January 1st, 2021

Khutbah Jumaat: Hikmah Di Sebalik Musibah

Petikan Khutbah Jumaat 01 Januari 2021M / 17 Jumadal Ula 1442H: JAIS

Hikmah Di Sebalik Musibah

Musibah bermaksud satu bentuk ujian dan peringatan yang didatangkan oleh Allah SWT kepada manusia.

Ia bukan sahaja berlaku kepada mereka yang lalai dan leka semata-mata, malahan juga kepada orang yang beriman dan beramal soleh.

jais.jpg

Sudah pastinya mereka yang beriman tidak akan terlepas dari ujian Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah al-Ankabut ayat 1 dan 2: “Alif, Laam, Miim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?”

Mereka yang berjaya menempuh ujian Allah di dunia  seraya berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”, akan mendapat kebaikan, rahmat dan petunjuk daripada Allah SWT.

Firman Allah didalam surah al-Baqarah ayat 157: “Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya.”

Orang-orang yang beriman hendaklah meyakini bahawa setiap musibah dan ujian yang berlaku keatas mereka mempunyai hikmah yang tersirat hanya diketahui oleh Allah SWT.

Apabila Allah menguji kita dengan satu bentuk ujian, maka kita perlu melihat dengan mata hati dan akal agar terserlah hikmahnya.

Maka, setiap ujian seperti kesakitan, kemalangan, mala petaka dan kerosakan harta benda serta wabak penyakit Covid-19 juga ada hikmah di sebaliknya.

Sesungguhnya para Rasul dan Nabi adalah mereka yang paling sabar dalam menghadapi ujian daripada Allah, sehinggakan sebahagian mereka digelar sebagai Ulul „Azmi.

Hadis daripada Saad bin Abi Waqqas Radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Manusia yang paling kuat diuji adalah para Rasul kemudian yang mengikutinya, kemudian yang mengikutinya, kemudian yang mengikutinya sesuai dengan tahap iman masing-masing”. (Riwayat Ahmad).

Musibah yang berlaku pada hakikatnya mendidik roh dan jiwa kita untuk menguatkan iman dan jati diri.

Sudah pasti, orang-orang yang beriman meyakini bahawa semua takdir Allah itu ada hikmah dengan berfikir secara positif untuk merenung kekuasaan Allah SWT.

Adakalanya hikmah itu mampu dijangkau oleh akal fikiran manusia dan ada kalanya tidak.

Namun perlu diingat bersedih secara berlebihan terhadap musibah yang dihadapi sehingga berburuk sangka kepada ketentuan Allah SWT adalah satu dosa dan musibah yang lebih besar

Sesungguhnya musibah dan ujian adalah tanda kasih sayang Allah. Dengan musibah dan ujian tersebutlah Allah SWT akan menghapuskan dosa dan mengangkat darjat seseorang.

Hadis daripada Aisyah Radiallahuanha bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Setiap ujian yang menimpa orang mukmin, seperti ditusuk duri, atau lebih dari itu, nescaya akan ditinggikan oleh Allah kerananya satu darjat atau digugurkan daripadanya satu kesalahan.” (Riwayat al-Bukhari)

Kita juga dituntut agar sentiasa bermuhasabah diri kerana ada kemungkinan bencana dan musibah yang berlaku disebabkan oleh tangantangan manusia itu sendiri.

Sudah sampai masanya umat Islam melihat semula amaran Allah dan kembali ke pangkal jalan. Marilah sama-sama kita bermuhasabah terhadap setiap peristiwa yang berlaku.

Apa yang terjadi seharusnya mengajak kita supaya takut kepada Allah, melaksanakan setiap perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Marilah sama-sama kita tempuhi ujian dan musibah dengan penuh kesabaran kerana ini akan mendekatkan diri kita kepada Allah SWT dan kita akan berada dibawah naungan rahmat Allah.

Mengakhiri khutbah kali ini marilah sama-sama kita ambil pengajaran dan penghayatan agar dapat dijadikan pedoman dalam hidup ini. Antaranya:

1. Umat Islam hendaklah yakin bahawa di sebalik ujian dan musibah yang menimpa sudah pasti ada hikmahnya yang tersendiri untuk direnungi bersama.

2. Umat Islam hendaklah memperbanyakkan istighfar dan bertaubat kepada Allah SWT agar segala kesedihan dalam diri segera hilang dan mempermudahkan.

3. Umat Islam hendaklah mengucapkan kalimah  إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعون    Innalillahi wainnaa ilaihi raji’un setiap kali ditimpa ujian dan musibah.

“(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” (al-Baqarah : 156)

Khutbah Jumaat Azam Diperbaharui, Kejayaan Dikecapi

Petikan Khutbah Jumaat 17 Jamadilawal 1442H/1 Januari 2021M JAWI

Azam Diperbaharui, Kejayaan Dikecapi

Hari ini kita melangkah ke tahun baharu 2021. Dengan kedatangan tahun baharu ini, kita seharusnya menzahirkan kesyukuran kepada Allah SWT atas rahmat dan kasih sayang-Nya memberikan nikmat umur untuk bertemu dengan tahun baharu.

jawi_logo.jpg

Peluang yang diberikan ini bukan sekadar untuk kita menikmati hidup seperti biasa bahkan kita mestilah berazam untuk menjadi muslim yang lebih baik dalam setiap perkara.

Hakikatnya, setiap tindakan kita mestilah dengan niat kerana Allah SWT kerana sudah pasti ianya membuahkan pahala sebagai kejayaan di akhirat.

Renungkan firman Allah SWT di dalam surah al-Qasas ayat 77 yang bermaksud : “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.”

Kita semua memulakan tahun ini dengan pelbagai jangkaan dan perancangan.

Namun, sebagai mukmin, kita beriman dengan segala ketentuan Allah SWT dan mengambil hikmah di sebalik ketetapan itu.


Begitulah lumrah kehidupan apabila seringkali sesuatu yang dirancang tidakterlaksana sebaliknya yang terjadi adalah di luar jangkaan dan harapan.

Disebabkan itu, kita mestilah sentiasa menilai sejauh mana pencapaian dan prestasi kita dalam bidang apa sekali pun yang kita ceburi bahkan kita juga hendaklah sentiasa bermuhasabah terhadap prestasi amalan sebagai hamba Allah SWT.

Sesungguhnya setiap manusia tidak sempurna dan tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Namun, sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang sedar, insaf dan mahu memperbaiki kesilapannya.

Jadikanlah segala kesilapan itu sebagai faktor perangsang bagi kita membina diri positif untuk mencapai kejayaan dalam segala bidang sama ada kerjaya, rumah tangga, sosial, ekonomi, pendidikan dan sebagainya.

Muslim yang berkualiti dalam segenap aspek adalah pemangkin kepada kesejahteraan dan pembangunan negara.

Justeru, marilah kita memulakan tahun ini dalam era norma baharu dengan keazaman untuk terus memacu kejayaan dan janganlah bersikap sambil lewa sehingga menangguh-nangguhkan kebaikan sebaliknya segera bertindak di samping memastikan kualiti yang terbaik serta penuh integiriti.

Janganlah bersikap lemah kerana sesungguhnya Allah SWT mengasihi hamba-hamba-Nya yang kuat rohani dan jasmani.

Imam Muslim meriwayatkan hadis, daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Bermaksud: “Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah SWT daripada mukmin yang lemah; namun pada keduanya ada kebaikan. Bersungguh-sungguhlah kamu untuk mendapatkan apa yang bermanfaat kepadamu dan mintalah pertolongan kepada Allah SWT serta janganlah sekali-kali engkau merasa lemah.”

Mengambil semangat tahun baharu ini juga marilah kita berazam untuk memacu perubahan dalam hidup kita.

Janganlah memulakan tahun baharu ini dengan perkara-perkara yang melalaikan dan dimurkai Allah SWT seperti hiburan yang melampau, menyalahguna media sosial, melakukan maksiat dan sebagainya.

Alangkah baiknya jika kita mengisi masa bersama keluarga dan rakan-rakan dengan aktiviti berfaedah.

Perbanyakkan munajat dan berdoa kepada Allah SWT. Sebagai muslim yang bertanggungjawab, marilah kita berazam untuk menjadi ketua keluarga yang lebih bertanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak.

Tunaikanlah hak keperluan nafkah mereka sebaik-baiknya dan isilah rohani mereka dengan didikan Islam yang sebenar.

Dalam pada itu, jadilah warga yang prihatin terhadap saudara mara dan jiran tetangga.

Sejak pandemik COVID-19 melanda negara, ramai dalam kalangan kita yang telah terjejas kehidupan mereka.

Justeru, hulurkanlah bantuan dan pertolongan kepada mereka tanpa mengira perbezaan agama dan bangsa.

Marilah kita sama-sama berdoa semoga tahun baharu ini menjadi lebih baik daripada tahun-tahun yang telah lalu dan kehidupan kita sentiasa mendapat perlindungan Allah SWT daripada segala musibah, bala dan ujian yang berat.

Berdoalah semoga kita dapat bebas daripada cengkaman pandemik COVID-19 yang mengancam kehidupan.

Mengakhiri khutbah, marilah kita menghayati firman Allah SWT dalam Surah an-Nahl ayat 97 : Bermaksud : “Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.”