January 29th, 2021

Khutbah Jumaat : Golongan yang dikasihi Allah

Petikan Khutbah Jumaat 29 Januari 2021 l 09 Jumadal Akhirah 1442H JAIS

Golongan yang dikasihi Allah

Allah telah menciptakan makhluknya dengan pelbagai bentuk, rupa dan keadaan. Ada yang dilihat cantik dan ada yang dipandang buruk pada pandangan mata kasar manusia.

jais.jpgBegitu jugalah dengan penciptaan manusia, ada yang Allah golongkan mereka dalam kalangan orang yang dikasihi dan ada pula golongan yang dimurkai oleh-Nya.

Antara golongan manusia yang dikasihi Allah ialah;

Pertama:  Orang Yang Bertakwa.

Orang yang bertakwa ialah orang yang sentiasa menunaikan janji mereka terhadap Allah untuk menjadi seorang hamba yang sentiasa taat dan patuh untuk melaksanakan perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Allah SWT menjanjikan kasih sayang-Nya kepada orang yang bertakwa.

Firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 76.: Bahkan sesiapa yang menepati janji (yang dibuatnya) dan bertakwa, maka sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertakwa”.

Kedua: Orang Yang Membuat Kebaikan

Antara amalan baik yang menyebabkan golongan ini mendapat kasih sayang Allah SWT adalah seperti yang digambarkan melalui firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 134: “Iaitu orang-orang yang menafkahkan hartanya, pada waktu senang ataupun susah, dan orang-orang yang menahan marahnya dan memaafkan kesalahan orang lain. Allah mengasihi orang-orang yang membuat kebaikan”

Ketiga: Orang Yang Membersihkan Diri dan Orang Yang Bertaubat

Orang Yang Membersihkan Diri  ialah golongan manusia yang sentiasa membersihkan diri mereka daripada sebarang bentuk kekotoran zahiriah. Seperti bersih daripada najis yang terdapat pada tempat, pakaian, makanan dan minuman harian mereka. Begitu juga mereka adalah golongan yang sentiasa membersihkan diri mereka dengan memeliharanya daripada melakukan dosa dan maksiat. ا

Manakala Orang Yang Bertaubat pula ialah orang yang membersihkan diri mereka dengan bertaubat kepada Allah SWT daripada segala dosa dan maksiat yang telah dilakukan. Kedua-dua golongan ini merupakan golongan yang dikasihi Allah

Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 222: “Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang Bertaubat dan mengasihi orang yang menyucikan diri.

Rasululllah SAW turut menegaskan bahawa sebaik-baik anak Adam yang berdosa ialah mereka yang bertaubat terhadap dosa yang telah mereka lakukan.

Hadis daripada Anas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Setiap anak Adam itu ada melakukan dosa. Dan sebaik-baik orang yang melakukan dosa itu ialah mereka yang bertaubat”. (Riwayat Ibnu Majah).

Golongan Keempat ialah: Orang Yang Sabar.

Kesabaran dalam menghadapi pelbagai situasi dalam kehidupan bukanlah suatu perkara yang mudah. Kadang-kadang seseorang yang ingin mendapatkan kasih sayang Allah terpaksa bersabar dengan mengorbankan hartanya, tenaganya, masa lapangnya malah nyawanya demi agama Islam.

Lihatlah bagaimana Allah telah menjelaskan kepada kita kisah kesabaran para pengikut nabi-nabi yang terdahulu.

Firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 146 “Dan berapa ramai para nabi yang berperang bersama-sama mereka sejumlah besar dari pengikutnya yang bertakwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah, dan tidak lesu dan tidak pula menyerah kepada musuh.Allah mengasihi orang-orang yang sabar”.

Golongan Kelima: Orang Yang Adil.

Bersikap adil dan tegas dalam memutuskan sesuatu perkara bersesuaian dengan syariat Allah merupakan perkara yang amat dituntut dalam agama. Berlaku adil dalam setiap perkara merupakan perintah Allah dan orang yang menegakkan keadilan akan mendapat kasih sayang-Nya.

Firman Allah dalam Surah al-Maidah ayat 42: “Dan jika kamu memutuskan perkara mereka, maka putuskanlah perkara itu di antara mereka dengan adil, sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang adil”.

Manakala golongan keenam pula ialah Orang Yang Bertawakkal.

Orang yang bertawakkal ialah golongan yang bergantung harap hanya kepada ketentuan Allah SWT setelah melakukan pelbagai usaha untuk mencapai sesuatu matlamat yang dimpikan. Mereka meyakini bahawa sesuatu perkara itu baik dan buruknya adalah datangnya daripada Allah SWT.

Firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 159: “Kemudian apabila kamu telah berazam, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya”.

Golongan seterusnya yang juga dikasihi oleh Allah ialah golongan yang mencontohi keperibadian Nabi Muhammad SAW dalam semua perkara sama ada dalam soal kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan juga kehidupan bernegara

Firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 31. “Katakanlah: “Wahai Muhammad Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosadosamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.

Antara tanda yang menunjukkan seseorang itu mendapat kasih sayang Allah ialah dia semakin dekat dengan agama Allah. Ertinya jika seseorang itu rajin solat, rajin menghadiri majlis-majlis ilmu, suka mendengar nasihat-nasihat agama, rajin membaca al-quran serta ringan tulang untuk melakukan amalan soleh yang lain serta amat membenci perkara maksiat dan melalaikan, itu merupakan tanda akan kecintaan Allah SWT kepada kita.

Hadis daripada Abdullah Bin Mas’ud RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah Azza Wa Jalla memberi dunia kepada orang yang Allah sukai dan yang Allah tidak sukai. Namun Allah tidak memberi agama kecuali kepada orang yang Allah suka sahaja. Barangsiapa yang diberi agama, maka bererti dia telah dicintai oleh Allah”. (Riwayat Imam Ahmad).

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah sama-sama kita mengambil pengajaran dan penghayatan daripada khutbah ini antaranya ialah :

1. Umat Islam hendaklah memperkukuhkan aqidah dan mempertahankan agama Islam untuk meraih kasih sayang Allah SWT.

2. Kita hendaklah melaksanakan segala perintah Allah SWT dan meninggalkan larangannya sekiranya ingin mendapat kasih sayang Allah SWT.

3. Umat Islam hendaklah sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar dikurniakan kebaikan, kerahmatan dan terhindar daripada azab Allah SWT

“Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka". (al-Bazqarah : 201).

Khutbah Jumaat: Proklamasi Darurat Demi Menjaga Maslahat Umat

Petikan Khutbah Jumaat 16 Jamadilakhir 1442H/29 Januari 2021M JAWI

Proklamasi Darurat Demi Menjaga Maslahat Umat

Setiap perkara yang dilaksanakan oleh pemerintah ia akan berkait dan terikat dengan maslahat.



jawi_logo.jpgPemeliharaan agama, nyawa, keturunan, akal dan harta wajib diletakkan sebagai intipati utama kepada pemerintah dalam mengeluarkan sesuatu arahan dan keputusan demi kepentingan rakyat.

Apatah lagi jika perkara tersebut adalah bersifat kebajikan dan kebaikan terhadap kemaslahatan rakyat.


Maka sebagai rakyat, kita perlu memainkan peranan untuk taat dan patuh dengan arahan dan keputusan yang dikeluarkan oleh pemerintah negara.

Ia bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa’ ayat 59 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”

Penularan wabak COVID-19 di negara kita semakin membimbangkan dan berupaya mendatangkan mafsadah atau kerosakan yang besar kepada kehidupan, ekonomi dan keselamatan seluruh masyarakat.


Melihat kepada situasi tersebut, maka pada 11 Januari 2021 yang lalu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah berkenan untuk mengeluarkan Proklamasi Darurat yang meliputi seluruh negara mulai 11 Januari 2021 hingga 1 Ogos 2021.


Ianya bertujuan untuk memberikan ruang kepada kerajaan bagi menumpukan pemulihan ekonomi negara, selain menjamin dan mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam.


Hal ini juga disebabkan oleh penguatkuasaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang dilihat tidak memadai bagi membendung penularan wabak ini kerana masalah jangkitan penyakit ini telah menular hampir di semua kawasan dalam negara.


Justeru, langkah darurat ini dapat menyegerakan penguatkuasaan undang-undang yang berkaitan dengan kawalan penularan pandemik tanpa birokrasi dan proses yang menyukarkan.


Perlu kita fahami bahawa darurat yang diisytiharkan ini bukanlah satu bentuk rampasan kuasa tentera. Malah perintah berkurung juga tidak akan dilaksanakan.


Sebaliknya sepanjang tempoh ini jentera pentadbiran kerajaan Persekutuan dan Negeri akan terus berfungsi kecuali Parlimen yang tidak akan bersidang hingga suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Raja atau Yang di-Pertua Negeri yang berkenaan.


Selain itu, Kerajaan juga dapat menyelaras penglibatan yang inklusif daripada pihak swasta termasuk penggunaan sumber manusia, kemudahan, utility, aset dan lain-lain bagi membantu meringankan bebanan yang ditanggung oleh hospital awam.


Semua ordinan yang dimasyhurkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sepanjang Proklamasi Darurat berkuat kuasa akan diwartakan dan diketahui oleh rakyat.


Bagi menjamin pelaksanaan Proklamasi Darurat ini dibuat secara adil dan telus, sebuah Jawatankuasa Khas Bebas hendaklah ditubuhkan di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 untuk menasihati Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sama ada darurat besar masih berlaku dalam Persekutuan untuk meneruskan tempoh kuat kuasa Proklamasi Darurat atau menamatkannya lebih awal dari tarikh yang ditetapkan. Inilah sebahagian daripada apa yang telah diputuskan.


Sesungguhnya Islam sangat mementingkan kemaslahatan umat manusia. Justeru maslahat di sebalik pengeluaran Proklamasi Darurat dan pemasyhuran ordinan-ordinan yang berkenaan tidak lain adalah untuk menjaga dan memelihara kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat yang perlu disegerakan demi melandaikan keluk jangkitan COVID-19 secara lebih cepat dan berkesan.

Kerajaan sedang memainkan peranannya sebagai pemerintah untuk menangani pandemik ini dengan jalan terbaik.


Justeru, mimbar mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada semua rakyat negara ini tanpa mengira perbezaan agama, bangsa, ideologi politik, kedudukan dan pangkat untuk menghormati Proklamasi Darurat yang telah diperkenankan dan dikeluarkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di samping mematuhi garis panduan pengurusan dan SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa sepanjang tempoh ini.

Letakkanlah kepatuhan yang tinggi terhadap arahan semasa Kerajaan dan fatwa pihak berkuasa agama. Hentikanlah sindiran, kecaman dan perbuatan mencari salah yang tidak memberi manfaat terutamanya di media-media sosial.

Sesungguhnya kita semua mahu segera untuk keluar daripada kemelut pandemik ini. Oleh itu, kita mesti bersatu, berganding bahu dan menerapkan nilai kebersamaan dalam menghadapi situasi sukar ini.


Semoga dengan ketaatan, kesungguhan dan perpaduan kita menjadi asbab untuk Allah SWT menghapuskan dan menghilangkan segala musibah dan masalah yang sedang kita hadapi.


Semoga langkah yang diambil oleh kerajaan ini akan menatijahkan sebuah kejayaan dan kebaikan kepada rakyat dalam usaha memerangi penularan COVID-19 di dalam Negara.


Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita renungi firman Allah SWT di dalam surah al-Anfal ayat 46: Bermaksud : “Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati), sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”