July 7th, 2017

Khutbah Jumaat: “Mendakap Bahagia Hakiki”

Petikan Khutbah Jumaat 07 Julai 2017M / 13 Syawal 1438H: JAIS

“Mendakap Bahagia Hakiki”

Setiap insan di dunia ini ingin hidup bahagia Tidak ada seorang pun manusia di dunia ini yang ingin hidup sengsara dan derita baik di jais.jpgdunia mahupun di akhirat kelak. Nilai bahagia tidak sama bagi setiap manusia di dunia. Ada yang bahagia apabila dikelilingi harta yang melimpah ruah. Ada yang berbahagia apabila segala hajat yang diingini tercapai.

Hadis daripada Suhaib R.Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Aku sangat kagum akan keadaan orang yang beriman itu. Semua urusan (yang berlaku dalam hidupnya) baik belaka baginya yang mana keadaan itu hanya ada pada orang yang beriman. Jika dia mendapat nikmat dan kebaikan, maka dia akan bersyukur, dan ia adalah sesuatu yang baik baginya. Jika dia ditimpa musibah dan bencana, maka dia akan bersabar, dan itu adalah suatu yang baik baginya”. (Hadis riwayat Imam Muslim).

Sesungguhnya orang yang beriman kepada Allah SWT akan merasakan bahawa hidup ini suatu medan penyempurnaan hakikat kehambaan dirinya kepada Allah SWT. Ini kerana mereka tahu tujuan mereka dihidupkan di dunia ini hanyalah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah ad-Dzariyaat ayat 56: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku”

Orang yang merasakan bahawa dirinya hanyalah seorang hamba kepada satu zat Yang Maha Agung yang menguasai sekalian alam ini, akan patuh dan taat hanya kepada Allah SWT. Seluruh hidupnya diserahkan hanya untuk Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 162: “Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadahku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”

Ramai manusia gagal menikmati hidup sebagai suatu anugerah kerana tidak memiliki rasa kehambaan kepada Allah SWT. Akibatnya, mereka menderhaka kepada Allah SWT dengan melanggar perintah dan larangan-Nya. Mereka juga akan merasa kecewa, gundah gulana, keluh kesah, dilanda kesedihan dan kesengsaraan dalam meneruskan kehidupan. Terutama ketika dirundung malang. Ada kalanya mereka hilang rasa kelazatan hidup di dunia ini. Walaupun pada zahirnya mereka tersenyum, namun nun jauh di sudut lubuk hatinya yang paling dalam ada sesuatu kekosongan yang tidak terisi oleh segala kesenangan dan kemewahan yang ada di dunia ini. Justeru, marilah kita kembali merasai diri sebagai hamba Allah demi untuk mendakap kebahagiaan yang hakiki.

Firman Allah SWT dalam surah Ar-Rum ayat 47:“Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutuskan sebelum kamu (wahai Muhammad) Rasul-rasul kepada kaum masing-masing, lalu mereka membawa kepada kaumnya keterangan-keterangan yang jelas nyata, kemudian Kami menyiksakan orang-orang yang berlaku salah (angkara keterangan-keterangan itu), dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang beriman”.

Orang yang tidak tahu tujuan hidup sebenar di dunia ini merupakan orang yang paling malang sekali. Ini kerana dalam alam kehidupan ini, matlamat hidup merupakan suatu intipati yang sangat penting, Orang yang hidup tanpa tujuan, akan merasa kekosongan dan kesamaran dalam kehidupan seharian serta terus merasa rugi dengan usia dirinya sendiri.

Alangkah malangnya orang yang hidup bertuhankan kebendaan di mana mereka mengabdikan seluruh hidupnya untuk mencari dan mengumpul harta benda semata-mata. Mereka memuaskan nafsu dengan harta benda yang mereka kumpul. Mereka sibuk membina rumah besar yang mewah lagi tersergam megah sehingga mereka lupa akan adanya hari kebangkitan semula.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Jathiyah ayat 24:“Dan mereka berkata: “Kehidupan ini tidak lain hanyalah kehidupan di dunia saja (iaitu) kita mati dan kita hidup, dan tidak ada yang membinasakan kita selain masa”. Dan mereka sekali-kali tidak mempunyai pengetahuan tentang itu, mereka tidak lain hanyalah berprasangka saja”.

Abu Hurairah R.Anhu berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud yang bermaksud: “Sesiapa yang mempelajari ilmu agama dengan bertujuan untuk habuan dunia maka dia tidak akan dapat mencium bau syurga pada hari kiamat kelak”. (Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).

Sebelum mengakhiri khutbah pada hari ini, khatib ingin menyeru kepada diri saya dan semua anggota masyarakat supaya:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa kebahagiaan yang hakiki adalah beriman kepada Allah SWT, sebaliknya orang yang mengejar keduniaan semata-mata tidak akan memperoleh kebahagiaan yang sebenar.
2. Umat Islam hendaklah menghayati dan mempraktikkan semua ajaran Islam bertepatan dengan syariat sebagaimana diajar oleh Rasulullah SAW untuk memperolehi kebahagiaan yang hakiki.
3. Umat Islam hendaklah meningkatkan jihad untuk melawan hawa nafsu dalam menjauhi dan meninggalkan segala tegahan Allah

“Sesiapa yang beramal soleh, dari kalangan lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan”. (an-Nahl: 97).

Khutbah Jumaat: “Persaudaraan Menyatukan Hati”

Petikan Khutbah Jumaat: 07 JULAI 2017 / 13 Ramadhan 1438 JAKIM

“Persaudaraan Menyatukan Hati”

Dapat kita perhatikan di sana sini masyarakat Islam mengadakan rumah terbuka sebagai tanda syukur kepada Allah SWT menunjukkan selain eratnya hubungan kita dengan Allah SWT kesan daripada ibadah berpuasa, kita juga dapat memperolehi kesucian dan kematangan jiwa, kekuatan jakim.jpgmental, ketinggian moral dan akhlak yang dikembangkan pula dalam kehidupan bermasyarakat.

Firman Allah SWT di dalam Surah al Hujurat ayat 10: Maksudnya: “Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu; dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat.”

Sebagai seorang muslim yang memahami erti persaudaraan seagama maka akan tertanam di dalam jiwanya rasa saling mencintai yang tidak terbatas oleh ras, ideologi dan sebagainya.

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
Mafhumnya: Daripada Nu’man bin Basyir RA daripada Nabi SAW bersabda: Orang yang beriman dalam hal saling mencintai, mengasihi, dan menyayangi bagaikan satu tubuh. Apabila ada salah satu anggota tubuh yang sakit, maka seluruh tubuhnya akan ikut terjaga dan panas (turut merasakan sakitnya).

Setiap individu muslim yang benar-benar memahami makna persaudaraan akan terlihat indah akhlaknya dan penuh etika dalam memenuhi hak-hak saudaranya. Mereka sedaya upaya akan berusaha agar lisan dan perbuatannya tidak menyakiti orang lain apatah lagi saudara seagamanya serta sentiasa mengimplementasikan ajaran Islam sebenar.

Menurut Imam Muslim daripada Abu : Mafhumnya: Daripada Abi Hurairah RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: Janganlah kamu saling dengki mendengki, tipu menipu, benci membenci, belakang membelakangi antara satu sama lain. Janganlah sebahagian kamu menjual barangan atas jualan orang lain. Hendaklah kamu menjadi hamba-hamba Allah yang bersaudara.


Perpecahan ini juga terpengaruh kepada perselisihan di dalam bidang Akidah, Syariah, dan tidak ketinggalan juga kepada perkembangan Hadith, Tafsir, Tasawuf, dan sebagainya.

Firman Allah SWT dalam Surah Al Baqarah ayat 148: Maksudnya: “Dan bagi setiap umat ada kiblat yang dihadapkannya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (pada hari Kiamat); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

Kita perlu menyedari bahawa cabaran pada masa hadapan adalah lebih berat berbanding hari ini. Oleh itu, bersatu dan bekerjasama (amal jamai) sangat penting diwujudkan. Malah semua pihak mesti bertindak berasaskan perancangan bersama ke arah kemajuan umat menerusi dialog (musyawarah) untuk membicarakan agenda bersama tadi.

Amalan rumah terbuka adalah salah satu aktiviti yang banyak memberikan kepentingan dalam mengeratkan perpaduan kaum dalam kalangan anggota masyarakat di negara kita. Khatib yakin, perpaduan yang terjalin memudahkan pencapaian matlamat atau misi dan visi negara dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara bangsa yang maju.

Pada masa sama, kurangkan sikap prejudis terhadap keharmonian kaum sekalipun berbeza pendapat, konsep politik mahupun berlainan ideologi politik. Lebih bermakna, perpaduan dalam kalangan masyarakat serta barisan kepemimpinan negara meningkatkan semangat toleransi dalam diri generasi sekarang dan akan datang.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama menghayati ibrah di bulan Syawal yang mulia ini supaya hasrat negara untuk mencapai Baldatun Toyyibah wa Rabbun Ghaffur akan menjadi realiti dan bukan lagi angan-angan. Mengakhiri khutbah pada hari ini, beberapa perkara yang perlu di ambil perhatian iaitu:

Pertama: Berpegang teguhlah dengan ajaran agama mengikut manhaj yang
sahih mencakupi ilmu, iman, amal dan takwa kepada Allah SWT.
Kedua: Bersangka baiklah kita kepada Allah SWT dan sesama Islam supaya hati kita tetap teguh bersatu.
Ketiga: Wujudnya sifat sayang akan menjanjikan kebahagiaan dan kesejahteraan kepada keluarga, bangsa dan negara.

Maksudnya: “Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah bagimu. Dialah yang menguatkanmu dengan pertolongan-Nya dan dengan (sokongan) orang yang beriman. Dan (Dialah) yang menyatupadukan diantara hati mereka. Jika kamu belanjakan segala yang ada di bumi, nescaya kamu tidak dapat menyatupadukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatupadukan di antara mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah a Anfal: 62-63)

Kawal amarah, memaafkan itu mudah dan indah, Ajaibnya sifat maaf

Ajaibnya sifat maaf

KAU buat salah ngan aku, aku takkan maafkan engkau sampai aku mati." Pernah dengarkan ayat itu atau kita sendiri yang menuturkannya.

"Jangan bersikap macam tu, Nabi Muhammad SAW pun ampunkan umatnya, inikan pula kita yang selalu melakukan dosa."

Negara akan menjadi aman dengan adanya sifat pemaaf,  kerana perasaan amarah dan sifat-sifat mazmumah dapat dinyahkan dalam kehidupan masyarakat sehingga melahirkan negara yang bersifat baldatun tayyibatun warabbun ghafur.Sisipan Fikry minggu ini mengupas tajuk Aku Seorang Pemaaf. Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkongsi pandangan mengenai tajuk ini.  

Memaafkan lebih baik daripada bersengketa

DALAM melayari bahtera kehidupan sebagai manusia yang bersifat ijtimaie (bersosial) sudah pasti sedikit sebanyak akan membawa pelbagai permasalahan dan khilaf sama ada lontaran pendapat, kesilapan tindakan, tersalah cakap dan juga prasangka yang kurang baik. Ini kerana dengan adanya unsur nafsu dan sifat amarah serta godaan syaitan amat mudah terjerumus ke arah itu.

Sebelum dibincangkan ajaibnya sifat maaf, suka dinyatakan sebuah kisah yang boleh dijadikan teladan hasil nukilan oleh Abu Al-Laith Al-Samarqandi dalam kitabnya Tanbih Al-Ghafilin.

Antara lain menyebut: Suatu hari datang iblis bertemu Nabi Musa AS dan memohon agar diberi keampunan ALLAH SWT atas tindakannya. Justeru, Nabi Musa AS mengadu dan bermunajat kepada ALLAH, lantas ALLAH memperkenankannya dengan syarat syaitan sujud pada kubur Adam AS.

Dengan segera iblis menunjukkan marahnya seraya berhujah: "Adakah patut aku sujud padanya sedangkan beliau telah meninggal dunia padahal masa hidupnya pun aku tidak sujud padanya." Kemudian iblis berkata: "Wahai Musa, oleh kerana kamu menolongku, aku ingin berpesan kepadamu supaya ingat kepadaku dalam tiga keadaan:-

Pertama: Ingat kepadaku ketika bersama dengan wanita ajnabi kerana aku yang ketiganya dengan menggoda untuk melakukan maksiat.

Kedua: Ingat kepadaku ketika berada di medan jihad kerana aku akan berkata kepadanya nanti anak kamu menjadi yatim dan isteri kamu menjadi janda.

Ketiga: Ingat kepadaku ketika dalam keadaan marah kerana aku boleh bermain dengannya sebagaimana kanak-kanak bermain dengan guli."

Kisah ini dengan jelas menunjukkan antaranya: Sifat pemarah membawa kepada tidak betul pertimbangan dan mudah diperkotak-katikkan oleh syaitan sebaliknya dengan sebab sifat pemaaf sudah pasti membawa keharmonian dan mengelakkan situasi yang lebih buruk.

Kelebihan memaafkan

Kisah di atas membuktikan betapa sifat pemaaf cukup hebat kerana banyaknya kelebihannya. Antara kelebihan memaafkan itu adalah:-

Sifat ini ternyata boleh menjinakkan musuh kepada Islam. Hal ini terbukti apabila Rasulullah SAW membuka kota Makkah pada tahun 8Hijrah di mana Rasulullah SAW menyampaikan ucapan kepada penduduk Makkah:

"Apakah sangkaan kamu yang aku lakukan kepada kamu?" Mereka menjawab: "Saudara yang mulia daripada keturunan yang mulia." Lantas jawab Baginda SAW: "Pergilah kamu. Sebenarnya kamu merdeka dan bebas." Akhirnya dengan kenyataan tersebut berapa ramai dalam kalangan mereka terpaut dan memeluk Islam.

Boleh menyebabkan masuk syurga ALLAH. Hal ini terbukti apabila ALLAH memberi kedudukan yang istimewa seseorang yang menahan sifat marah dengan menyifatkan mereka seperti al-Kazimina al-Ghais. Justeru, sudah pasti ia membawa banyak kelebihan.

Kerukunan rumah tangga sudah pasti menjadi ampuh dan kukuh. Ini kerana arahan ALLAH supaya bermuasyarah antara suami isteri dengan yang baik berdasarkan pemeliharaan hak-hak suami isteri. Bukan sekadar itu sahaja bahkan ia akan menatijahkan keluarga yang bahagia dan anak-anak secara langsungnya dapat mempelajari sikap ibu bapa yang pemaaf.

Negara akan menjadi aman dan damai dengan adanya sifat pemaaf. Ini kerana perasaan amarah dan sifat-sifat mazmumah dapat dinyahkan dalam kamus kehidupan masyarakat. Seterusnya menatijahkan negara yang bersifat baldatun tayyibatun warabbun ghafur.

Langkah mudah

Antara cara untuk memaafkan seseorang dengan berasakan yang kurniaan ALLAH dan pahalanya cukup besar kepada golongan pemaaf di samping sifat-sifat kesilapan sentiasa berlaku pada manusia.

Antara kelebihan yang ketara juga ialah hilangnya penyakit stres dan tekanan. Hal ini sudah pasti mengharmonikan kerukunan rumah tangga dan kehidupan seseorang yang bersifat pemaaf.

Begitu juga untuk menjadikan sifat pemaaf sentiasa bertapak dalam jiwa kita ialah dengan melihat tokoh-tokoh yang bersifat pemaaf. Contohilah Rasulullah SAW sebagai qudwah dan uswah yang utama kerana ia diperintahkan oleh ALLAH dan bagaimana berkesannya sifat tersebut yang telah disebatikan dengan akhlaknya menyebabkan ramai yang memeluk Islam kerana lisan hal dan akhlak Baginda SAW yang begitu unggul tanpa tandingannya.

Begitu juga dengan menekuni sejarah salaf al-soleh dan berfikiran positif sudah pasti membawa kepada kukuhnya sifat pemaaf dalam jiwa. Ini kerana beriman dengan qadak dan qadar dan reda serta penuh rasa kehambaan kepada ALLAH boleh membawa kepada sifat pemaaf.

Akhir kata, ingatlah bahawa dunia ini bersifat fana dan tidak kekal. Justeru, alangkah indahnya sifat pemaaf disebatikan dalam jiwa agar sentiasa mendapat keredaan ALLAH. Benar! Tiada seorang manusia pun yang tidak pernah berbuat salah atau dosa. Ambillah yang positif, tinggalkan yang negatif, kelak bahagia hidup bermasyarakat kerana aku seorang pemaaf!

INFO

NABI SAW pernah menyarankan kepada mereka yang sedang marah supaya memohon perlindungan dengan ALLAH daripada syaitan yang direjam dan jangan terikut-ikut dengan perasaan tersebut.

Faedah Si Pemaaf:

1. Menunjukkan satu ciri akhlak yang mulia.
2. Dalil kepada kesempurnaan iman dan Islam yang baik.
3. Tanda kepada orang yang berlapang dada dan berbaik sangka.
4. Hasil daripada cintakan ALLAH kemudian cintakan sesama manusia.
5. Selamat daripada fitnah dan terpelihara daripada tergelincir.
6. Menunjukkan kepada kesempurnaan dan kemuliaan jiwa.
7. Sebagai satu persediaan sebuah masyarakat kepada suasana yang baik dan kehidupan yang lebih afdal.
8. Sebagai satu jalan cahaya dan hidayah kepada orang bukan Islam.
9. Mendapat kebaikan dunia dan akhirat, kerana manusia suka kepada orang yang tenang dan suka memberi kemaafan.

Kawal amarah, memaafkan itu mudah dan indah


SETIAP manusia tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan dan pasti ada salahnya. Manusia juga pasti mempunyai perasaan marah dan benci terhadap kesalahan dan kesilapan yang dilakukan ke atasnya.

Ini kerana ALLAH SWT telah mencipta manusia dengan  pelbagai jenis perasaan  dan  emosi dalam dirinya. Ada yang berbentuk positif dan juga negatif, ia saling berkait antara satu sama lain. Pemaaf adalah antara sifat positif yang terdapat dalam diri manusia dan ia adalah lawan kepada sifat pemarah dan dendam.

Maka satu sikap yang baik dalam menangani masalah ini ialah masing-masing mesti bersifat lapang dada dan bersedia untuk memberi kemaafan.

ALLAH telah  menggalakkan Rasul-Nya dan telah menjadi arahan kepada umatnya agar bersifat dengan sifat ini sebagaimana firman-Nya dalam Surah Al-A'raf ayat 199. Pemaaf adalah satu sifat mulia yang perlu ada dalam diri setiap Muslim. Banyak sekali  ayat al-Quran dan hadis yang menekankan keutamaannya dan disebut sebagai salah satu sifat yang disukai ALLAH.

Firman ALLAH: "Dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain, ALLAH menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan." (Surah Ali-Imran: 134)

Sabda Rasulullah SAW: "Tidak akan berkurang harta dengan sedekah, tidak akan bertambah ke atas seorang hamba dengan sebab memberi kemaafan melainkan bertambah kemuliaan dan tidak akan tawaduk merendah seseorang terhadap ALLAH melainkan ALLAH akan mengangkat darjatnya." (Riwayat Muslim no 2588)

Rasulullah SAW juga menekankan betapa pentingnya sifat menahan marah ini sebagaimana dalam hadis diriwayatkan oleh Abu Hurairah:

"Seorang lelaki datang bertemu Rasulullah SAW dan meminta agar Baginda SAW berpesan atau mengajarnya mengenai sesuatu perkara, Baginda SAW menjawab ringkas iaitu: "Jangan marah."

Lelaki itu seperti tidak berpuas hati dengan jawapan itu. Dia mungkin berasakan apalah besar sangat kebaikan menahan marah. Lalu dia bertanya lagi beberapa kali mengharapkan agar Rasulullah SAW memberitahu amalan lain yang lebih besar pahalanya. Tetapi Rasulullah SAW tetap mengulangi jawapannya: "Jangan marah."  (Riwayat Bukhari no 6116)

Memang sesuatu yang tidak dapat dinafikan, sifat pemaaf ini bukanlah satu perbuatan mudah dilakukan. Maka sesiapa yang mampu menahan kemarahan, bererti dia memiliki kemuliaan, keberanian, keikhlasan dan kekuatan yang sebenar. Sebaliknya, orang yang tidak mampu menahan marah adalah mereka yang lemah.

Contohi Nabi SAW

Junjungan kita, Rasullullah SAW adalah manusia yang paling sabar dan paling banyak memberi kemaafan, padahal Baginda SAW berkemampuan untuk membalasnya.

Sepatutnyalah kita menjadikan Baginda SAW sebagai qudwah hasanah dalam segenap aspek kehidupan dengan mengamalkan sunnahnya dan mencontohi sifat penyabar dan pemaaf yang ada pada Baginda SAW. Janganlah kita mudah melenting dan marah jika orang lain melakukan kesilapan.

Sebuah hadis diriwayatkan oleh Anas RA: "Aku sedang berjalan bersama Rasulullah SAW, Baginda SAW berselendang dengan sehelai kain buatan Najran yang tebal dan kasar. Tiba-tiba datang seorang Arab Badwi lalu menarik kain itu dengan kuat, sehinggakan aku nampak berbekas kesan tarikan kain yang kasar itu di leher Rasulullah SAW.

Selepas menariknya dia pun berkata: "Wahai Muhammad! Berikan kepadaku apa-apa kurniaan ALLAH kepada kamu!" Baginda SAW berpaling kepada lelaki itu lalu ketawa dan menyuruh diberikan kepadanya apa yang diingininya." (Riwayat  Bukhari, 6088 & Muslim, 1057)

Abu Hurairah RA meriwayatkan: "Ketika bersama Nabi, seseorang telah mencela Abu Bakar RA dan beliau hanya diam sahaja. Nabi berasa kagum, lalu tersenyum. Ketika orang itu semakin banyak cercaannya maka Abu Bakar pun menjawab sebahagian yang diucapkannya itu.

Nabi pun marah dan beredar pergi. Abu Bakar kemudian menyusul Baginda dan bertanya: "Wahai Rasulullah, orang itu telah mencerca diriku dan engkau tetap duduk. Tetapi apabila aku membalas sebahagian yang diucapkannya, mengapa engkau marah dan berdiri?"

Rasulullah SAW pun menjawab: "Bersamamu tadi ada malaikat yang membalas ucapan orang itu sementara engkau diam. Tetapi apabila engkau menjawab sebahagian yang diucapkannya, syaitan pun datang, dan aku pun tidak mahu duduk bersama syaitan."

Kemudian Baginda SAW bersabda lagi: "Wahai Abu Bakar, ada tiga perkara yang semuanya adalah hak seseorang. Tidak ada seorang hamba yang dizalimi dengan satu kezaliman kemudian dia memaafkannya kerana ALLAH, melainkan ALLAH akan memuliakannya kerana perbuatannya itu dan akan menolongnya.

Kedua, tidaklah seseorang yang membuka pintu untuk menyampaikan suatu pemberian dengan niat menyambung silaturahim, melainkan ALLAH akan memperbanyakkan hartanya. Dan tidaklah seseorang membuka pintu untuk meminta-minta dengan niat memperbanyakkan hartanya, melainkan ALLAH akan semakin mengurangkan hartanya." (Riwayat Imam Ahmad no 9624, “Hasan”)

Rasulullah SAW juga melarang seseorang itu daripada bersikap laknat dan marah-marah hatta terhadap binatang sekalipun.

‘Imran bin Husain RA berkata: "Kami pernah berjalan bersama Rasulullah. dalam suatu musafir, seorang perempuan Ansar berada di atas untanya. Dia marah kepada untanya lalu berkata: "Laknat ke atasmu!" Baginda SAW  mendengarnya lalu bersabda: "Ambillah barang-barang di atasnya dan lepaskan unta itu pergi, kerana dia seekor haiwan yang dilaknat." (Riwayat Muslim no 2595)

Ini menunjukkan haiwan yang dilaknat pun tidak boleh dibawa bersama, kerana dalam riwayat Abi Barzah Al-Aslami, Baginda SAW bersabda: "Jangan dibawa bersama kami haiwan yang ada laknat di atasnya." (Riwayat Muslim)

SUNGGUH MERUGIKAN

Nabi SAW pernah menyarankan kepada mereka yang sedang marah supaya memohon perlindungan dengan ALLAH daripada syaitan yang direjam dan jangan terikut-ikut dengan perasaan tersebut. (Lihat: Sahih Al-Bukhari no 6115)

Kita hendaklah banyak bersabar dan bertenang kerana sifat marah adalah satu sifat yang disukai oleh syaitan. Ia  sentiasa membisikkan kepada orang yang sedang marah dan mengapi-apikannya. Kerana itu sedikit perselisihan faham dari orang yang tidak sabar akan membawa kemusnahan pada pihak lain. Banyak kes kematian yang membawa pesalah ke penjara dan tali gantung kerana hilang sifat-sifat tersebut. Ada kala manusia boleh kehilangan segala-galanya disebabkan sifat marah.

Satu kisah menarik yang boleh menjadi teladan ialah apa yang pernah disampaikan oleh guru saya Syeikh Athiyah Mohd Salim, mantan guru di Masjid Nabawi dan kadi Mahkamah Tinggi Madinah: "Suatu ketika, terdapat satu kes seorang pesalah membunuh seorang Muslim.

Mahkamah membicarakannya dan beliau didapati bersalah lalu dijatuhkan hukuman bunuh (qisas) ke atasnya. Walau bagaimanapun hukuman ini dapat dibatalkan jika keluarga si mati memaafkannya.

Tetapi bapa si mati berkeras tidak mahu memaafkan pesalah ini walaupun dinasihati dan dijelaskan mengenai kelebihannya di sisi ALLAH. Beliau tetap mahu hukuman qisas dilakukan.

Pada hari hukuman pancung itu dijalankan, segala persediaan dilakukan, pesalah itu dibawa ke tempat untuk dilakukan hukuman, orang ramai  berkumpul untuk menyaksikannya, tukang pancung juga bersedia dengan pedang yang tajam.

Pada saat yang mendebarkan itu, cuma beberapa detik saja sebelum pedang yang terhunus dihayunkan, si pesalah hanya menunggu masa saja bila kepalanya terpenggal dan nyawanya akan melayang; tiba-tiba bapa si mati datang meluru ke hadapan, mengumumkan beliau memaafkan kesalahan penjenayah itu dan melepaskannya daripada hukuman bunuh.

Suasana menjadi kecoh dan hingar-bingar sebentar dengan keputusan yang amat besar dan perbuatan yang begitu mulia ini. Si bapa berkata beliau mengampunkan kesalahan pembunuh itu dengan harapan semoga ALLAH mengampunkan segala dosa anaknya.

Orang ramai saling bersalaman dan berpelukan sambil bertangisan kerana sangat kagum serta terharu. Betapa mulia dan mengesankan sifat memaafkan ini!

Jika sifat memaafkan diamalkan, insya-ALLAH, kita juga tidak akan menanggung kemarahan daripada orang lain. Sesungguhnya ALLAH terlebih awal memberi keampunan dengan rahmat-Nya, sebagaimana firman-Nya: "Janganlah sampai bersumpah-sumpah, orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kekayaan antara kamu, bahawa mereka tidak akan memberi lagi kepada kaum kerabat, orang-orang miskin dan orang-orang yang berhijrah pada jalan ALLAH. Tetapi hendaklah mereka memberi keampunan dan berlapang dada. Tidakkah kamu mahu jika ALLAH mahu memberi keampunan kepada kamu sekalian." (Surah An-Nuur: 22)

Semoga ALLAH memberi taufik dan hidayah kepada kita agar dapat memiliki sifat pemaaf dan tidak mudah marah dalam apa keadaan dan situasi yang dihadapi.