February 27th, 2020

Khutbah Jumaat : Maksiat Di Hujung Jari

Petikan Khutbah Jumaat 28 Februari 2020M / 04 Rajab 1441H: JAIS

“Maksiat Di Hujung Jari”

Dunia pada hari ini telah semakin terbuka. Dimana-mana sahaja kita mudah berkomunikasi dan berinteraksi. Kemudahan ini amat baik jika dilakukan dengan penuh tanggungjawab.

Amat malang sekali terdapat sesetengah daripada kita yang amat teruja menyebarkan sebarang maklumat tanpa usul periksa demi memastikan hasratnya tercapai.
jais.jpg
Ingalah! Suatu masa nanti tangan kita inilah yang akan dipertanggungjawabkan dihadapan Allah SWT atas segala tindakan yang dilakukan.

Firman Allah dalam surah Yasin ayat 65 : “Pada hari ini, Kami tutup mulut mereka, tangan mereka akan berkata kepada Kami dan kaki mereka akan memberi kesaksian terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan”.

Sesungguhnya Allah SWT mengurniakan kita pancaindera adalah untuk melakukan ibadah kepada-Nya bukan untuk membuat maksiat dan dosa. Jika jari dan tangan yang kita gunakan ini untuk menyakiti orang lain bererti kita telah khianat kepada amanah Allah.

Berapa ramai yang telah kita sakiti dengan kata-kata dan tulisan kita dalam facebook, whats’ up, instagram dan twitter?

Sesetengahnya merasa seronok terlibat dengan perkara dosa dan maksiat seperti ini. Mudah sahaja menambah dosa dengan mengumpat, menyakiti orang lain , bertengkar dan memaki hamun dalam media sosial hinggakan ada yang sanggup kafir mengkafir orang lain hanya disebabkan perkara kecil yang boleh diselesaikan.

Tangan dan lisan kita ini adalah tanda iman kita kepada Allah SWT. Gunakan ia untuk kebaikan kerana ianya adalah akhlak yang baik dan disebut banyak sekali dalam hadis nabi SAW.

Abu Musa Al-Asy’ari Radhiallahu Anhu bertanya kepada Rasulullah SAW dengan katanya: “Wahai Rasulullah, orang Islam yang bagaimanakah yang paling utama? Baginda menjawab, “Orang yang kaum Muslimin selamat dari lisannya dan tangannya.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Dikesempatan khutbah pada hari ini khatib ingin menasihati semua jemaah sekelian agar sentiasa berwaspada dalam setiap tindakan kita agar tidak mudah melakukan dosa dihujung jari kita.

Jadilah insan yang baik dan bertanggungjawab dalam menggunakan media sosial dengan menekankan perkara-perkara berikut;

Pertama; Sentiasa mengetahui dan menggunakan media sosial pada hari ini dengan sikap bertanggungjawab dan tidak melakukan adu domba kepada orang lain yang boleh mengundang dosa dihadapan Allah SWT.

Kedua; Kita seharusnya beramanah dalam setiap tulisan dan kata-kata yang ditulis dalam media sosial kerana jika tidak benar ianya boleh mengundang kecelakaan dan krisis dalam masyarakat. Oleh itu elakkan menyebar maklumat yang tidak benar.

Ketiga; Amalkan budaya semak sebelum sebar sebarang maklumat dan perkara yang kita terima dalam media sosial. Janganlah kita menjadi golongan yang bukan hanya melakukan amal jariah tetapi dosa jariah.

Firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 6; “ Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”

Mengakhiri khutbah pada hari ini :

1. Umat Islam hendaklah menyedari bahawa kedua-dua tangan sentiasa terdedah kepada kemaksiatan dan dosa yang akan dihisab oleh Allah SWT

2. Umat Islam hendaklah menginsafi diri dengan tidak menyebarkan keburukan, fitnah dan adu domba serta maksiat apabila menggunakan media sosial.

3. Umat Islam hendaklah sentiasa berwaspada dan melakukan tabayun apabila menulis dan menyebarkan maklumat kepada orang lain. Ini kerana setiap tindakan kita akan dicatat oleh para Malaikat

“Tidak ada suatu kata yang diucapkannya melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia mencatatnya”. (Qaf : 18)