February 28th, 2019

Khutbah Jumaat : Islam Asas Kesatuan Ummah

Petikan Khutbah Jumaat 01 Mac 2019M / 24 Jumada al-Akhirah 1440H:JAIS

 “Islam Asas Kesatuan Ummah”.

Realiti umat Islam zaman ini sedang menghadapi ujian dan fitnah perpecahan yang besar di seluruh dunia.
jais.jpg
Permusuhan sesama umat Islam merupakan musibah yang besar yang belum ada kesudahannya sejak jatuhnya Khilafah Islam Turki Uthmaniah pada 3 Mac 1924.

Semenjak daripada tarikh itu, umat Islam semakin lemah dan jauh daripada Islam walaupun jumlah mereka ramai.

Musibah yang berlaku hari ini telah diperingatkan oleh Nabi SAW di dalam sebuah hadis daripada Thauban Radhiallahu Anhu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Hampir tiba suatu zaman di mana bangsa-bangsa di seluruh dunia akan datang mengerumuni talam hidangan mereka. Maka salah seorang sahabat bertanya “Adakah kerana jumlah kami sedikit pada hari itu, Ya Rasulullah?”. Nabi SAW menjawab, “Tidak. Bahkan kamu pada waktu itu ramai, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati-hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit wahan. Seorang sahabat bertanya, “Apakah wahan itu Ya Rasulullah?” Nabi SAW menjawab, cinta pada dunia dan takut pada mati”. (Riwayat Abu Daud)

Rasulullah SAW mengambil perhatian yang amat serius terhadap kesatuan umat Islam dengan melaksanakan beberapa tindakan penting. Di antaranya ialah :

1. Nabi berulang-kali menekankan pengukuhan keimanan kaum muslimin sebagai asas kesatuan. Penekanan ini dapat kita lihat dengan banyaknya ayat-ayat Al-Quran yang memerintahkan umat Islam supaya hidup bersatu-padu dan mengutamakan persaudaraan sebagaimana firman Allah SWT yang dibacakan pada permulaan khutbah tadi, ayat 10 surah alHujuraat yang bermaksud: “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

2. Nabi SAW dan para sahabat sentiasa bersegera memadamkan anasir-anasir yang boleh membawa perpecahan umat dengan mendamaikan pihak yang bertelingkah. Allah SWT mengingatkan kita melalui firman-Nya dalam Surah Al-Anfal, ayat 46:
“Dan Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.”

Di samping itu Nabi sentiasa memaafkan segala kesalahan sesama manusia dan tidak menyimpan dendam.

3. Nabi mengukuhkan kesatuan umat Islam dengan meletakkan perpaduan umat Islam bersama dengan bangsa-bangsa yang wujud di Madinah sebagai tunjang terpenting dalam Piagam Madinah.

Setiap individu muslim perlu berazam ke arah penyatuan ummah dengan berusaha untuk kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Hasrat ini kita mampu laksanakannya dengan cara mengimarahkan masjid dan surau.

Selain itu kita hendaklah istiqomah dalam menjaga solat berjemaah, mencintai majlis-majlis ilmu dan mengasihi para alim ulama. Begitu juga, umat Islam perlu menghidupkan semangat ithar (mengutamakan saudaranya yang lain) iaitu saling bantu-membantu sesama kaum muslimin seperti membantu dalam menyokong ekonomi umat Islam, membina jaringan sosial dan kebajikan bersama-sama

Mengakhiri khutbah pada kali ini, khatib menyeru dan mengajak seluruh umat Islam supaya menghayati beberapa pengajaran berikut untuk dijadikan sebagai pedoman hidup kita:

1. Umat Islam wajib kembali kepada perintah Allah SWT dan Rasulullah SAW dengan menjadikan Al-Quran dan Al-Sunnah sebagai panduan kehidupan.

2. Setiap pemimpin mestilah meletakkan agenda penyatuan ummah sebagai keutamaan dengan mengikis segala keegoan dan kepentingan peribadi.

3. Umat Islam hendaklah bersama-sama mengimarahkan masjid dan surau dengan menghidupkan solat berjemaah dan menghidupkan majlis ilmu yang merupakan pusat penyatuan ummah dengan bersama-sama menghidupkan solat berjemaah, mencintai majlis ilmu dan menyayangi para alim ulama

“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu. (Muhammad : 7).

Khutbah Jumaat: Kelestarian Alam Amanah Allah

Petikan Khutbah Jumaat: 1 Mac 2019M/ 24 Jamadilakhir 1440H JAWI

Kelestarian Alam Amanah Allah

Kita sedar bahawa manusia memiliki dua misi utama di muka bumi ini iaitu sebagai hamba Allah SWT dan khalifahNya.

Tuntutan sebagai hamba Allah SWT adalah dengan mengabdikan diri kepadaNya manakala tuntutan sebagai khalifah adalah dengan mengurus dan mentadbir alam ini mengikut aturan dan kehendak Allah SWT.
jawi_logo.jpg
Allah SWT menciptakan alam untuk ditadbir dan diurus dengan baik. Penjagaan alam sekitar memerlukan usaha sama semua pihak dan dilaksanakan secara bersistematik.

Islam sebagai agama yang lengkap telah memberi perhatian terhadap hubungan antara manusia dengan alam sekitar.

Allah SWT menghubungkan manusia dengan empat komponen alam iaitu udara (atmosfera), air (hidrosfera), tanah (litosfera) dan hidupan bernyawa seperti haiwan dan manusia (biosfera) melalui firman-firmanNya.

Berkenaan dengan udara, Allah SWT menyatakan di dalam Surah Fatir, ayat 9 : “Dan Allah jualah yang menghantarkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan, kemudian Kami halakan awan itu ke negeri yang mati (yang kering kontang); lalu Kami hidupkan bumi sesudah matinya dengan (hujan daripada awan) itu. Demikian itulah kebangkitan manusia (hidup semula sesudah mati).”

Al-Quran juga menyentuh soal air dalam kehidupan manusia melalui Surah An-Nahl, ayat 14 :“Dan Dia lah yang memudahkan laut, supaya kamu dapat makan daripadanya daging yang lembut hidup-hidup, dan dapat pula mengeluarkan daripadanya benda-benda perhiasan untuk kamu memakainya dan (selain itu) engkau melihat pula kapal-kapal belayar padanya; dan lagi supaya kamu dapat mencari rezeki daripada limpah kurniaNya; dan supaya kamu bersyukur.”

Allah SWT turut memberikan perhatian kepada tanah yang baik untuk kegunaan manusia. Firman-Nya di dalam Surah Al-A’raf, ayat 58 : Dan negeri yang baik (tanahnya), tanaman-tanamannya tumbuh (subur) dengan izin Allah; dan negeri yang tidak baik (tanahnya) tidak tumbuh tanamannya melainkan dengan keadaan bantut. Demikianlah Kami menerangkan tanda-tanda (kemurahan dan kekuasaan) Kami dengan berbagai cara bagi orang yang (mahu) bersyukur

Melihat kepada keadaan cuaca panas di beberapa kawasan seluruh Negara termasuk Kuala Lumpur, mimbar mengambil kesempatan untuk mengingatkan para Jemaah sekalian supaya mengambil berat terhadap kesihatan diri.

Beberapa panduan untuk kekal sihat di musim panas perlulah diikuti untuk mengelakkan diri kita daripada strok haba.

Antaranya, banyakkan minum air kosong; lebihkan masa berada di dalam rumah; kurangkan minuman berkafein dan bergula; gunakan kipas atau pendingin hawa untuk menyejukkan badan; pakailah pakaian yang ringan,berwarna terang dan longgar; jangan duduk di dalam kenderaan yang bertutup tanpa penghawa dingin; dan terakhir pakailah topi atau payung untuk melindungi daripada pancaran haba terus ke badan. Inilah saranan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk panduan masyarakat.

Jadilah orang yang suka memelihara dan memulihara kelestarian alam, kerana pasti Allah SWT akan mengganjarkan dengan pahala yang besar.

Antara tindakan yang perlu kita ambil bagi menjaga alam sekitar ialah :

Pertama : Didiklah masyarakat dengan pelbagai pihak memainkan peranan masing-masing.

Kedua : Jimatkan penggunaan tenaga alam sekitar. Kaedah pengurangan (reduce), guna semula (reuse), dan kitar semula bahan (recycle) dapat mengelakkan pembaziran sumber alam sekitar.

Ketiga : Elakkan pencemaran. Kurangkan penggunaan bahan kimia yang berbahaya yang mencemarkan alam, misalnya pembakaran bahan api industri yang akan membebaskan gas-gas beracun dan mengakibatkan hujan asid.

Mengakhiri khutbah pada hari yang mulia ini, mimbar menyimpulkan kepada tiga perkara:

Pertama : Sebagai khalifah Allah SWT, manusia ditugaskan untuk memelihara dan memulihara alam sekitar. Inilah ajaran Islam yang sentiasa menyeru manusia kea rah kebaikan kerana Islam membawa rahmat ke seluruh alam.

Kedua : Ambillah langkah yang perlu bagi memelihara alam sekitar seperti menjimatkan penggunaan tenaga dan mengelakkan pencemaran alam.

Ketiga : Kerosakan alam sekitar bukan sahaja memberikan kesan buruk kepada persekitaran, bahkan memberi mudarat kepada manusia.

Firman Allah SWT di dalam Surah ar-Ruum, ayat 41 hingga 42 : “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). Katakanlah: Mengembaralah kamu di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang yang telah lalu (yang telah dibinasakan); kebanyakan mereka adalah orang musyrik.”