July 20th, 2018

Khutbah Jumaat : “Tanggungjawab Dalam Rumahtangga”

Petikan Khutbah Jumaat 20 Julai 2018M / 07 Syawal 1439H: JAIS

“Tanggungjawab Dalam Rumahtangga”

Keluarga adalah anugerah dan amanah daripada Allah SWT. Peranan dalam membentuk peribadi isteri dan anak-anak merupakan tanggungjawab ketua keluarga.

Firmanjais.jpg Allah SWT sebagaimana yang disebutkan di awal khutbah yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan  keluarga kamu dari neraka.”

Oleh itu,  suami semestinya bertanggungjawab dalam menyempurnakan tugas sebagai ketua keluarga sama ada suami atau bapa, yang merupakan pemimpin dalam rumahtangga.

Firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa’ ayat 34 : “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orangorang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka..”

Ketua keluarga juga mestilah menjadi orang yang amanah terhadap diri sendiri, sempurna penghayatan agamanya dan sentiasa bertanggungjawab.

Setiap isteri diwajibkan taat kepada suami manakala anak-anak wajib taat kepada ibu bapa dan penjaga mereka.

Sebagai ketua keluarga, suami mestilah bertanggungjawab dan memelihara amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas diri kita dan ahli keluarga kita keseluruhannya.

Tanggungjawab terhadap diri sendiri ialah dengan menunaikan perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya.

Manakala tanggungjawab terhadap keluarga pula, hendaklah memimpin dan membimbing mereka mengikut syariat yang telah ditetapkan, memberikan didikan yang seimbang untuk kejayaan di dunia dan akhirat, bertanggungjawab melindungi keselamatan mereka, memberikan nasihat, memberikan layanan yang baik serta kasih sayang yang sewajarnya dan bertanggungjawab terhadap nafkah isteri dan anak-anak.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 233 :“Dan kewajipan keatas bapa (suami) memberikan nafkah (makan minum) dan pakaian kepada para ibu (isteri) dengan cara yang baik.”

Hari ini terdapat sebahagian isteri yang bernasib malang kerana dizalimi oleh suami mereka. Terdapat segelintir suami yang mementingkan diri sendiri. Membiarkan isteri bersusah-payah mencari nafkah untuk diri dan anak-anaknya, ada suami yang memaksa isteri bekerja, tetapi hasil gajinya diambil oleh suaminya sehingga isteri tiada wang perbelanjaan untuk diri sendiri.

Isteri adalah pasangan yang mesti dijaga maruah dan perasaannya. Bergaullah bersama mereka dengan cara yang baik, agar suami berjaya membina kehidupan penuh berkasih sayang, keluarga sakinah, rumahtangga bahagia dan umat yang cemerlang.

Hadis daripada Ibnu Umar Radhiallahu Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda :“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab keatas rakyat yang dipimpinnya. Setiap lelaki (suami) adalah pemimpin rumahtangganya, dan dia akan bertanggungjawab keatas ahli rumahnya, dan para isteri juga ada tanggungjawab, dia bertanggungjawab keatas rumah suaminya”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Setiap ketua keluarga mestilah melaksanakan tanggungjawab dalam rumahtangga dengan sempurna. Lebih-lebih lagi yang melibatkan perkahwinan anak-anak perempuan mereka. Oleh itu, setiap ketua keluarga atau wali yang ingin mengahwinkan anak perempuannya mestilah memastikan bakal pasangan mereka yang ingin mendirikan rumahtangga itu memahami dan bersedia memikul tanggungjawab selepas berkahwin.

Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2013 telah menetapkan umur minima perkahwinan bagi lelaki adalah 18 tahun dan bagi perempuan adalah 16 tahun. Walau bagaimanapun, sekiranya wujud keaadan yang menyebabkan perkahwinan di bawah umur tersebut perlu dilaksanakan, maka ianya mestilah mendapat kebenaran secara bertulis daripada Hakim Syarie.

Mengakhiri khutbah hari ini, adalah diharapkan agar kita semua dapat menghayati perkara-perkara berikut:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa setiap ketua keluarga bertanggungjawab penuh terhadap ahli keluarganya dan akan dihisab dihadapan Allah di hari akhirat kelak

2. Setiap ketua keluarga wajib memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak dan tanggungannya.

3. Umat Islam mestilah mematuhi hukum syarak dan peraturan serta undang-undang yang telah ditetapkan demi menjamin kemaslahatan ummah.

4. Ketua keluarga hendaklah melaksanakan tanggungjawab bagi mewujudkan keluarga bahagia dan berkasih sayang.

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa ia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteriisteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (al-Ruum : 21).

Khutbah Jumaat: “Peliharalah Hak Asasi Kanak-Kanak ”

Petikan Khutbah Jumaat: 20 Julai 2018 / 7 Zulkaedah 1439H JAKIM

“Peliharalah Hak Asasi Kanak-Kanak ”

Kanak-kanak merupakan amanah dan anugerah yang diberikan Allah kepada Hamba-Nya. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan hak dan kebajikan mereka sentiasa terjaga. Mereka adalah bakal pewaris kepimpinan yang akan membentuk
jakim.jpgsesebuah negara dan membangunkan syiar Islam pada masa hadapan.

Secara umumnya, di dalam Islam kanak-kanak adalah merujuk kepada seseorang yang belum baligh. Ia ditentukan dengan faktor tabii atau had umur. Namun dalam konteks Malaysia, kanak-kanak didefinisikan sebagai seseorang yang di bawah umur 18 tahun seperti yang termaktub dalam Akta Kanak-kanak 2001 dan takrifan ini turut digunakan di peringkat antarabangsa. Walau apa jua takrifan yang digunakan, perlindungan dan perkembangan seseorang kanakkanak adalah bergantung kepada orang dewasa.

Firman Allah dalam surah al-Syu’ara’, ayat 132 hingga 135:“Dan bertaqwalah kepada (Allah ) yang telah menganugerahkan kepada kamu apa yang kamu ketahui. Dia telah menganugerahkan kepada kamu binatang-binatang ternakan, anak-anak, kebun-kebun, dan mata air. Sesungguhnya aku (Nabi Hud) takut kalian akan ditimpa azab hari yang besar”.

Ayat tersebut mengisyaratkan bahawa segala anugerah Allah kepada kita berupa ilmu pengetahuan, haiwan ternakan, ladang pertanian, mata air dan lain-lain termasuklah kanak-kanak adalah merupakan ujian kepada kita.

Abdullah bin ‘Amr meriwayatkan bahawa Nabi pernah bersabda:“Orang-yang tidak bersikap belas kasihan terhadap kana-kanak dan tidak tahu (menunaikan) hak orang-orang tua, maka dia bukan daripada kalangan kami”. (Riwayat Abu Dawud dan Ahmad)

Semua pihak harus menyedari dan memainkan peranan bagi memastikan kanak-kanak sentiasa terjaga dan terlindung daripada sebarang bentuk pengabaian, penderaan, diskriminasi dan eksploitasi yang akan menjejaskan proses tumbesaran mereka.

Kanak-kanak juga mempunya hak yang sama dengan golongan dewasa yang perlu dihormati seperti hak kerahsiaan peribadi, tidak dimalukan di khalayak, dan tidak didera secara fizikal, mental juga emosi. Lebih penting lagi kanak-kanak mempunyai hak untuk disayangi dan dimanja.

Anas bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: Bermaksud: “Muliakanlah anak-anak kamu dan perbaikilah (didikan) adab mereka”. (Riwayat Ibnu Majah)

Islam melarang keras seseorang daripada mencederakan orang lain tanpa sebarang alasan terutamanya kanak-kanak. Kanak-kanak diibaratkan seperti sehelai kain putih dan adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa atau penjaga untuk mencorakkannya.

Ibu bapa mempunyai tanggungjawab utama bagi memberi pendidikan dan memastikan perkembangan seseorang kanak-kanak, Nabi SAW bersabda:“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (Islam). Kemudian kedua ibu bapanyalah yang akan menjadikan anak itu Yahudi, Nasrani, atau Majusi”. (Riwayat Imam al-Bukhari)

Pendidikan merupakan aspek yang amat penting dalam membentuk personaliti, bakat, kebolehan mental dan fizikal kanak-kanak baik secara formal di sekolah atau institusi pendidikan mahupun secara tidak formal di rumah dan persekitaran setempat.

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

Pertama: Kanak-kanak adalah anugerah Allah sebagai zuriat dan penyambung keturunan kita.

Kedua: Kanak-kanak berhak mendapat kasih sayang, penjagaan, pendidikan, keselamatan seperti mana golongan dewasa.

Ketiga: Ibu bapa dan masyarakat turut memainkan peranan yang besar dalam membela dan melindungi kanak-kanak.

“Dan orang-orang yang beriman serta anak cucu mereka yang menuruti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan mereka dengan zuriat mereka, dan kami tidak mengurangkan sedikitpun (pahala) daripada amalan mereka. Setiap individu terikat dengan apa yang dikerjakannya”. (Surah A-Tur, ayat 21)