January 15th, 2021

Khutbah Jumaat : Tabah Dalam Menghadapi Ujian

Petikan Khutbah Jumaat 15 Januari 2021 l 02 Jumadal Akhirah 1442H JAIS

Tabah Dalam Menghadapi Ujian

Kehidupan dunia adalah kehidupan yang sementara. Kehidupan yang sebenarnya adalah kehidupan akhirat yang kekal abadi.

Hanya keimanan yang sebenar sahaja yang akan menjamin seseorang itu mencapai kebahagiaan dalam kehidupannya di akhirat kelak. jais.jpg

Oleh yang demikian, amatlah malang jika ada dalam kalangan umat Islam ini mereka yang sanggup menggadai imannya demi memenuhi tuntutan kehidupan duniawinya yang fana ini.

Sebenarnya kehidupan dunia ini adalah ujian bagi setiap muslim.

Masing-masing akan menerima ujian Allah SWT samada dalam bentuk ujian ditimpa kesusahan atau dikurniakan dengan ujian kesenangan.

Ini bermakna orang yang susah akan diuji dan orang yang senang juga akan diuji.

Ujian yang dalam bentuk kesusahan adalah seperti kesakitan, ketakutan, kelaparan, kemiskinan, kehilangan harta, bencana alam atau kematian seseorang yang disayangi.

Allah SWT berfirman dalam surah alBaqarah ayat 155 “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”

Manakala ujian dalam bentuk kesenangan pula seperti harta yang banyak, anak yang ramai, kedudukan yang mulia, jawatan yang tinggi, perniagaan yang semakin maju dan seumpamanya.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Anfal ayat 28: “Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.

Pelbagai ujian yang diberikan oleh Allah SWT ini kepada kita hanyalah untuk mengetahui siapa yang ikhlas, siapa yang bersabar, siapa pula yang berbohong dan siapa yang selalu berkeluh kesah.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Ankabut ayat 2-3: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta.

Ujian yang menuntut kesabaran kita semua dalam mengahadapi wabak covid 19 masih belum selesai.

Kini ditambah dengan ujian baru yang sedang dihadapi oleh beberapa buah negeri dalam Negara kita, iaitu fenomena banjir yang menenggelamkan rumah-rumah penduduk sehingga terputus perhubungan darat antara beberapa daerah.

Fenomena yang masih menjadi bualan ramai ini merupakan ujian hebat buat negara kita dan umat Islam khususnya. Apa yang pasti setiap yang berlaku itu mempunyai hikmah yang tersendiri.

Bagi mereka yang ikhlas dan sabar, ujian kesusahan yang datang akan dihadapinya dengan penuh ketabahan dan keredaan kerana memahami bahawa adanya hikmah disebalik ujian tersebut.

Mereka berkeyakinan bahawa ujian kesusahan itu akan menghapuskan dosa dan kesalahan lalu.

Manakala ujian kesenangan pula mereka akan menerimanya dengan penuh kesyukuran kepada Allah SWT.

Ini kerana seorang mukmin yang sejati akan sentiasa menyedari bahawa setiap ujian yang diterima sama ada kesusahan atau kesenangan adalah untuk meningkatkan lagi iman kepada Allah SWT.

Sesungguhnya siapa pun yang menjalani kehidupan pasti akan menghadapi berbagai-bagai ujian yang akan menduga iman masing-masing.

Kadang-kadang iman akan turun dan kadang-kadang iman akan naik.

Persoalan yang penting ialah bagaimanakah cara yang dianjurkan oleh Islam bagi memperteguhkan iman kita supaya mampu dan tahan menghadapi apapun dugaan yang mendatang? Banyak cara untuk mempertahankannya.

Antaranya ialah dengan zikrullah atau mengingati Allah kerana dengan zikrullah, hati akan menjadi tenang dan tenteram.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Ra’d ayat 28: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”. ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

Demikian pula, tiada perbuatan yang paling berkesan bagi memelihara iman dari berputus asa dan lemah semangat dengan ujian yang menimpa melainkan bersegera dan bersungguh-sungguh dalam beramal saleh.

Hadits Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa Nabi SAW bersabda: “Bersegeralah kamu semua untuk beramal, (kerana akan datang) ujianujian ibarat keadaan-keadaan malam yang gelap. (Disebabkan ujian tersebut, adakalanya) seseorang itu beriman pada waktu pagi tetapi menjadi kafir pada waktu petang, dan beriman pada waktu petang tetapi menjadi kafir pada waktu pagi esoknya. (Lalu) Dia menjual agamanya dengan sesuatu dari (kepentingan) dunia ini.” (Riwayat Muslim).

Malahan lebih dari itu, peranan doa juga sangat penting dalam menjaga dan menguatkan iman.

Antara doa yang diajarkan oleh Allah SWT dalam al-Qur’an yang wajib kita baca 17 kali sehari semalam dalam solat fardhu 5 waktu ialah “Tunjukilah kami jalan yang lurus!” (al-Fatihah: 6)

Mengakhiri khutbah ini, marilah kita menghayati perkara-perkara penting berikut supaya menjadi panduan dalam hidup kita:

1. Umat Islam hendaklah menjaga dan mempertahankan iman ketika diuji dengan kesenangan atau kesusahan.

2. Umat Islam hendaklah sentiasa ikhlas dan sabar dalam menjalani kehidupan harian.

3. Umat Islam hendaklah berdoa agar sentiasa dalam keimanan dan memperolehi kesudahan terbaik dalam hidup ini (husnul khatimah).

“(Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu; Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberianNya.” (ali Imran : 8).

Khutbah Jumaat: Hidup Berdisplin Kesihatan Terjamin

Petikan Khutbah Jumaat 15 Januari 2021M/ 2 Jamadilakhir 1442H JAWI


Hidup Berdisplin Kesihatan Terjamin


Islam sangat menitikberatkan aspek kesejahteraan hidup manusia.


Dalam memastikan ia dapat dipelihara, sebagai umat Islam kita dituntut supaya sentiasa menjaga kesihatan dan nyawa pada setiap masa lebih-lebih lagi ketika wabak pandemik COVID-19 di negara ini masih belum dapat diatasi penularannya.
jawi_logo.jpg

Oleh yang demikian, seharusnya kita mensyukuri nikmat kesihatan yang dikurniakan Allah SWT kepada kita dengan sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat dan berdisiplin tinggi dalam menjalani kehidupan di era norma baharu ini.


Sememangnya membentuk disiplin diri dalam hidup memerlukan didikan yang berterusan.


Kerana itulah Allah SWT memberi panduan kepada kita dalam membina disiplin diri melalui firman-Nya dalam surah al-‘Asr ayat 1 hingga 3 yang bermaksud : “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”

Hidup berdisiplin bukan sahaja terhadap penjagaan masa bahkan ia turut meliputi setiap perkara dalam kehidupan.


Menyedari bahawa penjagaan kesihatan diri sendiri, keluarga dan masyarakat adalah satu tanggungjawab yang besar, justeru kita hendaklah juga berusaha untuk meningkatkan disiplin diri dengan mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.


Sesungguhnya Rasulullah SAW telah mendidik kita untuk mendisiplinkan diri ketika berhadapan dengan wabak penyakit berbahaya.


Imam Ahmad meriwayatkan hadis daripada ‘Aishah Radhiyallahu ‘anha, bahawa beliau pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang wabak taun, Baginda SAW menjawab: Bermaksud: “Sesungguhnya ia merupakan azab yang dihantarkan oleh Allah kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Maka Allah menjadikan ia sebagai rahmat bagi golongan yang beriman. Tidaklah seorang lelaki itu saat berlakunya taun lalu dia duduk di dalam rumahnya dengan penuh sabar serta mengharapkan ganjaran pahala, dan dia tahu tidaklah musibah menimpa dirinya melainkan apa yang Allah telah tetapkan buat dirinya maka dia mendapat seperti ganjaran pahala orang yang syahid.”


Menerusi hadis ini, jelaslah bahawa Nabi SAW telah menekankan disiplin diri sebagai panduan dalam menghadapi wabak penyakit daripada menular dan membinasakan masyarakat lainnya.


Antaranya adalah melaksanakan kuarantin iaitu mengasingkan diri daripada orang lain.


Di sini, disiplin diri semua pihak sangat diperlukan sebagai komitmen demi mengelakkan penularan wabak pandemik COVID-19 dalam masyarakat.

Permulaan tahun 2021 telah mencatatkan sejarah apabila negara kita melaksanakan proklamasi darurat.


Malah, Perintah Kawalan Pergerakan di beberapa negeri termasuklah Wilayah Persekutuan turut dikuatkuasakan dalam mengekang pandemik ini terus meningkat.

Sesungguhnya segala usaha yang dilakukan oleh kerajaan ini tidak akan mencapai kejayaan sekiranya kita tidak memberikan komitmen dan kerjasama dalam mematuhi setiap garis panduan dan arahan pihak berkuasa.


Justeru, lihatlah betapa pentingnya kita untuk meningkatkan tahap disiplin diri sendiri dan ahli keluarga dengan sentiasa mengamalkan kawalan kendiri di samping peka dengan keadaan sekeliling lebih-lebih lagi ketika berada di luar kediaman.

Demikianlah sifat yang diajar oleh Nabi SAW supaya kita tidak mementingkan diri sendiri sebaliknya peka dan mengambil kira kesusahan orang lain. Imam Muslim r.h meriwayatkan daripada al-Nu‘man bin Bashir Radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Bermaksud: “Perumpamaan golongan yang beriman pada sifat berkasih sayang, saling merahmati, dan saling membantu adalah seperti suatu badan. Apabila ada anggota badan yang sakit, ia menyebabkan keseluruhan tubuh badan tidak dapat tidur dan juga menjadi demam.”

Oleh itu, dalam konteks ini janganlah kita mengabaikan disiplin diri untuk mematuhi SOP dalam menjaga kesihatan diri dan komuniti. Semoga Allah SWT menyelamatkan kita semua daripada ancaman virus COVID-19 ini.


Mengakhiri khutbah, marilah sama-sama kita hayati firman Allah SWT dalam surah al- Muddaththir, ayat 1 hingga 5: Bermaskud : “Wahai orang yang berselimut. Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya. Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi.”