October 18th, 2019

Khutbah Jumaat: Cegah Kemungkaran Raih Keberkatan

Petikan Khutbah Jumaat 18 Oktober 2019M / 19 Safar 1440H: JAIS

“Cegah Kemungkaran Raih Keberkatan”

Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 78-79  yang bermaksud: “Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa Ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh.jais.jpg

Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan.”

Menurut Tafsir al-Maraghi, Allah SWT melaknat kaum Bani Israil yang terus menerus mengerjakan perbuatan dosa dan mengingkari agama


Ini kerana, sudah menjadi tabiat mereka tidak mahu mencegah akan perbuatan mungkar, meskipun ia berbahaya dan sangat keji


Sedarlah bahawa tanggungjawab membendung kemungkaran ini adalah merupakan tanggungjawab kita semua.

Hadis darpada Abu Said al-Khudri Radhiallahu Anhu bahawa Nabi SAW bersabda:“Sesiapa dalam kalangan kamu yang melihat suatu kemungkaran, maka dia hendaklah mengubahnya dengan tangannya. Sekiranya dia tidak mampu, maka dengan lidahnya, sekiranya dia tidak mampu juga, maka dengan hatinya. Perkara yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim).


Statistik Aduan Mengikut Kesalahan bagi tahun 2018 yang direkodkan oleh Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menunjukkan bahawa kesalahan khalwat adalah kesalahan jenayah syariah paling tinggi dengan jumlah aduan sebanyak 873 diikuti dengan kesalahan persetubuhan luar nikah sebanyak 65 aduan, kesalahan tidak menghormati Ramadan sebanyak 60 aduan dan kesalahan berjudi sebanyak 49 aduan.


Statistik Tangkapan Mengikut Kesalahan bagi tahun 2018 pula menunjukkan kesalahan khalwat sekali lagi tersenarai pada kedudukan yang tertinggi dengan jumlah sebanyak 940 tangkapan diikuti dengan kesalahan berjudi sebanyak 80 tangkapan, kesalahan tidak menghormati Ramadan sebanyak 48 tangkapan dan kesalahan persetubuhan luar nikah sebanyak 37 tangkapan.


Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) selaku pihak berwajib di negeri ini sentiasa komited dan proaktif membanteras perlakuan-perlakuan mungkar yang diadukan oleh masyarakat di luar sana.


Peranan kita sebagai anggota masyarakat hendaklah memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa, memberikan maklumat yang tepat, mengadakan muafakat sesama jiran tetangga bagi membasmi kemungkaran di kejiranan masing-masing, menghidupkan budaya saling menasihati bahkan mengajak kepada kebaikan adalah suatu yang amat dituntut.


Kemungkaran yang berlaku dalam masyarakat adalah disebabkan kekurangan penerapan nilai-nilai iman dan kelemahan dalam pendidikan terutamanya pembangunan sahsiah.


Peribahasa Melayu mengatakan, “Bapa kencing berdiri, anak kencing berlari"


Firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 71 yang perlu samasama kita berikan perhatian:“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”


Buatlah aduan melalui Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan JAIS melalui talian HOTLINE 1800-88-2424 yang dibuka 24 jam sehari dan 365 hari setahun.


Mengakhiri khutbah ini,


1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa tugas menyeru kepada makruf dan mencegah kemungkaran adalah suatu kewajipan.


2. Umat Islam yang menolak apa jua unsur-unsur kemungkaran akan memperolehi rahmat dan meraih keberkatan daripada Allah SWT.


3. Umat Islam yang terus menerus membiarkan kemungkaran berleluasa akan mendapat laknat dan celaan daripada Allah SWT.


“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar. Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu menjadi bersih dari dosanya selamalamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan (ingatlah Allah Maha Mendengar) lagi Maha mengetahui.” (al-Nur : 21).

Khutbah Jumaat Membina Masyarakat Bermaruah

Petikan Khutbah Jumaat 18 Oktober 2019M/ 19 Safar 1441H JAWI

Membina Masyarakat Bermaruah

Sejarah perlakuan jenayah rasuah bermula sejak awal kehidupan manusia bermasyarakat dan bertamadun. Jenayah ini sentiasa berkembang selari dengan kemajuan dan kehidupan masyarakat.

jawi_logo.jpgTidak ada negara yang boleh mendakwa bebas daripada rasuah walaupun bilangan kes yang sedikit. Sejarah juga turut membuktikan jatuhnya kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka adalah disebabkan jenayah rasuah yang berleluasa pada ketika itu.

Rasuah sememangnya haram dalam Islam. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 188: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orangorang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

Rasulullah SAW turut memberi peringatan berkaitan jenayah rasuah ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi RH daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda : "Rasulullah s.a.w melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam penetapan keputusan.”

Rasuah terjadi dengan dua perkara.

Pertama, pemberian untuk sogokan dalam bentuk nyata atau berselindung; kedua, tujuan pemberi dan penerima rasuah.

Imam Malik Rahimahullah di dalam kitab al-Muwatta’ telah menceritakan kisah ketika Abdullah bin Rawahah RA diutuskan ke Khaibar untuk menilai hasil kurma di daerah itu. Rasulullah SAW memutuskan supaya hasil kurma itu dibahagi kepada dua; separuh untuk kaum Yahudi sendiri dan yang separuh lagi untuk kaum muslimin. Ketika Abdullah bin Rawahah RA sedang menjalankan tugasnya, orang-orang Yahudi Khaibar datang membawa pelbagai perhiasan dan berkata kepadanya : “Perhiasan ini untuk anda, ringankanlah kami dan berilah kepada kami lebih dari separuh."

Abdullah bin Rawahah RA menjawab dengan tegas:"Wahai kaum Yahudi! Demi Allah, kalian memang makhluk Allah yang paling aku benci. Apa yang kalian lakukan ini justeru membuatkan diriku lebih membenci kalian. Rasuah yang kalian tawarkan itu adalah barang haram, dan kami kaum Muslimin tidak memakannya!" Mendengar jawapan tersebut Yahudi itu berkata, “Kerana sikap inilah langit dan bumi masih kekal terpelihara.”

Sebab berlakunya jenayah rasuah ialah kerana hidup bertuhankan nafsu, tidak takutkan azab Allah SWT dan hilangnya sifat Ihsan dalam diri.

Sesungguhnya sifat Ihsan sangat penting dalam membentuk peribadi muslim sebenar sehinggakan ia disebut oleh Rasulullah SAW di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari RH daripada Abu Hurairah RA, sabda Baginda SAW : “Sesungguhnya kamu menyembah Allah seolah- olah kamu melihat-Nya, tetapi jika kamu tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihat kamu.”

Sifat Ihsan ini merupakan teras dalam membina sebuah masyarakat yang bermaruah, kerana ianya akan menimbulkan rasa takut kepada Allah SWT dengan merasa setiap perbuatannya diawasi oleh-Nya, samada ketika berseorangan atau bersama orang lain. Malah dia juga akan merasa takut untuk melakukan perbuatan keji dan tercela seperti melakukan kerosakan, penipuan, rasuah, ponteng kerja, dan perbuatan negatif yang lain.

Ingatlah amaran Allah SWT di dalam Surah al-Anfal ayat 27 :“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui.”

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita renungi beberapa kesimpulan, antaranya :

Pertama : Masyarakat bermaruah adalah masyarakat yang berintegriti, berakhlak mulia, beramanah dan bencikan rasuah.

Kedua : Tanamkan dalam jiwa sifat ihsan sebagai pendorong dalam melakukan kebaikan dan menjauhi kemungkaran.

Ketiga : Jadilah masyarakat prihatin yang menyokong usaha-usaha pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam membanteras jenayah rasuah.

Firman Allah SWT di dalam surah at-Taubah ayat 105: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.”