February 5th, 2021

Khutbah Jumaat : Perasuah Perosak Agama Bangsa

Petikan Khutbah Jumaat 05 Februari 2021 l 23 Jumadal Akhirah 1442H : JAIS

Perasuah Perosak Agama Bangsa

Amalan rasuah adalah faktor kemuncak kepada kehancuran sesebuah tamadun bangsa dan negara.

Perbuatan memberi dan menerima rasuah adalah suatu perbuatan pemerkosaan yang sangat kejam terhadap sistem kehidupan beragama, bermasyarakat dan bernegara.

Negara bangsa mahu pun organisasi yang berjaya, sentiasa mendukung tinggi prinsip moral yang kuat, kesaksamaan, amanah, kejujuran dan ikhlas.jais.jpg

Perbuatan tidak bertanggungjawab dan tidak berperikemanusiaan sebagai perasuah adalah manifestasi buruk keperibadian seseorang kerana sanggup menjual amanah, menjual harga diri, menjual keberkatan sebuah keluarga, menjual kredibiliti sebuah organisasi, menjual kedaulatan bangsa dan lebih dahsyat lagi ia memburukkan imej dan menafikan keindahan Islam iyu sendiri.

Rasuah adalah suatu pemberian kepada seseorang untuk membenarkan sesuatu yang salah atau membatalkan sesuatu yang benar.

Ia juga boleh ditakrifkan sebagai pemberian sama ada dalam bentuk harta atau manfaat tertentu yang bertujuan untuk memperolehi sesuatu yang bukan haknya, atau menzalimi pihak yang lain.

Islam menetapkan rasuah adalah perbuatan dosa besar, kerana ia termasuk dalam perkara memakan atau mengambil harta orang lain dengan jalan yang salah sebagaimana firman Allah SWT dalam surah alBaqarah ayat 188 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

Kita sering didedahkan mengenai bahaya rasuah, kerajaan berbelanja besar menubuhkan pelbagai jabatan selain SPRM untuk membanteras rasuah, tetapi rasuah tetap berlaku.

Lupakah kita bahawa rezeki yang diperolehi daripada sumber rasuah adalah haram dan tidak berkat?

Tidak rasa bersalahkah kita dengan membawa pulang hasil pendapatan untuk membina kemewahan dan meninggalkan legasi yang haram kepada ahli keluarga dan keturunan?

Mengapakah kita sanggup untuk memberi makan anak, isteri dan keluarga kita dengan hasil yang haram?

Atau kita sudah tidak percaya dengan dahsyatnya keseksaan api neraka Allah SWT?.

Ahli keluarga dan anak-anak yang membesar dengan sumber yang haram bukan sahaja tidak akan mendapat kebahagiaan dan keberkatan di dunia dan akhirat, bahkan hatinya gelap dan keras serta jiwanya mudah memberontak dan cenderung melakukan perkara-perkara yang haram.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah Radiallahu Anhu bahawa Nabi SAW bersabda: “Tidak masuk syurga daging yang tumbuh daripada sumber yang haram. Dan setiap daging yang tumbuh daripada sumber yang haram, neraka adalah lebih utama baginya”. (Riwayat al-Hakim).

Rasuah juga menyebabkan tertolaknya ibadah dan doa kerana terkesan daripada sumber haram tersebut. Alangkah ruginya kita, hanya kerana disebabkan secebis kepuasan duniawi itu kita sanggup melakukan perbuatan keji, ibadah yang banyak menjadi suatu keletihan manakala doa sebagai senjata umat Islam tidak dimakbulkan oleh Allah SWT.

Sebuah rencana yang dikeluarkan oleh akhbar Utusan Malaysia bertarikh 21 Disember 2020 menyebutkan bahawa, berdasarkan laporan Global Corruption Barometer (GCB 2020) yang dikeluarkan oleh Transparency International, rakyat Malaysia berpendapat, 36% ahli-ahli Parlimen terlibat dengan rasuah, diikuti PDRM 30%, eksekutif perniagaan 27%, pejabat Perdana Menteri 25%, Pihak Berkuasa Tempatan 18%, Pertubuhan Bukan Kerajaan 15%, hakim dan majistret 13%, pegawai bank 10% serta pegawai tentera dan pemimpin agama 9%.

Dalam laporan tersebut juga, 71% responden berpendapat rasuah berlaku di kalangan kakitangan kerajaan. Berdasarkan Indeks Persepsi Rasuah bagi tahun 2020 yang dikeluarkan oleh Transperancy International, Malaysia tersenarai di kedudukan ke 57 daripada 180 negara, turun mendadak 6 anak tangga berbanding tahun sebelumnya.

Negara-negara bukan Islam juga didapati menguasai senarai kelompok 20 terbaik dunia termasuklah Singapura yang berada di kelompok 3 negara terbaik.

Angka dan persepsi ini amat memalukan dan merendahkan imej Islam dan integriti negara yang ditadbir oleh orang Islam.

Rasuah yang berlaku adalah punca hilangnya keyakinan rakyat kepada pemerintah, hilangnya keberkesanan dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan, Negara kehabisan wang hingga terpaksa menanggung hutang.

Sebagai sebuah negara umat Islam seperti Malaysia, amalan rasuah tiada tempat untuk ianya berlaku sama sekali. Penegasan Islam sangat jelas tentang rasuah.

Agama Islam melaknat dan memberi ancaman neraka terhadap orang yang memberi dan menerima rasuah sebagaimana dinyatakan di dalam sebuah hadith Rasulullah SAW yang telah diriwayatkan oleh Abdullah Bin Amru Radiallhu Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah”. (Riwayat al-Tirmizi).

Dalam hadith lain juga, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abdullah Bin Amru Radiallahu Anhuma bahawa nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Pemberi rasuah dan penerima rasuah masuk ke neraka”. (Riwayat al-Thobaroni)

Antara punca utama ancaman neraka dan kemurkaan Allah SWT ini tidak ditakuti dan diremehkan, kerana maksud dan matlamat hidup sebagai hamba Allah telah bertukar kepada kehendak memenuhi kecintaan dunia dan merasa akan hidup selama-lamanya.

Situasi memberi dan menerima rasuah adalah situasi di mana Islam sebagai Ad-Din tertinggi sebagai cara hidup telah dihumban ke tempat yang sangat hina dan dipijak oleh umatnya sendiri dan oleh musuh musuhnya Ingatlah bahawa mencintai dunia dan segala keindahan palsunya tidak akan ada titik penghujungnya.

Manusia yang salah memandang dunia dan tujuan penciptaannya ke dunia, tidak akan pernah menghentikan kehendaknya yang tidak berkesudahan.

Perlu diakui, kita sedang menghadapi krisis kejujuran, keikhlasan dan integriti yang sangat serius. Ketidaktentuan politik dan ketidakstabilan ekonomi semasa akan menjadi ramuan lengkap yang akan membawa kehancuran yang dahsyat kepada ummah dan negara.

Saudara ku sekelian, malulah kita semua kepada bangsa dan penganut agama lain yang sentiasa melihat dan memerhatikan tingkah laku kita yang bukan sahaja tersasar jauh dari landasan Islam sebenar, bahkan terkeluar dari prinsip- prinsip nilai sejagat yang disepakati oleh semua.

Umat Islam yang sepatutnya dihormati, dijadikan contoh, ikon dan panduan mereka, sebaliknya kini dipandang keji, hina dan sebagai faktor rosaknya kelangsungan negara yang aman, damai, membangun dan sejahtera.

Pemimpin-pemimpin Islam dalam politik yang memegang tampuk kekuasaan atau sebagai orang berkedudukan dalam politik atau sebagai ahli politik biasa, ketua-ketua jabatan di pelbagai peringkat dan pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi, diingatkan agar tidak menjadi pembuka ruang dan jalan kepada melebarnya perbuatan rasuah untuk kepentingan kedudukan dan kuasa.

Berwaspadalah wahai mereka yang memimpin dan berkuasa, anda semua tidak akan terlepas dari perhitungan di hadapan Allah SWT tentang kepimpinan anda hari ini.

Sesungguhnya Allah SWT itu Maha luas pengetahuannya dan anda akan menerima balasan yang sangat pedih dan dahsyat, kerana anda telah mengundang kemurkaanNya

Justeru marilah kita bersama-sama memerangi dan menjauhi rasuah. Humbankan jauh-jauh sifat tamak dan pentingkan diri sendiri daripada diri kita semua.

Bersyukurlah atas nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT, nescaya dan pasti Allah SWT akan menambahkan rezeki dalam bentuk yang ditetapkan olehNya.

Sesungguhnya sesiapa yang tidak bersyukur dengan yang sedikit, nescaya tidak mungkin bersyukur dengan yang banyak.

Yakinlah bahawa orang yang bersyukur akan dikurniakan keberkatan dan rezeki berlipat ganda daripada Allah SWT. Firman Allah SWT dalam Surah Ibrahim, ayat 7:“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan Demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras".

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, khatib ingin menegaskan:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa melaksanakan segala perintah Allah akan mendapat balasan syurga dan melanggar perintah Allah akan dimasukkan ke dalam neraka.

2. Umat Islam wajib menjauhi perkara-perkara yang haram seperti memberi dan menerima rasuah kerana ia adalah merupakan dosa besar.

3. Umat Islam perlu menghindari sebarang bentuk perlakuan rasuah kerana Rasulullah SAW sendiri melaknat orang yang memberi dan menerima rasuah.

4. Umat Islam hendaklah bekerjasama dengan pihak-pihak berkuasa untuk memerangi dan membanteras segala bentuk rasuah.

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya manusia dan batu (berhala), neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan”. (al-Tahrim : 6).

Khutbah Jumaat Wilayah Persekutuan Wilayah Prihatin

Petikan Khutbah Jumaat 5 Februari 2021M/ 23 Jamadilakhir 1442H JAWI

Wilayah Persekutuan Wilayah Prihatin

Sebagai hamba Allah SWT yang beriman kita seharusnya menzahirkan kesyukuran di atas nikmat keamanan dan kesejahteraan yang dapat kita rasai di negara ini khususnya di Wilayah Persekutuan.

Sesungguhnya kesyukuran yang kita zahirkan dapat mengundang pemeliharaan Allah SWT ke atas negeri yang kita cintai ini dan mengurniakan pelbagai nikmat yang berterusan daripada-Nya.
jawi_logo.jpg
Sebaliknya, sekiranya kita mengkufuri nikmat-nikmat tersebut, tentulah ianya akan mengundang kemurkaan daripada Allah SWT.

Renungilah peringatan Allah SWT di dalam surah Ibrahim, ayat 7 yang bermaksud : Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya, jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras".


Sememangnya Wilayah Persekutuan adalah negeri yang maju dan pesat membangun dalam pelbagai sektor. Namun, di sebalik kemajuan yang dikecapi ini, masih ada dalam kalangan masyarakat kita yang menghadapi kesempitan hidup dalam memenuhi keperluan nafkah isteri dan anak-anak.

Justeru, melihat kepada situasi mereka yang kurang berkemampuan ini, apa lagi di saat ramai yang terkesan dengan pandemik COVID-19, kerajaan melalui Kementerian Wilayah Persekutuan sentiasa prihatin dan bersedia menghulurkan bantuan bagi meringankan bebanan hidup mereka yang terjejas antaranya melalui Inisiatif Wilayah Cakna.


Ia meliputi 51 inisiatif utama melibatkan 370,854 orang penerima manfaat yang terdiri daripada golongan B40, asnaf dan berpendapatan rendah, peniaga dan penjaja berlesen, penghuni rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam DBKL, komuniti, atlet, jurulatih dan gelandangan.


Kementerian Wilayah Persekutuan juga turut memperkenalkan program pasar bergerak di kawasan-kawasan perumahan kos rendah awam dan swasta melalui penjualan barang basah dan keperluan harian yang lebih murah daripada harga di pasar awam.

Melihat kepada keperluan pekerjaan kepada masyarakat, kerajaan telah membuka ratusan peluang pekerjaan yang memberi manfaat kepada warga kota yang kehilangan pekerjaan atau diberhentikan kerja kerana pandemik COVID-19.


Dalam memastikan perkhidmatan rawatan kesihatan asas dapat diberikan kepada mereka yang kurang berkemampuan, perkhidmatan klinik bergerak disediakan di kawasan-kawasan perumahan kos rendah.


Selain itu, kerajaan juga menyediakan bantuan keperluan harian kepada golongan miskin bandar dengan pemberian bakul makanan.


Manakala dalam aspek pendidikan pula, kerajaan menyediakan pengangkutan percuma ke sekolah yang memberi manfaat kepada para pelajar di kawasan perumahan awam kos rendah sekali gus meringankan beban ibu bapa bagi golongan B40 dan M40.

Bukan sekadar itu sahaja, warga Wilayah Persekutuan termasuk usahawan muda serta para gelandangan turut mendapat manfaat menerusi Inisiatif Wilayah Bebas Berniaga (IWBB), Program Usahawan Anak Muda serta inisiatif penempatan kerjaya gelandangan.


Dalam hala tuju baharu tahun 2021, Kementerian akan memberi tumpuan kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih berfokus dan berkesan, cekap, cakna rakyat, telus dan berintegriti dengan struktur yang lebih mantap menuju tiga matlamat utama iaitu melipat gandakan usaha demi kesejahteraan warga Wilayah Persekutuan, memperkasa komuniti dan merancakkan pembangunan sosioekonomi di Wilayah Persekutuan.

Dalam pada itu, pelbagai agensi di Wilayah Persekutuan termasuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan turut memainkan peranan dalam membantu Kementerian Wilayah Persekutuan memakmurkan negeri ini melalui inisiatif bantuan dan sumbangan keperluan harian serta makanan melalui Baitulmal, JAWI Food Bank, Program Dapur It’am dan sebagainya.

Selain itu, MAIWP turut menyediakan pelbagai skim bantuan kepada asnaf bagi mengeluarkan mereka daripada belenggu kemiskinan.

Sesungguhnya kerjasama pelbagai pihak yang diterajui oleh Kementerian Wilayah Persekutuan telah meletakkan Wilayah-Wilayah Persekutuan terus maju ke hadapan.

Mengambil semangat Sambutan Hari Wilayah tahun ini, marilah kita selaku warga Wilayah Persekutuan menzahirkan rasa kasih dan cinta kepada tanah tempat kita diami dan mencari rezeki ini.


Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW menyatakan perasaan cinta dan kasih terhadap bumi kelahiran baginda sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi daripada Ibnu ‘Abbas Radhiyallahu ‘Anhu, Rasulullah SAW pernah bersabda berkenaan bumi Makkah :Bermaksud: “Alangkah baiknya dirimu wahai Makkah dan betapa cintanya diriku terhadapmu, seandainya kaumku tidak mengeluarkanku darimu, nescaya aku tidak akan tinggal di tempat selainmu.”


Marilah kita sama-sama memperkukuhkan perpaduan, saling berkerjasama dan berganding bahu untuk memelihara keharmonian, keamanan dan kemakmuran Wilayah Persekutuan.

Hindarkanlah segala perbuatan yang boleh mencetuskan kekacauan dan pergolakan yang boleh menggugat kestabilan politik, ekonomi dan sosial di bumi bertuah ini.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita berdoa agar Allah SWT menghapuskan wabak COVID-19, mengurniakan keselamatan dan melepaskan kita daripada musibah ini.

Hayatilah firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah, ayat 126 : Bermaksud : Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka". Allah berfirman:" (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga dia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali".