September 27th, 2019

Khutbah Jumaat : Peliharalah Alam Anugerah Allah

Petikan Khutbah Jumaat : 27 September 2019M / 27 Muharram 1440H JAIS

Peliharalah Alam Anugerah Allah

Alam adalah anugerah Allah SWT yang sangat bermakna dalam kehidupan manusia. Allah telah menciptakan alam ini dengan sempurna untuk manfaat manusia dan semua makhluk atas muka bumi ini.

Bumi yang luas dijadikan tempat tinggal manusia dan haiwan untuk hidup, gunung-ganang dijadikan sebagai pasak bumi umpama tiang, manakala tumbuh-tumbuhan sebagai sumber rezeki dan makanan kepada kehidupan, hujan sebagai sumber rezeki, manakala hidupan di lautan dijadikan rezeki makanan untuk kemudahan hidup manusia. jais.jpg

Hal ini sepertimana yang dijelaskan Allah melalui firman-Nya dalam Surah Ibrahim, ayat 32 dan 33 yang bermaksud: “Allah jugalah yang menciptakan langit dan bumi dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kamu dan Dia yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintahNya, juga yang memudahkan sungai-sungai untuk kamu (mengambil manfaat darinya). Dan Dia juga yang menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar, untuk kepentingan kemudahan kamu dan yang menjadikan malam dan siang bagi faedah hidup kamu”

Allah SWT berfirman dalam surah Hud ayat 61: “Dan kepada kaum Thamud, Kami utuskan saudara mereka: Nabi soleh. ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya. Dia lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. oleh itu mintalah ampun kepada Allah dari perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepada-Nya dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan hamba-Nya.”

Kita menyaksikan pelbagai kesan buruk yang berlaku akibat perilaku dan tindak-tanduk mereka yang tidak bertanggungjawab terhadap alam seperti peningkatan suhu bumi, pencemaran air dan udara, banjir besar, tanah runtuh, kebakaran hutan, kemusnahan tumbuh-tumbuhan serta perubahan cuaca yang tidak menentu, pastinya menjejaskan kehidupan manusia.

Sebenarnya, pelbagai bencana dan kerosakan alam sekitar yang berlaku di seluruh dunia adalah disebabkan oleh kerakusan dan kecuaian manusia itu sendiri.

Inilah yang diperingatkan oleh Allah SWT dalam surah alRum ayat 41 yang bermaksud: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

Akibat daripada tangan-tangan manusia yang tidak bertanggungjawab melakukan pembakaran hutan telah menyebabkan udara yang dahulunya bersih telah diselaputi dengan kekotoran dan ini boleh mengakibatkan berbagai penyakit.

Kesannya sekolah-sekolah terpaksa ditutup akibat IPU sangat tidak sihat disesetengah kawasan. Ribuan anak-anak tidak dapat bersekolah kerana diarah tutup dan amat malang sekali lebih ramai yang terpaksa berdepan dengan kesukaran terutama yang menghidapi penyakit.

Pemeliharaaan alam sekitar dengan baik adalah antara tujuan utama dalam konteks syariah. Ini termasuklah memelihara agama, akal, nyawa, keturunan dan harta.

Tanggungjawab ubudiyyah menyedarkan manusia supaya tidak bertindak sewenangwenangnya terhadap alam sekitar sebaliknya menuruti peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah.

Firman Allah dalam surah al-Nahl ayat 15 :“Dan ia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya ia tidak menghayun-hayunkan kamu; dan ia mengadakan sungai-sungai serta jalan-jalan lalu lalang, supaya kamu dapat sampai ke matlamat yang kamu tuju.”

Akibat kejahilan daripada memelihara kebersihan persekitaran bukan sahaja akan mengundang kerosakan kepada alam malah kepada kehidupan manusia dan betapa penyakit juga akan menyerang manusia.

Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Dunia ini hijau dan cantik, dan Tuhan telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan.’ (Riwayat Muslim).

Mengakhiri khutbah pada hari ini ada beberapa tausiah penting yang perlu diberi perhatian oleh kita semua sebagai iktibar demi menjaga alam sekitar untuk kebaikan bersama:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa nikmat kehidupan dan ruang kehidupan di dunia ini adalah anugerah Allah yang mesti dijaga dan dipelihara.

2. Umat Islam hendaklah mengelakkan sebarang perbuatan yang merosakkan alam sekitar.

3. Umat Islam hendaklah berperanan secara kolektif membanteras sebarang aktiviti pencemaran alam.

4. Semua agensi hendaklah bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang atau peraturan-peraturan sedia ada bagi menjamin kelestarian alam sekitar.

“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah); dan janganlah Engkau melakukan kerosakan di muka bumi; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.” (al-Qasas : 77)

Khutbah Jumaat : Sebarkan Rahmah, Unggulkan Ummah

Petikan Khutbah Jumaat  27 September 2019M / 27 Muharam 1441H JAWI

Sempena Karnival Rahmah 2019

Sebarkan Rahmah, Unggulkan Ummah

Secara fitrahnya, dalam mengharungi kehidupan di dunia ini, manusia sangat memerlukan petunjuk daripada Pencipta mereka. Maka dengan rahmatNya, Allah SWT telah mengutus para rasul di sepanjang zaman bagi memenuhi tuntutan itu.
jawi_logo.jpg
Sebagai rasul terakhir yang mempunyai akhlak terpuji, Rasulullah SAW memainkan peranan yang sangat penting dalam menyampaikan risalah Islam kepada umat manusia. Ini kerana ajaran yang baik tidak akan diterima jika ia datang daripada peribadi yang buruk.

Allah SWT berfirman menerusi surah Ali ‘Imran, ayat 159: Bermaksud: “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar dan keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu, maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu, kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepadaNya.”

Menurut al-Hasan al-Basri Rahimahullah, ayat ini menggambarkan tentang akhlak Nabi Muhammad SAW yang tinggi dan luhur sebagai utusan Allah SWT. Demikianlah bentuk contoh yang umat Islam perlu ikuti daripada Nabi mereka, iaitu dengan menzahirkan peribadi yang mulia, kata-kata dan tindakan yang sopan santun, seterusnya menjadikan setiap muslim itu sebagai ejen dan duta rahmah Allah SWT kepada sekalian alam.

Rahmah itu hakikatnya bermula dari hati yang murni dan dizahirkan melalui perbuatan. Cerminan peribadi seseorang muslim yang paling nyata adalah melalui percakapan dan tutur bicaranya.

Justeru, Nabi SAW sangat mengambil berat tentang rahmah dalam berbicara untuk menyebarkan keindahan Islam. Dalam hal ini, Imam Muslim r.h telah meriwayatkan daripada Abu Talhah RA, beliau berkata: “Pernah kami duduk berbual-bual di suatu perkarangan, lalu datang Rasulullah SAW berdiri kepada kami, kemudian bersabda: Mengapa kamu melepak di jalanan? Jauhilah perbuatan melepak di jalanan. Kami berkata: Kami hanya duduk dengan tidak menyakiti (orang lain), kami duduk dengan saling memperingat dan berbual-bual. Baginda bersabda lagi: Jika begitu, maka tunaikanlah hak jalanan, iaitu; tundukkan pandangan, jawablah salam, dan berbicaralah yang baik-baik. ”

Media elektronik dan alam maya menjadi medium interaksi masyarakat yang lebih utama berbanding pertemuan secara bersemuka di tempat-tempat awam.

Sebagai seorang muslim, kita bertanggungjawab berfikir dan memperhatikan kalimah-kalimah yang akan digunakan dalam perhubungan seharian, sama ada sesama muslim atau dengan golongan bukan Islam, supaya dengan rahmat Allah, kita semua mendekat kepada petunjukNya

Umat Islam dituntut untuk berlaku adil dan saksama dalam menunaikan hak kepada semua pihak supaya tidak berlaku penindasan dan kezaliman sekali pun sedikit.

Ffirman Allah SWT dalam surah al-Maidah, ayat 8: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

Usaha menegakkan keadilan adalah dituntut kepada semua lapisan masyarkat, ia tidak terhad hanya kepada pemimpin.

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

Pertama: Berakhlak mulia adalah tuntutan Islam dan merupakan salah satu nilai rahmat daripada Allah SWT.

Kedua: Umat Islam bertanggungjawab menjadi duta dan ejen dalam menyebarkan rahmah bukan sahaja kepada sesama manusia bahkan kepada seluruh makhluk di sekeliling mereka.

Ketiga: Umat Islam dituntut untuk berlaku adil dan menunaikan hak supaya tidak berlaku kezaliman dan penindasan.

Firman Allah SWT dalam surah al-Anbiya’, ayat 107 hingga 109: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. Katakanlah: “Sesungguhnya yang diwahyukan kepadaku (mengenai ketuhanan ialah) bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang bersifat Esa, maka adakah kamu mahu menurut apa yang diwahyukan kepadaku?” Sekiranya mereka berpaling ingkar maka katakanlah: “Aku telah memberitahu kepada kamu (apa yang diwahyukan kepadaku) dengan keterangan yang jelas untuk kita bersama, dan aku tidak mengetahui sama ada (balasan buruk) yang dijanjikan kerana keingkaran kamu itu, sudah dekat atau masih jauh.”