amanah, integriti dan ketelusan juga ketulusan serta profesionalisme dalam bekerja.

Bukan itu sahaja, bahkan kelayakannya untuk menerima peruntukan zakat sebaris dengan senarai ansaf yang disebut Allah adalah satu keistimewaan yang tinggi nilainya.

Firman Allah dalam Surah al-Taubah ayat 60 maksudnya: “Sesungguhnya zakat-zakat itu hanyalah untuk orang fakir, miskin, pengurus-pengurus zakat, para mualaf yang dijinakkan hatinya, untuk (memerdekakan) budak, orang yang berhutang untuk jalan Allah, dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai suatu ketetapan yang diwajibkan Allah; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”

Siapakah para amil zakat ini? Para ulama bersepakat bahawasanya para amil zakat adalah mereka dilantik pemerintah yang bertanggungjawab mengutip dan memungut zakat daripada mereka yang berhak berzakat.

Cuma para ulama khilaf pada meluaskan maksud amil ini. Golongan Hanafiyyah mengehadkan maksud amil hanya kepada yang tersebut di atas, manakala jumhur meluaskan definisi amil kepada mereka yang bukan sahaja bertugas memungut bahkan turut sama mengagihkan zakat kepada yang berhak.

Ibn Qudamah al-Maqdisi memberi takrifan amil yang agak komprehensif iaitu mereka yang dilantik pemerintah untuk mengutip zakat daripada pemiliknya, mengumpul, menjaga, membawa dan termasuk para pembantu mereka seperti penjaga atau gembala dan juga pemandu. Begitu juga mereka yang bertugas mentaksir, mengira, menyimpan rekod (akaun), jurutimbang dan seluruh jentera pengoperasian yang diperlukan dalam pengurusan zakat. [Lihat alMughni 9/312]

Pengkhianatan institusi amil

Asal namanya manusia sudah tentu tidak sempurna dan banyak khilafnya. Sejarah panjang umat Islam membuktikan bahawa pengkhianatan dilakukan oleh manusia dalam lapangan yang pelbagai sama ada dari aspek siasah, pemerintahan hatta atas nama agama sekalipun boleh berlaku.

Ini bukan semata-mata alasan untuk dikemukakan. Bahkan ini adalah ruang memberi pertimbangan dan membuat keputusan tatkala berlakunya sesuatu yang tidak kita ingini. Apatah lagi untuk mencela dan mencaci ibarat lautan tak bertepi.

Jelas, Allah memberi ingatan dan amaran menerusi firman-Nya dalam Surah al-Nisa’ ayat 29-30:

“Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil (tidak benar), kecuali dengan jalan perdagangan yang berlaku atas dasar suka sama suka antara kamu. Janganlah kamu membunuh dirimu kerana sesungguhnya Allah Maha Penyayang kepadamu sesiapa berbuat demikian dengan cara melanggar hukum dan zalim, akan Kami masukkan dia ke dalam neraka. Perkara itu ternyata amat mudah bagi Allah.”

Namun, manusia tetap manusia yang tidak terlepas daripada lalai dan lupa. Rasulullah sendiri, ada kisah tersendiri yang boleh kita jadikan sebagai paksi dan wajar diinsafi. Walaupun bukan khianat dari aspek menyeleweng harta zakat, namun perbuatan menyampaikan khabar dusta kepada Baginda sudah cukup besar untuk Allah menurunkan wahyu-Nya memberi ingatan.

Kisah Al-walid bin ‘Uqbah r.a. yang diutuskan Nabi ke Bani Mustaliq untuk mengutip zakat daripada bapa mertua Baginda sendiri iaitu al-Harith bin Abi Dhirar r.a. Dalam perjalanan tersebut, Al-Walid telah diuji dengan sangkaan buruknya terhadap Bani Mustaliq dengan menyangka mereka tidak mahu mengurniakan zakat yang diwajibkan oleh Nabi dan mahu membunuhnya jika tiba di sana.

Lantas, al-Walid bin U’qbah r.a. telah pulang dan mengkhabarkan Rasulullah akan ‘sangkaan’ dirinya lalu hal tersebut membuatkan Rasulullah percaya dan kecewa dengan berita tersebut. Rentetan itu Baginda menghantar tenteranya bagi memerangi kaum Bani Mustaliq.

Hinggalah mereka bertemu di pertengahan jalan dengan Al-Harith r.a yang telah mengumpulkan semua harta zakat untuk dibawa bertemu dengan Nabi. Akhirnya segala berita yang bersifat khabar angin dan desas-desus itu telah terbukti salah.

Allah menegur dalam firman-Nya dalam Surah al-Hujurat ayat 6: “Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa suatu berita, maka selidiki dahulu (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum dengan perkara yang tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesal apa yang kamu telah lakukan.’’

Ya, Allah menyebut akan sifat kefasikan dan ia berlaku pada batang tubuh seorang amil yang dilantik Rasulullah SAW. Sekali lagi, ini bukan hanya alasan. Namun ini adalah satu sempadan dan teladan yang perlu diambil berat dan dijadikan azimat dalam menjalani tugasan menjaga amanah harta Allah yang ditunaikan manusia.

Antara Ujian Dan Iman

Bani insan akan sentiasa diuji. Iman perlu kepada pembuktian. Justeru iman perlu diuji bagi membuktikan ‘ketulenannya’. Umpama emas yang mahu dinilai kualitinya. Memakainya perlu dilebur dalam relau api yang beribu darjah panasnya.

Sebagaimana panasnya menguji ketulenan emas begitulah jua ‘panasnya’ ujian iman buat para amilin dan mereka yang memegang amanah daripada Allah. Berdoalah agar semua diberi kekuatan dan diselamatkan dari mehnah harta yang membutakan mata. Mohon doa dipanjatkan bukan hanya cacian yang dilemparkan.

Hijrah rakaman pengajaran teragung

SETELAH diangkat menjadi nabi dan rasul, Nabi Muhammad SAW bertungkus-lumus menjalankan usaha dakwah kepada tauhid. Dakwah itu menuntut kepada kesungguhan dan keikhlasan serta pengorbanan dan penderitaan. Ia diteruskan di Makkah sehingga 13 tahun lamanya, satu tempoh yang lama berhadapan dengan pelbagai ujian dan cabaran.

Suatu ketika, Baginda SAW telah bermimpi melihat negeri yang terletak di kawasan yang dipenuhi pohon kurma. Itulah bumi Yathrib yang telah dipilih ALLAH SWT sebagai ‘Darul Hijrah ‘ bagi kaum Muslimin. Maka berangkatlah kaum Muslim dari Makkah, dan sebahagian yang berada di bumi Habsyah menuju ke Yathrib. Mereka berhijrah bersama agama dan tauhid, meninggalkan tanah tempat tumpah darah dan harta-benda mereka.

Benarlah perancangan ALLAH itu mengatasi segalanya. Hari ini kita sibuk bercakap tentang soal perancangan, hala tuju, sasaran dan sebagainya, namun segala perancangan yang kita fikirkan itu, mustahil berlaku melainkan dengan izin Tuhan. Sepertimana firman ALLAH: "Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan ALLAH menggagalkan tipu daya (mereka), kerana ALLAH sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya." (Surah Al-Anfal: 30)

Bertitik tolak daripada perintah hijrah ini, maka bermulalah episod baharu dalam perjuangan Baginda SAW dan kaum Muslimin. ALLAH memilih bumi Madinah sebagai pusat penyebaran dan kekuatan Islam.

Hijrah yang dilakukan oleh Baginda SAW dan sahabat mempunyai banyak pengajaran dan iktibar. Antara pengajaran yang boleh diperoleh adalah :

1) Hijrah menuntut kepada transformasi holistik

Hijrah bukan sekadar perpindahan tempat, ia juga menuntut kepada perubahan positif yang holistik dan menyeluruh. Berhijrah daripada perkara yang ditegah dan dilarang ALLAH jua adalah tuntutan hijrah. Sabda Rasulullah SAW: “(Sebenar) Muslim adalah seorang yang menyelamatkan orang Muslim dari (kejahatan) lidah dan tangannya, (sebenar) orang yang berhijrah adalah seorang yang berhijrah (meninggalkan) apa yang dilarang ALLAH ke atasnya.” (Riwayat Muslim)

Sikap malas, pengotor, menangguhkan kerja, tidak produktif, ponteng kerja, tidak menjaga masa dan sebagainya adalah perkara yang ditegah ALLAH. Semua tabiat negatif ini haruslah ditinggalkan dan dijauhi. Hijrah menuntut kita berubah daripada keburukan kepada kebaikan, dosa maksiat kepada taubat dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan akhirat.

2) Sabar dan yakin merupakan jalan kejayaan

Selepas 13 tahun bersabar berhadapan dengan pelbagai dugaan dan cabaran di Makkah, Baginda SAW dan sahabat berasai sinar kebahagiaan. Jika di Makkah mereka dibenci, diboikot, dihina dan dimaki, namun di Madinah mereka disantuni, diberikan perlindungan oleh warga Ansar dalam kalangan penduduk Madinah. Mereka mempunyai kenalan baharu, bahkan menjadi saudara bagi mereka. Kaum Muslimin berasa merdeka, mereka bebas beribadah, bebas ke sana ke mari. Sungguh mereka berasakan sinar kejayaan semakin hampir.

ALLAH berfirman: “Sesungguhnya Kami tetap membela serta mempertahankan Rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman - dalam kehidupan dunia ini dan pada saat bangkitnya saksi-saksi (pada hari kiamat).” (Surah Ghafir: 51)

3) Bertawakal dan berpegang kepada tali Allah

Perjalanan hijrah bukanlah sesuatu yang mudah. Penghijrahan ini terdedah kepada pelbagai risiko. Hari ini, jika berhadapan dengan saat-saat getir dalam kehidupan, maka kita akan berasa sempit dada. Bahkan ada insan yang hilang arah tuju dalam kehidupan. Di sinilah pentingnya perasaan tawakal yang menyerahkan utusan kepada ALLAH di samping terus berpegang kepada tali ALLAH. Sepertimana firman ALLAH menerusi Surah At-Taghabun ayat 13.

4) Hijrah mengajar cinta hakiki dan persaudaraan

Hijrah turut memaparkan babak cinta dan persaudaraan sesama Islam. Lihatlah betapa teguhnya cinta dan kasih Abu Bakar RA kepada Rasulullah SAW. Sejarah telah mencatatkan, Abu Bakat RA menangis kegembiraan tatkala Rasulullah SAW telah memilihnya untuk menjadi teman Baginda SAW dalam perjalanan hijrah. Beliau kasihkan Rasulullah SAW lebih dari segala insan lain.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah (sempurna) beriman salah seorang kamu sehingga aku (Rasulullah) menjadi insan yang paling dikasihinya daripada anaknya, bapanya dan manusia seluruhnya.” (Riwayat  Bukhari & Muslim)

Persoalan kepada diri kita, apakah Rasulullah SAW  telah menjadi manusia yang paling kita sayangi mengatasi kasih dan cinta kita kepada anak, ibu bapa, suami isteri dan segalanya?

Lihatlah bagaimana sahabat kalangan muhajirin dan Ansar telah dipersaudarakan oleh Rasulullah SAW. Masjid menjadi pusat pertemuan dan berupaya menjadi pusat penyatuan di kalangan orang Islam. Akhirnya persaudaraan itulah yang menjadi sumber kekuatan kaum Muslimin. Mereka telah berjaya membuktikan, sedangkan masjid-masjid kita lengang, sunyi dan tidak bermaya. Kalaupun ramai yang berhimpun, hati-hati kita tidak bersatu bahkan saling membenci! - Moga dijauhkan ALLAH.

5) Perancangan teliti dan pengorbanan

Dua perkara penting yang menjadi elemen kejayaan hijrah adalah perancangan dan pengorbanan. Perjalanan hijrah telah menonjolkan kebijaksanaan Rasulullah SAW dalam merancang perjalanan, dan kesediaan sahabat dalam berkorban. Tidaklah dapat dinafikan bahawa, seorang pemimpin yang baik adalah seorang yang bijak merancang dan pengikut yang baik adalah seorang sanggup berkorban dan berjuang.

6) Ikhlas kunci mendapat manfaat

Seperti ibadah lain, hijrah jua menuntut kepada keikhlasan. Amatlah rugi sekiranya sesuatu usaha amal sama ada kecil atau besar dilakukan tanpa ikhlas. Sepertimana Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya amal itu hanyalah berserta niat, dan setiap manusia mendapatkan apa-apa sesuai yang diniatkannya. Barang siapa yang hijrahnya kepada ALLAH dan Rasul-Nya maka hijrahnya itu adalah kepada ALLAH dan Rasul-Nya, dan barang siapa yang hijrahnya kerana dunia yang diinginkannya atau wanita yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya itu kepada apa-apa yang ia inginkan itu.” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Sesungguhnya, hijrah itu sarat dengan pengajaran dan iktibar. Semangat hijrah wajar diterjemahkan dalam kehidupan seorang Muslim yang progresif dan dinamik. Hijrah sikap dan minda menjadi pemangkin ke arah umat cemerlang!

Nusyuz undang kemurkaan ALLAH

Nusyuz undang kemurkaan ALLAH

FIRMAN ALLAH SWT: "Wanita-wanita yang kamu khuatirkan nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah mereka di tempat tidur mereka, dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya. Sesungguhnya ALLAH Maha Tinggi lagi Maha Besar." (Surah An-Nisaa': 34)

Segelintir fuqaha menyatakan pendapat mereka, hukumnya haram apabila seseorang isteri berlaku nusyuz terhadap suaminya kerana terdapat amaran keras daripada Nabi Muhammad SAW, sepertimana sabda Nabi yang bermaksud: "Sekiranya seseorang isteri itu meninggalkan tempat tidur suaminya (dengan sengaja) malaikat akan melaknatnya sehingga waktu pagi." (Riwayat Bukhari)

Kenyataan itu ditegaskan lagi dengan hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa, Baginda SAW bersabda: "Sekiranya suami mengajak isteri ke tempat tidur lalu isteri menolak maka malaikat akan melaknat isteri berkenaan sehingga ke pagi hari." (Riwayat Muslim)

Berlakunya nusyuz

Terdapat beberapa keadaan yang menyebabkan seseorang isteri itu nusyuz kepada suaminya antaranya ialah wanita yang derhaka dalam mematuhi perkara yang diwajibkan ALLAH ke atas mereka seperti tidak taat kepada suami dan sengaja mencari marah suami dengan melakukan perkara yang suami tidak suka. Menolak ajakan suami ketika suami berhajat kepadanya juga tanpa sebarang sebab munasabah juga dikira sebagai nusyuz.

Dr Muhammad 'Uqlah dalam Kitab Nizam Al-Usrah fi Al-Islam memperincikan bahawa isteri yang nusyuz ialah isteri yang meninggikan diri daripada suaminya, meninggalkan perintah suami, menjauhkan diri daripada suami, mengelak diri daripada suaminya, membuat perangai sehingga mencabar ego suami dan memandang rendah martabat seorang seorang serta memperkecilkan suami.

Berdasarkan pandangan daripada Prof Dr Wahbah Al-Zuhaili dalam Kitab Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuh  menjelaskan nusyuz isteri ialah derhakanya terhadap suami dalam perkara yang diwajibkan ke atasnya, sikap saling benci membenci antara keduanya dan keluar rumah tanpa izin suami serta meninggalkan rumah dengan tidak ada sebab  syarie yang membolehkan atau menghalang suami daripada memasuki rumah.

Dalam konteks hari ini, boleh dikatakan bahawa nusyuz juga berlaku apabila isteri tetap mahu tinggal di rumah ibu bapanya sedangkan suaminya mengajaknya berpindah ke tempat lain.

Nusyuz boleh berlaku dalam perbuatan dan perkataan. Dalam perbuatan, isteri bermasam muka dengan suami, menjauhkan diri daripada suami, enggan menyahut panggilan suami  sedangkan sebelumnya dia mesra dengan suaminya. Nusyuz melalui perkataan pula adalah bercakap dan berinteraksi secara sedangkan sebelum itu isteri berlemah lembut dengan suami.

Didik isteri nusyuz

Al-Quran telah menggariskan panduan bagaimana caranya untuk mendidik isteri yang nusyuz dan ia dinyatakan ALLAH dalam  Surah An-Nisaa' ayat 34.  Daripada ayat berkenaan, boleh disimpulkan bahawa tindakan yang boleh dilakukan apabila seseorang isteri itu nusyuz adalah suaminya perlu memberi nasihat.

Antara nasihat yang baik termasuklah mengingatkan isteri untuk kembali kepada ALLAH selain menasihatinya perihal dosa dan kemurkaan ALLAH terhadap perbuatan nusyuz. Jika isteri terus bermasam muka di hadapan suami, sungguh pun suaminya mencuba bermacam cara, masih bercakap kasar sedang suaminya berusaha untuk berlemah lembut dengannya dan enggan bersama suaminya, suaminya perlu melakukan sesuatu seperti:-

1. Menasihatinya

Hendaklah suami menasihati isterinya dengan lemah lembut. Suami menasihati isteri dengan mengingatkan perlunya isteri mematuhi kewajipannya untuk taat pada suami. Nasihat berkenaan perlulah mendorong isteri untuk taat pada suami dan memotivasikan dengan menjelaskan betapa besarnya ganjaran pahala di dalamnya. Wanita yang baik adalah wanita solehah, yang taat, menjaga diri saat suami tidak ada di sisinya. Suami juga hendaknya  menjelaskan hukuman ALLAH kepada wanita yang nusyuz kepada suaminya.

Dan jika isteri menerima nasihat dan berubah, suami tidak boleh mengungkit akan setiap perbuatan isterinya sebelum ini, sebagaimana firman-Nya: "Kemudian jika mereka mentaatimu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya." (Surah An-Nisaa': 34)

2- Melakukan hajr

Namun jika nasihatnya tidak diendahkan, suami perlulah mencari kaedah lain iaitu hajr (memboikot isterinya dalam tempoh menasihatinya untuk tidak nusyuz). Ia dijelaskan ALLAH dalam firman-Nya: "Dan hajrlah mereka di tempat tidur mereka." (Surah An-Nisaa': 34) .  Mengenai cara menghajr, ulama memberikan beberapa cara sebagaimana diterangkan oleh Ibnul Jauzi:

Tidak berhubungan intim walaupun isteri menginginkannya.

Tidak mengajak berbicara, namun masih tetap berhubungan intim.

Mengeluarkan kata-kata yang menyakiti isteri ketika di ranjang.

Pisah ranjang (Lihat: Zaadul Masiir, 2: 76).

Cara manakah yang kita pilih? Yang terbaik adalah cara yang sesuai dan lebih bermanfaat bagi isteri ketika hajr. Namun, tidak boleh seorang suami memboikot isteri melainkan di rumahnya.

Sebagaimana sabda Nabi SAW ketika Baginda SAW ditanya mengenai kewajiban suami pada isteri oleh Mu'awiyah Al-Qusyairi: "Dan janganlah engkau memukul isterimu di wajahnya, dan jangan pula menjelek-jelekkannya serta jangan melakukan hajr selain di rumah." (Riwayat Abu Daud no. 2142. Syaikh Al-Albani mengatakan hadis ini hasan sahih)

Namun jika melakukan hajr untuk isteri di luar rumah itu terdapat maslahat, maka silakan dilakukan kerana Nabi  SAW pernah melakukan hajr terhadap isteri-isteri  Baginda SAW di luar rumah selama sebulan. Dan, si suami perlu berhati-hati supaya hajr yang dilakukan tidak diketahui anak-anak bagi mengelakkan berlakunya sebarang keburukan di masa depan.

Berapa lama masa hajr? Ulama Malikiyah berpendapat bahawa tempoh hajr paling maksimum adalah empat bulan. Namun yang lebih tepat adalah pendapat jumhur ulama dalam kalangan Hanafiyah, Syafi’iyah, Hanabilah, masa hajr adalah sampai waktu isteri kembali taat (tidak nusyuz). Kerana dalam ayat hanya disebutkan secara mutlak, maka kita pun mengamalkannya secara mutlak dan tidak dibatasi.

Namun jumhur ulama berpandangan bahawa jika hajr yang dilakukan adalah dengan tidak berbicara pada isteri, maka maksimum hajr adalah tiga hari, meskipun isteri masih terus-terusan nusyuz kerana suami boleh melakukan cara hajr yang lain. Daripada Anas bin Malik, Nabi SAW bersabda: "Tidak halal bagi seorang Muslim melakukan hajr (boikot dengan tidak mengajak bicara) lebih dari tiga hari." (Riwayat Bukhari no 6076 & Muslim no 2558)

Jika tidak lagi bermanfaat cara kedua ini, maka ada langkah berikutnya.

3 - Memukul isteri

Memukul isteri yang nusyuz dalam hal ini dibolehkan ketika nasihat dan hajr tidak lagi bermanfaat. Namun, suami haruslah memukul isteri dengan cara yang diajarkan Islam niat untuk mendidik bukan sebaliknya.

Suami perlu memukul isteri dengan pukulan yang ringan kerana tujuannya adalah untuk isteri kembali taat. Islam memberikan garis panduan bagaimana untuk memukul isteri supaya pukulan itu tidak mendatangkan mudarat antaranya tidak boleh memukul dengan pukulan yang keras, tidak boleh memukul di bahagian wajah dan anggota yang mudah cedera.

Sesungguhnya, terlalu besar ganjaran yang ALLAH sediakan untuk isteri yang solehah dan diredai suaminya. seperti sabda Nabi SAW yang diriwayatkan Ummu Salamah RHA: " Setiap wanita yang meninggal dalam keadaan suaminya reda kepadanya, maka dia akan masuk syurga." (Riwayat At-Tirmizi)

Siapa yang tidak mahu masuk syurga, jadi sebagai isteri cubalah sedaya upaya merebut peluang itu dengan mentaati suami  dan melakukan kewajipannya. Sesuatu yang perlu dipandang serius, nusyuz juga boleh menggugurkan hak nafkah daripada suami. Sunat bagi suami berbuat baik dan mengambil hati isterinya dengan memberikan sesuatu yang menggembirakan perasaan isteri.

Nusyuz hanya isteri?

"DUA tiga hari ni, asal abang balik kerja mesti awak tidak ada di rumah, awak ke mana? Pagi tadi, awak tak mintak izin pun nak keluar rumah," tanya suami baik-baik, tapi isterinya menunjukkan wajah tidak berpuas hati.

Suami adalah nakhoda dalam sesebuah bahtera rumah tangga dan semestinya setiap apa yang diperintahkannya itu perlu ditaati dan bukannya dibangkang. Justeru, apa yang perlu dilakukan si suami apabila suri hatinya sering membelakangi?

Dalam menelusuri alam perkahwinan, sebuah rumah tangga itu tidak akan lari daripada ujian.  Pertengkaran, ketidakfahaman dan pelbagai permasalahan lain adalah biasa dalam kehidupan berumah tangga.

Bezanya, mampu atau tidak pasangan berkenaan bersabar dan bertahan. Berbalik kepada situasi di atas, apakah seorang isteri itu telah nusyuz, apabila suami berasa hati  kerana isterinya keluar rumah tanpa keizinan?  Ikuti kupasan lanjut berikut:

Nusyuz dari segi bahasa bermaksud tempat yang tinggi (menonjol). Sedangkan sudut istilah pula bermakna isteri yang derhaka kepada suaminya dalam perkara yang melibatkan ketaatan serta tindakan yang keterlaluan.

Mazhab Hanafi berpandangan nusyuz itu adalah apabila seseorang isteri keluar rumah  tanpa kebenaran suaminya. Manakala, jumhur ulama terdiri daripada ulama aliran mazhab Maliki, Syafie dan Hambali menyatakan nusyuz terjadi saat isteri ingkar perintah si suami.  Sedangkan seorang isteri harus patuh kepada suaminya selagi perintah berkenaan tidak melanggar hukum syarak.

Al-Allamah Asy-Syaikh Abdurrahman bin Nasir al-Sa'di  dalam tafsirnya berkata:

"ALLAH berfirman: "Dan isteri-isteri yang kalian khuatir nusyuz, maksudnya mereka menarik diri dari mentaati suami dengan bermaksiat (tidak patuh) kepada suami, baik dengan ucapan ataupun perbuatan, maka suami hendaknya memberikan 'pengajaran' kepada isteri dengan cara yang paling mudah/ringan kemudian yang mudah/ringan.

Pertama: Berilah mau'izhah (mengingatkan seseorang dengan pahala dan hukuman yang dengannya dapat melunakkan hatinya) kepada mereka, dengan menerangkan hukum ALLAH dalam perkara taat dan maksiat kepada suami, memberikan anjuran untuk taat kepada suami serta mengingatkan  mereka akibat berbuat demikian terhadap suami.

Sekiranya isteri masih leka dengan perbuatannya, maka asingkanlah tempat tidurnya dan jangan menggaulinya dalam waktu dia berbuat demikian.  Jika isteri masih lagi tidak mahu berubah pukullah dengan pukulan yang mendidik.

Apabila isteri tidak lagi berbuat nusyuz dan isteri kembali mentaati kalian, janganlah kalian mencela dan mencerca mereka atas kesalahan mereka yang telah lalu, dan jangan menyelidiki/mencari-cari kesalahan yang akan bermudarat bila disebutkan serta menjadi sebab timbulnya kejelekan." (Taisir Al-Karim Al-Rahman, halaman 177)

Lihatlah betapa Islam menjaga hubungan kekeluargaan, setiap permasalahan yang mendatang akan diberi tunjuk ajar dan panduan bagi mengelakkan terjadinya sesuatu yang mendatangkan mudarat dan keburukan.

Isteri nusyuz suami dayus

PASTI terfikir juga di benak ini hanya isterikah yang melakukan kesilapan. Isteri apabila berbuat salah kepada suaminya ia boleh diertikan nusyuz. Tapi jika suami? Nusyuz bukan hanya dalam kalangan isteri, tetapi ia juga berlaku kepada suami. Seorang suami yang cuai dan tidak menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dalam erti kata sebenarnya juga boleh dilabel sebagai dayus.

Menurut Muhammad Qutb dan Dr Muhammad 'Uqlah: "Jika isteri dianggap nusyuz apabila dia menderhakai suaminya, tidak menunaikan kewajipan dan kelaur rumah tanpa izin suaminya, maka suami juga boleh dianggap nusyuz dengan sebab dia enggan memberikan nafkah kepada isterinya.

Dr Mustafa Al-Khin dan Dr Mustafa Al-Bugha dalam Al-Fiqh Al-Manhaji menganggap bahawa nusyuz suami terjadi apabila berlaku pengabaian dan keengganan pada pihak suami  dengan tidak menunaikan giliran, tidak memberikan nafkah, mendera isteri, berkasar dengannya sama ada dengan perbuatan atau pertuturan.

Sehubungan itu, suami nusyuz atau dayus boleh ditakrifkan sebagai suami yang enggan menunaikan hak spiritual isteri iaitu berkomunikasi yang baik, memenuhi kepuasan seksual dan memberikannya pendidikan agama serta tidak dikasari, dihina. Hak material isteri pula ialah pemberian mas kahwin dan nafkah yang wajib ditunaikan.

Sekiranya suami  dayus, isteri hendaklah bersabar. Isteri perlu mengingatkan suami mengenai kewajipan yang perlu dilakukannya seperti yang dinyatakan ALLAH SWT dalam Surah An-Nisaa; ayat 19.

Isteri juga boleh mengingatkan suami berkenaan dengan hadis Nabi Muhammad SAW menjelaskan bahawa lelaki yang paling baik ialah suami yang baik terhadap isterinya. Walau bagaimanapun, kesabaran seorang isteri ada batas dan hadnya. Agama Islam adalah agama yang sempurna dan pasti ada penyelesaian untuk isteri yang berdepan dengan suami yang dayus.

Isteri boleh membawa kes ini kepada kadi atau ke mahkamah syariah untuk mendapat semula haknya dan mendapat keadilan sewajarnya sebagai seorang isteri. Dan jika masalah ini berpanjangan dan isteri sudah tidak mampu berbuat apa-apa lagi, maka jika perpisahan adalah jalan terbaik kepada pasangan berkenaan, lakukanlah.

Suami adil

KEPERIBADIAN Rasulullah SAW sebagai seorang suami perlu dijadikan teladan. Suami di luar sana perlu cenderung kepada gaya dan cara Baginda SAW mengemudi rumah tangga. Kekadang, bukan kerana isteri itu yang mahu nusyuz tetapi dek kerana perasaan tidak puas hatinya dengan sikap suami.

Kita tahu bahawa Rasulullah SAW memiliki ramai isteri. Di antara isteri-isterinya ada yang lebih Baginda SAW cintai daripada yang lain. Sebab, cinta adalah urusan hati yang berada di tangan-Nya sesuatu yang di luar kemampuan hamba.

Aisyah RAH adalah isteri yang paling dicintai Rasulullah SAW. Rasulullah SAW sendiri menyatakan dan mengakuinya. Ditanyakan kepada Rasulullah SAW: "Wahai Rasulullah SAW, siapakah orang yang paling dicintai?."

Baginda SAW menjawab: "Aisyah."

Ditanyakan: "(Kalau) dalam kalangan lelaki?"

Baginda SAW menjawab: "Ayahnya," (Riwayat At-Tirmizi, dinyatakan sahih oleh Al-Albani RHM dalam Sahih Sunan At-Tirmidzi no 3890)

Rasulullah SAW tidak membezakan penggiliran di antara isteri-isterinya. Setiap hari Baginda SAW akan menemui semua isterinya. Baginda SAW mendekati semua isterinya tanpa 'menyentuh', hinggalah sampai di rumah isteri yang beroleh giliran di hari tersebut, lalu bermalam di rumahnya.

Tatkala Saudah telah lanjut usia dan dia khuatir jika Rasulullah SAW akan menceraikannya, dia berkata: "Giliran hariku untuk Aisyah."

Rasulullah SAW pun menerima tawaran tersebut. "Apabila seorang isteri khuatir nusyuz daripada suaminya…." (Riwayat Abu Dawud no 2135, hadis ini hasan sahih sebagaimana dalam Sahih Sunan Abi Dawud)

Aisyah berkata: "Rasulullah menggilirkan setiap isterinya, siang dan malamnya, kecuali Saudah bintu Zam'ah. Dia telah menghadiahkan siang dan malamnya untuk Aisyah isteri Nabi dalam rangka mencari reda Rasulullah." (Riwayat Bukhari no 2593)

Ketika bermusafir, Rasulullah SAW tidak mengutamakan isteri yang Baginda SAW cintai untuk selalu diajak bersamanya. Sebaliknya, Baginda SAW mengundi isteri-isteri manakah yang akan dibawa.

Termasuk keadilan Rasulullah SAW adalah ketika menikahi janda, Baginda SAW bermalam di kediamannya selama tiga hari agar terjalin perhubungan dengan isteri baharu. Setelah tiga hari, giliran isteri yang baharu tersebut sama dengan isteri-isteri yang lain.

Sikap adil Baginda SAW langsung tidak berkurangan walaupun saat Baginda SAW sakit.  Baginda SAW tetap bergilir di rumah isteri-isterinya. Sehinggalah Baginda SAW berasa payah kerana sakitnya semakin tenat. Aisyah meriwayatkan: "Ketika sakit Rasulullah bertambah parah, Baginda meminta izin kepada isteri-isterinya untuk dirawat di rumahku. Mereka pun mengizinkan …." (Riwayat Bukhari no 5714)

Pergaulan Rasulullah SAW dengan isteri-isteri Baginda SAW adalah teladan bagi orang-orang beriman. Oleh kerana itu, seharusnya kita mengenali dan mempelajarinya, lantas mencontohinya. Sebab, apa yang dilakukan Baginda SAW adalah bentuk pensyariatan dan petunjuk kepada umat Baginda SAW, agar dicontohi dan diteladani.

Kerja sara keluarga ibadah mulia

Manusia dijadikan Allah SWT untuk beribadah kepada-Nya seperti dijelaskan melalui firman yang bermaksud: "Tidaklah aku menciptakan jin dan manusia, melainkan untuk beribadah kepadaku." (Surah adz-Dzariyat, ayat 56)

Ayat ini mengingatkan manusia memastikan setiap perbuatan yang dilakukan mestilah berteraskan kepada niat ibadah kerana Allah SWT.

Barangkali manusia tidak sedar, setiap perbuatan yang dilakukan walaupun kecil jika dilakukan kerana menjaga syariat Allah SWT akan mendapat pahala dan keberkatan daripada-Nya.

Manusia di bumi ini umpama musafir yang sedang berjalan mencari kurniaan dan rezeki Allah SWT. Menerusi rancangan Islam itu Indah di IKIMfm, Ustaz Abdul Rahman Harman Shah Raniri, berkata bekerja adalah ibadah yang mempunyai banyak kelebihan jika dilaksanakan secara sempurna dan bersungguh-sungguh.

Metodologi atau khaifiat yang dilakukan dengan baik, teratur dan mengikut syariah Allah SWT pastinya akan mendapat pulangan pahala untuk akhirat, serta hasil yang baik di dunia ini.

Sebenarnya apa sahaja yang dilakukan oleh seorang Mukmin mesti disematkan dalam diri bahawa sepanjang waktu dalam hidup kita adalah ibadah.

Justeru setiap perbuatan seseorang Mukmin ada ganjaran pahala yang terselit di sebaliknya.

Peniaga Muslim yang jujur dan amanah dalam perniagaannya akan ditempatkan bersama Nabi serta syuhada pada Hari Akhirat nanti. Oleh itu, peniaga hendaklah menyiapkan dan mengamalkan amalan jujur serta amanah kerana itu yang akan membawa mereka ke syurga Allah SWT.

Sama ada guru, doktor atau apa juga profesion, roh bekerja dengan niat untuk beribadah kerana Allah SWT akan mendapat ganjaran pahala yang besar. Allah SWT mengurniakan kebaikan dan kerahmatan kepada Mukmin yang melaksanakan tugasan waima kerja harian sekalipun.

Kemuliaan Mukmin bekerja

Allah SWT memuliakan Mukmin yang menjalankan kerja dengan penuh ketaatan, jujur, amanah, rajin dan bersungguh-sungguh. Dalam sebuah riwayat diceritakan seorang lelaki bekerja sebagai penjual kayu api.

Hasil daripada jualan kayu api itulah digunakan untuk menampung keluarga malah hasil daripada pendapatannya itu disedekahkan pula kepada orang lain.

Lelaki itu dikurniakan kebaikan di sisi Allah SWT. Walaupun pekerjaannya sekadar menjadi pengikat kayu api, ia lebih baik daripada mereka yang tidak bekerja. Allah SWT tidak menyukai mereka yang tidak bekerja.

Orang yang bekerja menterjemahkan ketaatan terhadap perintah Allah SWT sebagai khalifah di muka bumi ini. Melakukan pekerjaan adalah untuk menzahirkan hukum hakam Allah SWT.

Rezeki yang halal menjadi pokok pangkal dalam mencari rezeki. Justeru, dalam menegakkan amal makruf nahi mungkar, seorang pekerja perlu meninggalkan perkara yang membawa kepada kemungkaran yang boleh menjerumuskan manusia ke arah perbuatan tidak baik.

Cegah kemungkaran

Tanggungjawab setiap Mukmin mencegah perbuatan buruk seperti rasuah, penipuan, pecah amanah merebak dan menjadi barah dalam masyarakat. Nabi Muhammad SAW pernah ditanya oleh sahabat: "Wahai Rasulullah, bolehkah berlakunya seseorang Mukmin itu kedekut? Lalu Baginda berkata: "Boleh jadi."

Lalu sahabat bertanya lagi: "Bolehkah berlakunya seseorang Mukmin itu penakut?" Baginda menjawab: "Boleh jadi." Sahabat bertanya lagi: "Bolehkah berlakunya seseorang Mukmin itu penipu?" Baginda menjawab: "Tidak akan boleh jadi seseorang Mukmin itu menipu kerana seseorang Mukmin tidak akan menipu dalam melaksanakan tugas atau peranannya sebagai manusia dalam kehidupannya."

Seorang Mukmin harus beramal dengan amalan soleh kerana sekecil-kecil perbuatan ada ganjaran pahala di sisi Allah SWT.

Carilah rezeki yang halal yang akan meletakkan seseorang Mukmin dalam kalangan orang yang soleh di sisi-Nya.

Tidak ada apa yang paling dikehendaki seseorang Mukmin di muka bumi ini selain mendapat kemuliaan dan menjadi penghuni syurga pada akhirat kelak.