November 13th, 2020

Khutbah Jumaat Selawat Suatu Tuntutan

Petikan Khutbah Jumaat 13 November 2020M l 27 Rabi’ul Awwal 1442H: JAIS

Selawat Suatu Tuntutan

Bulan Rabi’ul Awwal sudah tidak asing lagi untuk kita kenali sebagai bulan kelahiran Rasulullah SAW. Seorang insan mulia yang dipilih oleh Allah yang membawa rahmat untuk sekalian alam.

Walaupun kita tidak pernah bertemu baginda yang menjadi penyejuk mata, walaupun kita tidak pernah bertentang mata untuk melihat keindahan rupa wajahnya,jais.jpg

walaupun kita tidak pernah merasai kelembutan dan keindahan kulitnya, namun, nama baginda sentiasa kita sebut tatkala berselawat keatas baginda di dalam solat.

Muhammad SAW suatu nama yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa sebelumnya. Muhammad SAW bermaksud yang dipuji dan padanya juga terdapat maksud paling banyak dipuji. Malah Allah SWT mengangkat serta memuliakan nama Muhammad melebihi nama- nama yang lain.

Firman Allah SWT dalam surah Al- Insyirah ayat 4: “Dan Kami telah meninggikan bagimu: sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)?”

Allah SWT memuliakan Rasulullah SAW dengan nama baginda akan disebut oleh orang yang beriman selagi bumi ini masih ada. Setiap masa dan ketika tidak pernah putus alam ini dari menyebut nama Rasulullah SAW. Allah SWT memerintahkan orang yang beriman agar sentiasa berselawat ke atas Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 56: “Sesungguhnya Allah dan para malaikatnya berselawat kepada Nabi, oleh itu wahai orang-orang yang beriman hendaklah kamu mengucapkan selawat dan salam kepadanya”.

Allah SWT telah memuliakan Baginda Rasulullah SAW melebihi dari segala yang lain, sehinggakan nama Allah dan nama Rasulullah SAW disebut bersama. Ini dapat kita buktikan dalam ungkapan syahadah, ungkapan azan dan iqamah, malah menjadi salah satu rukun khutbah Jumaat iaitu berselawat keatas Rasulullah SAW.

Sehinggakan suatu majlis yang tidak terkandung selawat keatas baginda Rasulullah SAW pun akan di ancam dengan azab dari Allah SWT.

Hadis daripada Abu Hurairah RadiAllahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Tidaklah duduk suatu kaum di dalam suatu majlis sedang mereka tidak mengingati Allah dan berselawat kepada Nabi mereka, melainkan Allah akan menyeksa mereka dan jika Allah kehendaki Allah akan mengampuni mereka.” (Riwayat al-Tirmizi).

Betapa pentingnya kehidupan kita untuk sentiasa berselawat keatas Rasulullah SAW, sehinggakan orang yang tidak berselawat ke atas Rasulullah SAW selepas nama baginda di sebutkan maka dia disifatkan sebagai orang yang hina.

Hadis daripada Abu Hurairah RadiAllahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Amatlah hina seseorang itu apabila disebutkan namaku tetapi dia tidak berselawat ke atasku” (Riwayat Muslim).

Mencintai Rasulullah SAW bukanlah suatu cinta biasa, merindui Rasulullah SAW juga bukanlah suatu perasaan yang boleh dibuat-buat. Ianya lahir dari perasaan hati yang tulus ikhlas, hati yang suci murni. Seorang kekasih pasti akan selalu menyebut dan mengingati kekasihnya. Pepatah arab ada mengatakan :“Sesiapa yang mencintai kepada sesuatu, pasti sering menyebutnya.”

Justeru, pada hari dan bulan yang penuh barakah ini dan sepanjang tahun, marilah kita bersama- sama memperbanyakkan selawat dan salam kita kepada Rasulullah SAW. Ini merupakan saranan dari Rasulullah SAW melalui hadis daripada Abu Umamah RadiAllahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Perbanyakkanlah berselawat ke atasku pada setiap hari Jumaat. Sesungguhnya selawat yang dibaca oleh umatku akan dibentangkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Sesiapa yang paling banyak berselawat ke atasku, maka dia akan berada paling hampir denganku (di dalam Syurga).” (Riwayat al-Baihaqi).

Mengakhiri khutbah pada kali ini, khatib menyeru dan mengajak seluruh umat Islam supaya menghayati beberapa pengajaran berikut untuk dijadikan sebagai pedoman hidup kita:

1. Umat Islam wajib meyakini bahawa Nabi Muhammad SAW adalah pesuruh Allah. Rasul utusan terakhir dan tiada Rasul lain selepasnya.

2. Umat Islam hendaklah sentiasa memperbanyakkan selawat dan salam keatas baginda Rasullullah SAW agar beroleh syafaat di akhirat kelak.

3. Umat Islam hendaklah mengikuti segala ajaran baginda Rasulullah SAW.

“Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu adalah contoh ikutan yang baik (untuk diamalkan) bagi sesiapa yang berharap untuk bertemu Allah dan hari akhirat (dalam keredhaan-Nya) serta banyak berzikir kepada Allah”. (al – Ahzab :21)

Khutbah Jumaat Teguhkan Ketaatan Maslahah Diutamakan

Petikan Khutbah Jumaat 27 Rabiulawal 1442H/ 13 November 2020M JAWI

Teguhkan Ketaatan Maslahah Diutamakan

Islam sebagai agama yang adil telah menetapkan kepentingan umatnya untuk mentaati pemimpin selagi mana sesebuah kepimpinan itu tidak memerintahkan kepada kemungkaran. Apabila pemimpin menetapkan suatu arahan dan peraturan yang tidak menyalahi syarak serta mengutamakan maslahah, maka dalam hal ini kita wajib menumpahkan ketaatan dan akur untuk menerima keputusan mereka.

jawi_logo.jpg

Perhatikanlah, sekiranya setiap individu bertegas dengan ijtihad masing-masing, sudah pasti akan timbul kecelaruan yang boleh mendatangkan kerosakan dan huru-hara dalam masyarakat.

Firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa’ayat 83 yang bermaksud : “Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka; dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihan-Nya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu).”

Peningkatan bilangan kes baharu jangkitan COVID-19 telah mendatangkan kebimbangan serta keresahan dalam kalangan masyarakat.

Keadaan ini menyebabkan pihak kerajaan terpaksa menyambung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 6 Disember 2020 bagi membendung penyebaran wabak ini.

Situasi ini menambahkan lagi keresahan apabila ada sesetengah pihak yang tidak bersetuju dan mempertikaikan keputusan pihak berkuasa untuk menguatkuasakan peraturan dan mengetatkan prosedur seperti solat jumaat dan solat fardu di masjid dan surau.

Kita semua mahu menang dalam memerangi pandemik ini, namun ia memerlukan komitmen dan kerjasama semua pihak tanpa mengira kedudukan dan pangkat untuk mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Mimbar ingin menegaskan, mentaatiarahan dan peraturan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan adalah satu kewajipan. As-Syeikh Dr. Muhammad Shauqi ‘Allam, Mufti Besar Mesir menyatakan bahawa sebarang tindakan atau langkah yang diambil oleh kerajaan, maka ia hendaklah dipatuhi kerana ia adalah demi kemaslahatan rakyat keseluruhannya.

Justeru, dalam keadaan seperti ini, kita sebagai rakyat, wajib meletakkan kepatuhan yang tinggi terhadap arahan kerajaan dan pihak berkuasa agama. Tambahan pula ianya melibatkan penjagaan nyawa manusia yang menjadi salah satu aspek maqasid al-Syariah.

Hal ini bertepatan dengan satu kaedah fiqh sebagaimana dinyatakan oleh Imam as-Suyuuti Rahimahullah : “Polisi dan tindakan pemerintah terhadap rakyatnya mestilah tertakluk kepada maslahat.

Mimbar mengambil kesempatan bersempena dengan sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan pada tahun ini yang bertemakan ‘Kita Jaga Keluarga’, marilah kita menjalankan peranan dalam melindungi keluarga masing-masing daripada terdedah kepada jangkitan COVID-19 supaya kita dapat membendung penularan wabak dalam komuniti.

Kesan pandemik ini telah mengubah norma kehidupan seluruh anggota masyarakat. Tanggungjawab melawan pandemik ini juga semakin mencabar apabila kita diuji pada setiap sudut emosi, material dan fizikal.

Justeru, kitalah yang menjadi barisan hadapan dalam keluarga dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan setiap isi rumah.

Kepentingan ikatan kekeluargaan dan persaudaraan juga akan mampu menghasilkan kelompok masyarakat dan warganegara yang baik seterusnya dapat membawa kita mengharungi waktu sukar ini dengan tabah, sabar dan redha.

Mengakhiri khutbah, marilah kita menjadi warganegara yang taat dan bijak dengan mematuhi serta menyokong usaha membebaskan Negara daripada cengkaman pandemik yang menjadi musuh kita pada hari ini.

Sama-samalah kita berdoa agar ianya segera berakhir. Semoga Allah SWT sentiasa memandu para pimpinan Negara dalam membuat keputusan yang terbaik bagi manfaat kita bersama.

Renungi firman Allah SWT di dalam surah An Nisa’ ayat 59: Bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ulil amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”