July 31st, 2020

Khutbah Aidul Adha : Pengajaran Ibadah Korban

Petikan Aidul Adha 10 Zulhijjah 1441H:JAIS

Pengajaran Ibadah Korban

Hari ini kita menyambut Eidul Adha dengan penuh rasa ketakwaan dan kesyukuran. Kita sambut dengan bertakbir, solat sunat Eidul Adha, mendengar khutbah dan menyembelih binatang korban. Walaupun masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan jais.jpgPemulihan (PKPP), Eidul Adha tetap dirayakan dengan penuh disiplin, mengikut SOP ditetapkan dan kawalan kendiri masing-masing bagi mengelakkan sebarang penularan semula Covid-19

Eidul Adha mengajar kita erti sebuah pengorbanan yang bersifat Taabudiah atau kepatuhan dan ketaatan yang tidak berbelah bagi, yang tidak boleh dipersoalkan dan dipertikaikan mengikut logik akal. Sesungguhnya hanya Allah Yang Maha Besar lagi Maha bijaksana dengan segala ketetapan-Nya.

Segala ruang lingkup kehidupan manusia hanya kerana Allah. Maha Suci Allah dari segala sifat makhluk. Kita sebagai manusia adalah serba lemah dan hina di sisi Allah. Namun Allah Maha Pengasih dengan memberikan pelbagai nikmat antaranya nikmat kesihatan, kesejahteraan dan kekuatan untuk terus mengerjakan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya.

Oleh itu, marilah kita membesarkan Al-Khalik dengan bertakbir sehingga 13 Zulhijjah dengan penuh rasa insaf dan syukur.

Ibadah korban adalah amalan yang sangat dituntut dalam Islam. Tujuannya adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ibadah korban adalah satu ekosistem kemasyarakatan yang berkait rapat dengan rangkaian kehidupan si kaya dan si miskin, rangkaian kehidupan dan kematian, dan rangkaian pemupukkan kehidupan bermasyarakat seterusnyanya.

Lalu kebaikan yang terserlah adalah terpaut eratnya hubungan persaudaraan antara anggota masyarakat dan menanamkan semangat hidup berjemaah serta berkasih sayang.

Allah menyuruh umat Islam untuk melakukan ibadah korban berdasarkan firman-Nya dalam surah al-Hajj ayat 36: “Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syiar ugama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu.”

Ibadah korban juga dapat mengajar dan mendidik kita bahawa berkorban adalah suatu perkara yang memerlukan langkah dan strategi yang betul, berilmu pengetahuan dan tekad yang jitu untuk melaksanakannya.

Bukan suatu perkara yang mengikut hal keadaan biasa, dan kewangan yang ada. Usaha bagi mengambil bahagian dalam ibadah korban memerlukan langkah-langkah yang memungkinkan ianya dapat dilaksanakan setiap tahun.

Tidak kira sama ada melakukan korban dengan satu bahagian atau lebih. Disitulah hakikat ketakwaan yang panjang dan tidak pernah putus kepada Allah.

Allah hanya menerima ibadah korban jika dilaksanakan semata-mata kerana takwa kepada Allah SWT. Allah SWT berfirman dalam surah al-Hajj ayat 37: “Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu.”

Pengajaran yang besar dalam ibadah korban ini ialah menghayati dan mencontohi semangat pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim A.S. Nabi Ibrahim A.S. melaksanakan perintah Allah untuk menyembelih anaknya yang dikasihi iaitu Nabi Ismail A.S.

Perintah menyembelih ini adalah satu ujian yang amat berat. Nabi Ibrahim A.S. korbankan kasih anak dengan memilih keredhaan Allah. Ini bererti Nabi Ibrahim A.S. telah termasuk dalam golongan orang yang berbuat kebaikan. Maka dengan itu, Allah membalas orang yang melakukan kebaikan dengan kegembiraan.

Allah berfirman dalam surah As-Saffat ayat 107: “Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar”

Mengimbau pengorbanan Nabi Ibrahim A.S., umat Islam hendaklah tunduk dan patuh dengan melaksanakan apa-apa yang diperintahkan oleh Allah dan sentiasa ingat kepada ancaman Allah jika tidak mematuhi perintah Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa ayat 14: “Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya, dan melampaui batas-batas Syariat-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekalah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina.”

Oleh itu, setiap pengorbanan untuk mencari keredhaan Allah akan dibalas dengan kebaikan dari Allah. Sebagai contoh, Allah turunkan ujian besar dengan virus Covid-19 yang membawa maut ratusan ribu manusia di seluruh dunia, maka sudah tentu memerlukan pengorbanan dan kesabaran.

Memerlukan kepatuhan yang tinggi kepada ketetapan yang dibuat oleh pemerintah atau ulil amri. Berkorban untuk tidak melakukan yang biasa, sebaliknya hari ini sebarang langkah dan tindakan yang silap akan mengundang kesan yang berbahaya dan menjadi malang kepada orang lain, keluarga, masyarakat dan negara. Alhamdulillah, dengan berkat tabah dan taat, maka Allah hilangkan virus ini sedikit demi sedikit untuk kita jalani kehidupan dengan lebih baik dan ceria.

Marilah kita bersatu atas dasar akidah Islam yang pasti dan disimpul mati. Bersatu dalam apa jua situasi, bersatu teguh menghadapi persekitaran dan ancaman musuh yang terang dan terselindung.

Bersatunya umat Islam adalah kekuatan paling dasar ke arah pembinaan Khaira Ummah (umat terbaik). Umat Islam berhak untuk berbeza pendapat, apalagi dalam soal urusan duniawi, namun umat Islam hendaklah terus bersatu dalam fikrah dan kefahaman mengikut garis rentas kalimah هللا إال إله ال ,prinsip-prinsip penegasan al-Quran dan al-Hadis serta prinsip persaudaraan Islam yang kukuh.

Sebagai mengakhiri khutbah, bersama ini disampaikan beberapa pengajaran penting dalam ibadah korban:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa amalan ibadah korban adalah suatu yang menambah keyakinan bahawa hanya Islam sahaja sebagai cara hidup sahih atau Ad-Din di sisi Allah.

2. Umat Islam wajib mensyukuri dan membesarkan Allah setiap waktu.

3. Umat Islam hendaklah ikhlas, redha dan sabar dalam melaksanakan perintah Allah dan pemimpin.

4. Umat Islam hendaklah mencontohi kesetiaan Nabi Ibrahim A.S. dalam mengutamakan pelaksanaan perintah Allah SWT.

“Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orangorang yang datang kemudian. Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!". (al-Saffat : 108-109).

Khutbah Aidiladha: Ketaatan Menyubur Keimanan

Petikan Khutbah Aidiladha 31 Julai 2020M/ 10 Zulhijjah 1441H JAWI

(KHAS AIDILADHA )

Ketaatan Menyubur Keimanan

Alhamdulillah, Allah SWT masih mengizinkan kita untuk bersama-sama berhimpun dan menunaikan solat sunat Aidiladha dalam suasana jawi_logo.jpgnorma baharu biarpun kita masih berhadapan dengan pandemik COVID-19.

Sebagai tanda kita mengagungkan Allah SWT, marilah kita memperbanyak lafaz takbir, tahlil dan tahmid bermula hari ini dan sepanjang hari-hari tasyrik. Mudah-mudahan ia dapat menghidupkan hati dan jiwa dengan mengagungkan Allah SWT.

Hakikatnya, aidiladha sangat berkait dengan perjuangan dan pengorbanan Nabi Ibrahim AS. Lihatlah bagaimana ketaatan yang ditunjukkan oleh baginda AS, isterinya Hajar dan anaknya Nabi Ismail AS terhadap perintah Allah SWT.


Inilah keluarga mithali yang menjadi contoh kepada umat Islam apabila ketaatan kepada perintah Allah SWT lebih diutamakan daripada kehendak diri sendiri. Mereka menunjukkan sifat sabar dan reda dengan ujian keimanan yang sangat menguji kekuatan rohani dan jasmani.


Firman Allah SWT di dalam surah as-Saaffaat ayat 102 yang bermaksud : “Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.”


Kisah pengorbanan mulia ini mesti kita hayati. Ambillah ibrah daripadanya dalam usaha kita mendidik jiwa kita supaya sentiasa meletakkan ketaatan kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW melebihi segala-galanya.



Justeru, antara ibrah yang boleh dijadikan pedoman ialah:

Pertama : Ketakwaan dan ketaatan kepada Allah SWT mesti dikukuhkan melalui sepenuh keyakinan kepada setiap perintah-Nya. Ia akan mengikis segala perasaan curiga atau prasangka yang boleh menyebabkan keingkaran terhadap perintah Allah SWT.

Kedua : Pelihara hubungan dengan Allah SWT pada setiap masa melalui ibadah yang ikhlas. Dengannya, hubungan sesama manusia juga akan turut terpelihara.

Ketiga : Ibadah korban akan mengikis segala sifat bakhil yang merosakkan hubungan sesama manusia dan ia sebagai tanda mensyukuri nikmat kurniaan Allah SWT.

Mengakhiri khutbah, marilah kita sama-sama berusaha membentuk diri yang sanggup berkorban jiwa dan harta demi Islam tercinta.



Firman Allah SWT di dalam surah al-Mumtahanah ayat 6 : “Demi sesungguhnya! Adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan (balasan baik) hari akhirat. Dan sesiapa yang berpaling daripada mencontohi mereka, (maka padahnya akan menimpa dirinya sendiri), kerana sesungguhnya Allah Dialah Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.”

Khutbah Idul Adha: Pengorbanan Dalam Pengorbanan

Petikan Khutbah Idul Adha 10 Zulhijjah 1441H JAKIM

Pengorbanan Dalam Pengorbanan

Tibanya Idul Adha mengingatkan kita kepada beberapa peristiwa besar dalam sejarah Islam. Idul Adha pada tahun ini pastinya sedikit berbeza berbanding Idul Adha yang diraikan sebelum ini.
jakim.jpg
Kita menyambut Idul Adha pada kali ini dengan suatu kebiasaan baharu (new normal) dengan menuruti garis panduan dan prosedur operasi standard (S.O.P) yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.


Pastinya juga, ibadah haji pada tahun ini tidak dapat dilaksanakan sebagaimana sebelum ini seperti yang diputuskan oleh Kerajaan.


Keputusan itu tidak lain merupakan salah satu usaha menjaga nyawa yang termasuk dalam Maqasid al-Syariah. Idul Adha sinonim dengan ibadah penyembelihan binatang ternakan.


Mengambil pengajaran dari Kisah Nabi Ibrahim yang patuh kepada arahan Allah SWT untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail AS.


Kita juga seharusnya patuh dan taat kepada segala perintah Allah SWT dan Rasulullah SAW.


Pada hari ini dan hari-hari Tasyriq (11 – 13 Zulhijjah), sebahagian kita akan melaksanakan ibadah korban. Tunaikanlah ibadah korban mengikut kaifiat yang benar di sisi Islam.


Bahagikanlah daging-daging korban dengan betul kepada yang berhak menerimanya. Berdasarkan sirah, Rasulullah SAW sendiri telah melaksanakan ibadah korban dengan dua ekor kibasy yang cantik menarik, berwarna putih bersih bercampur hitam dan bertanduk.


Rasulullah SAW juga menyembelih sendiri haiwan korban tersebut. Ingatlah bahawa ibadah korban bukanlah yang dimaksudkan dengan menyembelih binatang ternakan semata-mata, bahkan tuntutan sebenar melaksanakan korban ialah pada keikhlasan, pengharapan, dan ketakwaan kepada Allah SWT.


Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hajj ayat 37:“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu. Demikanlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orangorang yang berusaha supaya baik amalnya”


Menularnya wabak Covid-19 memberi banyak pengajaran kepada kita semua. Dalam usaha Negara memerangi pandemik wabak ini, para petugas barisan hadapan telah memainkan peranan yang sangat penting sejak awal lagi bagi memastikan usaha memutuskan rantaian jangkitan.


Usaha ini juga menunjukkan perkembangan positif hasil kerjasama rakyat yang menunjukkan kepatuhan yang tinggi terhadap perintah-perintah yang dibuat dari semasa ke semasa, juga ia berlaku dengan izin Allah SWT.


Namun, harus diingat bahawa wabak ini belum berakhir sepenuhnya. Maka wajib bagi kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran serta terus bermunajat kepada Allah SWT dan dalam masa yang sama terus mematuhi garis panduan dan prosedur operasi standard (S.O.P) yang telah ditetapkan.


Itulah pengorbanan yang perlu dilakukan oleh kita semua. Mudah-mudahan dengan kepatuhan dan ketaatan yang ditunjukkan, akan dapat memutuskan rantaian jangkitan covid-19 ini. Insya-Allah.


Firman Allah SWT:“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.” (Surah al-Ankabuut ayat 69)

Khutbah Jumaat: Saudaraku Dialah Saudaraku

Petikan Khutbah Jumaat 31 Julai 2020M / 10 Zulhijjah 1441H: JAIS

Saudaraku Dialah Saudaraku

Alhamdulillah, kita bersyukur kehadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya dapat kita meraikan Eidul Adha tahun ini. Kita juga dapat melaksanakan ibadah korban yang disyariatkan oleh Allah SWT. Dalam pelaksanaan korban, kita bersama-sama menginfakkan jais.jpgharta, kerja bergotong royong dan mengagihkan daging korban kepada para jemaah.

Amalan ini bukan sahaja sebagai ibadah, tetapi secara tidak langsung telah menjalin silaturrahim dan merapatkan lagi hubungan persaudaraan dalam kalangan kita. Sesungguhnya persaudaraan menurut Islam bukan sahaja pada keturunan, suku sakat atau bangsa, tetapi persaudaraan kita adalah kerana satu agama satu akidah dan satu kiblat.

Justeru, orang yang bersaudara mempunyai tanggungjawab tertentu terhadap saudaranya sesama Islam sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 10: “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

Menurut Tafsir al-Maraghiy, orang mukmin itu berketurunan daripada satu pangkat iaitu iman yang menyebabkan mereka memperoleh kebahagiaan yang abadi. Hubungan dua orang bersaudara di dalam agama adalah seperti hubungan nasab diantara dua orang yang bersaudara dan mempunyai tanggungjawab tertentu.

Apakah tanggungjawab kita terhadap saudara kita? Rasulullah SAW menjelaskan dalam sebuah hadis beberapa larangan yang tidak boleh kita akukan kepada saudara kita, sebagaimana hadis yang daripada Abu Hurairah Radhialllahu Anhu bahawa Nabi SAW bersabda: “Janganlah kalian saling dengki, saling menipu, saling marah dan saling memutuskan hubungan. Dan janganlah kalian menjual sesuatu yang telah dijual kepada orang lain. Jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim adalah saudara bagi muslim yang lainnya, (dia) tidak menzaliminya dan mengabaikannya, tidak mendustakannya dan tidak menghinanya. Takwa itu disini (seraya menunjuk dadanya sebanyak tiga kali). Cukuplah seorang muslim dikatakan buruk jika dia menghina saudaranya yang muslim. Setiap muslim atas muslim yang lain; haram darahnya, hartanya dan kehormatannya.” (Riwayat Muslim).

Selain daripada itu, kita dikehendaki juga menutup keaiban saudara kita daripada diketahui oleh orang lain sebagaimana hadis daripada Abdullah bin Umar Radhiallahu Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menutup aib seseorang Muslim nescaya Allah akan menutup aibnya pada hari kiamat kelak.” (Riwayat al-Bukhari).

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW juga memberi ingatan seseorang yang bermusuh dengan saudaranya diakhirat kelak tidak akan masuk syurga. Sebagaimana hadis daripada Jubair bin Muth’im Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturrahim.” (Riwayat Muslim).

Marilah kita bersatu atas dasar akidah Islam yang pasti dan disimpul mati. Bersatu dalam apa jua situasi, bersatu teguh menghadapi persekitaran dan ancaman musuh yang terang dan terselindung. Bersatunya umat Islam adalah kekuatan paling dasar ke arah pembinaan Khaira Ummah (umat terbaik). Umat Islam berhak untuk berbeza pendapat, apalagi dalam soal urusan duniawi, namun umat Islam hendaklah terus bersatu dalam fikrah dan kefahaman mengikut garis rentas kalimah هللا إال إله ال ,prinsip-prinsip penegasan al-Quran dan alHadis serta prinsip persaudaraan Islam yang kukuh.

Tahun ini kita diuji oleh Allah SWT dengan gejala Covid-19, tetapi dengan kerjasama saudara, seluruh rakyat Malaysia, maka musibah ini kelihatan berkurangan dengan izin Allah SWT. Adalah diharapkan kerjasama ini terus diamalkan supaya keadaan Negara kembali seperti sediakala.

Mengakhiri khutbah hari ini, marilah kita hayati tausiah berikut:

1. Umat Islam hendaklah yakin bahawa menjalin persaudaraan dalam kalangan umat Islam adalah satu perintah dari Allah SWT.

2. Setiap umat Islam ada tanggungjawab yang mesti ditunaikan terhadap umat Islam yang lain.

3. Umat Islam yang berbalah sesama saudara seagama akan menerima siksaan yang pedih diakhirat kelak

“Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah bercerai-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar.” (Ali Imran : 105).

Khutbah Jumaat Hakikat Pengorbanan

Petikan Khutbah Jumaat 10 Zulhijjah 1441H/ 31 Julai 2020M JAWI

Hakikat Pengorbanan

Pandemik COVID-19 yang masih belum reda di negara kita tentunya telah memberi kesan yang mendalam kepada semua lapisan masyarakat.

Ia memerlukan pengorbanan semua dalam memastikan penularannya dapat dibendung lebih-lebih lagi para petugas barisan hadapan.
jawi_logo.jpg
Mereka telah banyak berkorban masa dan tenaga demi memastikan masyarakat terpelihara daripada dijangkiti wabak ini. Inilah contoh pengorbanan yang mesti kita hargai dengan sama-sama mematuhi setiap garis panduan yang telah ditetapkan oleh kerajaan dalam menjalani kehidupan seharian.

Zulhijjah mengingatkan kita tentang kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang telah diperintahkan Allah SWT supaya mengorbankan anaknya Nabi Ismail AS.

Ini adalah nilai pengorbanan yang cukup tinggi di sisi Allah SWT kerana ia bukan sahaja menguji kesabaran Nabi Ibrahim AS tetapi menduga sejauh mana ketakwaan baginda kepada Allah SWT.

Rentetan daripada peristiwa inilah disyariatkan untuk kita melaksanakan ibadah korban.

Ibadah korban memerlukan kesungguhan dan kesanggupan mengorbankan harta. Dalam suasana ketidaktentuan ekonomi yang sedang kita hadapi hari ini, Islam amat menggalakkan umatnya memiliki sifat berkorban demi membantu orang yang kurang bernasib baik.

Justeru, Ibadah korban dapat mengikis perasaan tamak dan pentingkan diri sendiri. Seterusnya, ia dapat menimbulkan dalam diri perasaan ingin berkongsi nikmat harta dengan orang lain yang lebih memerlukan.

Sebagai orang beriman, janganlah sama sekali kita merasa rugi dan sia-sia atas sesuatu pengorbanan yang telah dilakukan, kerana sesungguhnya Allah SWT pasti akan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik.

Sesungguhnya dalam Ibadah korban itu mengandungi nilai falsafah yang sangat mendalam kerana pada hakikatnya korban adalah ujian keimanan dan keikhlasan kita kepada Allah SWT.

Inilah hakikat sebenar penyembelihan haiwan korban sebagaimana yang dijelaskan Allah SWT menerusi surah al-Haj, ayat 37 : “Daging-daging binatang sembelihan dan darahnya itu sekali kali tidak dapat sampai kepada Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik.

Ini menunjukkan bahawa Allah SWT tidaklah menghendaki atau meminta rezeki daripada hamba-Nya, bahkan Dialah yang memberi rezeki tersebut. Apa yang dituntut oleh Allah ialah takwa di dalam hati mereka yang melaksanakan ibadah korban.

Mengakhiri khutbah, marilah kita sama-sama menghayati hakikat pengorbanan melalui ibadah korban dan mengambil semangat untuk berkorban harta benda dengan penuh keikhlasan.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Haj ayat 34: “Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaan-Nya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu. Kerana Tuhan kamu semua ialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kamu tunduk taat kepada-Nya; dan sampaikanlah berita gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang tunduk taat ."

Khutbah Jumaat Lazimi Amalan Kebajikan, Tingkatkan Pematuhan Peraturan

Petikan Khutbah Jumaat 31 Julai 2020M/ 10 Zulhijjah 1441H JAKIM

Lazimi Amalan Kebajikan, Tingkatkan Pematuhan Peraturan


Idul Adha pada dasarnya merupakan perayaan bagi mereka yang telah menjalankan rukun haji yang paling utama, iaitu wukuf di Arafah, atau bagi mereka yang bersungguh-sungguh melakukan ketaatan dan ibadah pada sepuluh hari pertama dalam bulan Zulhijjah.

jakim.jpg
Ibadah korban yang mengiringi Idul Adha merupakan bukti bahawa Islam amat mementingkan kebersamaan dalam meraikan kegembiraan. Orang yang mampu melaksanakan ibadah korban, maka dia akan membahagikan daging haiwan tersebut kepada orang-orang yang tidak mampu, yang sebahagian mereka mungkin hanya merasakan daging setahun sekali.


Dengan itu, kegembiraan akan tersebar merata dan dapat dirasakan oleh sebanyakbanyak umat Islam. Lebih-lebih lagi pada Hari Jumaat yang mulia ini, kita juga menyambut hari mulia Idul Adha, maka hendaknya kita memperbanyakkan amal kebaikan, mengajak orang lain melakukan kebaikan, dan beristiqamah dengan setiap amal kebaikan.


Sabda Rasulullah SAW:“Penghulu segala hari ialah Hari Jumaat. Ia merupakan hari yang lebih baik di sisi Allah daripada Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Hadis riwayat Imam Ahmad, al-Baihaqi)


Sebagai usaha menjadikan hari raya sebagai kegembiraan bersama, kita perlu bersedia untuk berkongsi kegembiraan tersebut dengan orang lain.


Kita persiapkan diri kita dengan meringankan beban saudara-saudara kita yang memerlukan, kita bantu saudara-saudara kita yang sedang mengalami kesedihan atau yang sedang diuji.


Jika kita tidak mampu dengan harta, maka ucapan-ucapan yang baik dan indah serta doa pasti dapat menghibur hati mereka. Ingatlah bahawa ketika kita melakukan kebaikan kepada orang lain itu hakikatnya kita sedang melakukan kebaikan kepada diri kita sendiri.


Allah SWT menyatakan dalam Surah al-Israa ayat 7:“Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas perbuatan derhaka kamu) kali kedua, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk memuramkan kamu (dengan penghinaan dan keganasannya); dan untuk memasuki masjid (BaitulMaqdis) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali pertama; dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancurhancurnya.”


Ayat 272 Surah al-Baqarah yang dibacakan pada awal khutbah tadi juga bermaksud: “Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendakinya (menurut undang-undang peraturan-Nya). Dan apa jua harta yang halal bagi kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk dirimu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredhaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan”.


Sejak akhir-akhir ini kita dapati berlaku peningkatan kes covid-19. Oleh itu, marilah bersama-sama, wahai para Jemaah sekalian, untuk kita pertingkatkan pematuhan kepada S.O.P dan peraturan supaya kita tidak ditimpa musibah berulang.

Usah alpa dan leka kerana perjuangan belum selesai. Mudah-mudahan dengan kepatuhan, ketaatan dan usaha kita ini akan membantu perjuangan ini dan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT. Insya-Allah.


Firman Allah SWT: “Dan sabarlah (wahai Muhammad), engkau dan umatmu dalam mengerjakan suruhan Allah), kerana Allah tidak akan menghilangkan pahala orangorang yang berbuat kebaikan” (Surah Hud ayat 115)