May 15th, 2020

Khutbah Jumaat “Pecutan Terakhir Ramadhan”

Petikan Khutbah Jumaat 15 Mei 2020 / 22 Ramadhan 1441H:  JAIS

“Pecutan Terakhir Ramadhan”.

Sekarang kita berada pada 10 hari terakhir Ramadhan yang didalamnya terdapat satu malam yang dinamakan Lailatul Qadr.

jais.jpgGanjaran pahala beribadah pada malam itu melebihi pahala amalan seribu bulan. Firman Allah SWT dalam surah al-Qadr ayat 3:“

Malam al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan”. Rasulullah SAW menghidupkan 10 malam terakhir Ramadhan sepertimana hadis daripada Saidatina ‘Aisyah Radhiallahu Anha: ُّ

“Adalah Rasulullah SAW apabila masuk sepuluh malam terakhir Ramadhan, baginda tidak menggauli para isterinya, menghidupkan malam dan membangunkan ahli keluarga”. (Riwayat al-Bukhari).

Walaupun kita sedang berada dalam tempoh PKPB, marilah kita bersungguh-sungguh merebut peluang ganjaran Lailatul Qadr dengan memperbanyakkan amal ibadah seperti solat Sunat Terawih, berqiamullail, bertadarus dan mentadabbur al-Quran, memperbanyakkan zikir, mengikuti majlis ilmu ataupun tazkirah Ramadhan secara online bersama-sama ahli keluarga.

Kita juga dituntut memperbanyakkan berdoa iaitu sepertimana doa yang diajar kepada Saidatina A’isyah Radhiallahu Anha oleh Rasulullah SAW: “Ya Allah Ya Tuhanku, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan sentiasa memberi keampunan atas kesalahan hamba-Mu, oleh itu maafkanlah segala kesalahanku.” (Riwayat at-Tirmizi).

Dalam merebut ganjaran pada akhir Ramadhan ini, janganlah berlengah atau lupa untuk menunaikan zakat yang diwajibkan dan memperbanyakkan sedekah kepada fakir miskin, anak-anak yatim atau sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan.

Khatib juga mengingatkan agar kita terus mematuhi setiap arahan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam memutuskan rantaian Covid-19.

Pastikan penjarakkan sosial dipatuhi, memakai penutup muka dan menjaga kebersihan. Moga-moga madrasah Ramadhan ini dapat dilalui dengan kejayaan mendapat keampunan dan pembebasan daripada api neraka.

Mudah-mudahan Ramadhan yang kita tempuhi tahun ini dengan kelaziman baharu, akan menjadi titik perubahan dalam diri kita, menjadi insan bertaqwa dan diredhai Allah SWT di dunia dan di akhirat.

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi segala perintah-Ku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran”. (al-Baqarah : 186)

Khutbah Jumaat : Muafakat Meraih Berkat

Khutbah Jumaat 15 Mei 2020M/ 22 Ramadhan 1441H JAKIM

Muafakat Meraih Berkat

Sesungguhnya kombinasi peranan para ulama, umara dan rakyat merupakan elemen utama dalam menentukan kejayaan dan kesejahteraan sebuah negara. Kini, dalam situasi kita menangani penularan wabak penyakit COVID 19, gandingan semua pihak telah mula menampakkan natijah yang baik. jakim.jpg

Keputusan kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan secara berperingkat dengan penguatkuasaan Prosedur Standard oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia dan disokong oleh semua agensi dan rakyat merupakan langkah yang tepat pada masanya. Ini bertepatan dengan kaedah yang menyatakan : Maksudnya : Urus tadbir pemerintah ke atas rakyat adalah mengambil kira maslahah.

Justeru, marilah kita meneruskan perjuangan memerangi COVID 19 ini dengan terus istiqamah melaksanakan saranan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia kepada masyarakat, antaranya :

Pertama : Amalkan tahap kebersihan yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau menggunakan ‘hand sanitizer’.

Kedua : Amalkan adab yang betul ketika batuk dan bersin.

Ketiga : Amalkan penjarakan sosial sekurang-kurangnya 1 meter antara satu sama lain dan elakkan berada di tempat sesak dengan orang ramai.

Keempat : Digalakkan memakai penutup mulut dan hidung.

Kelima : Elakkan bersalaman atau bersentuhan dengan orang lain. Letakkan tangan di dada sebagai tanda hormat dengan ucapan salam sebagai ganti.

Keenam: Amalkanlah gaya pemakanan sihat dan seimbang untuk mengekalkan kesihatan tubuh badan. Ketujuh : Kekal di rumah jika tiada urusan penting di luar.

Di samping kita menjaga langkah-langkah yang disarankan oleh kerajaan sebagai satu usaha dan ikhtiar, janganlah kita lupa untuk berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT untuk melindungi kita daripada wabak penyakit ini.

Doa yang penuh tadarru’ dengan mengakui akan kelemahan dan kedaifan makhluq dan mengiktiraf kekuatan dan keperkasaan Khaliq merupakan asbab terlerainya kekusutan, diturunkan pertolongan, diterangkan hati yang kelam dan dipermudahkan urusan Maksudnya : Daripada Ali bin Abi Talib RA berkata, Rasulullah SAW bersabda : Doa itu senjata mukmin, tiang agama dan cahaya yang menerangi langit dan bumi.

Firman Allah dalam Surah al A’araf ayat 55 : Maksudnya : Berdoalah kepada Tuhanmu denagn merendah diri dan dengan suara yang perlahan. Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang melampaui batas.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah sama-sama kita renungi beberapa kesimpulan daripada khutbah hari ini:

Pertama: Kombinasi peranan ulama, umara dan rakyat dalam pelaksanaan sesuatu dasar merupakan asbab kejayaan sesuatu bangsa dan negara.

Kedua: Umat Islam disarankan menjaga kebersihan, memelihara persekitaran dan membudayakan cara hidup yang sihat.

Ketiga: Usaha, ikhtiar, tawakkal dan doa merupakan elemen penting dalam kehidupan seorang mukmin.

Marilah sama-sama kita hayati firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 153 : Maksudnya : Wahai orang yang beriman mintalah pertolongan ( untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah ) dengan bersabar dan mengerjakan solat kerana sesuangguhnya Allah bersama orang yang sabar.