June 7th, 2019

Khutbah Jumaat “Bukan Setakat Ramadan”

Petikan Khutbah Jumaat 07 Jun 2019M / 03 Syawal 1440H: JAIS

“Bukan Setakat Ramadan”. 

Ramadan yang telah berlalu pastinya meninggalkan seribu satu kenangan terindah dalam diri kita semua. Masih terasa lagi keindahan kita berpuasa di siang hari dan bertarawikh di malamnya pula.
jais.jpg
Ditambah lagi dengan amalan tadarus al-Quran, qiamullail dan lain-lain lagi. Itulah keistimewaan Ramadan berbanding bulan-bulan lain.

Perasaan sedih meninggalkan Ramadan dan harapan untuk bertemu lagi Ramadan pada tahun hadapan merupakan fitrah jiwa orang yang cintakan amal soleh sepertimana dinyatakan oleh Mu’alla bin Al-Fadhl, salah seorang ulama tabi’ tabiin: “Dulu para sahabat, selama enam bulan sebelum datang Ramadan, mereka berdoa agar Allah mempertemukan mereka dengan bulan Ramadan. Kemudian, selama enam bulan sesudah Ramadan, mereka berdoa agar Allah menerima amal mereka dibulan Ramadan yang lalu.”

Apa selepas Ramadan? Bagaimana untuk kita terus istiqamah dan beramal soleh?

1. Sentiasalah memperbaharui niat dengan ikhlas dalam setiap amalan yang kita lakukan.

2. Perbanyakkanlah berdoa kepada Allah SWT agar kita dikurniakan kekuatan untuk melakukan amal soleh dan dijauhkan daripada godaan iblis dan syaitan yang sentiasa menghasut kita untuk melakukan maksiat.

Rasulullah SAW sering berdoa sepertimana yang diriwayatkan dalam sebuah hadis daripada Shahar bin Haushab Radhiallahu Anhu:“Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hati ku di atas agama-Mu.” (Riwayat al-Tirmizi).

3. Berusahalah mencari teman-teman dan sahabat yang suka melakukan kebaikan.

4. Hayatilah sirah nabi dan kehidupan para sahabat Rasulullah SAW.

5. Mulakanlah amal soleh secara berperingkat-peringkat tetapi berterusan.

“Amalan yang paling dicintai oleh Allah SWT ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.” (Riwayat Muslim).

Mulakanlah amalan membaca Al-Quran dengan jumlah yang sedikit dan ringan. Begitu juga amalan puasa sunat, mulakanlah dengan puasa 6 hari dibulan Syawal terlebih dahulu dan puasa sunat pada hari Isnin dan juga Khamis.

Mengakhiri khutbah pada kali ini, khatib menyeru dan mengajak seluruh umat Islam supaya menghayati beberapa pengajaran berikut untuk dijadikan sebagai pedoman hidup kita:

1. Umat Islam hendaklah beramal dengan penuh keikhlasan kerana ia merupakan syarat suatu amal itu diterima oleh Allah SWT.

2. Umat Islam digalakkan untuk melakukan puasa 6 hari di bulan Syawal kerana ganjarannya cukup besar disisi Allah SWT

3. Umat Islam hendaklah memperkukuhkan hubungan silaturrahim antara sesama Muslim dengan menghidupkan budaya ziarah menziarahi.

4. Umat Islam hendaklah meneruskan segala amal soleh yang telah dikerjakan sepanjang bulan Ramadan.

“Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar.” (Surah al-Hadid : 21).

Khutbah Jumaat : Kesungguhan Beribadah Selepas Ramadan

Petikan Khutbah Jumaat 7 Jun 2019M / 3 Syawal 2019M JAWI

Kesungguhan Beribadah Selepas Ramadan

Kehadiran bulan syawal bukan sekadar bulan kemenangan, kegembiraan dan kemeriahan tetapi ia bulan kesinambungan ibadah dan amalan kebaikan yang pernah dilakukan sebelum ini. Jika amalan dan tingkah laku yang dipamerkan adalah selari sebagaimana dalam jawi_logo.jpgbulan Ramadan bermakna kita telah berjaya dengan tarbiahnya.

Ingatlah bahawa momentum kebaikan yang telah dilatih selama sebulan ini perlu diteruskan sebagaimana firman Allah di dalam surah Muhammad ayat 33:Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasulullah, dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu!

Di samping mengukuhkan diri dengan kefahaman tersebut, kita juga boleh meneruskan kesinambungan ibadah dengan beberapa amalan kebaikan seperti:

Pertama: Melakukan puasa sunat enam hari di bulan syawal

Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Ayyub Al-Ansari RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan, kemudian dia melanjutkan dengan puasa enam hari di bulan syawal, nilainya sama dengan dia berpuasa selama setahun.

Kedua: Meneruskan Bacaan Al-Quran dan Menghadiri majlis-majlis ilmu

Berusahalah untuk terus melazimi tadarus Al-Quran dan menghadirkan diri ke majlis-majlis ilmu seperti kuliah agama, ceramah dan lain-lain.

Berkata Imam Ibnu Qayyim dalam bukunya Ighathatul-Lahfan: Duduk dalam majlis-majlis orang yang soleh akan merubah kamu daripada enam perkara kepada enam perkara. Daripada keraguan menjadi yakin. Daripada sikap riya’ menjadi ikhlas. Daripada lalai menjadi orang yang sentiasa berzikir. Daripada orang yang cinta kepada dunia menjadi orang yang cinta kepada akhirat. Daripada orang yang takabur menjadi orang yang tawaduk. Daripada orang yang sentiasa berniat buruk menjadi orang yang memberi nasihat.

Ketiga: Memohon pertolongan daripada Allah SWT

Sesungguhnya kehidupan kita sebagai manusia tidak dapat dipisahkan daripada pertolongan Allah SWT. Doa adalah senjata bagi umat Islam setelah berusaha bersungguh-sungguh. Di saat kita tidak mampu untuk melakukan sesuatu setelah habis berusaha, maka mohonlah kepada Allah SWT supaya diberikan hidayah dan taufik-Nya secara berterusan.

Doa-doa yang boleh diamalkan seperti di dalam surah Ali Imran ayat 8:(Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin mengajak sidang jemaah sekalian untuk menghayati beberapa perkara berikut sebagai panduan dan pedoman bersama:

Pertama: Bulan syawal menguji sejauh mana keberkesanan latihan Ramadan yang dilalui seorang muslim.

Kedua: Ukuran sejauh mana matlamat Ramadan berjaya dicapai adalah melalui cerminan amalan dan tingkah laku yang dipamerkan pada bulan syawal dan seterusnya.

Ketiga: Rebutlah peluang untuk mengekalkan momentum Ramadan dengan melakukan amalan seperti puasa sunat enam hari di bulan syawal, membaca Al-Quran, menghadiri majlis-majlis ilmu dan istiqamah beramal ibadah kepada Allah SWT khususnya solat subuh secara berjemaah.

Firman Allah SWT di dalam surah An Nahl ayat 91:Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji; dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah), sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai Penjamin kebaikan kamu; sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan.