February 12th, 2021

Khutbah Jumaat: Jangan Menfitnah

Petikan Khutbah Jumaat 12.02.2021 l 30 Jumadal Akhirah 1442H JAIS

Jangan Menfitnah

Fitnah adalah tuduhan atau tohmahan yang sengaja diada-adakan sama ada ia berbentuk tulisan, gambar, video dan sebagainya.

Fitnah adalah perbuatan keji yang boleh memburukkan atau memalukan seseorang, kumpulan atau institusi, sedangkan ia tidak benar sama sekali.jais.jpg

Dengan perkembangan teknologi maklumat hari ini, penyebaran fitnah dalam media sosial yang telah disalahgunakan berlaku dengan cepat dan meluas melalui medium whatsapp, facebook, instagram (IG) dan sebagainya.

Lebih malang ia disebar atas nama kebebasan bersuara tanpa diselidiki dan tanpa memikirkan kesan buruknya.

Sikap seumpama ini amat dilarang oleh Islam. Ini kerana Islam menganjurkan umatnya agar setiap berita yang diterima mestilah diselidiki terlebih dahulu sebelum disebarkan kepada orang lain.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 6: “Wahai orang yang beriman, Jika datang kepada kamu seseorang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”. Berdasarkan ayat tersebut, wajib bagi setiap Muslim untuk menyelidiki segala berita yang diterima supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsur fitnah

Fitnah adalah amat bahaya dan mesti dihindari. Ucapan dan tulisan fitnah boleh melahirkan sangkaan dan persepsi salah, membawa kebencian, persengketaan sesama sendiri dan seterusnya mencetuskan permusuhan.

Fitnah akan membunuh karaktor dan menyebabkan kehinaan kepada seseorang.

Pembuat fitnah bukannya bimbang akan kegagalan seseorang, sebaliknya sangat takut akan kejayaan orang lain. Justeru permusuhan dan pembunuhan karaktor ini pula bakal menjadi sebab musnahnya kerukunan bermasyarakat dan bernegara.

Ingatlah wahai penfitnah dan penyebar akan ancaman dan peringatan yang disampaikan oleh Nabi SAW melalui sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu: “Sesungguhnya seorang hamba apabila menuturkan satu perkataan yang tidak dipastikan kebenarannya terlebih dahulu, akan membawanya ke neraka yang jaraknya lebih jauh dari jarak antara timur dan barat”. (Muttafaqun Alaih).

Fitnah boleh berlaku sama ada disedari atau tidak apabila seseorang menyebut atau menceritakan keburukan seseorang tanpa menyiasat terlebih dahulu.

Penyebar fitnah biasanya berselindung di sebalik istilah tertentu seperti “dengar khabar”, “dengar cerita” atau “mohon pencerahan”.

Namun, apabila sesuatu fitnah disampaikan daripada seorang ke seorang yang lain, menjadi buah mulut tanpa henti dan diulang- ulang, maklumat yang belum sahih itu seolah-olah sudah menjadi fakta yang benar.

Firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 36:“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.

Perseteruan dalam kalangan pemimpin yang menggunakan senjata fitnah akan menjerumuskan negeri dan negara ke lembah kemusnahan.

Fitnah adu domba telah menghancurkan harapan rakyat yang bernaung kepada pemimpin sebagai contoh ikutan, mengharmonikan antara satu sama lain, mentadbir negara dengan baik dan mensejahterakan kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Khalifah Islam yang kedua, Sayyidina Umar Al-Khatab R.A pernah berkata, “Seandainya seekor keldai terperosok jatuh di Kota Baghdad, nescaya Umar akan dipertanggungjawabkan dan akan ditanya di akhirat nanti, “Mengapa tidak kamu meratakan jalan untuknya?’.” Keadilan Umar al-Khattab bukan setakat kepada manusia, malah kepada semua makhluk Allah SAW.

Rasulullah SAW memberikan peringatan keutamaan pemimpin untuk berlaku adil sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Auf bin Malik Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda “Jika kamu semua mahu, aku akan memberitahu kamu apakah kepimpinan? Awalnya adalah celaan. Yang keduanya adalah penyesalan. Yang ketiganya adalah azab pada hari Kiamat kecuali orang yang berlaku adil.” (Riwayat Al-Tabarani)

Antara nas-nas syarak yang melarang dan mengeji perbuatan menyebar fitnah adalah:

Pertama: Penabur fitnah adalah orang yang paling keji.

Firman Allah SWT dalam surah al-Qalam ayat 10 dan 11: “Dan janganlah engkau (berkisar dari pendirianmu yang benar, dan jangan) menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina (pendapatnya dan amalannya), yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah belahkan orang ramai).”

Abdul Rahman Bin Ghanmin Radhiallahu Anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sekeji-keji manusia ialah mereka yang berjalan mengadu domba (menabur fitnah), mereka yang melaga-lagakan di antara insan yang berkasih sayang dan mereka yang mencari-cari kesalahan terhadap orang yang tidak bersalah”. (Riwayat Ahmad).

Kedua: Penabur fitnah bakal mendapat azab.

Hadis daripada Ibn Abbas Radhiallahu Anhu beliau berkata bahwa Rasulullah SAW pernah mengingatkan tentang dua orang yang sedang diazab di dalam kubur dengan sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya mereka berdua diazab dan tidaklah mereka berdua diazab disebabkan oleh dosa-dosa besar yang mereka lakukan tetapi disebabkan salah seorang mereka tidak berlindung ketika membuang air kecil dan seorang lagi memecah belahkan masyarakat dengan berjalan menabur fitnah”. (Riwayat al-Bukhari).

Dan dalam hadis yang lain yang diriwayatkan daripada Samurah bin Jundub Radhiallahu Anhu bahawa Nabi SAW bersabda: “Adapun orang yang diseksa dengan penyangkut besi yang menembusi pipi sehingga ke belakang lehernya dan disangkut lubang hidung sehingga menembusi belakang lehernya dan disangkut mata sehingga menembusi batang lehernya ialah kerana kerjanya sejak pagi menyebarkan pembohongan daripada rumahnya sehingga ke seluruh ufuk penjuru dunia”. (Riwayat al-Bukhari).

Ketiga: Penabur fitnah tidak akan masuk Syurga.

Sebagaimana diriwayatkan daripada Huzaifah Radhiallahu Anhu bahawa dia mendengar Nabi SAW bersabda: “Penabur fitnah tidak akan masuk syurga”. (Riwayat al-Bukhari).

Keempat: Azab pedih menanti orang yang bergelumang dengan fitnah

Firman Allah dalam surah An-Nur ayat 19: “ Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhantuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).”

Mengakhiri khutbah yang disampaikan pada hari yang mulia ini khatib ingin berpesan kepada hadirin Jumaat yang berbahagia agar:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa setiap perkataan dan perbuatan kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT pada hari akhirat kelak.

2. Umat Islam dilarang menyebarkan fitnah kerana boleh menimbulkan perpecahan dan perbalahan.

3. Umat Islam hendaklah berwaspada dengan sentiasa menyelidik setiap sebaran berita yang diterima untuk mengelakkan tersebarnya gejala fitnah yang sangat bahaya dan,

4. Ingatlah bahawa penfitnah adalah orang yang bankrup dihadapan Allah SWT kerana tuntutan orang yang difitnah.


“Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya,Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya, dan yang satu lagi di sebelah kirinya.Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).” (Surah Qaf: 16-18).

Khutbah Jumaat Imunisasi Dilaksana, Komuniti Sejahtera

Petikan Khutbah Jumaat 12 Februari 2021M/ 30 Jamadilakhir 1442H JAWI

Imunisasi Dilaksana, Komuniti Sejahtera

Sebagai umat Islam, kita diajar supaya meletakkan pergantungan hidup kepada Allah SWT dalam setiap perkara yang melingkari kehidupan di dunia ini.
jawi_logo.jpg

Realitinya kita sangat memerlukan petunjuk dan pertolongan daripada Allah SWT termasuklah dalam memenuhi keperluan hidup kita.


Renungkan firman Allah SWT menerusi surah al-Shu‘ara’, ayat 79-81 yang membawa maksud : “Dan Tuhan yang Dia lah jua memberiku makan dan memberi minum. Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan penyakitku. Dan (Dia lah) yang mematikan daku, kemudian Dia menghidupkan daku.”

Ayat ini menunjukkan bahawa Allah SWT adalah Tuhan yang Maha Berkuasa untuk menyembuhkan penyakit seseorang.


Oleh itu, di samping kita berikhtiar mencari ubat dan penawar segala penyakit, kita juga mestilah memelihara tahap keimanan kita kepada Allah SWT dengan sentiasa bertawakal kepada-Nya.

Sesungguhnya sudah menjadi tuntutan kepada kita untuk merawat penyakit.


Begitu juga, kita dituntut berikhtiar untuk mencari jalan pencegahan wabak atau sebarang penyakit berbahaya.


Melihat kepada situasi semasa jangkitan pandemik COVID-19 di negara ini yang semakin membimbangkan, pengambilan vaksin adalah salah satu kaedah terbaik bagi membendung penularan wabak ini.
Menyedari hakikat ini, kerajaan mengambil tindakan dengan melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang bakal menjadi program vaksinasi terbesar di negara ini.


Objektif program ini dilaksanakan bagi melindungi populasi masyarakat Malaysia daripada mobiditi dan mortaliti akibat jangkitan COVID-19.


Ianya dapat membentuk perlindungan kelompok dalam kalangan populasi masyarakat dan seterusnya membolehkan sektor ekonomi terus beroperasi dan pada masa yang sama sistem kesihatan dan keselamatan terus diperkukuhkan.

Kerajaan juga dapat mengawal penularan wabak dalam kawasan berisiko tinggi bagi mengurangkan transmisi jangkitan COVID-19 dalam komuniti.


Apabila semakin ramai anggota masyarakat yang mendapat vaksinasi, maka semakin ramai penduduk membentuk antibodi dan seterusnya mengurangkan kebarangkalian kejadian penyakit COVID-19 yang lebih teruk.


Secara tidak langsung ia boleh melindungi golongan berisiko yang tidak layak menerima vaksin.


Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan menyasarkan sebanyak tujuh puluh peratus daripada populasi masyarakat Malaysia atau seramai 23.6 juta orang yang akan dilaksanakan dalam tiga fasa mengikut kumpulan sasaran yang ditetapkan.


Pemvaksinan tujuh puluh peratus penduduk ini perlu dicapai untuk mewujudkan imuniti kelompok (herd immunity). Tanpa kejayaaan imuniti kelompok, risiko pendedahan terhadap jangkitan COVID-19 masih tinggi.


Justeru, kita semua mestilah memainkan peranan dalam pengambilan vaksin ini dan berilah galakan kepada orang lain untuk turut sama mengambil vaksin ini.

Fasa pertama pemberian vaksin dijangka bermula pada akhir bulan Februari sehingga bulan April 2021 yang melibatkan petugas barisan hadapan.


Fasa kedua pula dijangka bermula pada bulan April sehingga bulan Ogos 2021 yang melibatkan kumpulan masyarakat berisiko tinggi.


Manakala fasa ketiga dijangka bermula pada bulan Mei 2021 sehingga bulan Februari 2022 yang melibatkan golongan dewasa.


Tempoh pelaksanaan program ini ialah selama setahun. Harus diingat bahawa suntikan vaksin ini hanya diberikan kepada individu yang berumur 18 tahun dan ke atas sahaja. Ia menjadi fasa yang paling penting bagi membentuk perlindungan kelompok dalam komuniti masyarakat.


Mimbar ingin menegaskan bahawa pengambilan vaksin COVID-19 menjadi keutamaan yang mesti disegerakan. Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-10 yang bersidang pada 3 Disember 2020, telah mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia.


Oleh kerana pada ketika ini hanya kaedah pengambilan vaksin ini yang dianggap berkesan, maka ia menjurus kepada wajib kerana sekiranya langkah ini tidak diambil, terdapat risiko untuk mendapat penyakit yang tinggi dan memungkinkan kemudaratan yang lebih terhadap diri seseorang.


Di peringkat antarabangsa, negara-negara Islam yang lain seperti  Arab Saudi, Mesir, Jordan, Turki, Bahrain dan lain-lain telah menggunakan vaksin ini sebagai usaha pencegahan penyakit tersebut.


Sesungguhnya tindakan tersebut telah didasari dengan fatwa-fatwa yang telah dikeluarkan oleh badan-badan fatwa yang berautoriti dan juga melalui kenyataan tokoh-tokoh ulama Islam di peringkat global.


Mimbar ingin menarik perhatian sidang jemaah sekalian untuk sama-sama memahami isu berkaitan vaksin COVID-19 ini dengan merujuk sumber-sumber ilmiah yang tepat.


Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah mengeluarkan majalah Al-Bayan siri 7 yang membahaskan tentang pengambilan vaksin COVID-19 dalam aspek hukum dan permasalahannya.


Majalah ini juga boleh dimuat turun daripada laman web rasmi Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Semoga penerangan daripada majalah Al-Bayan ini dapat merungkai kekeliruan masyarakat mengenai isu vaksin ini.

Marilah juga kita berdoa kepada Allah SWT supaya memberi pertolongan dan pemeliharaan terhadap semua yang bakal menerima suntikan vaksin serta kurniakanlah kejayaan kepada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini.


Semoga kita diberi kemenangan dalam perjuangan menghentikan pandemik ini.

Mengakhiri khutbah, marilah kita sama-sama hayati firman Allah SWT dalam surah at-Taubah, ayat 51: Bermaksud : “Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal".”