January 8th, 2021

Khutbah Jumaat : Berpeganglah Dengan Ulama

Petikan Khutbah Jumaat 08 Januari 2021M / 24 Jumadal Ula 1442H: JAIS

Berpeganglah Dengan Ulama

Ajaran Islam dibawa oleh Rasulullah SAW berpandukan wahyu Allah SWT.

Selepas kewafatan Baginda, usaha murni kerja-kerja dakwah diteruskan pula oleh para Sahabat, tabi’in, tabi’ attabi’in dan seterusnya para ulama selepas mereka.

jais.jpg

Segenap pelusuk dunia mereka jelajahi demi untuk memastikan nikmat Iman dan Islam dinikmati oleh seluruh umat manusia.

Namun, kini masyarakat umum termasuk segelintir umat Islam berani untuk mempertikaikan peranan ulama.

Malah mereka turut menghina dan merendah-rendahkan martabat para ulama. Mereka juga menolak warisan tafsir para ulama silam.

Bagi mereka cukup dengan akal sahaja dan menjadi hak individu untuk menafsir sendiri al-Quran.

Tidak cukup dengan itu, mereka menyatakan ulama sebenarnya tiada dalam Islam.

Bahkan pendukung golongan anti hadis telah menyatakan bahawa konsep ulama diambil dari agama hindu dan kristian.

Siapakah yang digelar ulama? Apa pula ciri-ciri seseorang yang bergelar ulama?

Menurut Kamus Dewan, ulama bermaksud orang yang ahli (pakar) dalam pengetahuan agama Islam.

Kepakaran seseorang ulama diakui oleh ulama lain yang setaraf atau lebih tinggi taraf keilmuannya.

Rasulullah SAW juga ada menjelaskan siapakah yang digelar ulama.

Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu al-Darda’ Radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya ulama adalah pewaris para nabi, para nabi tidak mewariskan kepada mereka dinar dan dirham, sesungguhnya mereka hanya mewariskan ilmu, maka sesiapa yang mendapatkan ilmu itu, sungguh dia telah mendapat keuntungan yang banyak”. (Riwayat al-Tirmizi).

Berdasarkan hadis ini jelas menunjukkan bahawa perkataan ulama disebut oleh Nabi SAW.

Ini menunjukkan ulama dan peranannya ada dalam Islam dan bukannya dicedok daripada agama-agama lain.

Sesungguhnya seseorang yang bergelar ulama itu ialah mereka yang menguasai ilmu-ilmu dalam Islam seperti ilmu tauhid, tafsir, hadis, fiqh, tasawuf dan sebagainya. Sebagai contoh, para imam mazhab yang empat, al-Imam Abu Hanifah, al-Imam Malik, al-Imam Ahmad bin Hanbal dan alImam al-Syafie termasuk juga al-Imam Abu Hasan al-Asy’ari dan al-Imam alGhazali merupakan para ulama yang muktabar.

Mereka inilah para ulama sebenar yang takut kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah Fathir ayat 28 sebagaimana yang telah dibacakan di awal khutbah tadi: “Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah ulama (orang-orang yang berilmu) “.

Seseorang ulama diukur berdasarkan ilmu dan ketakwaannya.

Ilmunya adalah berpandukan kepada rujukan utama dalam Islam iaitu al-Quran, alSunnah, ijmak dan qiyas.

Seseorang ulama yang sebenar tidak akan bercakap berdasarkan hawa nafsu, akal fikiran dan emosi mereka sematamata.

DaIam Islam, ulama berada pada kedudukan yang mulia kerana tanggungjawab yang dipikul amatlah besar.

Tugas mereka diwarisi daripada para nabi. Mereka berperanan untuk menerangkan apa yang baik dan apa yang buruk, apa yang benar dan apa yang salah.

Segala yang disampaikan berpandukan kepada al-Quran dan al-Sunnah.

Islam juga mengajar umatnya agar menghormati dan menjaga adab-adab dengan seorang ulama.

Para ulama dihormati dan dimuliakan bukan kerana kesucian dan kemaksuman mereka tetapi adalah kerana ketinggian ilmunya.

Antara adab-adab yang perlu dijaga adalah:

1. Menerima teguran dan nasihat yang diberikan dalam perkara taat.

2. Mendampingi para ulama supaya menambah ilmu dan memperoleh keberkatannya.

3. Menghindari sikap suka membantah, mempertikai atau melawan.

4. Menghindarkan diri daripada menuturkan kata-kata yang boleh menyinggung perasaan.

5. Menutur dengan baik dan menegur dengan cara berhikmah.

Perlu disedari bahawa sesuatu ilmu itu adalah datangnya daripada Allah SWT. Ia akan disampaikan melalui hamba-hamba-Nya yang ikhlas.

Allah SWT akan mengambil semula ilmu yang telah dipinjamkan kepada hamba-hamba-Nya dengan cara mematikan para ulama.

Akhirnya, manusia akan menjadikan orang-orang yang jahil sebagai rujukan mereka hingga membawa kepada kesesatan.

Rasulullah SAW pernah bersabda berkenaan perkara yang akan berlaku ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru Radiallahuanhuma dengan sabdanya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak mencabut ilmu begitu sahaja daripada manusia, tetapi Dia mencabutnya dengan mematikan ulama, sehingga apabila tiada lagi ulama, manusia akan mengambil para pemimpin yang jahil, lalu apabila ditanya dan mereka menjawab dengan tanpa ilmu, maka jadilah mereka sesat dan menyesatkan”. (Riwayat al-Bukhari).

Mengakhiri khutbah pada hari ini, khatib ingin mengingatkan kita semua agar dapat mengambil pengajaran terhadap perkara-perkara berikut:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa berdampingan dan memuliakan ulama dapat meningkatkan keimanan kepada Allah SWT.

2. Umat Islam hendaklah menuntut ilmu secara berguru dengan para ulama yang muktabar.

3. Umat Islam wajib menjaga adab-adab ketika bermuamalah dengan para ulama.

“Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran pertunjuk (yang dibawanya), dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.” (al-Nisa’: 115)

Khutbah Jumaat: Ujian Sebuah Kehidupan

Petikan Khutbah Jumaat 8 Januari 2021M/ 24 Jamadilawal 1442H JAWI

Ujian Sebuah Kehidupan


Kehidupan di dunia ini sememangnya tidak dapat lari daripada ujian dan dugaan. Ia sentiasa datang kepada manusia untuk menguji sejauh mana kemampuannya dalam menerima dan menghadapinya.


Allah SWT sangat mengasihi hamba-hamba-Nya yang sentiasa sabar, reda dan berserah diri kepada-Nya dalam menghadapi ujian tersebut.


Firman Allah SWT di dalam surah surah al-Baqarah ayat 156 yang bermaksud : “(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”


jawi_logo.jpgNegara kita masih lagi mengharungi ujian wabak pandemik COVID-19.


Pada masa yang sama, beberapa buah negeri sedang berhadapan dengan bencana banjir, hujan lebat, tanah runtuh, hakisan tanah dan sebagainya yang telah menjejaskan kehidupan seharian.


Sesungguhnya semua ini merupakan sebuah ujian kehidupan sebagai peringatan supaya kita tidak terus alpa dan leka.


Sebagai muslim kita hendaklah percaya dan yakin bahawa setiap musibah dan bala bencana yang menimpa merupakan ujian daripada Allah SWT untuk menguji sejauh mana penerimaan manusia dalam mengharungi kesusahan.

Inilah ujian keimanan yang diberikan oleh Allah SWT sebagai peringatan buat hamba-hambaNya.

Justeru, marilah kita bersama-sama mempertingkat kesabaran, lapangkan dada dan fikiran serta terus pasrah dan reda menempuh setiap ujian kehidupan.


Sebagai umat Islam sewajarnya kita mengambil ibrah daripada setiap musibah seperti keadaan bencana alam ini.


Collapse )