April 19th, 2019

Khutbah Jumaat “Antara Hak Dan Keinginan”

Petikan Khutbah Jumaat 19 April 2019M / 13 Syaaban 1440H: JAIS

“Antara Hak Dan Keinginan”. 

Manusia seringkali keliru untuk menentukan antara hak dan keinginan. Ini kerana mereka mungkin menganggap sesuatu perkara itu sebagai hak, tetapi pada hakikatnya ia hanyalah keinginan sahaja.
jais.jpg
Terdapat banyak suara dan gerakan yang memperjuangkan hak asasi, tetapi hak yang ingin diperoleh itu bukanlah hak yang sepatutnya diperoleh. Itu hanyalah keinginan sahaja dan keinginan manusia tidak terbatas.

Allah SWT berfirman dalam surah al-An’am ayat 153:“ Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) menceraiberaikan kamu dari jalan Allah, dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.”

Menyingkap beberapa dakwaan yang dinyatakan tadi, khatib ingin menjelaskan bahawa dakwaan mengatakan bahawa arak merupakan hak seseorang sehingga perlu menganjurkan pesta adalah dakwaan yang tersasar.

Ia bukan sahaja ditolak oleh Islam, tetapi juga ditolak oleh agama Kristian, Hindu, Budha, bahkan ditolak oleh semua agama. Ia memberikan kesan buruk kepada kesihatan khususnya kepada usus, perut, jantung, otak dan akal manusia.

Tiada siapa yang suka sekiranya ahli keluarga pulang ke rumah dalam keadaan yang mabuk kerana ia boleh merosakkan barangan rumah, mencederakan orang dan membahayakan diri sendiri.

Dakwaan arak sebagai hak seseorang adalah tidak betul kerana minum arak hanyalah keinginan sahaja. Ia merupakan minuman yang menghilangkan kewarasan manusia dan membawa mudarat yang sangat banyak.

Begitu juga dakwaan sesetengah pihak bahawa menukar jantina merupakan suatu hak. Sebenarnya ia hanyalah keinginan yang berasaskan kejahilan dan timbul dari perasaan tidak puas hati atas ciptaan Allah.

Ia hanyalah keinginan untuk berseronok sahaja kerana menukar jantina hanyalah mengubah suai alat kelamin tetapi hakikat dan identiti dirinya tidak berubah.

Daripada Abdullah bin Amru Radhiallahu Anhuma bahawa dia mendengar Nabi SAW bersabda:“Allah SWT telah menentukan takdir semua makhluk sebelum Dia menciptakan langit dan bumi lima puluh ribu tahun.” (Riwayat Muslim).

Tuntutan kebebasan dan hak asasi ini merupakan pemikiran yang berasaskan kepada logik akal semata-mata tanpa bimbingan wahyu Allah.

Pemikiran ini menjadikan hak asasi sebagai topeng untuk mendapatkan sesuatu yang mereka inginkan.

Firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 36 sebagaimana yang dibcakan dalam muqaddimah tadi yang bermaksud: “Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.”

Keistimewaan Islam ialah ia datang daripada wahyu yang merupakan sebagai pencipta kepada manusia. Dalam menyelesaikan kecelaruan untuk membezakan antara hak dan keinginan, manusia memerlukan bimbingan dan panduan daripada Allah.

Manusia tidak mampu untuk membezakan antara keduanya kerana manusia sering membesarkan tuntutan dirinya sendiri berbanding orang lain. Oleh kerana Allah merupakan pencipta manusia, Allah mengetahui sifat semula jadi kejadian manusia. Allah telah meletakkan panduan yang sempurna antara hak dan keinginan.

Selagimana keinginan manusia tidak bercanggah dengan wahyu Allah maka ia dibenarkan. Sebaliknya jika ia bertentangan, maka wahyu Allah lah yang perlu diutamakan dan dijadikan pegangan.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 34:“Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam”. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.”

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah sama-sama kita menghayati beberapa pengajaran yang boleh diambil seperti berikut:

1. Umat Islam hendaklah mengenali bahawa segala ketetapan dan perintah Allah wajib dipatuhi oleh seluruh umat manusia sebagai tanda keimanan kepada Allah.

2. Umat Islam hendaklah memastikan hak dan keinginannya tidak bercanggah dengan wahyu Allah dan pedoman Rasulullah SAW.

3. Umat Islam hendaklah menolak segala keinginan yang bertopengkan hak asasi manusia atau kebebasan bersuara yang bertentangan dengan syariat.

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku, Aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan Aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah Aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain." (Yusuf : 108)

Khutbah Jumaat: Keselamatan Jalan Raya, Tanggungjawab Semua

Petikan Khutbah Jumaat 19 April 2019M / 13 Syaaban 1440H JAWI

Keselamatan Jalan Raya, Tanggungjawab Semua

Alhamdulillah, dalam menjalani kehidupan ini, kita bersyukur di atas pelbagai nikmat Allah SWT dan di antaranya adalah nikmat kemudahan dan prasarana yang disediakan oleh kerajaan seperti jalan raya. Jaringan jalan raya sebagai penghubung antara masarakat pelbagai negeri sentiasa dinaik taraf sesuai dengan perkembangan semasa masyarakat dan teknologi.

Namun amat menyedihkan apabila melihat kemalangan jalan raya semakin meningkat setiap tahun. Seringkali kita dipaparkan sama ada di televisyen, dada-dada akhbar, radio mahupun di laman sosial dengan berita kemalangan jalan raya yang meragut nyawa manusia,
jawi_logo.jpg
Berdasarkan Statistik Jabatan Perangkaan menunjukkan bahawa pada tahun 2017, kemalangan Jalan Raya berada di Tangga ke-4 sebagai punca utama kematian rakyat Malaysia.


Statistik kemalangan maut pada tahun 2018 pula mencatatkan sebanyak 6,284 kematian dengan purata 18 kematian sehari atau 1 kematian setiap 1 jam 20 minit.

Statistik juga menunjukkan sebanyak 4128 kematian melibatkan penunggang dan pembonceng motorsikal.

Manakala berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia,sebanyak 30% kematian adalah melibatkan penunggang dan pembonceng motorsikal yang berumur diantara 16 ke 25 Tahun.

Dan sejumlah 40% daripadanya tidak mempunyai lesen memandu.

Terdapat beberapa faktor utama yang menjadi punca kemalangan jalan raya :

Pertama : Sikap dan tabiat pemanduan buruk pengguna jalan raya seperti memotong di garisan berkembar, melawan arus, melanggar lampu isyarat, menyalahgunakan laluan kecemasan dan lumba haram. Ia bukan sahaja mengundang kecelakaan kepada diri sendiri tetapi turut mengorbankan pengguna lain yang tidak bersalah.

Kedua: Kecuaian pengguna jalan raya seperti pemanduan melebihi had laju yang ditetapkan, tidak memasang lampu isyarat ketika membelok, memandu dalam keadaan mengantuk, kurang berhati-hati ketika memandu dalam cuaca buruk, serta penggunaan telefon bimbit ketika memandu sehingga mengundang kepada kecelakaan jalan raya.

Ketiga: Keadaan jalan raya yang berlopak, licin, berselekoh tajam dan halangan di jalan raya seperti batu, kayu akibat tidak diselenggara oleh pihak berwajib ditambah dengan cuaca buruk turut menjadi punca berlakunya kemalangan jalan raya.

Keempat: Kelalaian segelintir pengguna jalan raya untuk membuat pemeriksaan kenderaan sebelum pemanduan dan tidak mengambil berat terhadap penyelenggaraan kenderaan sehingga mengakibatkan kenderaan tidak dapat berfungsi dengan selamat.

Bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Penubuhan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) kali ke 73 yang disambut pada 1 April setiap tahun, mimbar mengingatkan para Jemaah sekalian agar membantu pihak JPJ selaku Agensi yang menguatkuasa dan mentadbir undang-undang jalan raya Malaysia dalam meningkatkan keselamatan jalan raya dengan menghayati saranan berikut :

Pertama : Marilah kita bersama menghargai nikmat kesihatan, keselamatan dan nyawa yang telah dianugerahkan Allah SWT dengan mencegah diri dari melakukan perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan diri sendiri mahupun memudaratkan orang lain.

Kedua : Beradab dan bersopanlah ketika berada di jalan raya dengan memtuhi undang-undang dan peraturan –peraturan jalanraya seperti memakai tali pinggang keledar atau topi keledar, memastikan anak-anak duduk di dalam kerusi keselamatan kanak-kanak dan mematuhi had laju yang ditetapkan. Peraturan yang dirangka bukan untuk membebankan bahkan membantu menjadikan perjalanan lebih selamat dan teratur.

Ketiga : Janganlah mementingkan diri sendiri ketika di jalanraya. Hormati serta sentiasa bertolak ansur terhadap pengguna jalan raya yang lain.

Keempat : Pengguna jalan raya dinasihatkan agar sentiasa memohon perlindungan daripada pada Allah SWT ketika memulakan perjalanan

Menjaga keselamatan jalan raya dan berusaha mencegah dari berlakunya kemalangan jalanraya adalah sebahagian daripada maqasid al-syariah dalam aspek pemeliharaan nyawa dan harta. Malah dalam Islam, melakukan sesuatu perkara yang dapat melengkapkan tuntutan agama amatlah dituntut.

Firman Allah SWT di dalam surah alFurqan ayat 63 : Bermaksud : “Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orangorang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini.”

Hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Timirzi daripada Abu Zar RA, Rasulullah SAW bersabda :Bermaksud : "Bertaqwalah kamu kepada Allah di mana saja kamu berada dan ikutilah setiap amalan kejahatan dengan amalan kebaikan yang dapat menghapuskannya serta berakhlaklah kepada manusia dengan akhlak yang baik."

Marilah kita bersama menghayati kesimpulan khutbah pada hari ini, antaranya :

Pertama : Beradab dan bersopanlah ketika berada di jalan raya dengan mematuhi undang-undang dan peraturan jalanraya.

Kedua : Janganlah mementingkan diri sendiri ketika menggunakan jalanraya bahkan hormatilah dan bertolak ansur dengan pengguna yang lain.

Ketiga : kita mestilah berusaha dengan pelbagai cara untuk mengurangkan risiko dan mencegah dari berlakunya kemalangan jalan raya untuk menjamin keselamatan diri, keluarga dan masyarakat keseluruhannya.

Firman Allah SWT dalam surah At-Taubah ayat 51: Bermaksud : “Katakanlah (wahai Muhammad) tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal.”