August 31st, 2018

Khutbah Jumaat: “Mensyukuri Nikmat Kemerdekaan”

Petikan Khutbah Jumaat 31 Ogos 2018M / 19 Zulhijjah 1439H: JAIS

“Mensyukuri Nikmat Kemerdekaan”.

Kemerdekaan, adalah salah satu nikmat Allah SWT kepada kita. Ia bermaksud bebas daripada sebarang penindasan dan kezaliman, perhambaan dan kongkongan, samada secara langsung atau tidak.

Cetusan awal yang mendorong semangat kemerdekaan di Negara kita adalah daripada pemikiran tokoh-tokoh ulama Tanah Air kita. Islam mengajar kita bahawa manusia hanya berhak dan perlu tunduk sebagai hamba Allah sahaja.

jais.jpgKita memiliki tanah air yang aman. Tidak ada tanah air lain bagi kita, tidak ada negara lain buat kita. inilah sahaja bumi yang kita warisi daripada nenek moyang kita.

Islam menyeru umatnya supaya mensyukuri nikmat yang di kurniakan Allah SWT. Mereka yang mensyukuri nikmat akan mendapat tambahan anugerah yang lebih banyak, sebagaimana firman-Nya dalam surah Ibrahim ayat 7:“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya! jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab-Ku amatlah berat.”

Negara yang merdeka rakyatnya akan dapat bebas mencari rezeki dalam suasana aman, dapat menunaikan ibadah dengan khusyuk tanpa halangan, dapat menuntut ilmu dan kemahiran sepanjang zaman dan bebas bergerak tanpa sekatan.

Adalah menjadi tanggungjawab kita mengisi kemerdekaan ini dengan menjana pembangunan rohani dan jasmani. Antaranya memantapkan aqidah dan melaksanakan syariah, meningkatkan pembangunan insan dengan ilmu dan kemahiran.

Mensyukuri kurniaan Allah akan dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa dan mendapat keampunan dan hidayah Allah. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sakhbarah bahawa Rasululah SAW bersabda:“Siapa yang diberi kurnia lalu bersyukur, dan diuji lalu bersabar, dia menzalimi orang dia mohon maaf, dan apabila dianiaya lalu memaafkan, kemudian baginda mendiamkan diri.

Maka para sahabat bertanya, mengapa dengannya wahai Rasulullah? Jawab baginda; “Mereka itu mendapat keampunan dan mereka juga mendapat hidayah.” (Riwayat al-Tabrani).

Mereka yang tidak menghargai dan mensia-siakan nikmat Allah bakal mengundang bala daripada Allah SWT sepertimana firman Allah dalam surah al-Hajj ayat 45: “Maka bukan sedikit negeri-negeri yang Kami binasakan dengan sebab kezaliman penduduknya, lalu runtuh ranaplah bangunan-bangunannya; dan bukan sedikit pula telaga yang telah terbiar dan istana yang tersergam (telah kosong, ditinggalkan).

Ini menunjukkan bahawa kezaliman merupakan angkara yang menjadi punca kehancuran sesuatu bangsa. Pembentukan akhlak merupakan perkara utama dalam pembangunan sesebuah negara. Sesungguhnya kemuliaan sesuatu bangsa itu adalah terletak pada akhlaknya, apabila rosak akhlak mereka maka rosaklah bangsa itu.

Islam menyuruh kita bersatu untuk mempertahankan agama dan membangun Negara dengan penuh keimanan dan ketakwaan.

Firman Allah SWT dalam surah Al-A’raf ayat 96:“Dan (Allah berfirman lagi): sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”.

Sempena memperingati ulang tahun kemerdekaan Negara kita yang ke-61 ini, kita hendaklah mengikis segala bentuk penjajahan yang menguasai pemikiran, akhlak dan nilai kebudayaan yang bertentangan dengan akidah dan syariah Islam.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita mengambil pengajaran dan panduan sepertimana berikut:

1. Umat Islam wajib meyakini bahawa segala nikmat yang kita perolehi adalah anugerah Allah SWT, termasuk nikmat kemerdekaan Negara.

2. Umat Islam mestilah menanam semangat cintakan negara kepada diri, keluarga dan masyarakat untuk menjamin kemerdekaan supaya kekal di tangan kita.

3. Umat Islam hendaklah mengisi kemerdekaan dengan iman yang tinggi, akhlak yang terpuji dan ilmu yang bermanfaat serta amal soleh yang berterusan.

4. Umat Islam hendaklah mempertahankan kemerdekaan daripada anasir-anasir buruk yang boleh menggugat kesucian agama dan kedaulatan Negara.

“Dan (berhubung dengan hal kaum yang kufur ingkar) Allah memberikan satu contoh: sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, kemudian penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang mereka telah lakukan. (al-Nahl : 112).

Khutbah Jumaat: “Sayangi Malaysia"

Petikan Khutbah Jumaat: 31 OGOS 2018 / 19 ZULHIJJAH 1439 JAKIM

“Sayangi Malaysia"

Secara umumnya kemerdekaan adalah kebebasan daripada cengkaman penjajah dalam semua aspek sama ada secara fizikal ataupun pemikiran. Kita amat bersyukur kerana negara kita telah mencapai kemerdekaan selama 61 tahun.

jakim.jpgAllah telah mengutuskan para rasul-Nya kepada setiap umat bermula dari Nabi Adam hingga kepada Rasul terakhir Muhammad . Antara lain Rasul diutuskan bertujuan untuk membebaskan manusia daripada kehambaan kepada kemanusiaan.

Firman Allah dalam surah A-Nahl ayat 36. “Dan sesungguhnya kami telah mengutuskan seorang Rasul bagi setiap umat untuk menyeru “sembahlah Allah dan jauhilah Taghut” kemudian di antara mereka ada yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula yang tetap dalam kesesatan. Maka berjalanlah kamu dimuka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (Rasul-Rasul)”

Suatu ungkapan yang menggambarkan kemerdekaan jiwa yang dimiliki oleh seorang muslim telah diucapkan oleh sahabat Nabi bernama Rab’i bin ‘Amir (عامر بن عىِب ر ( ketika ditanyakan tujuan kehadirannya ke bumi Parsi. Sebuah kisah yang mashyur, pertemuan bersejarah Rab’i bin ‘Amir dengan panglima tentera Parsi bernama Rustum telah membawa sebuah slogan kemerdekaan serta kebebasan yang sebenar menurut Islam.

Beliau menyatakan “Allah telah mengutuskan kami untuk membebaskan manusia daripada pengabdian sesama manusia kepada pengabdian hanya kepada Allah sematamata, daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam, daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat”. Beliau tidak merasa rendah di hadapan para pemuja harta, juga tidak merasa hina berhadapan dengan para penguasa, kerana memiliki jiwa merdeka berdasarkan tarbiyah Islam.

Sebagai Muslim yang mempunyai jiwa merdeka kita mestilah berlepas diri dari menjadi tawanan hawa nafsu kepada pengabdian kepada Allah .

Apabila Negara kita merdeka dan telah mengambil Islam sebagai teras dan diabadikan dalam perkara 3(1) perlembagaan yang memperuntukkan “Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan”.

Ini bermakna kita wajib memahami bahawa peruntukan undang-undang ini telah menyediakan tapak asas kepada pengurusan pentadbiran islam di negara ini.

Kemerdekaan menurut Islam sebagai al-Salam (kesejahteraan, kedamaian dan keamanan), al-Hurriyyah (kebebasan daripada segala bentuk kehinaan dan tekanan), al-Musaawah (persamaan), al-Karamah (kemuliaan, harga diri dan maruah) dan al-I’zzah (kekuatan dan keperkasaan).

Hakikat ini dapat dilihat semasa perkembangan awal Islam apabila Rasulullah membawa kemakmuran kepada negara Madinah dan memerdekakan Kota Mekah daripada cengkaman kafir Quraisy. Begitu juga perkembangan di zaman Khulafa’ al-Rasyidin yang banyak memerdekakan negara daripada cengkaman kekufuran.

Islam juga bersifat merdeka dalam erti kata lain bermaksud bebas daripada keruntuhan akhlak dan kemurkaan Allah . Lantaran itu, Islam berjaya menyelamatkan tamadun manusia daripada sistem perhambaan, sama ada perhambaan sesama manusia ataupun perhambaan terhadap hawa nafsu yang diselaputi oleh syirik, kekufuran, kemungkaran dan kemaksiatan.

Pengisian kemerdekaan hendaklah dilaksanakan mengikut acuan yang sebenar ke arah perpaduan, ukhuwwah dan kasih sayang.

Dengan itu, kita perlu bekerja bersungguh-sungguh untuk membangunkan ummah menurut al-Quran dan sunnah dalam erti kata yang sebenarnya untuk kejayaan dunia dan akhirat.

Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 201: “Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari azab Neraka.”

Sebagai mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin mengajak sidang Jumaat sekalian untuk menghayati intipati khutbah yang menyeru kita semua sebagai umat Islam supaya:

Pertama: Mensyukuri nikmat kemerdekaan, keamanan dan kesejahteraan.

Kedua: Menjadi benteng dan perisai daripada ancaman pihak yang mencemburui kestabilan dan kemakmuran negara

Ketiga: Melaksanakan pengisian kemerdekaan mengikut acuan Islam ke arah perpaduan, ukhuwwah dan kasih sayang kepada negara

" Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah SWT (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah SWT kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah SWT menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam,) maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah SWT itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah SWT selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah SWT menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya”. (Surah ali ‘Imran ayat: 103)