May 24th, 2020

Khutbah Eidul Fitri : Menginsafi Diri Menuju Reda Ilahi”.

Petikan Khutbah Eidul Fitri : 24 Mei 2020 JAIS

Menginsafi Diri Menuju Reda Ilahi

Hari ini kita menyambut Eidul Fitri dalam suasana berbeza tidak sepertimana tahun-tahun lalu. Dengan ujian yang diberikan oleh Allah SWT, ia tetap disambut dengan suasana gembira dirumah dengan mengadakan Solat Sunat Eidul Fitri bersama-sama ahli keluarga. jais.jpgSebagai umat Islam kita yakin disebalik ujian ini sudah tentu ada hikmahnya yang tersendiri namun kita terus dituntut untuk bersyukur kepada Allah SWT.

Lebih-lebih lagi kita telah berjaya mengharungi bulan Ramadhan al-Mubarak dengan melakukan pelbagai ibadah, bersolat tarawih dirumah dan bertadarus bersama-sama keluarga termasuk secara online dengan rakan sekerja.

Oleh itu dipagi Eidul Fitri al-Mubarak yang penuh syahdu ini, dalam tempoh PKPB, marilah kita memperbanyak kesyukuran kepada Allah SWT bersama-sama keluarga kerana inilah tanda kesyukuran kita dalam melaksanakan ibadah sepanjang bulan Ramadhan. Sesungguhnya kita digalakkan untuk mengagungkan Allah kerana ianya petanda hidayah daripada-Nya.

Ini dijelaskan oleh Allah dalam surah al-Baqarah ayat 185 : “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.”

Eidul Fitri yang kita sambut ini adalah jambatan terbaik untuk menuju pengabdian kepada Allah. Setelah sebulan berjuang melawan hawa nafsu, kini kita adalah insan yang bersih suci dan kembali kepada fitrah Justeru marilah kita meneguhkan keimanan kita kepada Allah dengan menginsafi diri dan memelihara hubungan kita dengan Allah.

Ini termasuklah dengan menghitung diri berapa kali kita merujuk kepada Allah tatkala kita menghadapi masalah? Berapa banyak usaha yang kita lakukan ketika mana berhadapan ujian sama ada yang pahit atau manis yang dikurniakan kepada kita? Bukankah kita ada panduan yang jelas dan diajar oleh Rasulullah SAW, betapa kita harus berani dan yakin dengan ujian adalah sebagai satu cara untuk Allah didik kita. Adakah kita mempelajari sejarah betapa Islam telah mendidik kita agar berusaha sebaik mungkin untuk menghadapi ujian ini.

Begitulah Islam telah mengajar kita bagaimana harus bertindak dalam berhadapan dengan ujian wabak dan bala’. Ini jelas dalam hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina A’isyah Radhiallahu Anha yang pernah bertanya Rasulullah SAW mengenai wabak taun lalu Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Bahawa itu adalah azab Allah yang diutuskan kepada sesiapa yang dikehendaki dan Allah menjadikannya rahmat kepada orang-orang yang beriman. Tiadalah seseorang yang ditimpa bencana wabak ini lalu dia tinggal dalam negerinya dengan sabar dan percaya kepada takdir Allah, tidaklah menimpanya melainkan mengikut ketentuan yang ditetapkan oleh Allah, nescaya dia mendapat kelebihan mati syahid.” (Riwayat Al-Bukhari).

Justeru, kita seharusnya melakukan perkara yang diperintahkan oleh Allah. Jadikan langkah kita dalam mengharungi bulan Syawwal sebagai satu permulaan dalam meneruskan kehidupan yang terbaik sebagaimana yang dituntut oleh Islam. Rapatkan hubungan silaturrahim sesama sanak saudara, jiran tetangga dan sahabat handai kerana Allah dengan cara yang dibenarkan. Jangan jadikan Syawwal sebagai bulan pembaziran makanan dan melakukan semula pelbagai dosa. Buang segala sifat buruk yang telah kita lakukan seperti menyebarkan berita-berita palsu ataupun menabur fitnah. Semoga usaha kita dalam meningkatkan kesedaran ini akan menjadikan kita insan yang insaf diri dan menuju reda Ilahi.

Mengakhiri khutbah Eidul Fitri pada pagi ini marilah sama-sama kita mengambil iktibar beberapa pesanan dan nasihat seperti berikut:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa Eidul Fitri adalah nikmat Allah SWT yang wajib disyukuri.

2. Umat Islam hendaklah menginsafi diri dengan istiqamah dalam melakukan perintah dan menjauhi perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT.

3. Umat Islam hendaklah sentiasa bersabar dan memperbanyakkan solat agar pertolongan Allah SWT dapat diperolehi sepanjang masa.

“Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan (mengerjakan) salat, sesungguhnya Allah berserta orangorang yang sabar.” (al-Baqarah : 153).

Khutbah Aidilfitri (Di Rumah) Berbeza Namun Bermakna

Petikan Khutbah Aidilfitri (Di Rumah) 24 Mei 2020 1 Syawal 1441H JAKIM

Berbeza Namun Bermakna

Hari ini merupakan Eidul Fitri yang cukup istimewa dan bermakna buat kita semua. Sebagai hamba Allah, sepanjang Ramadan yang berlalu kita telah berusaha melakukan yang terbaik dalam menghidupkan Ramadan dengan pelbagai agenda ibadah siang dan malam semuanya kerana menjunjung perintah Allah SWT dan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.jakim.jpg

Semoga Allah SWT menerima semua amal ibadah kita. Marilah kita bersama-sama saling mendoakan dengan doa yang berbunyi: Yang bermaksud: Semoga Allah menerima daripadamu (segala amal ibadahmu).

Sesungguhnya Ramadan dan Syawal kali ini kita sambut dalam suasana yang berbeza namun bermakna. Sepanjang Ramadan kali ini kita telah bersama-sama belajar menjalani ibadah di rumah masing-masing dengan pengalaman baru yang pasti tidak akan kita lupakan selama-lamanya.

Seterusnya pada hari ini kita bersolat sunat Hari Raya dan berkhutbah pun di rumah masing-masing. Semoga ini semua menjadi asbab Allah SWT melimpahkan rahmahNya ke atas rumah dan keluarga kita semua. Inilah yang dimaksudkan dengan berbeza namun bermakna.

Suasana yang telah kita lalui ini banyak mengajar kita semua tentang hikmah kesabaran dan ketabahan, hikmah pergantungan dan penyerahan diri kepada Allah, hikmah ketaatan kepada ulamak dan umarak atau pemerintah, hikmah persahabatan dan persaudaraan, hikmah saling menghormati dan melengkapi antara satu sama lain serta pelbagai hikmah di sebalik musibah virus Covid-19 yang melanda dunia dan Negara kita.

Semua ini mudah-mudahan akan menjadikan kita semua hamba-hamba Allah yang semakin meningkat keimanan dan kesyukurannya kepada Allah, Tuhan yang Maha Mengetahui segala-galanya. Sebagai hamba Allah kita wajib yakin dengan janji Allah yang berfirman dalam surah al-Insyirah:Maksudnya: Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Surah al-Insyirah: ayat 5-6)

Untuk itu marilah kita bersama-sama terus merayakan Eidul Fitri pada hari ini dengan terus melakukan amal ibadah kepada Allah SWT. Semua yang kita lakukan sepanjang Ramadan hendaklah diteruskan khususnya amalan puasa sunat enam hari di bulan Syawal selain pembacaan Al-Quran dan sebagainya.

Pada masa yang sama kita hendaklah mematuhi segala arahan pihak berkuasa bersempena PKPB yang masih berjalan. Jangan kita lupa tentang bahawa keluarga di kampung masih boleh kita hubungi, sanak saudara masih boleh kita santuni, rakan-rakan masih boleh kita tanyakan khabar mereka walaupun tanpa agenda ziarah menziarahi di alam nyata tetapi masih boleh dilakukan di alam maya.

Khutbah Aidilfitri (Di Masjid) Ujian dan Kegembiraan

Petikan Khutbah Aidilfitri (Di Masjid) 24 Mei 2020 1 Syawal 1441H JAKIM

Ujian dan Kegembiraan

Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana telah selesai melaksanakan kewajipan dalam bulan Ramadan. Kita juga perlu bersyukur kerana diberi kesempatan meraikan Idul Fitri pada hari ini. Semoga segala amalan dan ibadah yang kita lakukan di terima Allah jakim.jpgsebagai amalan soleh.

Kita telah melalui Ramadan pada tahun ini dengan cara yang berbeza seperti kebiasaan sebelum ini. Bulan Ramadan kali ini kita tempuh bersekali dengan perjuangan melawan wabak penyakit Covid-19.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kita lalui pastinya telah memberi pelbagai macam cerita dan pengalaman baharu kepada semua rakyat Malaysia. Selain ujian kesabaran dalam bulan Ramadan, PKP ini juga merupakan medan ujian kepada kita semua. Orang-orang yang sabar dan patuh itulah orang yang berjaya.

*Maksudnya: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar” (Surah al-Baqarah ayat 155)

Idul Fitri yang kita raikan pada kali ini juga pastinya berbeza dengan kebiasaan yang kita sambut saban tahun. Hubungan kekeluargaan juga pastinya lebih erat kerana kita telah duduk bersama keluarga dalam tempoh PKP yang panjang.

Pastinya, kebersamaan kita bersama keluarga itu akan dapat memperbaiki dan mempereratkan lagi hubungan sesama ahli keluarga. Para suami telah menjalankan tanggungjawab sebagai imam solat jemaah,terawih dan bertadarus.

Ibu bapa dapat menguruskan rumah tangga dengan lebih baik bersama anak-anak dalam menguruskan kerja seharian di rumah. Pastinya itu merupakan suatu pengalaman yang sangat berharga yang akan dikenang sampai bila-bila.

Sebagai manusia, kita pastinya melakukan kesalahan sama ada kesalahan kepada Allah SWT mahupun kesalahan sesama manusia. Justeru, pada hari yang baik dan mulia ini, ketika semua sedang dalam keadaan gembira dan berlapang dada, maka marilah kita semua saling bermaafan. Ia tradisi baik yang perlu diteruskan sampai bila-bila.

Teknologi yang ada pada hari ini semakin memudahkan urusan kita untuk berhubung dengan sanak saudara. Gunakanlah ia dengan sebaiknya. Allah SWT berfirman dalam Surah al-A’raf ayat 199:*Maksudnya: “Terimalah apa-apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya)” (Surah al-A’raf ayat 199)

Marilah sama-sama kita mengamalkan norma baharu dalam menyambut idulfitri dan pastikan pentingnya menjaga kebersihan dan mengikuti peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.