June 14th, 2019

Khutbah Jumaat : “Mengekalkan Ketakwaan Di Musim Jamuan”

Petikan Khutbah Jumaat : 14 Jun 2019M / 10 Syawal 1440H JAIS

“Mengekalkan Ketakwaan Di Musim Jamuan”

Makanan dan minuman adalah salah satu keperluan terpenting dalam kehidupan manusia.

Kepentingan makanan dan minuman dapat dilihat apabila Imam Al-Ghazali di dalam Kitab jais.jpgUlumiddin menukilkan kata-kata dari generasi salafussoleh yang menyebutkan:“Sesungguhnya makan itu sebahagian daripada agama.”

Kenyataan ini memberi pengertian bahawa makanan dan minuman perlu dijadikan wasilah untuk mendapatkan kekuatan dalam menegakkan agama dengan beramal soleh, menuntut ilmu, mencari nafkah yang halal dan aktivitiaktiviti lain yang bermanfaat.

Kefahaman ini sangat bertepatan dengan firman Allah Taala dalam Surah Al-Mukminun ayat 51, yang telah mengaitkan amal soleh dengan perbuatan makan. “Makanlah dari benda-benda Yang baik lagi halal dan kerjakanlah amalamal soleh.”

Setelah berlalunya 1 Syawal, umat Islam di pelbagai tempat di negara ini akan mengadakan rumah terbuka dan jamuan makan bagi mengeratkan hubungan ukhuwwah sesama masyarakat setempat.

Namun disebalik kemeriahan menganjurkan jamuan, ia mesti diuruskan dengan bijak agar tidak menjadi penyumbang kepada pembaziran makanan.

Dalam hal ini, Allah SWT telah mengingatkan kita melalui firmanNya dalam surah Al-A`raf ayat 31: “Dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau, Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”

Sifat al-israf atau melampau ialah melakukan suatu perkara yang melebihi had munasabah.

Menurut kajian Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Solid Waste Corporation) pada tahun 2017, setiap hari, rakyat Menurut kajian Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Solid Waste Corporation) pada tahun 2017, setiap hari, rakyat Malaysia dilaporkan telah membuang tidak kurang 3 juta kilogram makanan yang masih boleh dimakan.

Ini bermakna, kira-kira 540 juta kilogram makanan yang tidak habis atau diusik dalam tempoh dua bulan tersebut, berakhir di tapak pelupusan

Mari kita renung kembali objektif syarak di sebalik pensyariatan ibadah puasa. Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 183: “Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”

Ubai bin Ka`ab Radhiallahu Anhu pernah ditanya oleh Umar bin AlKhattab r.a tentang apakah hakikat taqwa? Lalu Ubai bertanya kembali kepada Umar, “Bagaimanakah keadaan kamu ketika berjalan di suatu lorong yang penuh dengan onak dan duri?” Umar menjawab : “Saya akan berjalan dengan penuh hati-hati.” Lalu Ubai berkata : “Demikianlah hakikat taqwa…”

Takwa ialah sebuah proses membina sikap waspada ketika berfikir, berkata-kata dan melakukan sesuatu tindakan, lalu memilih yang halal serta meninggalkan yang haram, dan melaksanakan suruhan Tuhan serta meninggalkan tegahan-Nya.

Sikap acuh tak acuh atau tanggapan „makanan biar lebih dari tidak mencukupi‟ perlu difikirkan semula kerana realitinya, ia menjadi punca pembaziran dan kerosakan.

Ketika Allah SWT mengizinkan kita makan dan minum, Dia juga telah mengingatkan kita, makan jangan sampai menimbulkan kerosakan. Allah berfirman di dalam surah Al-Baqarah, ayat 60: “Makanlah dan minumlah kamu dari rezeki Allah itu, dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi.”

Mengakhiri khutbah ini, terdapat beberapa kesimpulan dan pengajaran yang boleh kita renungkan:

1. Umat Islam mestilah meyakini bahawa perbuatan pembaziran itu adalah dilarang oleh Allah SWT dan wajib kita jauhi.

2. Umat Islam perlu menjadikan makanan sebagai wasilah penguat diri untuk melakukan kebaikan, bukan penyebab kepada penyakit dan kemalasan.

3. Umat Islam hendaklah menginsafi diri ketika kita sedang menikmati makanan. Ini kerana masih terdapat saudara seislam lain yang kelaparan dan memerlukan makanan.

“Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu. Maka Sesungguhnya syurgalah tempat kediamannya.” (Surah al-Nazi’at : 40-41)

Khutbah Jumaat : Hembusan Maut

Petikan Khutbah Jumaat : 14 Jun 2019M/ 10 Syawal 1440H JAWI

Hembusan Maut

Antara nikmat yang besar yang Allah SWT kurniakan kepada kita adalah nikmat kesihatan. Selain berupa nikmat, ia juga adalah suatu ujian Allah kepada hamba-hambanya.
jawi_logo.jpg
Sebagai makhluk Allah SWT, kita dituntut untuk mensyukuri nikmat kesihatan dengan menjaga dan memeliharanya.
Penjagaan kesihatan yang paling penting adalah melalui pemakanan dan mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Firman Allah SWT menerusi surah al-Baqarah, ayat 60: Bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa memohon supaya diberi air untuk kaumnya, maka Kami berfirman: “Pukullah batu itu dengan tongkatmu”, (dia pun memukulnya), lalu terpancutlah air dari batu itu dua belas mata air; sesungguhnya tiap-tiap satu puak (di antara mereka ) telah mengetahui tempat minumnya masing-masing. (Dan Kami berfirman): “Makanlah dan minumlah kamu dari rezeki Allah itu, dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi.”

Ayat tersebut mengisahkan anugerah Allah SWT berupa minuman kepada umat Nabi Musa AS. Pemberian itu turut disusuli dengan perigatan supaya hamba-hambaNya tidak menyebarkan kerosakan dimuka bumi. Ini kerana, makanan dan minuman boleh menjadi punca kesihatan atau berubah menjadi faktor kesakitan seseorang.

Islam sangat menitikberatkan kesejahteraan kehidupan manusia iaitu demi mencapai kepentingan dalam kehidupan, menjamin kemaslahatan, menyekat kemudaratan dan menolak kerosakan.

Keseluruhan perkara ini terangkum dalam maqasid syariah atau tujuan pensyariatan iaitu; memelihara agama, nyawa, akal, harta dan keturunan.

Firman Allah SWT menerusi surah al-Maidah, ayat 4: Bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): “Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?” Bagi menjawabnya katakanlah: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik...”

Dalam bulan Ramadan, kita telah dilatih supaya mengawal pengambilan makanan melalui sunnah bersahur, menahan diri daripada makan dan minum pada siang harinya, memilih makanan dan minuman yang berkhasiat lagi halal ketika berbuka serta menyeimbangkan pengambilannya dengan amalan-amalan ibadah yang lainnya.

Demikian syariat Islam, ia menghendaki umatnya sentiasa dalam keadaan yang baik sama ada luaran atau dalaman. Bahkan seseorang mukmin yang sihat dan kuat lebih disukai oleh Allah SWT berbanding mukmin yang serba serbi sakit dan lemah.

Antara perbuatan buruk yang membawa mudarat ialah tabiat merokok. Ia sudah terbukti memberi kesan buruk kepada kesihatan diri seseorang

dengan mengakibatkan berbagai penyakit seperti barah otak, barah paru-paru, penyakit jantung dan lain-lain. Asap rokok juga mencemarkan udara sekeliling dan meninggalkan kesan mudarat kepada perokok dan orang awam disekelilingnya.

Selain itu, tabiat ini juga merupakan gejala pembaziran yang jelas dilarang oleh agama kerana perbelanjaan yang tidak mendatangkan sebarang faedah.

Apa yang membimbangkan, terdapat golongan perokok yang bersikap sambil lewa terhadap tabiat jelek ini sekali pun menyedari ia membawa kesan mudarat kepada diri sendiri dan dilarang oleh agama.

Mimbar kali ini mengajak seluruh umat Islam agar menjadi contoh dengan memberi kerjasama dan komitmen bagi merealisasikan persekitaran bebas asap rokok.

Dalam masa yang sama, mimbar juga menyeru kepada perokok agar berazam dan berusaha menghentikan tabiat merokok.

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

Pertama: Nikmat kesihatan tubuh badan adalah anugerah daripada Allah SWT dan wajib bagi kita memeliharanya.

Kedua: Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 memutuskan bahawa merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudharatan.

Ketiga: Umat Islam mestilah bebas daripada tabiat merokok bagi menjamin kesejahteraan hidup seluruh anggota masyarakat.

Firman Allah SWT dalam surah al-A’raf, ayat 157 : Terjemahan: “Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada perkara-perkara yang keji, dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk, dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (al-Quran), mereka itulah orang-orang
yang berjaya.”