October 13th, 2017

Khutbah Jumaat: “Liberalisme Perosak Islam”

Petikan Khutbah Jumaat 13 Okt 2017M / 22 Muharram 1439H: JAIS

“Liberalisme Perosak Islam”.

Fahaman liberalisme adalah fahaman bebas yang tidak terikat dengan syariat Islam. Fahaman ini menjauhkan jais.jpgseseorang Muslim daripada agamanya.

Islam adalah agama yang mengatur akidah, syariat dan akhlak bagi setiap Muslim sesuai dengan panduan alQuran dan al-Sunnah kerana Islam bermaksud ketaatan, kepatuhan dan penyerahan kepada Allah SWT dan rasul-Nya.

Berikut dijelaskan secara khusus beberapa bentuk bahaya fahaman liberalisme terhadap kesucian akidah umat Islam:

Pertama: Fahaman liberalisme membawa kepada fahaman semua agama adalah sama.

Golongan liberalisme dan pluralisme menolak wujudnya kebenaran Islan dan menyatakan semua agama adalah sama dan menganjurkan kepada kebaikan. Mereka mendakwa bahawa jika orang bukan Islam diberikan kebebasan untuk menukar agama, maka orang Islam pun hendaklah diberikan kebebasan untuk murtad.

Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 85: “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan dia pada hari akhirat kelak adalah orang-orang yang rugi”

Kedua: Fahaman liberalisme memperjuangkan fahaman sekularisme.

Golongan sekularisme mendakwa agama bertentangan dengan sains, atau wahyu bertentangan dengan akal. Kerana itu, mereka menganggap manusia tidak perlu tunduk kepada aturan agama.

Ketiga: Fahaman liberalisme berpaksikan logik akal semata-mata.

Mengikut logik akal semata-mata secara mutlak adalah bahaya tanpa sebarang panduan wahyu iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Kerana kemampuan akal sangat terbatas berbanding wahyu Allah SWT. Fahaman tersebut boleh membawa kepada kekufuran.

Sesungguhnya al-Quran dan al-Sunnah mengajarkan umat Islam kaedah-kaedah memperkukuhkan akidah. Antara panduannya ialah berpegang teguh dengan wahyu Allah membantu setiap Muslim untuk berada pada jalan yang lurus dan akidah yang sahih.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Zuhruf ayat 43: “Dengan yang demikian, berpegang teguhlah engkau kepada AlQuran yang telah diwahyukan kepadamu; kerana sesungguhnya engkau berada di atas jalan yang lurus”.

Diriwayatkan daripada Abi Said al-Khudri R.Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah bersahabat melainkan dengan orang beriman dan janganlah ada orang yang memakan makanan kalian melainkan orang yang bertakwa”. (Riwayat Ahmad).

Hadis daripada Anas bin Malik R.Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Akan datang kepada manusia suatu zaman, orang yang berpegang teguh pada agamanya seperti orang yang menggenggam bara api”. (Riwayat al-Tarmizi).

Mengakhiri khutbah Jumaat pada hari ini, mimbar menyeru kepada seluruh umat Islam supaya:

1. Umat Islam hendaklah berpegang teguh dengan ajaran Islam sesuai dengan pegangan ulama Ahli Sunah Wal-Jamaah dalam aspek akidah, syariat dan akhlak.

2. Umat Islam hendaklah menyedari tentang bahayanya fahaman liberalisme kerana ia sangat memudaratkan akidah umat Islam.

3. Umat Islam hendaklah merujuk kepada al-Quran dan alSunnah, dan tidak hanya membuat tafsir secara logik akal semata-mata.

4. Umat Islam hendaklah mendampingi orang-orang soleh dan para ulama untuk mendapatkan ilmu pengetahuan, mengambil adab yang baik dan bersama-sama mereka untuk terus konsisten dalam ketaatan kepada Allah SWT.

“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”. (Toha : 124)

Khutbah Jumaat: “Sukan Membina Personaliti Terbilang”

Petikan Khutbah Jumaat: 13 Oktober 2017M / 22 Muharram 1439H: JAKIM

Sukan Membina Personaliti Terbilang”.

Sukan didefinisikan sebagai segala jenis latihan gerak badan dan permainan seperti bola sepak dan olahraga jakim.jpgyang memerlukan tenaga dan ketangkasan.

Dalam Islam, bersukan merupakan aktiviti yang amat digalakkan kerana dengan bersukan kesihatan dan kecergasan tubuh badan dapat dikekalkan sekaligus menjauhkan diri daripada sebarang penyakit.

Firman Allah SWT dalam Surah Al Qasas ayat 26: Maksudnya: Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (menggembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah yang kuat, lagi amanah.”

Sabda Rasulullah SAW pula: Mafhumnya: Daripada Abi Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih disukai oleh Allah daripada orang mukmin yang lemah: pada keduanya adalah baik. Bersungguh-sungguhlah mengerjakan ketaatan kepada Allah dan mohonlah pertolongan kepada-Nya dan janganlah engkau merasa lemah. Jika engkau ditimpa sesuatu musibah janganlah engkau ucapkan kalau aku berbuat demikian tidak berlakulah musibah itu, tetapi ucapkanlah Allah telah mentakdirkannya dan apa yang Allah kehendaki pasti berlaku. Sesungguhnya perkataan kalau boleh membuka ruang kepada amalan syaitan”. (Hadith Riwayat Muslim)

Bersukan dapat meningkatkan semangat muhibah, kesukanan, perpaduan dan keharmonian antara individu pelbagai agama dan negara.

Hari Sukan Negara yang akan disambut esok adalah untuk mencetus gelombang agar rakyat dapat membentuk budaya bersukan di negara ini.

Imam al Ghazali menjelaskan bahawa faktor kerohanian adalah satu kejadian diri yang paling asas dalam membentuk kestabilan atau kesihatan jiwa manusia.

Hakikatnya, mukmin yang kuat akan mempamerkan kekuatan agamanya berbanding dengan mukmin yang lemah.

Amalan ibadah mengandungi sukan yang menolong badan mengekalkan kekuatan fizikal apabila di amalkan dengan sempurna. Amalan ibadah solat, Haji, berjalan menuju ke masjid dan aktiviti sosial termasuk aktiviti bersukan.

Islam menekankan kepentingan latihan rohani yang seiringan dengan latihan jasmani iaitu supaya mencapai matlamat yang dihajati.

Secara umum, al-Quran menjelaskan mengenai pentingnya bersederhana dalam semua hal sebagai panduan untuk kebaikan jasmani dan rohani.

Firman Allah SWT dalam Surah Taha ayat 81: Maksudnya: Serta Kami katakan: Makanlah dari benda-benda yang baik yang Kami kurniakan kepada kamu, dan janganlah kamu melampaui batas padanya, kerana dengan yang demikian kamu akan ditimpa kemurkaan-Ku; dan sesiapa yang ditimpa kemurkaan-Ku, maka sesungguhnya binasalah ia.”

Perkara ini penting kerana pembangunan aspek spiritual, jasmani, intelektual dan emosi manusia adalah proses transformasi yang dapat melahirkan manusia bertakwa, seimbang, berilmu, berakhlak, sihat, intelek, berdisiplin serta teguh pendirian.

Kita  harus memastikan bahawa niat untuk menjaga kesihatan badan agar mendapat keredahaan Allah SWT didahulukan dan tidak bercanggah dengan syariat Islam yang menyumbang kepada kerosakkan akhlak manusia.


Mengakhiri khutbah pada hari ini, khatib mengajak sidang jemaah sekalian menghayati tiga rumusan utama iaitu:

Pertama: Islam amat menggalakkan umatnya untuk hidup sihat dan cergas.
Kedua: Sukan bukan medan untuk menguji kekuatan tetapi medan membina hubungan ukhuwwah demi perpaduan ummah.
Ketiga: Nikmat kesihatan yang dikurniakan Allah wajar dimanfaatkan menurut syariat supaya menjadi mukmin yang bertakwa.
Maksudnya: “Dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu kemudian kembalilah ta’at kepada-Nya, supaya Ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada; dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa” (Surah Hud:52)