August 28th, 2020

Khutbah Jumaat: Anugerah Kemerdekaan

Petikan Khutbah Jumaat 28 Ogos 2020M / 09 Muharram 1442H JAIS

Anugerah Kemerdekaan

Kemerdekaan adalah suatu anugerah Allah SWT yang sangat tinggi nilainya. Melalui kemerdekaan, kita bebas daripada belenggu penjajah dan dapat memerintah negara sendiri.

jais.jpgWalaupun begitu, sebagai orang beriman, kemerdekaan bukanlah matlamat terakhir hidup kita kerana keutamaan kita adalah untuk hidup bahagia dan sejahtera dalam negara yang adil dan makmur, serta mendapat keampunan Allah SWT.

Firman-Nya dalam surah Saba’ ayat 15: “Negeri yang baik (aman dan makmur), dan Tuhan kamu adalah)Tuhan yang maha Pengampun”.

Sebagai tanda syukur dan menghargai nikmat kemerdekaan, selain daripada mengibarkan jalur gemilang sebagai tanda patriotik, kita juga hendaklah mengisi kemerdekaan dengan membangun negara ke arah kesejahteraan. Ia bukan sahaja suatu ibadah, tetapi suatu tanggungjawab sebagai Khalifah di bumi ini.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 30:“Dan (ingatlah) ketika tuhanmu berfirman kepada Malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang Khalifah dibumi” .

Ibnu Jarir dalam tafsirnya menyatakan, khalifah adalah pengganti dalam memutuskan sesuatu perkara secara adil di antara semua makhluk.

Tugas yang diamanahkan oleh Allah SWT kepada pemimpin adalah meliputi segala bidang kehidupan masyarakat seperti ilmu pengetahuan, ekonomi, sosial dan politik agar ummah mencapai matlamatnya menjadi umat yang cemerlang.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 143: “Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.”

Dalam memperingati kemerdekaan, segala bentuk penjajahan yang masih lagi menguasai pemikiran, ekonomi dan nilai kebudayaan rakyat mestilah dibuang sepenuhnya kerana ia merupakan pencabulan dan penodaan terhadap kesucian fitrah yang dikurniakan oleh Allah SWT.

Mudah-mudahan kita terus maju kehadapan dan dapat menjaga lima perkara yang dinyatakan oleh para Ulama iaitu memelihara agama, nyawa, keturunan, akal dan harta.

Kita semua bertanggungjawab sebagai pemimpin yang akan disoal pada hari akhirat nanti sebagaimana dijelaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar Radhiallahu Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab diatas apa yag dipimpinnya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Bersempena dengan sambutan kemerdekaan Negara kita pada tahun ini yang hampir bersamaan dengan sambutan Maal Hijrah 1442 pada minggu yang lalu, maka kita memohon kepada Allah SWT agar memberi kekuatan kepada kita menghijrahkan diri untuk lebih dekat dengan Allah SWT.

Bahkan terus istiqamah mengerjakan amalan-amalan soleh yang boleh membawa kita ke syurga. Kita juga memohon kepada Allah agar melindungi kita daripada godaan nafsu yang mendorong kepada kejahatan dan maksiat. Semoga kita memperoleh perlindungan Allah SWT daripada siksaan api nerakaNya مِ آ ْ ي َ ن ً َ ا ز ا ب ْ ال َ ػ ِ َ اإلا ْ . ين.

Mengakhiri khutbah ini, marilah kita hayati beberapa perkara penting seperti berikut:

1. Umat Islam hendaklah yakin bahawa kita diberi tanggungjawab sebagai Khalifah untuk memakmurkan bumi ini berdasarkan akidah dan syariah.

2. Umat Islam hendaklah bersyukur ke hadrat Allah SWT atas anugerah kemerdekaan dan bersama-sama mengisinya dengan agenda membangun ummah.

3. Umat Islam hendaklah menjalin persaudaraan dan membuang sikap bersengketa sesama sendiri demi kemakmuran Negara dan kesejahteran rakyat.

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah diantara dua saudara kamu (yang bertelingkah) Itu, dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”. (al-Hujurat :10)

Khutbah Jumaat Malaysia Prihatin

Petikan Khutbah Jumaat 28 Ogos 2020M/ 9 Muharam 1442H JAWI

Malaysia Prihatin

Kemerdekaan adalah suatu anugerah, nikmat dan rahmat daripada Allah SWT. Melaluinya, Allah SWT telah kurniakan keamanan dan keharmonian hidup bermasyarakat dalam kepelbagaian agama, bangsa dan budaya di negara ini.

Sebagai umat Islam, kita wajib mensyukuri nikmat kemerdekaan yang dikurniakan ini.

jawi_logo.jpg

Firman Allah SWT di dalam surah Ibrahim ayat 7, yang bermaksud :“Dan (ingatlah) tatkala Tuhanmu memberitahu: Demi sesungguhnya, Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras”.

Bersyukurlah kerana Malaysia berada dalam suasana aman dan harmoni. Sedarlah, betapa pentingnya kemerdekaan dalam kehidupan manusia kerana dengannya syariat Islam terus terpelihara dan dapat diamalkan dalam kehidupan.

Hasilnya, sistem pentadbiran dan perundangan Islam juga dapat diperkasakan. Justeru, marilah kita beristiqamah mengamalkan syariat Islam dalam segenap aspek kehidupan supaya nikmat kemerdekaan ini tidak disia-siakan.

‘Malaysia Prihatin’, merupakan tema sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini yang membawa pengertian bahawa seluruh rakyat Malaysia berganding bahu memerangi krisis pandemik COVID-19 serta.

Inilah kesungguhan kita dalam memastikan wabak ini diputuskan rantaiannya apabila semua pihak sama ada penjawat awam, sektor swasta, sukarelawan mahupun orang perseorangan saling berkerjasama.

Perkataan ‘Prihatin’ menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam mengutamakan kesejahteraan dan kebajikan rakyat melalui inisiatif PRIHATIN yang merangkumi aspek ekonomi, kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat Malaysia.


Pakej rangsangan ekonomi ini telah berjaya menyelamatkan lebih 2.4 juta pekerjaan serta memberi sokongan kepada lebih 300 ribu syarikat untuk beroperasi semula setelah melalui saat sukar ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPP) dikuatkuasakan.

Kerajaan juga telah memperkenalkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara atau secara ringkasnya PENJANA dengan 40 inisiatif untuk kebajikan rakyat Malaysia.

Menyelusuri sejarah negara ini, tentunya kita dapat melihat ramai pahlawan kita berjuang membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah.


Mereka berjuang bersama walaupun dari pelbagai latar belakang bangsa dan keturunan. Hargailah perjuangan mereka dengan memastikan kemerdekaan negara ini terus terpelihara untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

Kita juga mestilah bersatu padu dan saling berkerjasama walau berbeza bangsa dan keturunan ke arah mencapai kejayaan sebagaimana ibrah daripada sejarah penyatuan golongan muhajirin dan ansar demi memastikan kesejahteraan dan kehamrnonian negara terus terpelihara.

Hari ini, kita masih lagi berjuang dalam membebaskan negara tercinta ini daripada wabak COVID-19. Justeru, pastikan kita sentiasa
mematuhi segala garis panduan dan peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa dan amalkan norma baharu setiap masa.

Dalam pada itu, marilah kita mengisi sambutan Hari Kebangsaan dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah. Apa yang penting, pastikan sambutannya tidak dicemari dengan kegiatan-kegiatan yang tidak bermoral dan merosakkan.

Mengakhiri khutbah, marilah kita sama-sama membantu usaha kerajaan dalam menjayakan misi Malaysia Prihatin.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 41: “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”