September 19th, 2019

Khutbah Jumaat : “Hargai Perjuangan Pahlawan Negara”

Petikan Khutbah Jumaat 20 September 2019M / 20 Muharram 1440H: JAIS

“Hargai Perjuangan Pahlawan Negara”

Hari Pahlawan merupakan hari bagi mengingati jasa dan pengorbanan para pahlawan yang telah banyak berkorban kepada negara dan tanahair. Ini adalah tanda penghargaan seluruh rakyat atas perjuangan para pahlawan kita, kerana memelihara keamanan dan kesejahteraan negara.
jais.jpg
Pahlawan yang ikhlas dalam perjuangannya terutama dalam menegakkan Agama islam, disisi Allah mereka hidup dan diberi ganjaran yang berterusan.

“Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.”

Hadis yang diriwayatkan oleh Sahl Ibn Said al-Sa’idi Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Berjuang di jalan Allah satu hari, lebih baik daripada dunia dan apa yang ada di atasnya”. (Riwayat Al-Bukhari)

Nikmat keamanan yang dinikmati pada hari ini tidak akan dapat diraih dengan mudah tanpa pengorbanan dan perjuangan para pahlawan.

Bersiap siaga mempertahankan nikmat keamanan daripada diganggu gugat oleh anasir yang boleh merosakkannya. Sikap mengadu domba, menghina para pejuang agama dan pahlawan serta membawa anasir songsang ke dalam negara wajiblah ditolak kerana ia menjadi punca kepada kerosakan dalam negara.

Nama-nama agung seperti Sayidina Hamzah, Mus’ab bin Umair, Abu Ubaidah bin Al-Jarrah, Khalid bin Al-Walid, Saad bin Abi Waqqas, Jaafar bin Abi Talib dan ramai lagi. Mereka ini adalah pejuang dan pahlawan tulen dalam mempertahankan kesucian Islam dan sanggup berkorban demi Agama Islam.

Begitu juga para pahlawan kita yang terdiri daripada para ulama yang masyhur seperti Abd Rahman Limbong, Tok Janggut, Mat Kilau bahkan ramai lagi yang telah terkorban menggadaikan nyawa dan diri mereka demi perjuangan Islam. Bahkan ramai juga para pejuang negara terkorban yang nama mereka tidak dikenali. Moga-moga roh mereka diganjari Allah dengan pahala yang berterusan.

Firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 111 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.”

Perjuangan pahlawan dalam mempertahan keamanan adalah sangat suci. Oleh itu semangat perjuangan generasi lalu mestilah ditiup ke dalam setiap jiwa generasi hari ini.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 218:“Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah sama-sama kita menghayati dan mengambil pengajaran daripada apa yang telah disampaikan. Antaranya ialah:

1. Umat Islam wajiblah yakin bahawa mempertahankan agama dan negara adalah suatu kewajipan menurut syarak.

2. Umat Islam hendaklah menghargai jasa dan pengorbanan pahlawan lampau melalui usaha dengan menjadi warga negara yang baik, berintegriti, amanah dan bertanggungjawab demi keamanan dan keharmonian.

3. Umat islam hendaklah sentiasa mendoakan agar perjuangan para pahlawan lampau diterima oleh Allah SWT dengan ganjaran yang berpanjangan.

”Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.” (al-aAhzab : 23)

Khutbah Jumaat Pahlawan: Pengorbanan Yang Tiada Galang Ganti

Petikan Khutbah Jumaat 20 September 2019M / 20 Muharam 1441H JAKIM

Sempena Hari Pahlawan

Pahlawan: Pengorbanan Yang Tiada Galang Ganti

jakim.jpgDengan kemajuan dan kemakmuran negara yang dikecapi hari ini, ramai yang tidak sedar akan pengorbanan dan perjuangan golongan perajurit yang tiada galang gantinya demi memastikan negara bebas daripada penjajah dan ancaman musuh.

Sama ada mereka ini masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia, sekaligus meninggalkan nama, jasa dan pengorbanan mereka untuk dikenang dalam lipatan sejarah Negara.

Justeru, setiap kali tanggal 31 Julai, kita akan menyambut Hari Pahlawan bagi memperingati jasa dan pengorbanan pahlawan negara yang terdiri daripada warga Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan lainlain agensi keselamatan serta individu yang secara bersama mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara dari ancaman musuh. Ia adalah suatu tugas yang sungguh mulia dan merupakan tuntutan syariah dalam menegakkan agama Allah dimuka bumi ini.

Firman Allah SWT di dalam surah Ali-Imran ayat 146 :“Dan berapa banyak dari Nabi- ۅ ۉ ۉ ې nabi (dahulu) telah berperang ۅ ۋ dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar.”

Sebagai contoh para pahlawan telah menunjukkan kehebatan mereka mempertahankan negara sewaktu menentang pencerobohan tentera Jepun sewaktu perang dunia ke-2 dan sewaktu zaman darurat antara tahun 1948 sehingga 1960. Bukan itu sahaja, para pahlawan kita telah diminta untuk menjadi tentera pengaman di pelbagai negara seperti Bosnia, Somalia, Iraq dan lain-lain.

Dalam sejarah Islam terdapat ramai pahlawan Islam yang bersemangat waja, kuat dan terbilang. Di antaranya termasuklah Saidina Hamzah, Khalid bin al-Walid, Thariq bin Ziyad, Salahuddin al-Ayubi dan lain-lain lagi.

Manakala dalam sejarah tanah air kita pula terdapatnya tokoh-tokoh seperti Mat kilau, Datuk Bahaman, Mat Salleh, Datuk Onn Jaafar dan sebagainya yang diangkat sebagai pahlawan kerana menentang penjajahan barat ke atas ibu pertiwi tercinta.

Berjihad dan berkorban jiwa untuk mempertahankan negara adalah sifat mulia yang disanjung tinggi dalam Islam. Kerana itulah, Islam telah meletakkan kedudukan pejuang-pejuang yang berjuang semata-mata kerana Allah serta tidak didasari sifat kebendaan dan keuntungan dunia tetapi berjuang hanya untuk mendapatkan ganjaran dan keredhaan Allah SWT mereka akan diberi ganjaran dan kedudukan yang tinggi disisi Allah SWT sebagaimana firman Allah dalam surah Al- Baqarah 193 :“Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah ugama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim.”

Islam mengiktiraf para pahlawan tanah air ini sebagai mujahid agama, bangsa dan negara.

Kalau kita lihat perjuangan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat r.a. dengan penuh semangat dan kesungguhan. Mereka telah menempuh segala cabaran dan rintangan sehingga kuasa-kuasa besar pada masa itu pun tunduk dibawah kekuasaan Islam.

Kejayaan mereka ini adalah berdasarkan tiga faktor utama.

Pertama, segala kejayaan dan kecemerlangan mereka adalah hasil daripada pertolongan Allah SWT.

Kedua, sifat berdisiplin, amanah, jujur dan ikhlas adalah di antara sifat-sifat utama yang mendasari kejayaan mereka di dalam setiap perjuangan.

Dan yang ketiga, sikap sentiasa mematuhi perintah Allah dalam setiap keadaan samaada ketika senang atau susah

Di samping menyediakan kekuatan dalaman atau kerohanian, kita juga diperintahkan mempersiapkan kekuatan dari sudut luaran atau fizikal bagi menghadapi sebarang ancaman musuh sebagaimana firman Allah SWT di dalam suruh al-Anfal ayat 60 :“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.”

Tanpa kekuatan masakan pejuang dan pahlawan silam mampu meraih kejayaan dan kemenangan. Sebagaimana yang disebutkan dalam Hadis Qudsi berikut:“Mana-mana hamba-Ku yang menunaikan jihad pada jalan-Ku kerana mengharap dan mencari keredhaan-Ku, Aku jamin untuk mengembalikannya (jika ia ku kembalikan) dengan segala apa yang didapatinya berupa pahala atau harta rampasan. Dan jika ia Ku matikan, ia akan Ku ampuni, Ku beri rahmah dan akan Ku masukkan ke dalam Syurga.”

Negara kita sedang menghadapi masalah jerebu. Kejadian jerebu yang berlaku ini telah menjejaskan aktiviti dan kehidupan masyarakat. Di beberapa kawasan, sesi persekolahan terpaksa dibatalkan malah operasi beberapa sektor pekerjaan turut terjejas. Keadaan jerebu ini juga bukan sahaja memberi kesan terhadap kesihatan, bahkan mendatangkan pelbagai penyakit-penyakit kronik seperti sakit mata, jantung, asma, radang paruparu dan batuk.

Justeru, untuk mengelakkan keadaan ini menjadi semakin buruk, mimbar menyarankan agar semua anggota masyarakat mengikuti saranan-saranan yang dikeluarkan oleh pihak berwajib antaranya ialah mengurangkan aktiviti fizikal di luar kediaman, menggunakan penutup hidung dan mulut ketika berada di luar, kurangkan sumber pencemaran dalaman seperti asap rokok, menggunakan penghawa dingin ketika memandu dan banyakkan minum air kosong.

Terima kasih juga diberikan kepada Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim yang menyampaikan maklumat berkaitan keadaan jerebu ini kepada masyarakat dan berusaha melakukan operasi pembenihan awan sebagai ikhtiar di kawasan-kawasan yang terjejas teruk. Semoga dengan usaha dan tawakal setiap pihak dan anggota masyarakat untuk memulihkan keadaan jerebu ini akan diberkati dan dirahmati Allah SWT.