December 18th, 2020

Khutbah Jumaat : Zakat Satu Kewajipan

Petikan Khutbah Jumaat 18 Disember 2020M / 03 Jumadal Ula 1442H: JAIS

Zakat Satu Kewajipan

Tahun 2020 ini, Covid-19 menjadi ujian terberat buat kita. Menurut kajian pelbagai pihak, ratusan ribu orang hilang pekerjaan, ribuan perniagaan terjejas dan menyebabkan jumlah pertambahan kemiskinan luar jangka.

Lembaga Zakat Selangor sendiri menjangkakan berlaku peningkatan kemiskinan sebanyak 20 peratus pada tahun ini. Semua ini menuntut kita untuk bertanya, apakah peranan yang patut kita sama-sama mainkan?
jais.jpg
Pihak kerajaan telah berusaha sedaya mampu untuk meminimumkan kesan pandemik ini, begitu juga peranan LZS dan lain-lain institusi kebajikan, sentiasa berusaha memastikan impaknya tidak menjerumuskan umat Islam ke dalam kancah kerosakan yang parah. Maka, bagaimana pula dengan peranan kita?

Pada tahun 18 Hijrah ketika berdepan dengan tahun kemarau  di Madinah, Umar al-Khattab Radiallahuanhu telah meminta para gabenor di pelbagai wilayah seperti Yaman dan Syria untuk sama-sama meringankan beban penduduk di Madinah.

Ini menjelaskan, dalam Islam kita wajib mengamalkan sikap tolong-menolong apatah lagi ketika ada dalam kalangan kita yang amat memerlukan.

Hadis daripada Abdullah bin Umar Radiallahuanhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Seorang Muslim adalah saudara terhadap Muslim, dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah SWT akan melaksanakan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, maka Allah SWT akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat. Sesiapa yang menutupi aib seseorang Muslim, maka Allah SWT akan menutup aibnya pada hari kiamat.”

Inilah yang perlu kita lakukan dengan penuh kesedaran, iaitu menghulurkan tangan meringankan beban.

Dalam Islam, zakat adalah saluran yang sangat tepat untuk memenuhi keperluan sesama umat. Ini kerana, zakat memastikan hanya mereka yang benar-benar ditimpa kesusahan akan dibantu.

LZS dalam hal ini bertindak proaktif mengesan kewujudan orang-orang miskin untuk membantu mereka dengan segera.

Sejak pandemik melanda, LZS telah menyalurkan bantuan zakat lebih dari RM232 juta kepada umat Islam yang terkesan, khususnya kepada lebih 60,000 buah keluarga fakir miskin dan muallaf di negeri Selangor.

Hakikatnya, ini adalah satu komitmen yang sangat besar dan berpanjangan sifatnya.

Namun begitu, seiring dengan tempoh pandemik yang tidak berkesudahan, LZS mendapati bahawa keperluan zakat terus meningkat; sedangkan dana zakat yang ada adalah terbatas.

LZS bimbang jika satu masa nanti, dana zakat tidak lagi mampu menampung keperluan ini.

Dalam pada itu, fenomena pandemik ini turut menjejaskan pelbagai sektor ekonomi. Selangor sebagai negeri termaju menerima kesan langsung yang sangat hebat. Ribuan pekerja diberhentikan, malah banyak perniagaan merudum.

Kesannya, kutipan zakat turut terganggu dan paling membimbangkan, mereka yang terjejas ini boleh berubah statusnya menjadi orang miskin.

Bayangkan, di saat kutipan zakat berisiko jatuh, jumlah kemiskinan pula bertambah. Pastinya senario ini cukup membimbangkan kita semua. Oleh itu, marilah kita sama-sama membantu menangani fenomena ini.

Tunaikanlah zakat kita di Lembaga Zakat Selangor dan yakinlah bahawa setiap sen zakat yang kita berikan itu, akan menjadi saksi di hari akhirat nanti.

Hadis daripada Abu Malik Radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:  “Solat itu cahaya, sedekah (zakat) itu bukti, sabar itu sinaran cahaya (dan) al-Quran menjadi hujah kepada kamu. “ (Riwayat Muslim).

Sesungguhnya dalam fenomena yang menguji keimanan ini, marilah kita sematkan dalam hati bahawa zakat yang kita tunaikan itu adalah satu benih kebaikan yang ganjarannya adalah sangat besar, seperti mana yang ditegaskan oleh Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 277: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mengerjakan solat serta memberikan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita”.

Data yang diberikan oleh pihak LZS, setakat tahun 2019, jumlah yang tampil menunaikan zakat di LZS masih rendah. Daripada 3.9 juta penduduk Muslim di Selangor, hanya seramai 311 ribu orang yang tampil berzakat.

Jika diambil angka yang lebih sederhana, iaitu anggaran 1.6 juta umat Islam Selangor yang layak dan berpotensi membayar zakat, tetap sahaja angka 311 ribu itu masih di tahap amat sederhana.

Pun begitu, kita bersyukur kepada Allah SWT kerana Selangor tetap mencatat kutipan tertinggi di Malaysia iaitu RM855 juta.

Malah Selangor turut menjadi negeri paling tinggi mengagih zakat, iaitu terdiri daripada hampir 60 ribu keluarga fakir, miskin dan muallaf serta ratusan ribu asnaf lain. Malah, secara keseluruhannya lapan asnaf zakat telah menerima santunan lebih RM868.2 juta di Selangor. Inilah bukti komitmen LZS dalam memastikan zakat dikutip dan diagihkan dengan berkesan.

Kesimpulan yang kita boleh perolehi daripada khutbah kali ini ialah:

1. Umat Islam wajib meyakini bahawa segala kewajipan dan perintah Allah yang dilakukan di dunia ini bakal mendapat ganjaran daripada Allah SWT pada hari akhirat.

2. Umat Islam wajib menunaikan zakat apabila cukup syaratsyaratnya.

3. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa dengan membayar zakat akan mengundang pertolongan daripada Allah SWT dalam kehidupan kita.

4. Umat Islam di Negeri Selangor hendaklah membayar zakat di Lembaga Zakat Selangor kerana telah terbukti amat komited dalam menyampaikan zakat kepada asnaf yang berhak.

“Orang-orang yang membelanjakan (menzakatkan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita”. (al-Baqarah : 274)

Khutbah Jumaat Akhlak Diperbaiki, Keadilan Dikecapi

Petikan Khutbah Jumaat 18 Disember 2020M/ 3 Jamadilawal 1442H JAWI


Akhlak Diperbaiki, Keadilan Dikecapi


Islam mendidik manusia supaya mengamalkan akhlak yang mulia di dalam kehidupan. Rasulullah SAW diutuskan oleh Allah SWT kepada manusia untuk menyempurnakan akhlak mulia.
jawi_logo.jpg

Antara sifat yang merosakkan nilai akhlak ialah sifat zalim. Ia boleh berlaku dalam hubungan sosial dan muamalat masyarakat apabila hak orang lain dikurangkan, dinafikan atau dirampas. Dengan sebab itu, berlakulah penindasan, penyeksaan, penganiayaan, pembulian dan sebagainya.


Firman Allah SWT menerusi surah al-Syura, ayat 42 yang bermaksud : “Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan) hanyalah terhadap orang-orang yang melakukan kezaliman kepada manusia dan bermaharajalela di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar. Mereka itulah orang-orang yang beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

Kita sekarang berada di zaman moden yang pesat dengan perkembangan teknologi. Seharusnya dengan perkembangan tersebut
kehidupan manusia mestilah bebas daripada sebarang pencabulan hak orang lain.


Namun, sebaliknya saban hari berita mengenai penindasan berlaku apabila golongan yang lemah dizalimi oleh individu yang tidak berperikemanusiaan.


Penganiayaan dan perbuatan zalim sering berlaku sama ada dalam institusi keluarga, sektor pekerjaan, perniagaan dan sebagainya.


Apa yang membimbangkan, ia telah memberi kesan kepada fizikal dan mental mangsa seperti kemurungan dan tekanan jiwa. Malah paling menyedihkan ada yang berkesudahan dengan membunuh diri.

Sama ada kita sedar atau tidak, penganiayaan dan pembulian dalam dunia siber di media-media sosial berlaku setiap hari. Ia bermula dengan kritikan, sindiran, penghinaan, fitnah, kecaman sehinggalah membawa kepada tipu daya, pemerasan, penipuan, ugutan dan sebagainya.


Lihatlah ramai yang telah menjadi mangsa buli siber ini, bermula dengan sebaran maklumat berkemungkinan tidak tepat oleh individu yang tidak bertanggungjawab.


Kesannya, ramai yang terjebak dengan perlakuan buli siber tersebut tanpa menilai kebaikan dan keburukan akibat tindakan tersebut.


Justeru, sebagai umat Islam yang berakhlak mulia, kita dituntut untuk mengamalkan cara hidup muslim yang sebenar.


Renungkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, daripada ‘Abdullah bin ‘Amr Radhiyallahu ‘anhu bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Seorang muslim itu ialah orang muslim yang lain selamat daripada bencana lidah dan tangannya.”


Mimbar ingin menarik perhatian sidang jemaah sekalian bahawa Negara kita merupakan anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengguna pakai Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat atau UDHR.

Dalam perkara 5 perisytiharan tersebut menyatakan, “Tiada sesiapa pun boleh dikenakan seksaan atau layanan, atau hukuman yang zalim, tidakberperikemanusiaan atau menghinakan.”

Selain itu, negara kita juga merupakan anggota Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) yang mengguna pakai Perkara 20, Perisytiharan Kaherah Mengenai Hak Asasi Manusia Dalam Islam yang menyatakan, “Adalah tidak dibenarkan seseorang individu menjalani penyeksaan fizikal atau psikologi atau pun sebarang bentuk penghinaan, kekejaman atau pencabulan maruah.”

Sesungguhnya kita semua mempunyai peranan untuk menentang sebarang perbuatan zalim dan melampaui batas yang bertentangan dengan ajaran Islam dan nilai kemanusiaan.


Semua pihak termasuk para pemimpin, majikan, penguatkuasa, penjawat awam dan ibu bapa mestillah memastikan setiap mereka yang berada di bawah tanggungjawabnya supaya tidak sesekali melakukan sebarang kezaliman dan penindasan terhadap orang lain lebih-lebih lagi di media sosial.


Di samping itu, jadilah masyarakat yang prihatin dengan melindungi dan memberi perlindungan kepada mereka yang teraniaya.

Mengakhiri khutbah, marilah kita menghayati firman Allah SWT dalam surah al-A’raf, ayat 44: “Dan (apabila ahli-ahli syurga itu berada di tempat masing-masing), berserulah mereka kepada ahli neraka dengan berkata: Sesungguhnya kami telah dapati apa yang telah dijanjikan kepada kami oleh Tuhan kami, semuanya betul. Maka adakah kamu juga telah dapati apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kamu itu semuanya betul? Mereka menjawab: Benar ada. Kemudian berserulah penyeru (malaikat) di antara mereka (kedua-dua puak itu) menyatakan: Bahawa laknat Allah tertimpa ke atas orang-orang yang zalim.”