July 19th, 2019

Khutbah Jumaat : Perjuangan Akidah Kesejahteraan Ummah

Petikan Khutbah Jumaat 19 Julai 2019M / 16 Zulkaedah 1440H JAIS

Perjuangan Akidah Kesejahteraan Ummah

Akidah Islam secara khusus memberi maksud keyakinan terhadap enam rukun iman yang terdiri daripada kepercayaan kepada Allah SWT, para malaikat, kitab-kitab, para rasul, hari kiamat serta qadak dan qadar.
jais.jpg
Kesemua kepercayaan ini perlu ditetapkan di dalam hati, dilafazkan dengan kata-kata dan dilaksanakan dengan amalan. Akidah mampu melahirkan keyakinan yang kuat serta teguh di dalam menghayati seluruh aspek kehidupan dan amal ibadat kepada Allah.

Asas akidah Islam ialah mentauhidkan Allah SWT dalam kepercayaan, ibadah dan akhlak. Manakala syariat atau fiqah diibaratkan sebagai dahan-dahan pokok serta akhlak diibaratkan sebagai hasil buah-buahannya.

Firman Allah SWT di dalam surah Ibrahim ayat 24-25: “Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran)”.

Akidah Ahli Sunnah Waljamaah yang dikembangkan oleh Imam Abu Hassan al-Asyhari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi adalah akidah yang diwarisi daripada generasi al-Salafus Soleh yang berasaskan al-Quran dan al-Sunnah.

Imam Abu Hassan al-Asy’ari telah berjaya meruntuhkan penguasaan pemikiran Muktazilah yang menggunakan akal semata-mata.

Oleh itu, Imam Abu Hassan al-Asy’ari dinobat sebagai mujaddid kurun ketiga selepas mujaddid kurun pertama iaitu Khalifah Umar Abdul Aziz dan mujaddid kurun kedua iaitu Imam asy-Syafie.

Ahli Sunnah Waljamaah merupakan aliran yang bersifat wasatiyyah iaitu pertengahan, sederhana, tidak melampau sama ada berlebihan atau berkurangan.

Ianya di pertengahan antara kelompok Qadariah yang mengatakan manusia mempunyai kuasa mutlak terhadap perbuatannya dengan kelompok Jabariah yang mengatakan manusia tidak mempunyai kuasa langsung dalam menentukan perbuatannya.

Ianya di pertengahan antara kelompok Mushabbihah serta Mujassimah yang menyerupakan sifat Allah dengan sifat-sifat makhluk dengan kelompok Mu’attilah yang menafikan sifat-sifat yang selayaknya bagi Allah SWT.

Hampir semuanya atau majoriti masyarakat Nusantara ini berakidah menurut Imam Abu Hassan alAsy’ari, bermazhab fiqah Imam asy-Syafie dan bertasawuf Imam al-Ghazali sesuai dengan praktik agama Islam terhadap tiga tiang asasnya iaitu Iman (akidah), Islam (fiqah) dan Ihsan (tasawuf).

Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Al-Darda’ Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Sekiranya ada tiga orang di suatu kota atau desa yang tidak didirikan solat (berjemaah) di kalangan mereka nescaya mereka akan dikalahkan oleh syaitan. Maka, berjemaahlah kamu kerana sesungguhnya serigala hanya makan mangsa yang terpisah.” (Riwayat Daud).

Hadis di atas selain memberi maksud keperluan solat berjemaah di sebuah penempatan ianya turut menjelaskan keperluan hidup secara berjemaah.

Perpaduan yang wujud dapat menyerlahkan kekuatan serta kestabilan sebuah umat. Bagi umat Islam, akidah merupakan asas kepada penyatuan dan kekuatan ummah.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di dalam Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan Imam-Imam Masjid Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah pada 8 Mac 2019 yang lalu mengungkapkan kebimbangan akan penularan ajaran sesat di negeri Selangor. Baginda bertitah mengingatkan: “Bagi mengatasi ancaman ini, Beta menitahkan supaya pengajian akidah berteraskan Ahli Sunnah Waljamaah perlu diajar dan dipertingkatkan di masjid agar fahaman Ahli Sunnah Waljamaah terus menjadi asas pegangan kepada umat Islam di negara ini”.

Mengakhiri khutbah pada kali ini, khatib menyeru dan mengajak seluruh umat Islam supaya menghayati beberapa pengajaran berikut untuk dijadikan sebagai pedoman hidup kita:

1. Umat Islam wajib berpegang teguh dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah bagi menjamin kesejahteraan dan kejayaan hidup di dunia dan di akhirat berteraskan akidah Islam.

2. Umat Islam mestilah bersatu padu berteraskan akidah Islamiah sebagai asas kekuatan serta kesejahteraan ummah.

3. Umat Islam hendaklah sentiasa berwaspada terhadap sebarang ajaran sesat, menyeleweng dan menyalahi Ahli Sunnah Waljamaah yang boleh membawa kerosakan dan perpecahan.

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya”. (al-Nisa’: 59).

Khutbah Jumaat : Kekal Waspada, Elak Bahaya

Petikan Khutbah Jumaat Sempena Hari Bomba Sedunia 19 Julai 2019M/ 16 Zulkaedah 1440H JAWI

Kekal Waspada, Elak Bahaya

Sering kali kita mendengar ungkapan ‘malang tidak berbau’ dalam peribahasa melayu. Ia memberi makna bahawa sesuatu kemalangan itu boleh berlaku secara tiba-tiba tanpa sebarang alamat atau petanda.

jawi_logo.jpg
Kehadiran bahaya, kemusnahan harta dan kehilangan nyawa adalah sesuatu yang merunsingkan setiap manusia. Tentunya kita semua tidak mahu apa jua keburukan menimpa diri dan ahli keluarga.

Namun demikian, realiti kehidupan menunjukkan bahaya dan bahagia, malang dan mujur, senang dan susah, kalah dan menang, semua itu datang silih berganti.

Ketika bahaya datang mengancam, manusia kerap menunding jari ke arah orang lain atau alam. Jarang dalam kalangan manusia yang menginsafi bahawa bahaya itu adalah disebabkan akibat kesalahan yang telah mereka lakukan.

Allah SWT telah berfirman menerusi surah al-Shura, ayat 30-31: “Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (daripada perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa), dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar daripada dosa-dosa kamu. Dan kamu tidak akan dapat melemahkan kuasa Allah (daripada menimpakan kamu dengan bala bencana, walau pun kamu melarikan diri di mana sahaja) di muka bumi (atau di langit); dan kamu juga tidak akan beroleh sesiapa pun yang lain dari Allah sebagai Pelindung atau Pemberi pertolongan.”

Al-Quran mengingatkan kita bahawa setiap bahaya yang datang mengancam adalah akibat usaha tangan manusia itu sendiri, dengan tujuan supaya manusia itu sedar akan kesalahannya.

Maka sewajibnya manusia yang diserang bahaya, merenungkan kesalahannya dan memeriksa diri sendiri, meneliti dosa dan kejahatan yang mungkin menimbulkan bahaya itu. Seterusnya dia bertaubat kepada Allah SWT serta mengatasi kesulitan tadi dengan penuh ketelitian, keberanian dan kesabaran.


Segala yang berlaku itu adalah ketentuan dan takdir daripada Allah SWT. Namun begitu, setiap yang berlaku itu ada sebab-musabab yang menjadi puncanya. Malah Allah SWT telah memberikan pilihan kepada manusia untuk berbuat tindakan bagi mendapatkan sesuatu kebaikan atau mengelak sesuatu keburukan.

Imam al-Tirmizi r.h telah meriwayatkan hadid daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata: “Seorang lelaki bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah aku (perlu) menambatnya (unta) dan bertawakkal, atau aku biarkannya (unta) dan bertawakkal?” Baginda menjawab: 'Tambatlah ia dan bertawakkallah.”

Usaha-usaha membantu dan menyelamatkan mangsa-mangsa yang mengalami musibah seperti kebakaran, kemalangan, lemas, banjir dan sebagainya adalah suatu tindakan yang terpuji. Kita harus berterima kasih dan menghargai sumbangan yang telah diberikan oleh pasukan-pasukan penyelamat khususnya pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Ketahuilah, dalam urusan kecemasan yang melibatkan kepentingan awam, Baginda SAW adalah contoh yang terbaik sepanjang zaman.

Dalam hal ini, Imam al-Bukhari r.h. telah meriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata: “Nabi SAW adalah manusia yang paling baik dan sangat berani. Pernah pada suatu malam penduduk Madinah digemparkan (dengan suatu bunyi). Lantas mereka keluar menuju ke arah bunyi tersebut. Mereka menemui Nabi SAW yang sedang menyampaikan khabar tanda kelegaan.

Ketika itu Baginda menunggang kuda yang dipinjam dari Abu Talhah dalam keadaan tanpa pelana dan pada tengkuk Baginda terdapat pedang. Baginda bersabda: “Jangan kamu bimbang, jangan kamu bimbang.” Kemudian Baginda bersabda lagi: “Kami dapati ia (kuda Abu Talhah) adalah laut.” Atau “Sesungguhnya ia (kencang) seperti laut.”

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

Pertama: Musibah yang menimpa manusia adalah ujian daripada Allah SWT kepada hamba-hambaNya agar kita bermuhasabah dan kembali kepadaNya.

Kedua: Kita hendaklah sentiasa dalam keadaan berwaspada bagi mengelakkan sebarang kemalangan dan bahaya menimpa diri dan orang lain.

Ketiga: Kita hendaklah turut sama membantu pihak berwajib dalam memudahkan mereka melaksanakan tugas membantu dan menyelamat mangsa-mangsa yang ditimpa musibah.

Frman Allah SWT dalam surah Yunus, ayat 12: “Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah ia ditimpa Kami (dalam segala keadaan), sama ada ia sedang berbaring atau duduk atau pun berdiri, dan manakala Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya, ia terus membawa cara lamanya seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami memohon hapuskan sebarang kesusahan yang menimpanya (sebagaimana ia memandang eloknya bawaan itu) demikianlah diperelokkan pada pandangan orang-orang yang melampaui apa yang mereka lakukan.”

Khutbah Khas : Gerhana Bulan Bukti Kekuasaan Ilahi

Petikan Khutbah Khas : (17 Julai 2019M/ 14 Zulkaedah 1440H) JAIS

Gerhana Bulan Bukti Kekuasaan Ilahi

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah malam, siang, matahari dan bulan. Janganlah sembah matahari mahu pun bulan tetapi sembahlah Allah yang menciptakannya, jika kamu hendak sembah”. (surah Fussilat ayat 37)
jakim.jpg
Hari ini kita diperlihatkan dengan satu tanda kekuasaan Allah Yang Maha Agung iaitu kejadian gerhana bulan. Gerhana bulan terjadi apabila bulan melalui sebahagian daripada bayang-bayang bumi. Kejadian ini hanya boleh berlaku ketika bulan purnama, dan apabila matahari, bumi dan bulan terjajar pada satu barisan yang sama, atau sangat-sangat hampir.

Begitulah kehebatan kekuasaan Allah yang mampu mengubah segalanya di langit dan bumi pada bila-bila masa yang tidak ada satu kuasa lain yang dapat menyekat Qada’ dan Qadar.

Allah SWT berfirman dalam surah Fussilat ayat 37: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah malam, siang, matahari dan bulan. Janganlah sembah matahari mahu pun bulan tetapi sembahlah Allah yang menciptakannya, jika kamu hendak sembah”.

Fenomena ini telah berlaku sejak alam ini diciptakan sehingga ke hari ini. Ramai pengkaji dari zaman lampau telah mula mengkaji fenomena ini seperti Abu Raihan al-Biruni yang telah membuat cerapan di Ghazna pada tahun 1019M. Abu Hasan Ali bin Abd Rahman bin Yunus pula telah menyiapkan sebuah az-Zij al-Hakimi Al-Kabir, iaitu satu jadual gerhana dan ijtimak planet-planet yang disusun khas untuk  khalifah al-Hakim berdasarkan 100 cerapan.


Kejadian gerhana ini juga dicatit oleh tokoh-tokoh Islam seperti Imam Tabari dalam kitab Tarikhnya, ‘Imaduddiin al-Asfahani al-Khatib di zaman Salahuddin al-Ayyubi dan tokoh-tokoh lain.


Islam menganjurkan umatnya untuk melaksanakan solat sunat Gerhana ketika berlakunya gerhana bulan atau matahari. Berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w daripada Aisyah R.Ha: “Bahawasanya matahari dan bulan itu dua tanda daripada segala tanda-tanda yang menunjukkan keesaan dan kekuasaan Allah Taala, tiada gerhana keduanya kerana mati seseorang atau hidupnya, maka apabila kamu lihat akan demikian itu, maka hendaklah kamu sembahyang”, dan baginda bersabda: “maka sembahyanglah kamu hingga disingkap kembali oleh Allah kepada kamu semua (bulan dan matahari)”


Peredaran bulan dan matahari yang teratur setiap hari secara berganti-ganti, matahari beredar di waktu siang, manakala bulan beredar di waktu malam adalah atas kudrat dan iradat Allah SWT.


Gerhana bulan merupakan satu petanda kekuasaan dan keagungan Allah SWT untuk seluruh manusia agar patuh dan setia di atas perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.


Gerhana bulan berlaku sebagai satu peringatan daripada Allah SWT bahawa di sana akan ada satu hari pembalasan di atas segala amal perbuatan yang telah dilakukan oleh hamba-hamba-Nya.


Kejadian ini akan berterusan sehingga matahari dan bulan dihimpunkan dan ketika itu berlakunya kiamat.


Firman Allah SWT dalam surah al-Qiyamah ayat 7-9: “Maka apabila mata terbelalak (ketakutan), dan apabila bulan telah hilang cahayanya dan matahari dan bulan dikumpulkan”.


Mimbar mengharapkan kejadian gerhana bulan ini akan menimbulkan keinsafan, kesedaran, menambah serta menguatkan lagi keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT.


Sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Qasas ayat 71-73: “Katakanlah: Bagaimanakah pandanganmu jika Allah menjadikan malam kepadamu tetap selama-lamanya hingga ke hari Kiamat; siapakah selain Allah yang dapat membawakan cahaya yang menerangi kepada kamu? Maka mengapa kamu tidak mahu mendengar? Katakanlah: Apakah pendapatmu jika Allah menjadikan siang kepadamu tetap selama-lamanya hingga ke hari Kiamat; siapakah tuhan selain dari Allah, yang dapat membawakan malam kepada kamu untuk kamu berehat padanya? Maka mengapa kamu tidak mahu melihat? Dan di antara rahmat-Nya, Ia menjadikan untukmu malam dan siang, supaya kamu berehat padanya dan supaya kamu berusaha mencari rezeki dari limpah kurnia-Nya, dan supaya kamu bersyukur.”


Berdasarkan kepada maksud ayat yang telah dibacakan, mimbar menggariskan beberapa nasihat untuk dijadikan pedoman bersama:

Pertama : Berfikir dan bertafakkur setiap kejadian fenomena alam;

Kedua : Memperingati tentang nikmat syurga dan azab neraka;

Ketiga : Menjauhkan diri daripada lalai dan lupa kepada Pencipta iaitu Allah SWT;

Keempat : Bersyukur, Menghitung, mempertingkatkan dan memperkemaskan amal kebajikan sepanjang masa; dan

Kelima : Bersegera memohon taubat kepada Allah SWT di atas kealpaan dan keingkaran mentaati perintah-Nya.