May 22nd, 2020

Khutbah Jumaat : “Zakat Fitrah Satu Kewajipan”

Petikan Khutbah Jumaat 22 Mei 2020M / 29 Ramadhan 1441H: JAIS

“Zakat Fitrah Satu Kewajipan”.

Zakat fitrah bukan sekadar mengeluarkan RM7, RM14 atau RM21 seorang mengikut beras yang dimakan, tetapi mempunyai erti yang lebih besar. Ibnu Abbas Radhiallahu Anhuma meriwayatkan bahawa: “Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah, untuk jais.jpgmembersihkan orang yang berpuasa daripada perkataan yang sia-sia dan perkataan yang buruk serta menjadi makanan kepada orang-orang miskin.” (Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah). Jelas ada dua objektif zakat fitrah.

Pertama, membersihkan orang yang berpuasa daripada perkataan sia-sia dan buruk, dan kedua, menjadi sumber kegembiraan kepada fakir miskin menjelang hari raya Eidul Fitri.

Ramadhan datang untuk mendididik kita merasai sendiri getirnya kemiskinan dan menjadikan kita lebih pemurah. Sayangnya, ramai yang berpuasa dan menunaikan zakat fitrah, tetapi masih gagal berubah.

Ingatlah, Ramadhan datang dengan pakej zakat fitrah untuk membersihkan hati kita dari daki kebakhilan yang mendatangkan dosa.

Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 180: “Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya, menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka.

Bahkan dia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalongkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan.”

Zakat fitrah berbeza dengan ibadah puasa, kerana puasa ibadah peribadi. Orang yang berpuasa, dia mendapat pahala dan jika enggan, maka dia berdosa.

Orang lain tidak menerima kesan atas keengganannya. Sedangkan zakat fitrah, ia ibadah kehartaan yang mempunyai kesan langsung kepada orang lain.

Keengganan seseorang menunaikan zakat fitrah, maka orang lain (fakir miskin) turut menderita di hari raya. Inilah satu penanda aras bahawa ‘hakikat’ kesempurnaan ibadah puasa terkait dengan zakat fitrah.

Biar pun syarat sah puasa tidak tertakluk dengan zakat fitrah; namun kegagalan menunaikannya menunjukkan orang itu telah gagal mencapai darjat takwa.

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 183: Allah SWT membenci dan mengancam orang-orang yang bakhil. Abu Bakar as-Siddiq Radhiallahu Anhu menyatakan, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak akan masuk syurga orang-orang yang menipu, mereka yang bakhil dan orang-orang yang suka menyebut-nyebut pemberiannya.” (Riwayat al-Tirmizi).

Sesungguhnya orang yang berpuasa dengan sepenuh keimanan, akan menjadi orang yang pemurah selepas Ramadhan, bukan sahaja sanggup mengeluarkan zakat fitrah malah menunaikan zakat hartanya.

Ini kerana zakat dan sedekah itu tidak mengurangkan sedikitpun daripada hartanya. Abu Hurairah Radhiallahu Anhu menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda “Tidaklah berkurang harta seseorang itu dengan sebab dia bersedekah (termasuk zakat), dan Allah akan menambahkan kewibawaan seseorang yang pemaaf dan tidaklah seseorang itu bersikap tawadhuk melainkan Allah akan meninggikan (kedudukannya).” (Riwayat Muslim).


Mengakhiri khutbah ini, marilah kita menghayati beberapa pengajaran:

1. Umat Islam wajib menunaikan zakat Fitrah.

2. Umat Islam di Negeri Selangor hendaklah membayar zakat Fitrah di Negeri Selangor melalui amil yang dilantik ataupun secara online. ِ

“Dan dirikanlah sembahyang dan laksanakanlah zakat; serta taatilah Rasul; nescaya kamu beroleh rahmat”. (al-Nur: 56).

Khutbah Jumaat Kesukaran dan Kemudahan

Petikan Khutbah Jumaat 22 Mei 2020M/ 29 Ramadhan 1441H JAKIM

Kesukaran dan Kemudahan

Hari ini Jumaat terakhir Ramadhan. Ramadhan akan meninggalkan kita dan kita akan terus menghadapi kehidupan yang mendatang. Bulan Ramadan kali ini hadir ketika kita sedang berjuang melawan wabak penyakit Covid-19. Tidak pernah tergambar oleh kita bahawa Ramadan kali ini hadir dengan ujian yang amat berat buat kita semua.
jakim.jpgandemik wabak Covid-19 seakan belum mahu menyerah setelah beberapa bulan kita semua berjuang melawannya. Justeru, seharusnya kita tetap bertahan dan kuat melawan pandemik wabak ini dengan mematuhi segala arahan oleh pihak pemerintah. Semoga para pejuang barisan hadapan juga tetap kuat dan teguh melaksanakan tugas dengan sokongan doa dari kita semua.

Walau apa jua yang berlaku, kita tetap perlu menjalani Ramadan seperti sebelum ini dengan menunaikan ibadah puasa, menunaikan zakat fitrah, melaksanakan solat tarawih, bersedekah dan amalan-amalan lain. Kita tetap berusaha meraih keampunan, dan keredhaan Allah SWT di bulan yang mulia ini.

Bulan Ramadan sering disebut sebagai ‘madrasah’ bagi menggambarkan bahawa bulan ini memiliki keistimewaan dalam mendidik hati umat Islam menjadi orang yang bertakwa. Bulan Ramadan mengajar kita untuk bersabar.

Bulan Ramadan mengajar kita mengawal marah. Bulan Ramadan mengajar kita sifat perikemanusiaan. Bulan Ramadan mengajar kita banyak bersedekah. Bulan Ramadan melatih kita melaksanakan ibadah sebanyakbanyaknya. Dan bermacam-macam lagi tarbiyah dan pelajaran yang terkandung dalam bulan Ramadan ini.

Kini, kita sudah berada di penghujung Ramadan. Kita sudah memasuki fasa terakhir dalam bulan Ramadan. Justeru, muhasabahlah akan Ramadan kita pada tahun ini. Adakah ia lebih baik berbanding sebelum ini atau sebaliknya? Renungilah peringatan daripada Rasulullah SAW yang disebut dalam sebuah hadis Mafhumnya: “Ketika Nabi SAW menaiki mimbar, Baginda SAW bersabda: “Amin, Amin, Amin (sebanyak 3 kali)”. Baginda SAW ditanya: “Wahai Rasulullah! Apabila kamu menaiki mimbar, kamu telah berkata amin, amin, amin”.

Maka Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Jibril AS telah datang kepadaku, lalu dia (Jibril) berkata: Barangsiapa yang bertemu dengan bulan Ramadan tetapi tidak diampunkan baginya maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah SWT. Katakanlah (wahai Muhammad): Amin. Maka aku katakan: Amin”. (Hadis riwayat Ibn Hibban)

Manfaatkanlah fasa terakhir Ramadan ini dengan meningkatkan amalan. Seperti orang yang sedang bersukan, di penghujung waktu ini merupakan waktu untuk melakukan pecutan terakhir bagi memastikan kemenangan. Maka gunakanlah kesempatan yang ada untuk kita dan ahli keluarga melakukan amal sebanyak-banyaknya. Boleh jadi ini Ramadan terakhir buat kita. Hanya Allah SWT jua yang mengetahuinya.

Firman Allah SWT: *Maksudnya: “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian – Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” (Surah al-‘Asr ayat 1-3)