December 13th, 2019

Khutbah Jumaat : Keutamaan Menjaga Institusi Keluarga

Petikan Khutbah Jumaat 13 Disember 2019M / 16 Rabiulakhir 1441H: JAIS

Keutamaan Menjaga Institusi Keluarga

Dalam institusi keluarga, ibu bapa hendaklah berperanan untuk menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dengan tegas dan berani.

jais.jpgJika mereka mendapati terdapat tanda-tanda atau gejala yang membimbangkan berlaku dalam rumah tangga seperti gangguan seksual atau perbuatan curang pasangan hendaklah dicegah serta merta.

Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 104: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya”

Institusi keluarga yang segar dengan amalan tegur menegur, nasihat menasihati dan mencegah kemungkaran yang berlaku akan beroleh rahmat Allah SWT.

Hadis daripada Abdullah bin Umar Radhiallahu Anhuma bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan tentang apa yang dipimpinnya.” (Riwayat al-Bukhari)

Isu-isu keruntuhan akhlak yang berlaku dan dilaporkan akhir-akhir ini semakin membimbangkan. Bermula dengan membiarkan kelakuan tidak bermoral, ketagihan melayari laman web lucah, akhirnya membawa ke perbuatan yang lebih hina seperti zina, sumbang mahram, dan gejala yang sering berlaku dalam rumahtangga atau disebut sebagai “Haruan Makan Anak”

Seorang bapa adalah ketua, pelindung, tempat bertaut, tempat penyubur kasih sayang dan pemimpin tangan keluarga ke syurga. Malang seribu kali malang, jika seorang bapa sanggup mengabaikan tanggungjawab menjaga anak sendiri.

Malah ada yang enggan memberi nafkah dan kasih sayang yang diharapkan, bahkan terjebak dengan pujuk rayu syaitan sehingga tergamak meragut maruah anak sendiri, melacurkan isteri, merosakkan nasab, menjadikan isteri atau anak sebagai keldai dadah dan melakukan kekerasan fizikal terhadap isteri dan anak.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Tahrim ayat 6: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”

Institusi keluarga cemerlang akan berjaya menghasilkan generasi baru muslim yang unggul. Sebaliknya, jika keadaan keluarga porak peranda, harubiru, kacau-bilau dan tiada hala tuju, pastinya tidak akan mampu melahirkan generasi muslim yang diharapkan.

Firman Allah SWT dalam surah alSyuaraa’ ayat 214: “Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat.”

Diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik kalian, adalah orang yang paling baik terhadap keluarganya, dan Aku adalah orang yang paling baik terhadap keluargaku.” (Riwayat al-Tirmizi).

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita mengambil beberapa panduan berikut:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa institusi keluarga adalah satu amanah yang telah diperintahkan oleh Allah SWT untuk dijaga dengan sebaik-baiknya.

2. Umat Islam hendaklah menjauhi sebarang perlakuan keji yang boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan.

3. Umat Islam hendaklah memperkasa institusi keluarga masingmasing dengan aktiviti yang bermanfaat untuk memperkukuhkan ikatan kasih sayang.

“Wahai Tuhan kami! Dan masukkanlah mereka ke dalam Syurga "Adn" yang Engkau telah janjikan kepada mereka dan (masukkanlah bersamasama mereka): Orang-orang yang layak di antara ibu bapa mereka dan isteriisteri mereka, serta keturunan mereka. Sesungguhnya Engkaulah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Ghafir : 8)

Khutbah Jumaat : Mencegah HIV Dan AIDS Tanggungjawab Ummah

Petikan Khutbah Jumaat 13 Disember 2019M/ 16 Rabiulakhir 1441H  JAWI

Mencegah HIV Dan AIDS Tanggungjawab Ummah


Dalam kita menjalani kehidupan sebagai manusia di atas muka bumi, kita tidak akan terlepas daripada pelbagai cubaan dan dugaan.

Kadang-kadang kita diuji dengan kesenangan dan nikmat, ada kalanya kita diuji dengan kesusahan dan musibah.

jawi_logo.jpg
Begitu juga ada dalam kalangan kita diuji denganserangan penyakit berbahaya yang melemahkan seperti jangkitan virus HIV dan penyakit AIDS serta penyakit berbahaya yang lain.

Kesemua ujian-ujian ini menuntut kita agar berfikir dan merenung sejenak tentang hakikat kekuasaan Allah SWT dalam mengatur kehidupan di dunia ini.

Allah SWT telah memberikan peringatan kepada manusia supaya jangan sesekali mengundang kebinasaan.

Firman Allah SWT menerusi surah al-Baqarah, ayat 195: Bermaksud: “Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”

Kebinasaan itu hakikatnya berpunca dari diri mereka sendiri yang mengingkari ketetapan Allah SWT.

Di sisi yang lain, Allah SWT memelihara golongan yang berbuat baik dan menuruti segala titah perintahNya.

AIDS ialah sindrom kurang daya tahan penyakit yang disebabkan oleh virus HIV. Ia boleh dijangkiti melalui berbagai cara yang melibatkan pemindahan cecair badan seperti darah, air mani, cecair faraj dan susu ibu.

Asalnya penyakit ini tidak pernah dikenali oleh generasi terdahulu, namun ia mula dikesan apabila pengambilan dadah berleluasa dan merebak melalui perkongsian jarum suntikan oleh para penagih.

Gejala penularan virus HIV dan penyakit AIDS terus meningkat disebabkan perlakuan maksiat seperti seks bebas, hubungan songsang dan luar tabi’i.

Firman Allah SWT dalam surah al-Rum, ayat 41: Bermaksud: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia,(timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

Islam sebagai agama yang membawa rahmah kepada seluruh manusia dan sekalian alam telah membawa serta membimbing manusia agar menjalani hidup yang bersih, sihat dan terpelihara.

Allah SWT telah memberikan peringatan menerusi surah al-Isra’, ayat 32:  Bermaksud: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”

Kita perlu beristiqamah menjalani kehidupan sebagai seorang muslim sebenar; menjaga kewarasan akal dengan tidak mengambil dadah, mengelakkan maksiat serta menjauhi zina, liwat dan lesbian.

Inilah cara yang terbaik untuk melindungi diri dan masyarakat daripada semua penyakit berbahaya.

Ketahuilah bahawa Allah SWT sentiasa membuka pintu taubatNya dan menawarkan keampunan kepada hamba-hambaNya yang menyesal dan insaf. Jalanilah hidup dengan menjadi hamba Allah yang soleh dan bermanfaat kepada ummah.

Manakala bagi mereka yang menjadi mangsa akibat jangkitan, janganlah berputus asa dengan rahmat Allah SWT. Kita hendaklah bersabar dan redha serta terus berikhtiar menjalani rawatan.

Semoga Allah SWT mengurniakan kesembuhan dan memelihara zuriat keturunan kita daripada penyakit berbahaya ini.

Dalam menyantuni golongan penghidap virus HIV dan penyakit AIDS ini, umat Islam diseru agar melayani mereka dengan penuh kasih sayang.

Mereka juga adalah sebahagian daripada anggota masyarakat kita yang turut sama perlukan perhatian dan sokongan. Janganlah kita memandang hina, mencemuh, mencaci dan meminggirkan mereka. Islam mengajar umatnya agar sentiasa menolong mereka yang mengalami musibah.

Imam al-Bukhari r.h telah meriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Umar RAnhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Bermaksud: “Seorang muslim adalah saudara kepada muslim (lainnya), dia tidak menzaliminya dan tidak membiarkannya untuk disakiti. Siapa yang membantu menunaikan hajat saudaranya, Allah akan tunaikan hajatnya. Dan siapa yang hilangkan satu kesusahan seseorang muslim, maka Allah akan hilangkan satu kesusahannya daripada kesusahan-kesusahan di hari kiamat. Dan siapa yang menutup aib seorang muslim, Allah akan tutup aibnya pada hari kiamat.”

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

Pertama: Islam melarang umatnya daripada menjebakkan diri dalam apa jua bentuk perkara yang mengundang kerosakan dan kebinasaan.

Kedua: Kita semua hendaklah berusaha menjaga diri daripada virus HIV dan penyakit AIDS dengan menghindari maksiat dan kemungkaran.

Ketiga: Pemimpin dan masyarakat hendaklah bekerjasama dalam menyantuni serta membantu golongan penghidap virus HIV dan penyakit AIDS agar mereka dapat menjalani kehidupan yang bermakna.

Marilah sama-sama kita hayati firman Allah SWT dalam surah al-Ra‘d, ayat 11:  Bermaksud : “Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari suatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapa pun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tiada sesiapa pun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.”