February 7th, 2020

Khutbah Jumaat : Mendaki Tangga Masjid

Petikan Khutbah Jumaat 07 Feb 2020M /13 Jumada al-Akhirah 1441H: JAIS

Mendaki Tangga Masjid

Masjid dan surau adalah tempat yang suci dan mulia di sisi agama Islam. Ia adalah tempat untuk kita beribadah menunaikan solat-solat fardhu secara berjemaah dan juga ibadah-ibadah sunat yang lain seperti solat nawafil, membaca al-quran, berzikir dan mendengar kuliah-kuliah serta pengajian agama.
jais.jpg
Bahkan fungsi masjid yang sebenar adalah lebih luas lagi sebagai pusat komuniti, perpaduan dan pembangunan ummah itu sendiri.

Sesungguhnya perjalanan terjauh dan terhebat bagi seorang lelaki adalah perjalanan ke masjid. Ini kerana jarak jauhnya kita dengan masjid tidak diukur dengan langkah kaki tetapi diukur dengan hati.

Sejauh manapun masjid dan surau pasti akan dapat dijangkau sekiranya hati sudah terpaut. Namun jika hati semakin jauh daripada masjid, sedekat manapun jaraknya, terasa berat dan susah untuk melangkah dan mendaki anak-anak tangganya, walaupun kita disuruh untuk memakmurkan rumah-rumah Allah sebagai bukti keimanan kita.

Firman Allah SWT dalam surah al-Taubah sebagaimana disebut pada awal khutbah yang bermaksud: “Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjidmasjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi golongan yang mendapat petunjuk.”

Menghadirkan diri ke masjid untuk menunaikan ibadah solat fardhu secara berjemaah pada awal waktu adalah merupakan tanggungjawab seorang muslim.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Lelaki yang hatinya terpaut dengan masjid.” (Riwayat al-Bukhari).

Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu Anhu, baginda SAW bersabda : “Sesiapa yang bersuci di rumahnya kemudian berjalan menuju ke salah satu daripada rumah-rumah Allah (masjid) untuk menunaikan solat yang telah difardhukan oleh Allah, maka kedua-dua langkah kakinya itu, salah satunya menghapuskan dosa dan yang lain mengangkat darjat.” (Riwayat Muslim).

Sesungguhnya banyak kelebihan beribadah di masjid dan di surau berbanding dengan beribadah di rumah. Hati kita akan merasa lebih tenang ketika berada di masjid dan jiwa akan merasa lebih kuat untuk melakukan ibadah. Apabila berada di dalam masjid, kita merasa lebih rajin untuk melakukan ibadah-ibadah sunat berbanding di rumah.

Betapa pentingnya menunaikan solat fardhu secara berjemaah di masjid sehingga Baginda SAW memberi amaran yang keras kepada mereka yang tidak menunaikan tanggungjawab ini sebagaimana disebut dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya aku bertekad supaya solat didirikan. Kemudian aku akan pergi ke setiap rumah seseorang yang tidak hadir solat berjemaah, lalu akan aku perintahkan agar dibakar rumah mereka.” (Riwayat al-Bukhari).

Mulakan dengan satu waktu solat fardhu secara berjemaah di masjid. Kemudian ditambah dengan dua waktu, tiga waktu dan seterusnya lima waktu sehari semalam.

Berusahalah untuk mendirikan solat di belakang imam sebelum kita disolatkan di hadapan imam. Janganlah menunggu waktu tua untuk mendaki anak-anak tangga masjid kerana tiada siapa yang boleh menjamin bahawa kita akan pasti dapat mencapai usia tua dalam keadaan sihat dan bertenaga.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah sana-sama kita hayati beberapa tausiah dari khutbah ini untuk dijadikan pengajaran dan panduan dalam hidup ini. Antaranya:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa semua perintah-perintah Allah dan agama hendaklah dolakukan dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas.

2. Umat Islam wajib meyakini bahawa solat berjemaah di masjid merupakan salah satu tuntutan yang diperintahkan oleh Allah SWT.

3. Umat Islam hendaklah berlumba-lumba untuk meraih pahala dan mengapuskan dosa dengan menghadirkan diri ke masjid untuk solat berjemaah.

“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.” (ali Imran : 133).

Khutbah Jumaat : Istita’ah Harta Menuju Baitullah

Petikan Khutbah Jumaat 7 Februari 2020M/ 13 Jamadilakhir 1441H JAWI

Istita’ah Harta Menuju Baitullah

Menunaikan haji di Tanah Suci Mekah adalah suatu yang wajib, namun ia hanya dituntut kepada muslim yang berkemampuan. Haji merupakan ibadah badaniyyah dan maliyyah. Hampir semua amalan yang dituntut, sama ada rukun atau wajib haji memerlukan kekuatan dan keupayaan yang tinggi.
jawi_logo.jpg
Firman Allah SWT dalam surah al-Hajj, ayat 27 dan 28: Bermaksud: Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadah haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban) dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, dan fakir miskin.”

Sheikh Muhammad Rashid Ridha di dalam Tafsir al-Manar mengatakan istita‘ah ialah kemampuan untuk sampai ke tanah suci yang mana ia berbeza mengikut keadaan diri seseorang serta jauh atau dekatnya dengan baitullah.

Selain faktor usia dan kesihatan, kekuatan dan kemampuan juga sangat berkait rapat dengan kewangan seseorang.

Ibn Majah r.h meriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas RAnhuma bahawa Nabi SAW bersabda:“Sesiapa yang ingin menunaikan haji, maka bersegeralah kerana tidak diketahui bila masa penyakit itu menyerang seseorang, kenderaannya hilang atau datang keperluannya yang lain.”

Apakah yang dimaksudkan dengan benar-benar berkemampuan? Imam alShafi‘i menyatakan bahawa istita‘ah terdiri daripada dua jenis, pertama; seseorang itu mampu dari segi kesihatan di samping mempunyai perbelanjaan untuk menunaikan haji.

Kedua; seseorang itu tidak mampu dari segi kesihatan akan tetapi dia mampu untuk mengupah orang lain untuk menunaikan haji bagi pihaknya. Justeru, istita‘ah haji itu ialah kecukupan perbelanjaannya untuk menunaikan ibadah haji secara langsung atau tidak.

Oleh itu, berkemampuan dengan bantuan orang lain atau istita‘ah bighairihi tidak perlu menyediakan perbelanjaan untuk pengiring bagi menunaikan haji kerana golongan ini hanya perlu membuat badal haji.

Sebagai umat Islam kita perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mempersiapkan diri dalam memenuhi syarat-syarat kemampuan menunaikan ibadah haji.

Berusahalah membuat simpanan bagi membiayai perbelanjaan sebenar mengikut kadar semasa yang ditentukan oleh pihak berkuasa.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi r.h, Abdullah bin Umar RAnhuma berkata: “Seorang lelaki telah datang kepada Nabi SAW lalu bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah yang diwajibkan (untuk menunaikan) ibadah haji?” Baginda menjawab: “Bekalan dan kenderaan.”

Di Malaysia, segala urusan berkaitan haji diuruskan oleh Lembaga Tabung Haji. Perubahan iklim ekonomi dunia sangat pantas berubah serta turut memberikan kesan kepada ekonomi tanah air. Oleh itu, dalam usaha mencukupkan istita‘ah haji dari aspek pembiayaan, jemaah haji disarankan untuk menyediakan perbelanjaan yang secukupnya yang telah ditetapkan oleh Tabung Haji untuk menunaikan fardhu haji.

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

Pertama: Menunaikan haji ke Baitullah adalah rukun Islam yang kelima dan wajib ditunaikan oleh mereka yang berkemampuan.

Kedua: Istita‘ah atau kemampuan ialah menyediakan perbelanjaan yang cukup untuk menunaikan ibadah haji mengikut kadar sebenar.

Ketiga: Berusahalah membuat simpanan bagi membiayai perbelanjaan sebenar mengikut kadar semasa yang ditentukan oleh pihak berkuasa

Firman Allah SWT menerusi surah Ali ‘Imran, ayat 97: “Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya, aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajiban ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.”