March 6th, 2020

Khutbah Jumaat : Identiti Yang Mengundang Laknat Allah

Petikan Khutbah Jumaat 06 Mac 2020M / 11 Rajab 1441H: JAIS

Identiti Yang Mengundang Laknat Allah

Isu menukar jantina lelaki atau perempuan semakin hangat diperkatakan. Golongan ini sering mendakwa dengan istilah "terperangkap dalam tubuh yang salah" atau "wanita dilahirkan transeksual" yang menyerupai lelaki.

jais.jpgBermula dengan lelaki yang menyerupai perempuan iaitu meniru gaya pemakaian orang perempuan dan juga berperwatakan seperti perempuan.

Begitu juga wanita meniru gaya pemakaian lelaki dan berperwatakan seperti lelaki boleh menyebabkan keinginan mereka untuk menukar jantina.

Sudah tentu setiap manusia itu dilahirkan dengan sifat semula jadinya mengikut kehendak dan ketentuan Allah SWT yang tidak sepatutnya dipertikaikan.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 13 menjelaskan tentang kejadian lelaki mahupun perempuan “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Adakalanya manusia terlupa akan batas-batas kehidupan sebagai seorang manusia dan tanggungjawabnya sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.

Kealpaan itu menyebabkan ada segelintir insan yang tidak mensyukuri nikmat kehidupan itu sendiri. Sebaliknya, membiarkan diri dikuasai oleh syaitan dan tuntutan hawa nafsu semata-mata, seterusnya membawa kepada perlakuan tidak bermoral dalam kehidupan bermasyarakat.

Perlakuan tidak bermoral yang dimaksudkan adalah perbuatan yang melawan fitrah diri sendiri dan melakukan sesuatu yang bertentangan dengan fitrah, tabiat dan sifat yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepadanya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa ayat 119: “Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran) dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah dia dengan kerugian yang terang nyata.”


Rasulullah SAW melarang keras dan melaknat perbuatan seorang lelaki yang berlagak seperti perempuan atau seorang perempuan yang berlagak seperti lelaki, inikan pula menukar jantina.

Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas Radhiallahu Anhu bahawa beliau memberitahu: “Rasulullah SAW melaknat lelaki yang meniru-niru gaya perempuan, dan perempuan yang meniru-meniru gaya lelaki.” (Riwayat al-Bukhari)

Menurut Muzakarah Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-25 yang bersidang pada 13 Disember 1989 telah memutuskan bahawa: “Pertukaran jantina dari lelaki kepada perempuan atau sebaliknya melalui pembedahan adalah haram dari segi syarak.

Sehubungan dengan itu, perkara-perkara yang dilarang bagi lelaki menyerupai perempuan atau sebaliknya adalah seperti berikut:

1. Mengubah bentuk fizikal termasuk menukar jantina,
2. Gaya berjalan dan gerak badan,
3. Percakapan dan suara,
4. Perhiasan,
5. Pakaian.”

Realitinya fenomena menukar jantina dalam masyarakat kita tidak boleh dibiarkan terus berleluasa.

Lebih membimbangkan kita adalah golongan ini semakin aktif menubuhkan persatuan-persatuan dan menuntut hak-hak mereka di bawah undang-undang supaya mewajarkan tindakan mereka.

Anehnya! Ada yang menyokong dan mempertahankan perbuatan tersebut. Mereka memperjuangkan hak yang sama tanpa halangan untuk menjalani kehidupan yang sama seperti orang lain, terutamanya hak kebebasan dan berkahwin.

Dikesempatan ini, berikutan penularan wabak Covid-19 yang semakin meruncing di kebanyakan Negara dunia dan juga telah mula dikesan di Negara ini, maka mimbar ingin mengingatkan seluruh jemaah untuk mengambil langkah-langkah pencegahan seperti berikut:

1. Selalu mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan,

2. Sentiasa menutup mulut dan hidung dengan tisu apabila batuk mahupun bersin, seterusnya membasuh tangan dengan serta merta,

3. Semasa dalam tempoh lawatan, sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung serta bahan pencuci tangan untuk digunakan apabila perlu,

4. Elakkan dari mengunjungi tempat tumpuan ramai dan tidak bergaul rapat dengan mana-mana individu yang bergejala,

5. Elakkan dari melawat ke ladang haiwan, pasar yang menjual haiwan hidup, tempat sembelihan haiwan atau menyentuh sebarang jenis haiwan,

6. Segera mendapatkan rawatan perubatan sekiranya jatuh sakit (iaitu mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk mahupun kesukaran untuk bernafas) dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari lawatan tersebut. Begitu juga, maklumkan mengenai sejarah perjalanan dari negara yang terlibat kepada doktor yang merawat.

Mengakhiri khutbah ini, marilah sama-sama kita hayati perkara-perkara berikut:

1. Umat Islam wajib meyakini bahawa ciptaan Allah SWT adalah yang terbaik dan wajib untuk disyukuri.

2. Umat Islam wajib menyedari bahawa hukum menukar jantina daripada lelaki kepada perempuan atau sebaliknya dengan apa cara sekalipun adalah haram.

3. Umat Islam hendaklah menginsafi bahawa adanya azab Allah SWT terhadap orang-orang yang melanggatr perintah Allah SWT.

“Maka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu.” (Hud : 82)

Khutbah Jumaat Pemimpin Ditaati, Negara Harmoni

Petikan Khutbah Jumaat 6 Mac 2020M/ 11 Rejab 1441H JAWI

Pemimpin Ditaati, Negara Harmoni

Keamanan dan keharmonian antara kaum semestinya menjadi faktor yang sangat penting kepada negara kita untuk mencapai kemajuan yang seimbang dalam pelbagai aspek seperti ekonomi, sosial, budaya, pendidikan dan sebagainya.

Justeru, kepimpinan negara mestilah menjadi keutamaan dalam memastikan kesimbangan tersebut terus terpelihara.
jawi_logo.jpg
Firman Allah SWT dalam surah alSajadah ayat 24 sebagaimana yang dibacakan sebentar tadi : “Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan kami.”

Imam Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat tersebut, menyatakan bahawa : Ketika mereka sabar dalam melaksanakan perintah-perintah Allah dan menjauhi larangan-larangan-Nya, membenarkan para Rasul-Nya dan mengikuti risalah yang diberikan kepada mereka, nescaya mereka menjadi pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk kepada kebenaran dengan perintah Allah, mengajak kepada kebaikan, memerintahkan yang makruf dan melarang kemungkaran.

Setiap pemimpin seharusnya menjadi contoh dan tauladan kepada masyarakat.

Saidina Umar al-Khattab RA pernah menyatakan bahawa “manusia mengikuti cara hidup pemimpinnya”. Kata-kata tersebut menepati realiti kehidupan kebanyakan masyarakat. Justeru, dengan adanya pemimpin yang menjadi suri teladan, maka sudah tentu dia akan memberi kesan yang mendalam kepada cara hidup masyarakat.

Dalam konteks negara, pemimpin yang mesti kita hormati ialah Ketua Utama Negara iaitu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang dipilih oleh Majlis Raja-Raja.

Malah kita juga mestilah menghormati kepimpinan negara iaitu Jemaah Menteri atau Kabinet Kesetiaan kepada Raja dan Negara yang menjadi Rukun Negara mestilah difahami dan dihayati dengan sepenuhnya.

Setiap titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong mestilah ditaati oleh setiap rakyat Negara ini.

Sesungguhnya Baginda Tuanku menjadi simbol kepada perpaduan yang kukuh dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama. Amat menyedihkan apabila masih ada dalam kalangan rakyat yang berani mempersenda dan menghina institusi Raja di negara ini. Inilah yang menghakis perasaan hormat dan cintakan negara.

Ingatlah firman Allah SWT di dalam surah An-Nisa’ ayat 59: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.”

Imam Muslim meriwayatkan hadis, daripada Ibnu Umar RAnhuma, Rasulullah SAW bersabda: “Setiap orang Islam wajib mendengar dan mentaati dalam perkara yang dia sukai dan perkara yang dia benci, kecuali dia diperintah melakukan maksiat. Maka dia tidak boleh mendengar atau taat.”

Sesungguhnya setiap pemimpin itu mestilah mempunyai ciri-ciri yang melayakkan mereka menjadi pemimpin yang bertanggungjawab. Justeru, beberapa ciri pemimpin yang menduduki jawatan tertinggi negara

Sebagaimana yang digariskan oleh Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan antaranya:

Pertama: Islam. Ini adalah kerana urusan pemerintahan adalah salah satu hukum syarak yang berkaitan dengan pentadbiran hal ehwal umat Islam.

Kedua: Matang. Oleh itu, tidak sah melantik kanak-kanak, orang yang jahil dan yang seumpama dengan mereka sebagai pemerintah, walaupun mereka dikelilingi oleh para penasihat.

Ketiga: Bersifat adil. Orang yang bersifat adil ialah orang yang tidak melakukan dosa besar seperti membunuh, berzina dan memakan riba. Dia juga tidak berterusan melakukan dosa kecil.

Keempat: Mempunyai pengetahuan tentang hukum agama dan dalilnya. Pemerintah mestilah mengetahui hukum-hakam syarak dan dalil-dalilnya.

Pengetahuan ini akan membolehkannya berijtihad. Jika dia tidak mampu berijtihad, maka dia hendaklah mempunyai penasihatpenasihat yang mamahami hukum-hakam Islam.

Kelima: Bijaksana dan mempunyai pemikiran holistik. Sifat ini membolehkan seseorang pemerintah mampu mentadbir, menjaga keselamatan negara dan rakyat daripada sebarang ancaman.

Kebijaksanaan ini hanya dapat dikesan dan dinilai oleh mereka yang berpengalaman, ahli syura dan mereka yang pernah menjalankan tugas-tugas ini.

Keenam: Melaksanakan Nilai-Nilai Islam. Beramal untuk Islam adalah wajib. Ini kerana tidak akan terlaksana syariat Allah di muka bumi sekiranya sistem dan undang-undang ciptaan manusia lebih diutamakan ke atas masyarakat.

Justeru, pemimpin mestilah membawa rakyat supaya mengamalkan cara hidup berteraskan nilai-nilai Islam.

Marilah kita saling berusaha menjaga keamanan dan kesejahteraan negara serta saling ingat-mengingati sesama kita agar terus memelihara keharmonian sesama masyarakat yang berbilang kaum.

Berilah sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa dalam menangani dan menyelesaikan isu-isu berkaitan penghinaan kepada agama, penghinaan kepada Institusi Raja, perkauman dan sebagainya.

Sebagai rakyat yang bijak, kita juga mestilah mengamalkan sikap ‘semak sebelum sebar’ terhadap sesuatu berita yang diterima.

Mimbar juga mengambil kesempatan untuk menyarankan kepada setiap Pentadbiran Masjid dan Surau Jumaat di Wilayah Persekutuan supaya melaksanakan solat hajat selepas solat jumaat hari ini dan Hari-Hari yang lain mengikut keperluan bagi memohon kesejahteraan, keamanan dan keselamatan negara daripada sebarang pergolakan, huru-hara dan wabak penyakit berbahaya seperti (Covid-19). Semoga Allah SWT mengabulkan doa kita, insya Allah.

Mengakhiri khutbah hari ini, khatib ingin mengemukakan beberapa kesimpulan sebagai ingatan kita bersama.

Pertama: Setiap pemimpin seharusnya menjadi contoh dan tauladan kepada masyarakat. Baiknya rakyat adalah cerminan bagi baiknya para pemimpin.

Kedua: Mentaati pemerintah perlulah didasari dengan ketaatan kepada Allah dan Rasulullah SAW supaya masyarakat akan terpelihara dengan keimanan dan dalam masa yang sama mereka juga terhindar daripada penindasan.

Ketiga: Kesetiaan kepada Raja dan Negara yang menjadi Rukun Negara mestilah difahami dan dihayati dengan sepenuhnya oleh setiap warganegara.

Firman Allah SWT dalam Surah al-A’raf ayat 96, “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”