April 4th, 2019

Khutbah Jumaat: Selamatkan Al-Aqsa

Petikan Khutbah Jumaat 5 April 2019M/ 29 Rejab 1440H JAWI/JAIS

“Selamatkan Al-Aqsa”

Pada masa ini wilayah Palestin semakin dihimpit, penduduknya saban hari ditindas dan dizalimi. Umat Islam Palestin semakin terhimpit dan terhapus di bumi Palestin.
jais.jpgjawi_logo.jpg
Tahun lepas genap tahun ke-70, sejak penubuhan negara haram Israel di bumi Palestin. Semenjak itu beribu-ribu orang Palestin telah terkorban dan tercedera.

Kerakusan Zionis Yahudi dalam merampas Bumi Palestin daripada orang Islam kelihatan amat jelas apabila kekejaman dan keganasan Israel ke atas Palestin sejak abad ke-20 dan hingga kini, semakin meningkat hari demi hari.

Sifat keji Bani Israel ini dinyatakan oleh Allah dalam surah al-Maidah ayat 78: “Orang kafir Yahudi dari Bani Israel telah dilaknat (di dalam Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan menceroboh.”

Profesor Dr. Muhammad Sayyid Tantawi, Mantan Syeikh al-Azhar telah menggambarkan sifat keji bangsa Yahudi ini melalui bukunya “Banu Israel fi al-Quran wa as-Sunnah”, bahawa Israel sebagai bangsa penjenayah kejam yang tidak membezakan orang tua, wanita, kanakkanak, masjid, rumah ibadat, tempat awam dan sebagainya.

Israel juga terkenal sebagai bangsa penjenayah yang kuat memusuhi Islam dan Arab. Golongan ini bukan sekadar ingin menguasai Palestin, malah Jordan, Syria, Lebanon, Iraq, semenanjung Sinai dan termasuklah Madinatul Munawwarah.

Masjid Al-Aqsa merupakan masjid yang menjadi kiblat pertama umat Islam, dan kini kedudukan masjid itu dalam keadaan yang amat membimbangkan rentetan daripada pembinaan terowong-terowong di bawah tanah kawasan masjid oleh rejim Zionis menyebabkan kerosakan pada bangunan masjid yang semakin hari semakin parah.

Sikap negara-negara kuasa besar ini berdiam diri dalam isu melibatkan kepentingan Islam dan umat Islam. Namun mereka bertindak pro-aktif dalam isu-isu yang menyentuh kepentingan masyarakat yang bukan Islam.

Ia secara langsung membuka peluang yang besar bagi musuh-musuh Islam untuk terus menceroboh dan mencabul kesucian Islam

Firman Allah menerusi surah al-Baqarah ayat 120: “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu”

Islam sebagai agama rahmah amat mementingkan ikatan persaudaraan. Walaupun tiada pertalian darah, hubungan persaudaraan itu amat kuat apabila diikat dengan ikatan agama (Islam).

Islam melarang keras sebarang bentuk kezaliman dan membiarkan muslim yang lain dizalimi. Sabda Rasulullah seperti diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim: Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar RA berkata bahawa Rasulullah bersabda: “Seorang Muslim adalah saudara terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat (membantu) saudaranya, maka Allah akan melaksanakan (membantu) hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, maka Allah akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat. Sesiapa yang menutup aib seseorang Muslim, maka Allah akan menutup aibnya pada hari kiamat.”

Mimbar menyeru kepada seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia, marilah kita membantu meringankan penderitaan saudara kita di Palestin dengan bersama-sama mengambil tindakan berikut:

Pertama: Menyalurkan bantuan ekonomi dan kewangan kepada rakyat Palestin yang sedang menderita melalui badan-badan diiktiraf oleh kerajaan.

Kedua: Memperkasa penggunaan perkhidmatan dan produk keluaran orang Islam dan pengusaha tempatan serta mengelakkan segala perkhidmatan dan barangan keluaran negara berkenaan.

Ketiga: Menginsafi akan bahaya perpecahan dan perlunya tindakan segera dalam menyatupadukan ummah dalam kalangan negara Islam seluruh dunia bermula di negara kita; dan Keempat: Memastikan bahawa penjenayah perang tehadap Palestin dibawa ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman setimpal

Marilah kita membela dan membantu saudara-saudara kita di sana dengan segala kemampuan yang ada. Hendaklah kita sentiasa mendoakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Palestin khususnya dan umat Islam seluruhnya.

“Allah menjanjikan orang yang beriman dan beramal salih dalam kalangan kamu, bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah yang memegang kuasa di bumi, sebagaimana Ia menjadikan orang yang sebelum mereka; dan Ia akan menguatkan agama mereka (Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan dari ancaman musuh” (Surah al-Nur : ayat 55)