November 15th, 2018

Khutbah Jumaat : “Rahmatan Lil Alamin”

Petikan Khutbah Jumaat 16 Nov 2018M /08 Rabi‟ul Awwal 1440H: JAIS

“Rahmatan Lil Alamin”

Bulan Rabi’ul Awal ini, merupakan bulan kelahiran junjungan besar Nabi kita Muhammad SAW. Kehadiran Baginda merupakan rahmat bagi sekalian alam. Kelahiran Rasul SAW telah memberi satu titik permulaan kepada kesempurnaan Islam dan pelengkap kepada jais.jpgsyariat yang dibawa oleh Rasul-rasul terdahulu.

Rasulullah SAW meraikan hari kelahirannya dengan berpuasa pada hari Isnin. Hadis Sahih Riwayat Abu Qatadah Al Ansori Radhiallahu Anhu beliau berkata:“Sesungguhnya Rasulullah SAW ditanya mengenai puasa pada hari Isnin, Baginda SAW bersabda: Hari tersebut adalah hari aku dilahirkan dan hari diangkat aku menjadi rasul atau diturunkan kepadaku Al-Quran”. (Riwayat Muslim).

Aktiviti yang diamalkan sempena Maulidur Rasul seperti berselawat , mengalunkan Qasidah memuji Nabi Muhammad SAW, berzikir, mengadakan majlis ilmu dan mengadakan aktiviti sukan seperti yang diamalkan dalam masyarakat kita dahulu, adalah merupakan amalan yang baik dan perlu diteruskan.

Diantara Qasidah memuji Nabi SAW adalah seperti yang dikarang oleh Shaikh Muhammad Ibnu Sa’id Al-Busairi:Muhammad itu adalah penghulu kepada dua alam dunia dan akhirat, dan penghulu bagi dua kelompok (manusia dan jin), dan ikutan bagi orang arab dan bukan arab. Dialah kekasih Allah yang diharapkan syafaatnya, pada setiap kekalutan dari kedahsyatan yang melanda (di hari kiamat).

Menghidupkan sunnah Nabi SAW dan memupuk kasih sayang kepada Baginda tidak terhad hanya ketika sambutan Maulidur Rasul semata-mata, bahkan ianya perlu berterusan selagi jasad dikandung badan, kerana Rasulullah SAW adalah rahmat bagi kita disepanjang zaman.

Firman Allah SWT dalam surah Al Anbiya’ Ayat 107:“Dan tidaklah Kami (Allah SWT) utuskan kamu wahai Muhammad, melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam”

Mengikut Tafsir al-Tobari, sebahagian ulama’ berpendapat bahawa Nabi Muhammad SAW sebagai rahmat kepada sekalian alam bermaksud rahmat kepada orang beriman dan orang kafir.

Ini berdasarkan kepada tafsiran Ibnu ‘Abbas Radhiallahu Anhuma, bahawa orang yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat akan mendapat rahmat didunia dan diakhirat, dan sesiapa yang tidak beriman kepada Allah SWT dan rasulNya, maka mereka tidak akan terselamat daripada azab Allah (iaitu ditelan kedalam perut bumi atau dihujani batu dari langit).

Rahmatnya Nabi SAW dengan berakhlak mulia kepada kawan dan lawan serta tidak mengenal erti kesumat dan dendam.

Rahmatnya Nabi Muhammad SAW mengajak manusia kepada redha Allah SWT dan mencegah manusia dari kekufuran dan maksiat.

Rahmatnya baginda Nabi SAW, diutus untuk membendung nafsu manusia dari kejahatan dan kerosakkan, dan bukannya menggalak dan menyubur nafsu songsang dan kemungkaran.

Rahmatnya Rasul SAW, tidak terhenti hanya kepada sekalian insan, tetapi ianya berpanjangan kepada haiwan, tumbuhan dan segala isi alam.

Firman Allah SWT dalam surah Ali ‘Imran ayat 31:“Katakanlah (wahai Muhammad):Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa kamu dan ingatlah Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani”.

Diriwayatkan daripada Abdullah Ibnu Hisham bahawa Umar Ibn Khattab berkata ;“ Ya Rasulullah! Sesungguhnya kamu lebih aku cintai melebihi segalanya kecuali diriku sendir. Maka Nabi SAW bersabda: Demi diriku yang berada di tangan-Nya, sehingga aku dicintai olehmu dari dirimu sendiri. Maka berkata Umar : Sesungguhnya sekarang, demi Allah engkau lebih aku cintai dari diriku sendir, Maka Nabi SAW bersabda: Sekarang (barulah sempurna iman kamu) wahai Umar”. (Riwayat Al Bukhari).

Mencintai baginda SAW merupakan pelengkap kepada keimanan seseorang Islam. Contohilah kasih para sahabat Ridwanallahu ‘Alaihim Ajma’in terhadap Rasulullah SAW.

Kasih mereka terhadap baginda tersangat dalam dan melebihi kasih kepada manusia yang lain, membuatkan mereka mengikut satu persatu, meniru dari sebesar-besar perkara hinggalah sekeci-kecilnya, apa yang diajar oleh Nabi SAW, sehinggakan ada ketikanya, orang yang belum pernah bertemu dengan Nabi SAW menyangkakan sebahagian para sahabat adalah Nabi SAW kerana akhlak mulia yang dizahirkan mirip kepada keindahan akhlak Rasulullah SAW

Mengakhiri khutbah pada kali ini, khatib menyeru dan mengajak seluruh umat Islam supaya menghayati beberapa pengajaran berikut untuk dijadikan sebagai pedoman hidup kita:

1. Umat Islam hendaklah menanam benih kasih dan sayang yang berpanjangan kepada junjungan besar Nabi kita Muhammad SAW melalui pengajian majlis ilmu berkaitan sifat dan akhlak Rasulullah.

2. Umat Islam hendaklah sentiasa menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai contoh dan tauladan dalam mentadbir rumahtangga dengan baik, bertanggungjawab dan penuh kasih sayang.

3. Kita sebagai ummat Islam, mesti memperkenalkan Nabi SAW kepada anak-anak kita sejak kecil lagi, supaya mereka dapat membesar dalam keadaan mengenali akhlak dan keperibadian Nabi SAW, seterusnya menjadikan Nabi sebagai contoh ikutan mereka.

4. Akhlak Nabi SAW hendaklah diterapkan didalam kehidupan seharian kita, tanpa mengira apa jua latar belakang , pangkat dan kedudukan yang kita kecapi sekarang ini.

“Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).” (surah ali-„Imran : 144)

Khutbah Jumaat: Rasulullah : Rahmat Ke Seluruh Alam

Petikan Khutbah Jumaat:16 November 2018 / 8 Rabi’ul Awal 1440H JAKIM

Rasulullah : Rahmat Ke Seluruh Alam

Firman Allah dalam Surah al-Anbiya’ ayat 107: bermaksud :“Dan tiadalah Kami mengutuskan kamu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”

jakim.jpgSayyid Quthub berkata: “Allah telah mengutuskan rasul-Nya sebagai rahmat kepada seluruh manusia agar beliau memimpin mereka ke jalan hidayah. Dan tiada yang menerima hidayah itu melainkan golongan manusia yang mempunyai kesediaan untuk menerimanya walaupun rahmat itu merangkumi orang yang beriman dan mereka yang tidak beriman.”

Rahmat Rasulullah telah membawa perubahan ketamadunan meliputi tiga aspek utama kehidupan manusia iaitu akidah yang unggul, syariat yang syumul dan akhlak yang luhur.

Dalam soal akidah, Rasulullah telah membawa perubahan besar kepada umat manusia dengan mengangkat martabat dan kemuliaan manusia daripada kehidupan zaman jahiliah yang bertunjangkan hawa nafsu, kesesatan dan penyembahan berhala kepada akidah suci yang mentauhidkan Allah , iaitu Tuhan yang Maha Esa yang layak disembah.

Baginda membawa risalah tauhid yang diiktiraf di sisi Allah dan menjamin kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Inilah tugas utama para Rasul iaitu menyeru umat manusia kepada akidah pengesaan dan pengabdian kepada Allah semata-mata sebagai mana firman-Nya dalam surah al-Anbia’ ayat 25:“Dan Kami tidak mengutus sebelummu seseorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, beribadatlah kamu kepada-Ku”

Rasulullah bermujahadah membawa umat manusia kepada akidah yang benar dan jalan yang lurus dengan penuh hikmah kebijaksanaan. Lantaran itu Islam mampu bertahan sehingga kini dan bakal bangun pada masa hadapan.

Inilah sifat akidah yang menjadi tunjangan kita beragama dan menolak segala bentuk kepercayan syirik, khurafat dan karut.

Dalam aspek Syariah pula, ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah telah memasakkan satu sistem kehidupan yang penuh bertamadun. Kita menyaksikan bahawa Rasulullah begitu bersungguh-sungguh melebar risalah syariat Islam bermula dengan keluarga, sahabat, kaum dan sehinggalah Islam berjaya ditegakkan sebagai sebuah sistem pentadbiran negara Islam.

Baginda benar-benar membawa keyakinan bahawa syariat Islam merupakan satu sistem yang terbaik dan sempurna untuk diamalkan di dalam kehidupan manusia sebagaimana firman Allah menerusi surah al-Maidah ayat 3::"...pada hari ini Aku telah sempurnakan agamamu untukmu, dan telah Aku cukupkan nikmatKu bagimu, dan Aku redha Islam sebagai agamamu..."

Menjadi kewajipan kita sebagai orang yang beriman untuk mengaplikasikan keseluruhan hidup di bawah naungan syariat Islam dan bukan hanya mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian lainnya seiring dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 208: Bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh, ia musuh yang nyata bagi kamu"

Manakala dari segi akhlak, Rasulullah telah berjaya mendidik umat manusia daripada jahil kepada insan yang mulia, daripada zalim kepada adil dan daripada degil kepada bertimbang rasa. Baginda menjadi teladan yang sempurna sepanjang zaman mencakupi semua aspek demi kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. Firman Allah dalam surah alAhzab, ayat 21:“Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah teladan yang baik bagi kamu yang mengharapkan rahmat Allah dan (kedatangan) hari kiamat serta yang banyak mengingati Allah”.

Imam Malik meriwayatkan sebuah hadis bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak mulia

Dr. ‘Aaid al-Qarni (القرني عائض (dalam bukunya "Rahmatan li al- ‘Alamin” menyebut beberapa tafsiran terhadap Nabi Muhammad , antaranya:

Pertama: Baginda merupakan seorang manusia utusan Allah .

Kedua: Baginda membela nasib umat yang lemah, tertindas, terkebelakang dan terpenjara dengan pelbagai kezaliman.

Ketiga: Baginda datang untuk mengangkat maruah umat manusia mereka di tempat sewajarnya .

Keempat: Baginda membina satu tamadun baharu di antara sekian tamadun yang sedia ada dan ia menjadi tamadun yang paling tinggi nilainya.

Kelima: Baginda telah mengeluarkan masyarakat semenanjung Arab yang tandus tanpa wujudnya sungai, kebun, mahupun tumbuhtumbuhan, menjelajah dan berkembang seluruh pelusuk bumi.

Sebagai kesimpulannya bagi mengakhiri bicara ini, marilah kita berpegang teguh dengan dua peninggalan Rasulullah iaitu al-Quran dan sunnahnya yang menjadi teras utama panduan umat Islam sebagaimana hadis diriwayatkan oleh Imam Malik bahawa Rasulullah bersabda: Mafhumnya:"Aku tinggalkan dalam kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya .

“Apa jua yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka terimalah ia, dan apa jua yang dilarang kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya” (Surah al-Hasyr : ayat 7)