June 5th, 2020

Khutbah Jumaat :“ ‘Hikmah Dan Pengajaran Disebalik COVID-19”.

Petikan Khutbah Jumaat 05 Jun 2020M /13 Syawwal 1441H:“ JAIS

‘Hikmah Dan Pengajaran Disebalik COVID-19”.

Kedatangan tahun 2020 ini kita diuji dan digemparkan dengan penularan wabak covid-19 diseluruh dunia. Kini wabak tersebut telah mengorbankan lebih 100 orang rakyat Malaysia dan ratusan ribu manusia di seluruh dunia dalam tempoh yang singkat. Ekoran daripada itu, ia telah menimbulkan ketakutan dan merencatkan perkembangan ekonomi dalam kalangan penduduk dunia. jais.jpg

Sesungguhnya kita yakin bahawa wabak ini adalah sebahagian daripada ujian Allah kepada umat manusia di abad ini.

Benarlah firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 155 yang dibaca di awal khutbah ini yang bermaksud: “Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.”

Kita sebagai orang yang beriman kepada Allah SWT yang Maha Perkasa lagi Bijaksana, sudah pasti meyakini bahawa di sebalik ujian wabak yang sedang kita hadapi ini sememangnya terdapat banyak hikmah dan pengajaran yang berharga yang perlu kita hayati.

Antaranya ialah, wabak ini mengajar kita bahawa kehendak dan kekuasaan Allah SWT mengatasi kehendak dan kekuasaan manusia.

Segala kepintaran akal dan kecanggihan teknologi ciptaan manusia masih belum menemui penawar bagi menghadapi virus yang sekecil itu. Segala urusan dan segenap aktiviti manusia telah tergendala.

Semua manusia terpaksa akur dan berserah kepada kehendak dan kekuasaan Allah SWT Pencipta sekalian alam.

Covid-19 juga mengajar kita supaya sentiasa menjaga kebersihan diri dan berdisiplin dalam kehidupan.

Untuk memastikan kita terselamat dari dijangkiti virus ini, kita diminta supaya mencuci tangan dengan kerap bahkan sentiasa membersihkan badan. Kita juga perlu menjaga jarak dan tidak batuk atau bersin ke arah orang lain.

Kita diarahkan beratur ketika berurusan dengan pihak lain. Semua arahan dan peraturan ini perlu dipatuhi bagi memutuskan rantaian jangkitan virus ini, sekaligus mendidik kita tentang peri pentingnya kebersihan dan disiplin diri dalam kehidupan harian.

Antara hikmah lainnya, ia mengajar kita supaya lebih bersyukur dan bersabar dalam kehidupan.

Sebelum wabak ini melanda negara kita, ada dalam kalangan kita yang tidak pernah merasai keperitan kemiskinan, terhad pergerakannya, sukarnya mendidik pelajar dan seumpamanya.

Sekarang kita semua terpaksa menghadapi kelembapan ekonomi, tidak dapat bergerak bebas dan terpaksa mendidik dan mengawal sendiri kenakalan anak-anak.

Hal ini akan membawa kita merasa lebih bersyukur atas nikmat kurniaan dan bersabar terhadap ketetapan Allah.

Kesan daripada wabak ini, semua ahli keluarga terpaksa berada di rumah, tidak dibenarkan keluar kemana-mana.

Dalam tempoh ini hubungan ahli keluarga didapati bertambah erat. Anak-anak mendapat perhatian dan bergaul dangan dengan ibu bapa dalam masa yang lebih lama.

Salah faham dalam kalangan suami isteri berkurangan, bahkan ada yang hampir-hampir hendak bercerai bertaut kukuh semula.

Demikianlah antara hikmah dan pengajaran yang dapat kita ambil dari wabak covid-19 ini.

Bagi mengakhiri khutbah pada hari ini marilah kita memberi perhatian kepada perkara berikut:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa segala penyakit adalah datang daripada Allah SWT dan kepada-Nyalah kita mohon kesembuhan.

2. Umat Islam hendaklan mengambil pengajaran daripada wabak Covid-19 ini bagi meneruskan hidup dengan normal baru yang lebih bertanggungjawab dan berdisiplin.

3. Umat Islam hendaklah sentiasa merasai bahawa kehidupan ini adalah satu ujian daripada Allah SWT untuk melihat siapakah hambahambanya yang bersyukur dan bersabar


“Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).” (al-Mulk : 2)

Khutbah Jumaat: Pemimpin Yang Diredhai

Petikan Khutbah Jumaat 5 Jun 2020M/ 13 Syawal 1441H JAKIM

Pemimpin Yang Diredhai

Islam memandang tinggi kedudukan seseorang pemimpin. Apatah lagi jika pemimpin itu bersikap adil, melaksanakan amanah, menyuruh kepada kebaikan dan menegah kemungkaran. Rasulullah SAW juga menyatakan bahawa pemimpin yang adil itu termasuk jakim.jpgdalam golongan yang dinaungi arasy pada hari akhirat kelak.

Setiap pemimpin juga akan dipersoalkan kebertanggungjawaban mereka pada hari akhirat nanti. Bukanlah jawatan pemimpin itu untuk seseorang itu bermegah-megah. Bahkan, setiap tindakan mereka menjadi penyebab kepada kesejahteraan dan keharmonian sesebuah Negara yang dipimpinnya. Setiap tindakan itu juga akan turut dipersoalkan oleh Allah SWT.

Rakyat seharusnya taat kepada pemimpin. Apatah lagi jika pemimpin itu bersikap adil dan melaksanakan amanahnya dengan baik. Mentaati pemimpin itu juga merupakan tanggungjawab yang akan dipersoalkan oleh Allah SWT kelak. Rasulullah SAW mengingatkan:Mafhumnya: “Sekalipun hanya seorang hamba yang dijadikan pemimpin yang memerintah kamu tetapi sesuai dengan kitabullah maka hendaklah kamu dengar dan mentaatinya” (Hadis riwayat Muslim)

Firman Allah SWT:Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” (Surah al-Nisaa ayat 95)