July 10th, 2020

Khutbah Jumaat : Jangan Lalai Buang Keegoan

Petikan Khutbah Jumaat 10 Julai 2020M / 18 Zul Qa’dah 1441H: JAIS

“Jangan Lalai Buang Keegoan”.

Hari ini genap seminggu semua masjid, surau kebenaran Jumaat dan surau di seluruh negeri Selangor dibuka semula. Alhamdulillah solat Jumaat dan solat fardhu lima waktu telah dibenarkan dengan ketetapan-ketetapan tertentu atau Prosedur Operasi Standard jais.jpg(S.O.P).

Umat Islam juga telah berpeluang mengimarahkan kembali rumah-rumah Allah SWT dengan majlis ilmu. Semoga kita tergolong dalam kalangan mereka yang disebutkan dalam ayat 18 surah al-Taubah yang bermaksud: “Hanya sanya yang (layak) memakmurkan (menghidupkan) masjidmasjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan orang-orang yang mendapat petunjuk”.

Namun, dalam nikmat pengimarahan tersebut, jangan sesekali kita lalai walau sesaat, kerana wabak COVID-19 belum lagi berakhir.

Tambahan pula kita masih dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Ingatlah, kelalaian kita termasuk ego, sikap mengambil mudah dan memperlekeh ketetapan yang dibuat bakal mengundang mudharat.

Islam mengajar umatnya agar sentiasa berwaspada dan tidak lalai. Orang yang lalai dengan dunia sehingga tidak beramal soleh adalah orang yang rugi dan menyesal pada hari akhirat nanti.

Lalai juga adalah punca dan sebab kerugian di dunia yang boleh mengancam keselamatan dan kehidupan manusia. Jika seorang pelajar lalai ketika menuntut ilmu, gagal padahnya. Jika seorang pemandu lalai ketika memandu, maut padahnya.

Maka lalainya kita daripada mematuhi S.O.P. walaupun ketika mengimarahkan rumah Allah maka kesihatan dan nyawa kita akan terancam.

Dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19, setelah mengambil kira pandangan pakar dalam bidang perubatan, para ulama dan pihak ulil amri telah menetapkan hukum tertentu dan panduan S.O.P. buat seluruh umat Islam dalam melaksanakan ibadah solat berjemaah di masjid dan surau.

Penjarakan sosial, memakai pelitup mulut dan hidung, menggunakan sejadah sendiri, tidak bersalaman dan sebagainya tidak lain adalah bertujuan untuk menjaga nyawa dan mengelakkan kemudharatan. Ini kerana pertimbangan ل زا ي ر ر ض ال iaitu mudharat itu mesti dihilangkan adalah sangat diambil berat.

Hakikatnya, merekalah yang tidak bertakwa kepada Allah SWT. Kerana orang yang benar-benar takut kepada Allah dengan takwa hakiki akan sentiasa mengikut petunjuk syarak. Allah SWT melarang kita menjerumuskan diri ke dalam bahaya kebinasaan.

Firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 195 sebagaimana ayat dalam muqaddimah khutbah bermaksud: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri ke dalam bahaya kebinasaan. Dan baikilah perbuatan kamu, kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha supaya baik amalannya”.

Nabi SAW pula mengajar kita agar lari daripada wabak penyakit berjangkit. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa nabi SAW bersabda: “Dan lari lah daripada penyakit kusta (yang berjangkit) seperti mana kamu lari daripada singa” (Riwayat al-Bukhari).

Di samping itu, nabi SAW juga tidak bersalaman dengan seorang lelaki ketika berbai’ah untuk mengelakkan penyakit dan mudharat menjangkitinya. Diriwayatkan daripada ‘Amru bin al-Syarid daripada bapanya:“Adalah dalam delegasi Thaqif (yang akan berbai’ah) terdapat seorang lelaki yang ada penyakit kusta, lalu Rasulullah SAW mengutuskan seseorang bertemu dengannya lalu berkata: Sesungguhnya kami telah menerima bai’ah kamu. Kerana itu, kamu boleh beredar pulang”. (Riwayat Muslim).

Inilah panduan syarak daripada pedoman al-Quran dan al-Sunnah. Maka, orang yang mematuhi S.O.P. lah yang sebenarnya takutkan Allah SWT. Justeru, apabila seseorang sengaja lalai dengan tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pemerintah, ini bererti dia tidak takutkan Allah, bahkan sengaja telah mendedahkan diri dan orang lain kepada kemudharatan.

Dengan keimanan kita terhadap qadha dan qadar, ia langsung tidak menafikan usaha dan ikhtiar. Malah kita diperintahkan agar segera berubat apabila ditimpa dengan sesuatu penyakit. Dengan izin Allah yang maha berkehendak, Dia lah yang maha menyembuhkan. Diriwayatkan daripada Abu Darda’ Radhiallahu Anhu bahawa nabi SAW bersabda:"Sesungguhnya Allah yang menurunkan penyakit dan ubat. Dan Dia menjadikan setiap penyakit itu ada ubatnya, maka berubatlah dan jangan berubat dengan perkara yang haram”. (Riwayat Abu Daud).

Oleh kerana wabak COVID-19 ini masih tiada ubat dan vaksin penawar yang boleh menghalang jangkitannya, maka segala peraturan dan S.O.P. lah vaksin dan ubatnya yang terbaik buat masa ini. Kita sangat bersyukur kerana dengan izin Allah negara kita sangat bertuah jika dibandingkan dengan negara-negara lain.

Di saat kes positif di negara kita menurun, namun ia meningkat secara mendadak di negara lain bahkan sangat menggerunkan dengan jumlah kematian yang tinggi.

Kesyukuran ini menuntut kita untuk terus berwaspada tidak lali, tidak sombong dan ego bagi mengelakkan tercetusnya gelombang baru yang dikaitkan dengan institusi agama seperti masjid dan surau.

Atas dasar inilah pihak ulil amri menetapkan S.O.P. tertentu dalam memberi kebenaran dan keizinan agar masjid-masjid, surau kebenaran Jumaat dan surau dibuka semula. Kapasiti masjid dan surau kebenaran Jumaat pastinya terhad untuk menampung jemaah yang ramai berikutan peraturan dan S.O.P. yang ditetapkan.

Hanya yang mendaftar dan mendapat kad kehadiran dikira wajib menunaikan solat Jumaat. Selainnya adalah dikira terhalang dengan keuzuran dan tidak wajib menunaikan solat Jumaat.

Mereka dibenarkan oleh syarak untuk menggantikan dengan solat Zohor. Bagi yang ingin melaksanakan solat Zohor di surau pula, maka hendaklah menunggu selepas 30 minit untuk memberi laluan khutbah Jumaat di masjid berdekatan selesai dahulu.

Marilah kita bersatu atas dasar akidah Islam yang pasti dan disimpul mati. Bersatu dalam apa jua situasi, persekitaran dan ancaman musuh yang terang dan berselindung. Bersatunya umat Islam adalah kekuatan paling dasar ke arah pembinaan Khaira Ummah (umat terbaik).

Umat Islam berhak untuk berbeza pendapat, apalagi dalam soal urusan duniawi, namun umat Islam hendaklah terus bersatu dalam fikrah dan kefahaman mengikut garis rentas kalimah هلل إ لل إ له إ لا ,prinsip-prinsip penegasan alQuran dan al-Hadis serta prinsip persaudaraan Islam yang kukuh.

Begitu juga halnya, umat Islam perlu bersama dan bersatu menghadapi pandemik COVID-19 yang masih tidak menentu pada masa ini.

Justeru, pegawai dan ahli jawatankuasa masjid yang diberi amanah melaksanakan penguatkuasaan S.O.P. di masjid dan surau masingmasing, amat memerlukan sokongan padu daripada ahli jemaah dan masyarakat seluruhnya dengan kesatuan sikap dan sifat memahami peranan masing-masing.

Bersatu dalam memahami ketetapan, berdisiplin, sabar, tabah dan berikhtiar dalam kapasiti masing-masing bagi memutuskan sama sekali penularan COVID-19.

Mengakhiri khutbah kali ini, khatib ingin berpesan kepada hadhirin sekalian agar mengambil pedoman-pedoman berikut:

1. Umat Islam wajib mengikut panduan syara’ dan patuh kepada keputusan ulil amri dalam perkara kebaikan dan bukan maksiat.

2. Umat Islam mesti mengelakkan semua bentuk kebinasaan dan mudharat ke atas diri sendiri dan orang lain.

3. Umat Islam hendaklah terus berzikir dan berdoa kepada Allah SWT termasuk Qunut Nazilah agar wabak COVID-19 segera diangkat, dan jangan sekali-kali lalai.

“Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintah-Nya), dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai.” (al-A’araf : 205).

Khutbah Jumaat: Beringat sebelum melarat

Petikan Khutbah Jumaat 10 Julai 2020M/ 18 Zulkaedah 1441H JAKIM

Beringat Sebelum Melarat

Islam amat menitikberatkan soal keselamatan manusia apabila berhadapan dengan situasi yang memudaratkan. Usaha kita memutuskan rantaian penularan Covid-19 masih lagi berjalan. Walaupun banyak kelonggaran telah diberikan, bukan bermaksud kita sudah bebas melaksanakan aktiviti harian seperti kebiasaan sebelum ini.

jakim.jpgKita masih lagi perlu mematuhi setiap garis panduan dan ketetapan yang telah ditentukan. Walaupun kita dapati keadaan semakin pulih, bukan bermaksud, wabak itu sudah tiada, hakikatnya, kita tetap perlu berwaspada setiap masa. Lumrahnya, kita sering terlupa dan lalai dengan dua nikmat yang besar ini.

Sabda Rasulullah SAW:“Dua kenikmatan yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia ialah kesihatan dan waktu lapang.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Kita sekarang berada dalam fasa pemulihan dari pandemik wabak Covid-19 di Negara ini. Dalam fasa ini, kita semua bertanggungjawab memelihara diri dan persekitaran kita daripada jangkitan wabak Covid-19. Usah terleka dengan bilangan kes rendah yang dicatatkan setiap hari.

Langkah pencegahan yang disarankan tetap mesti dibuat. Garis panduan dan ketetapan yang telah dibuat masih perlu dipatuhi. Janganlah kita bersikap sambil lewa. Kita sudah menyaksikan betapa para petugas barisan hadapan sejak daripada awal lagi telah bertungkus lumus memastikan jangkitan Covid-19 menurun dan terputus, jadi janganlah kita dengan mudah mencetuskan semula wabak ini dengan sikap sambil lewa kita.

Firman Allah SWT: “Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya.” (Surah al-Ra’du ayat 11)

Khutbah Jumaat: Kestabilan Ekonomi Menjamin Rumah Tangga Bahagia

Petikan Khutbah Jumaat 10 Julai 2020M/ 18 Zulkaedah 1441H JAWI

Kestabilan Ekonomi Menjamin Rumah Tangga Bahagia

Wabak pandemik Covid-19 yang melanda dunia telah menjejaskan pertumbuhan dan perkembangan ekonomi sejagat.

Kesannya turut dirasai oleh kebanyakan isi rumah apabila sumber pendapatan telah terjejas.
jawi_logo.jpg
Dalam hal ini, kesedaran dan kefahaman terhadap pengurusan ekonomi keluarga sangat penting bagi menjamin kestabilan dan keharmonian kehidupan anggota keluarga.

Realiti hari ini menunjukkan bahawa kegagalan menguruskan ekonomi menjadi salah satu faktor kegagalan dan keruntuhan institusi rumah tangga.

Ia juga menyumbang kepada pelbagai masalah seperti pengabaian tanggungjawab berkaitan nafkah, pendidikan anak-anak, keberhutangan yang tinggi dan sebagainya.

Justeru, pengurusan ekonomi keluarga sangat bergantung kepada ketua keluarga.

Renungkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim RH daripada Thauban RA, Rasulullah SAW bersabda : “Sebaik-baik dinar (wang atau harta) yang dinafkahkan seseorang ialah dinar yang dinafkahkan untuk keluarganya.”

Suami dan isteri mestilah saling memahami dalam menjalankan peranan dan tanggungjawab masing-masing.

Pastikan setiap harta yang diperolehi daripada sumber yang halal dan belanjakanlah ia dengan cara yang dikehendaki syarak.

Amalkan sikap saling berkongsi, bertolak ansur dan bijak menentukan di antara keperluan yang lebih utama dengan kehendak semata-mata di samping berjimat cermat.

Dalam pada itu, rancanglah perbelanjaan harta untuk tujuan kebaikan dan kebajikan seisi keluarga. Jauhilah sifat bakhil pada sesetengah perkara dan sifat boros pada perkara yang lain. Ingatlah bahawa Islam amat mementingkan kesederhanaan.

Justeru, amalkanlah gaya hidup yang sesuai dengan tahap ekonomi kita di samping membuat simpanan untuk masa hadapan.

Janganlah mudah terpedaya dengan gaya hidup mewah sehingga akhirnya ia membebankan diri sendiri dan keluarga.

Sebagai ketua keluarga, berikan juga pendidikan yang sewajarnya kepada setiap anggota keluarga terutama anak-anak mengenai pengurusan kewangan yang berhemah.

Budayakan dalam diri mereka amalan memberi sedekah walaupun dengan nilai yang sedikit.

Sesungguhnya, dengan melazimi sedekah akan membuahkan keberkatan dan kecukupan dalam rezeki dan kehidupan.


Mengakhiri khutbah, marilah kita sama-sama berusaha menjaga kestabilan ekonomi keluarga demi menjamin kebahagiaan hidup di dunia hingga akhirat.

Firman Allah SWT di dalam surah at-Talaaq ayat 7 : “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah dia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.”