December 6th, 2019

Khutbah Jumaat: Raja Disayangi, Rakyat Sejahtera

Petikan Khutbah Jumaat 06 Disember 2019M / 09 Rabiulakhir 1441H: JAIS

Raja Disayangi, Rakyat Sejahtera

Keteguhan struktur pentadbiran negara yang bertunjangkan kepada sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen telah menjamin suasana negara yang aman, stabil dan harmoni.

jais.jpgInstitusi Raja memainkan peranan penting dalam mengembangkan dan memelihara Islam.

Malah dengan mengamalkan ajaran Islam, hubungan erat antara raja dan rakyat bertambah baik serta sayangnya rakyat kepada raja bertambah kuat kerana Islam memerintahkan seseorang pemimpin itu hendaklah berlaku adil dan mengajar umatnya supaya mentaati Allah, Rasul dan pemimpin.

Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa ayat 59:“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”

Manakala dalam Hadis pula, Abdullah bin Umar Radhiallahu Anhuma meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:“Dengar dan taat adalah menjadi kewajipan seorang muslim samada ia suka atau benci sesuatu suruhan itu selagi mana tidak disuruh kepada maksiat, maka jika disuruh untuk melakukan maksiat, maka tiada lagi untuk dengar dan taat suruhan itu.” (Riwayat al-Bukhari).

Tarikh 11 Disember 2019 bersamaan 14 Rabiulakhir 1441H yang akan datang, kita akan menyambut ulang tahun keputeraan DYMM Sultan Selangor ke-74.

Bersama-samalah kita mendoakan semoga DYMM Tuanku sentiasa mendapat hidayah dan inayah Allah SWT untuk meneruskan pemerintahan baginda dengan taqwa dan adil di negeri yang aman dan maju ini.

Kita juga berdoa semoga Duli Yang Maha Mulia Sultan sentiasa istiqamah dalam perkembangan semasa khususnya dalam meningkatkan syiar Islam dalam negeri ini.

kita juga hendaklah sentiasa menyokong segala usaha Tuanku untuk menyekat sebarang penyebaran ajaran sesat seperti Syiah, Hizbut Tahrir, Millah Abraham dan lain-lain lagi. Untuk menghadapi cabaran ini, umat Islam di negeri ini mestilah berpegang teguh kepada ajaran dan amalan Ahlus Sunnah Wal Jamaah

Sesungguhnya Tuanku telah berkenan menjadikan Negeri Selangor penanda aras kepada kemunculan rantau ini sebagai pemimpin peradaban dunia Islam.

Khazanah negara yang dianugerahkan oleh Allah SWT pasti akan pupus sekiranya para pemimpin bergelumang dengan amalan rasuah, salah guna kuasa dan tamak haloba.

DYMM Sultan Selangor mengajak seluruh rakyat mengambil iktibar daripada sejarah yang telah berlaku di mana kuasa-kuasa besar dahulu runtuh dan hancur akibat budaya rasuah, fitnah-memfitnah yang berleluasa dan gaya kehidupan yang bermewah-mewah.

Firman Allah SWT dalam surah al-Israk ayat 16 dan 17:“Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu Kami menghancurkannya sehancur-hancurnya. Dan berapa banyak umat-umat yang Kami telah binasakan sesudah zaman Nabi Nuh; dan cukuplah Tuhanmu (Wahai Muhammad) mengetahui lagi melihat akan dosa-dosa hamba-Nya.”

Islam adalah agama yang amat mementingkan keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat. Lantaran itu, umat Islam hendaklah mengetepikan sikap suka menghina, mencela dan memfitnah serta berperasaan hasad dengki demi memastikan terbinanya ukhwah Islamiah yang kukuh.

Sebagai Raja dan Ketua Agama Islam di negeri ini, Baginda menegaskan bahawa memelihara kemuliaan agama Islam serta maruah junjungan besar Nabi Muhammad SAW adalah tuntutan utama dalam maqasid syariah dan menjadi tanggungjawab umat Islam agar sentiasa mempertahankannya.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita menghayati dan mengambil panduan daripada perkara-perkara berikut:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa ketaatan kepada Allah, Rasul dan pemimpin adalah tuntutan agama Islam.

2. Umat Islam hendaklah menjauhi perkara-perkara yang boleh merosakkan hubungan antara raja dan rakyat.

3. Umat Islam hendaklah sentiasa memperkukuh keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT bagi meraih keberkatan dan rahmat daripada Allah SWT.

“Dan (Tuhan berfirman lagi): sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.” (al-Aa’raf : 96).

Khutbah Jumaat : Sejahtera Di Dunia, Bahagia Di Akhirat

Petikan Khutbah Jumaat 6 Disember 2019M/ 9 Rabiulakhir 1441H JAWI

Sejahtera Di Dunia, Bahagia Di Akhirat

Sudah menjadi fitrah penciptaan, setiap manusia dianugerahkan perasaan untuk hidup berpasangan dalam menjalani kehidupan. Sejarah juga membuktikan bahawa fitrah inilah yang mempertautkan hubungan antara Adam dan Hawa Alaihimassalam.

jawi_logo.jpgDalam memenuhi fitrah tersebut, Islam sebagai agama rahmat telah mensyariatkan ikatan perkahwinan kepada umat Islam dengan syarat-syarat yang ditetapkan. Inilah jalan yang yang menghalalkan hubungan pasangan lelaki dan perempuan menepati fitrah manusia.

Firman Allah di dalam surah al-Nur, ayat 32:“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui.”

Selain memenuhi keperluan dan keinginan secara lahiriah, secara rohaninya juga adalah suatu bentuk ibadah dan pengabdian diri kepada Allah SWT. Allah SWT telah berfirman menerusi surah al-Rum, ayat 21:“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”

Islam sangat menggalakkan perkahwinan sepertimana saranan Rasulullah SAW di dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari Rahimahullah daripada Abdullah bin Mas’ud RA, Rasulullah SAW bersabda :“Wahai para pemuda, sesiapa yang mampu untuk berumah tangga, maka hendaklah dia berkahwin, kerana perkahwinan akan menundukkan pandangan dan memelihara kehormatannya. Sesiapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa, kerana puasa itu menjadi perisai bagi dirinya (syahwatnya).”

Alangkah mulianya kedudukan perkahwinan dalam Islam. Ia menjadi benteng untuk memelihara maruah diri manusia dan jalan keluar dari nafsu syahwat yang mengajak kepada perzinaan.

Sesungguhnya pernikahan dalam Islam mempunyai pelbagai hikmah yang sangat besar kepada manusia, antaranya ialah:

Pertama : Pernikahan dapat memelihara keturunan dan perkembangan generasi manusia.

Kedua : Pernikahan dapat memelihara maruah diri, menundukkan nafsu syahwat dan menghindarkan diri daripada perbuatan haram seperti khalwat, zina dan sebagainya.

Ketiga : Pernikahan dapat mewujudkan ketenangan dan ketenteraman jiwa.

Keempat : Pernikahan dapat memupuk sikap bertanggungjawab dan mendisiplinkan diri umat Islam.

Rumah tangga yang dibina atas dasar iman dan taqwa dapat mengelakkan berlaku keretakan dalam hubungan. Setiap pasangan mestilah mematuhi perintah Allah SWT dan mengikuti sunnah Rasulullah SAW dalam kehidupan berumah tangga untuk memperoleh syurga dunia.

Ingatlah bahawa perkahwinan adalah permulaan dalam pembentukan keluarga muslim yang akan melahirkan generasi yang taat kepada tuntutan syariat malah bersedia berkorban demi agama dan negara.

Ikatan perkahwinan adalah asas keluarga sakinah yang menjadi sebahagian daripada gagasan rahmah untuk membentuk masyarakat bersatu-padu, harmoni dan saling berkasih-sayang.

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

Pertama: Perasaan cinta dan kasih sayang kepada pasangan adalah naluri dan fitrah yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada setiap hambaNya.

Kedua: Perkahwinan dapat memelihara agama, keturunan dan nyawa dalam maqasid al-Syariah. Ia juga memelihara maruah manusia dan menjadi benteng daripada nafsu syahwat yang mengajak kepada maksiat.

Ketiga: Perkahwinan adalah asas keluarga sakinah yang menjadi sebahagian daripada gagasan rahmah untuk membentuk masyarakat bersatu-padu, harmoni dan saling berkasih-sayang.

Firman Allah SWT dalam surah al-Zaariyat, ayat 49 hingga 51:“Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya kamu mengingati (kekuasaan Kami dan mentauhidkan Kami). (Katakanlah wahai Muhammad kepada mereka): “Maka segeralah kamu kembali kepada Allah (dengan bertaubat dan taat), sesungguhnya aku diutuskan Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran yang nyata. Dan janganlah kamu adakan tuhan yang lain bersama Allah (dalam kepercayaan kamu), sesungguhnya aku diutus oleh Allah kepada kamu sebagai pemberi amaran yang nyata.”